Home Novel Thriller/Aksi IMPLISIT
IMPLISIT
#mystrill
21/11/2019 14:07:07
25,292
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
Kuala Lumpur,
Taman Hartamas.

Lelaki itu makan bersama dengan anaknya, tapi tidak ada perbualan. Masing-masing menunduk.

“Makanlah!!!” suara itu bergema kuat. Sekali gus memeranjatkan kedua anaknya. Lantas mereka makan seperti diarahkan.
“Andy... nanti kau tolong ayah ok?”

Andy mendongak, tersenyum, kemudian mengangguk seperti diarah. Kedua anak itu sudah seperti orang suruhan kadang kala. Dalam hidup Jabar, dia tidak langsung mementingkan isu kekeluargaan. Baginya pencapaian kerjayanya diutamakan.

Mereka sekadar makan nasi dan telur yang dimasak dengan kicap. Ada masanya Jabar akan masak pelbagai, namun ada masanya dia hanya membeli, tapi hari ini dia masak, masak ala kadar, janji dapat memenuhkan perut. Seharian dia bekerja hari ini. Selain bekerja sendiri di rumah, dia turut ada perniagaan runcit yang lain.

 “Faiz...” Tegur Jabar.

Anak lelaki itu mendongak, bertentang mata. Lelaki itu berwajah serius, tidak ada segarit senyuman langsung. Jabar suka melihat Faiz begitu, dan dia memang mahu Faiz begitu setiap kali. Mudah baginya!

Andy tidak cemburu, dia suka apabila ayahnya melebihkan Faiz, dia dapat mengelak! mengelak setiap kali! Andy akan menurut sahaja kata-kata Jabar, walau apa pun. Dia memang anak yang taat. Namun taatnya bermakna. Taatnya itu kerana dia tidak mahu mengikut kata, taatnya kerana dia meletakkan semua tanggungjawab itu pada abangnya Faiz!

“Faham apa yang ayah mahukan nanti?”

Faiz mengangguk lantas meneruskan makan.

“Good...” Jabar menoleh kedua anak lelakinya. Kepala Faiz dibelai perlahan. Kerusi di sebelah kanan Jabar pula kosong. Senyumannya termati. Dia menggeleng kepala.

“Kita perlu mencari Joe...” Perlahan suara Jabar, terbuai dengan perasaan sendiri. Dia terasa kosong dengan kehilangan anaknya yang satu itu. Joe lain dari dua lagi anaknya.

“Joe perlu balik.... lama sangat dia menghilang. Walau apa pun, kita perlu mendapatkan Joe kembali....” itu arahan Jabar, dan arahan itu merupakan kepastian yang perlu dituruti!

Johor,
Kampung Parit Jawa.

Arif siap menjalankan perniagaanya. Kedai runcit itu ditutup. Dikemas dan dibersihkan sebelum pulang. Dia menyanyi kecil. Hanya memakai tshirt dan berseluar jeans biasa, namun cukup segak pada pandangan mata.

Telefon bimbitnya berbunyi memaparkan nama, Kartina. Bukan main suka lagi dia. “Tina!” sahutnya pantas.

“Arif.... dekat mana?”

“Baru habis tutup kedai ni haaaa.” Lelaki tu duduk di bangku luar. Penyapu pula dibiarkan sahaja di tempat tadi.

“Besok saya balik,” ujar Tina cuba menahan kegembiraan. Dia tidak mahu rakan serumahnya terkejut pula. Kartina berlari ke laman luar. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapa pun mendengar. Mulut rakannya mulut tempayan, nanti habis dicerita kepada abangnya.

“Saya tak sabar tunggu ni... boleh kita jumpa... tapi nak menyorok lagi ke?” tawa Arif sedikit memerli. Bukan dia tidak tahu ayah kepada Kartina meluat benar dengannya
“Haah! Macam tak biasa pula...” Kartina bermain-main dengan rambutnya. Dipintal-pintal, tersenyum sendirian di laman, mengibas-ngias rambut kira dan kanan.

“Kalau Tina balik, saya ada hadiah special untuk Tina. Maklumlah susah benar nak jumpa orang kerja pegawai ni.”

