Home Novel Thriller/Aksi IMPLISIT
IMPLISIT
#mystrill
21/11/2019 14:07:07
25,353
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
Kuala Lumpur,
Balai Polis, Jabatan siasatan Jenayah

“Betul tuan... saya tak tahu...” jawab Norman bersungguh. Tidak pasal-pasal dia terpaksa disoal siasat sekarang. “Memang saya dekat kereta waktu tu! Saya nampak Dato’ Azri tercampak saya pergilah tengok...”

“Awak nampak jelas  wajah suspek?” tanya Inspektor Hafis.

Norman mengangguk, kemudian menggeleng, kemudian mengangguk lagi.

“Jelas ke tak jelas?!” Inspektor Hafis meninggi suara.

“Errr... saya nampak sikit-sikit, tak nampak sangat... saya... errrr...”

“Sudah!!” Inspektor Hafis malas melayan. Dia berdiri di sebelah Norman. “Ada macam rupa suspek dalam gambar ni?” beberapa helai kertas yang penuh dengan gambar yang mewakili suspek yang masih belum ditangkap disusun diatas meja.

Satu persatu Norman tenung, namun tidak ada satu pun yang sama dengan lelaki yang dilihat pada malam tu. Walaupun tidak jelas, namun dia tahu itu bukan suspeknya.

Berkali-kali Norman menggeleng kepala. Semuanya bukan.

“Habis tu siapa??!” anggota Inspektor Hafis marah tiba-tiba

“Azmannn...” tegur Hafis perlahan. Kemudian matanya melirik ke arah Norman kembali.

“Baiklah saya akan bagi satu lagi review.” Hafis mendongak memandang beberapa anggotanya sambil mengangguk, arahan dalam senyap. Namun perkara itu menakutkan Norman. Disangkanya mereka akan mengapa-apakan dia.

“Kenapa tuan?” tanya Norman.

“Takkkk, saya cuma nak suruh awak cam sahaja...” Hafis menenangkan. Tidak lama kemudian, anggotanya yang berpangkat koperal datang membawa dua keping gambar dari CCTV. Tidak jelas, namun susuk tubuhnya yang membelakangkan kamera itu masih lagi boleh dilihat.

“Kenal tak tubuh ni?”

Norman memegang kertas tersebut. Dibelek berkali kali. Terpusing-pusing kepalanya. “Macam dia.”

“Siapa? Dia ni ke?” soal Hafis tidak sabar.

“Dari belakang... saya rasa dia orang yang sama. Lagipun pakaiannya sama.” Norman mengangguk, menyerahkan kertas itu kembali, dia duduk memeluk tubuh.

“Pasti?”

“Saya pasti sebab, saya nampak pakaian dia, sama macam ni. Hitam semua, baju luar yang labuh sampai lutut dan rambut dia pendek, bahagian belakang sedikit panjang.”

Inspektor Hafis memandang Azman. Dia mengangguk perlahan. Gambar dari kertas itu diambil semula.

“Awak tak kenal dia?” Hafis duduk di kerusi. Kali ini berdepan.

“Siapa? Pembunuh ni?” tanya Norman terkejut. Inspektor Hafis hanya mengangkat kedua kening sambil memeluk tubuh.

“Gila ke!! Tak akan lah saya bersubahat dengan dia??”

Hafis mendongak menggaru kepala. Dia merenung Norman sehingga lelaki itu sendiri menundukkan wajah.

“Jarang pembunuh mendedahkan wajah, lagi pula dengan orang yang akan berpotensi mendedahkan siapa dia.” Tutur Hafis memula bicara. Dia melihat Norman dari pelbagai segi. Sedari awalnya dia sudah menyiasat latar belakang lelaki itu.

Norman terdiam.

“Saya bukan sehari dalam polis. Dah bertahun. Pelik rasanya suspek biarkan awak terlepas.”

Semua di dalam bilik itu diam, begitu juga Norman.

“Sama ada dia lepaskan awak sebab mengenali, atau sekarang awak sedang tikam belakang dia. For sure masing-masing tak nak dituduh.”
Norman mendongak memandang pegawai tersebut. Hafis meletakkan beberapa dokumen tentang rekod kerja Norman di atas meja. Ditolak sedikit mendekati lelaki yang dianggap suspek yang bersubahat.

“Awak punyai masalah yang banyak dengan Dato Azri. Selain gaji awak dipotong, awak pernah dibuang kerja, tapi awak diambil semula. Awak juga pernah bergaduh dan mengugut Dato’ Azri sebelum ini.”

Sehelai lagi rekod dikeluarkan. “Awak punyai masalah peribadi dengan Dato’ Azri, saya rasa rakan kongsi dia boleh sokong kenyataan ini.”

Norman menoleh sekeliling.

“Ada apa yang awak tak beritahu saya ke Norman?” Inspektor Hafis duduk bersandar dengan senyuman sinis.

Pertengahan Kota Kuala Lumpur,

Seorang gadis memikul beg sandang. Dia memakai baju kurung berwarna kelabu. Ada bunga kecil sebagai penghias mata. Rambutnya yang separas bahu itu diikat ringkas dan dikepit dengan penyepit berbentuk rama-rama, berwarna biru.

Kedua tangan memegang bekalan yang dibeli tadi. Dia gadis yang berkulit sawo matang. Badannya tinggi dan bidang. Baju kurung itu dipakai dengan kasut sukan, sangat tidak padan! Tapi dia tidak kisah. Berpeluh-peluh wajahnya. Sebaik tiba di stesen bas, dia pergi ke kaunter.

“Saya nak beli tiket.”

“Ke mana?” Tanya wanita yang menjaga sambil menghadiahkan sekuntum senyuman.

“Saya nak ke... errr...” dia teragak-agak. Sebenarnya dia tidak tahu ke mana, yang dia tahu, dia perlu keluar dari Kuala Lumpur.

“Ke mana cik?” sekali lagi penjaga tiket itu mengulang.

Gadis berbaju kurung itu melihat kebelakang, sudah ada dua ke tiga orang yang berbaris menunggu giliran. Masing-masing memandangnya.

“Johor.”

“Larkin??” Tanya penjaga tiket itu lagi. Dia perlu memastikan destinasi yang tepat.

Gadis tadi terdiam. Sebenarnya dia tidak pernah ke mana-mana, sudah tentu dia tidak tahu Larkin itu di mana.

“Cik nak ke Larkin ke Muar?”

“Bagi ke Muar lah!” satu keputusan di buat. Setelah membayar, dia berlalu dari situ.


Gadis berbaju kurung itu duduk bersila di atas kerusi menunggu. Orang di keliling tidak dipedulikan. Penampilan ringkas itu sebenarnya masih lagi menyerlahkan kecantikan wanita itu.

Seorang lelaki sudah tersenyum-senyum melihatnya. Dia datang seorang, tidak punyai teman untuk berbual. Namun kehadiran gadis berbaju kurung dengan berkasut sukan itu menarik perhatiannya. Rambut yang diikat sedikit terabur dan tidak kemas, namun gadis itu tidak pula membetulkan. Seolah-olah dia tidak kisah dengan penampilan dirinya.

“Sorang?”

“Ha????” cepat gadis itu menoleh.

“Sorang je datang?”

Mendengar soalan lelaki itu, gadis berbaju kurung itu melihat kiri dan kanannya, satu jawapan secara memerli dan tindakan itu membuatkan lelaki itu ketawa kuat. Dia sudah tahu, tetapi masih bertanya.

“Nak ke mana?”

“Muar!” ringkas gadis itu membalas, namun masih tidak menoleh.

“Kebetulannn... kebetulan....”

“Apa yang kebetulan?”

“Saya pun nak ke Muar,” jawab lelaki itu. “Muar tu... nak ke mana?.”

Gadis itu tidak tahu pun dia mahu ke mana. Sebenarnya dia memang tidak tahu arah tujunya. Dia lari! Ya! Lari!

“Cik...”

Sapaan itu membuatkan gadis itu terperanjat.

“Sorry... saya tak berniat. Saya cuma tanya cik nak ke mana?.”

“Rumah pakcik.”

“Ohh... di mana tu? Area Muar tu luas.”

Gadis tadi menoleh lalu mengecilkan matanya. “Kenapa nak tahu!” sedikit meninggi suaranya. Dan sekali lagi lelaki itu tergelak. Lagak wanita itu sungguh lucu.

“Tak apalah... saya cuma bertanya, sekadar berbual dah kebetulan kita nak ke tempat yang sama.”

“Hurmmm...” jawab gadis itu ringkas. Fikirannya sangat kusut sekarang. Kalau boleh dia mahu lari dari sesiapa pun. Dia yakin boleh membawa diri.

“Saya Danial.”

Gadis itu memandang lelaki yang memperkenalkan namanya. Danial mengangkat kedua kening. Menunggu balasan.

“Errrr.... Ratna.” Ya! Nama itu yang dirasakan tepat buat masa sekarang.

Berkerut kening lelaki itu. Nama Ratna unik, seperti nama orang lama-lama dulu. Tapi tidak mustahil masih ada nama tersebut pada waktu sekarang.

“Ratna... bas dah sampai jom kita naik.”

Ratna mengangguk faham. Dia kemudian mengekor dari belakang. Sesekali kepalanya melirik sekeliling, sekadar memastikan dirinya tidak diekori!

Tanah perkuburan, Kuala Lumpur

Dato’ Ibrahim mengaminkan bacaan doa sebaik selesai talkin di kuburan. Keluarga arwah Dato’ Azri masih ada yang tidak boleh menerima kenyataan. Tidak tinggal juga beberapa lagi adik beradik lain yang bersikap ala-ala mat salleh tidak boleh berpanas. Masih ada yang memakai tuksedo, katanya atas urusan kerja. Dato’ Ibrahim hanya memandang dan mencengih. Namun tidak hairan juga, kerana Azri mempunyai style yang sama.

Dari kejauhan, Inspektor Hafis masih lagi berdiri di sebalik pokok, menunggu Dato’ Ibrahim.  Lelaki yang separuh umur itu nampak sedikit mengelak pandangan setiap kali ditenung. Bacaan talkin pada tengah hari itu dihujani air mata dari rakan dan keluarga terdekat. Basah bibir dengan lafazan suci. Maksud dari bacaan itu menggegarkan sanubari siapa sahaja yang masih ingat pada saat kematian.

“Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

“Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.”

Hendaklah kamu jawab:

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,

Islam agamaku,

kitab suci Al-Quran ikutanku,

Baitullah itu qiblatku,

malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.”

Bacaan itu tamat di penghujung waktu. Dato’ Ibrahim masih lagi mencangkung di tepian kubur sedangkan yang lain sudah beransur pulang. Azri memang rakan perniagaannya. Syarikat yang dimulakan dari bawah itu memang dikelolakan oleh mereka berdua asalnya. Kemudian Mejar Harun dan Jabar, rakan lamanya turut serta. Tapi sejak Jabar menghilangkan diri, dia lebih selesa dengan Azri.

“Semoga kau tenang di sana...” Ibrahim menyapu wajahnya. Turut mengaminkan doa yang dipinta di dalam hati tadi. Tanah yang berbekas di seluarnya dikibas perlahan. Terik mentari tidak terasa dek kerana kacaunya jiwa. Dan sebenarnya jiwanya tidak pernah berhenti tenang sejak apa yang berlaku pada Jabar.

“Assalamualaikum Dato’”

“Waalaikumsalam.” Lelaki itu berpaling sambil menyambut tangan yang dihulur. Pegawai polis itu sudah berada di hadapan, berkaca mata hitam, segak dengan kemeja.

“Dato’ macam mana? ok?”

“Alhamdulillah...” melihat tingkah lelaki pertengahan usia itu yang nampak tenang, menghilangkan sedikit buruk sangka. Meskipun begitu, segala kemungkinan tidak diketepikan.

“Maaf mengganggu, saya cuma nak beritahu Dato’, untuk datang ke balai polis bagi membantu siasatan.”

“Saya akan membantu sedaya upaya apa yang boleh.”

“Bila-bila Dato’ dah sedia...” Ujar Hafis sebelum bersalam dan meminta diri. Dia meninggalkan kawasan perkuburan tersebut menaiki kenderaan yang telah sedia menunggu.

Dato’ Ibrahim berdiri di tengah-tengah kawasan perkuburan itu, menoleh sekeliling. Hanya batu nisan sahaja sebagai peneman, tanda mereka yang telah ditinggalkan. Tahu! Satu masa nanti dia juga akan berada di tempat yang sama.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.