“Jangan lah cakap macam tu.” Dan sebetulnya, memang benar Kartina malu di usik begitu. Dia tahu Arif tidak pandai, sekolah pun sampai darjah enam. Tapi satu perkara yang membuatkan dia terpikat? Arif tidak pernah mengalah, tidak pernah berputus asa. Malah lelaki itu rajin dalam mengubah corak hidupnya. Cuma... masih nampak lagi kebodohan itu di mana-mana. Arif juga sangat taat pada agama. Itu yang dia suka.

“Saya cakap benda betul ni...saya tahu keluarga awak tak suka saya.” Arif duduk kembali

“Kita jumpa esok ya? Love you...”

“I love you too Kartina...”

Panggilan dimatikan dan Arif berpuas hati. Sungguhpun dia tidak selalu berjumpa, namun hubungan itu tidak pernah terputus, malah selalu sahaja Kartina menghubunginya. Cuma keadaan mereka disembunyikan dari pengetahuan ibu bapa masing-masing.

SELESAI solat maghrib, Arif mengaji seperti biasa. Rutin harian baginya. Dia tidak pandai soal duniawi, tapi kalau bertanya tentang akhirat, boleh lah sikit-sikit. Cuma dia perlu banyak belajar. Ibunya sendiri merupakan rujukan bagi orang kampung. Merupakan seorang bekas ustazah, Rosnah sangat dihormati. Malah dia jenis yang merendah diri.

Langsir bilik tengah diselak, melihat Arif masih lagi mengaji, Rosnah tersenyum sendiri. Satu-satunya anak yang ada. Bagi Rosnah, walaupun Arif itu kurang serba serbi, tapi dia tidak pernah kurang apa-apa pun pada pandangan matanya. Ilmu dunia bukan segala-galanya.

Arif menutup naskhah suci di depannya. Menoleh kebelakang, dapat merasakan dia diperhatikan. Melihat wanita tadi masih di depan muka pintu, Arif tersenyum.
“Mak nak ajak makan...” ujar Rosnah

Arif mengangguk dan bangkit dari duduknya.

Rosnah menghidangkan nasi dan lauk yang pelbagai jenis. Kesemuanya masakan kegemaran Arif. Dan dia bukannya makan banyak. Tapi setiap kali melihat Arif makan dengan bersemangat, perutnya terasa kenyang.

Semenjak kematian suaminya sepuluh tahun lepas, Arif banyak berkorban untuk keluarga. Dulu Arif terpaksa berhenti sekolah pun kerana menjaga dia dan arwah suaminya yang sentiasa sakit. Mereka bukan orang senang pun. Barang-barang di dalam rumah pun tiada, hanya berharap pada bantuan orang yang memberi. Lepastu barulah sikit-sikit dibeli, duit yang lainnya, Rosnah simpan untuk anaknya. Mana tahu satu masa nanti dia tiada, tidak ada siapa yang mahu menguruskan Arif.

“Sedap tak nak?”

“Mak... tak pernah masakan mak tak sedap...” Arif menjawab dengan mulut yang penuh. Malah diangkat ibu jari tangan sebagai isyarat masakan di depan itu benar-benar memenuhi seleranya.

“Ye ke ni?”

Arif mengangguk sambil menyuap makanan. “Kenapa mak tak makan sekali?”

“Mak tak lapar lahhh....”

Nasi disuap laju. Arif tidak ingat tentang soalan apa yang ingin ditanya. Malah dia menambah nasi lagi dan lagi. Memang dia lapar. Kalau waktu bekerja, Arif tidak akan makan tengah hari, sanggup dia menunggu waktu pulang semata-mata untuk merasai lauk yang dimasak ibunya sendiri.

“Malam ni nak pergi mana?”

“Teman mak kat rumah je lah...”

“Tak pergi surau? Selalu lepas magrib, Arif bersihkan surau.”

“Hari ni orang nak duduk dengan mak pula.” Jawab Arif sedikit tersenyum. Sambil mengunyah makanan yang berbaki. Air oren sejuk di hadapan menambah selera.



Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill