Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
44,019
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Studio A, Jakarta Universal, Jakarta

EMILY duduk di belakang pentas. Namanya akan dipanggil bila-bila masa oleh pengacara. Pembantu tabir telah mengarahkan Emily supaya bersiap sedia. Emily meraba-raba mukanya. Rambut depan dirapikan agar menutupi dahi. Emily menghembus dan menarik nafas.

Entahlah. Emily berasa sangat berdebar-debar? Mungkin kerana dia terpaksa menghadiri program bual bicara dengan kurang keyakinan. Emily amat runsing memikirkan warna kulitnya. Emily sama sekali tidak peduli jikalau terdapat perubahan pada kulitnya sekiranya dia bukan seorang artis.

Pengacara terkenal program bual bicara memulakan rakaman. Dia berinteraksi dengan penonton di studio dan menemu bual artis berkumpulan Indonesia yang turut dijemput bersama selebriti itu. Emily hilang fokus dan tidak mendengar perbualan di antara pengacara dan artis jemputannya.

Selepas 15 minit, pengacara bersedia memanggil Emily. Lagu terbarunya berkumandang memeriahkan suasana studio. Penonton Indonesia mula bersorak ria kerana artis terkenal Malaysia akan muncul sebentar lagi.

“Siapa artis wanita popular yang terkenal di Malaysia?” soal pengacara kepada penonton.

“Emily!”

“Anda mahu bertemu dengan gadis cantik ini?” Suara pengacara meninggi.

“Ya!” Serentak penonton menjawab.

“Dipersilakan Non Emily Arkhisya!”

Suara penonton bergema apabila Emily muncul. Dia melambai-lambaikan pada peminatnya. Penampilan Emily sangat sopan. Dia mengenakan jubah kontemporari dan cermin mata gelap. Sungguh dia mendengar saranan Adila.

“Silakan duduk. Apa khabar?” Senyuman pengacara sangat lebar.

“Baik, alhamdullilah.”

“Ya... Non Emily, kami sebenarnya sudah lama menantikan peluang bersemuka dengan anda. Ternyata pada hari ini menjadi realiti. Saya sangat gembira kerana anda mahu menyertai rancangan kami. Terima kasih.”

Emily tersenyum.

“Seperti yang semua tahu, anda adalah selebriti yang paling terkenal di Malaysia, malah di sekitar Asia dan barat untuk sekian lama. Anda sudah menemui semua peminat anda di merata-rata tempat. Cuma baru kali ini anda datang ke Indonesia. Adakah ada sebab tertentu?” Tanya Arowana sambil mengerling kad yang dipegang. Ada beberapa soalan lagi menanti untuk diajukan.

“Saya sudah lama merancang untuk ke sini. Tapi jadual saya sentiasa padat dan tidak dapat dielak. Akhirnya, dapat juga saya kosongkan jadual setelah semua urusan selesai di Malaysia dan menerima undangan ke sini, sambil bercuti,” jawabnya.

“Saya fikir Non Emily enggak sudi ke Indonesia.”

“Jangan cakap macam tu. Saya suka Indonesia. Negara ini sangat cantik. Cuma saya belum berkesempatan ke sini.”

“Semua tempat di Indonesia cantik. Malaysia juga cantik. Tapi bagi saya, Non Emily adalah pemandangan paling indah yang diciptakan TUHAN.”

Kata-kata pengacara disambut sorakan. Boleh tahan miang juga. Arowana ketawa dan menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Kemudian, dia kembali serius.

“Tapi, sama ada mata ini yang menipu atau memang bukan ilusi. Non Emily nampak berbeda jika dibandingkan dengan gambar anda di laman sosial.”

Emily terdiam sebentar. Akhirnya, soalan itu ditanya!

“Ya, ini akibatnya setelah berjemur di bawah terik matahari. Saya mahu memiliki kulit berwarna lebih sawo matang.”

Emily tidak menyatakan hal sebenar. Bukan niatnya berjemur di tepi pantai. Dia tertidur tanpa sedar dirinya dibakar sang mentari.

“Oh, menarik sekali. Anda jugak suka memakai kaca mata hitam. Agaknya cahaya di studio menyilaukan mata Non Emily?” Pengacara mengalih pandang pada lampu sorot yang berada di atas siling.

“Saya sakit mata. Nanti berjangkit, siapa susah?” Emily berbohong lagi.

“Ooo... kasihan. Sanggup datang ke sini walaupun sedang sakit,” ucap Arowana mempamerkan riak sedih.

Kemudian, pengacara itu bercakap dengan penonton. Memang kesukaan Arowana berinteraksi dengan penonton dan perbualannya kadangkala lari dari topik.

Emily menghela nafas. Terasa terlalu lama berada di sini.

“Non Emily, bila agaknya anda akan menamatkan zaman bujang? Umur sudah mencecah 29 tahun. Satu angka yang sangat kritikal bagi seorang wanita.”

Sepantas kilat Emily merenung pengacara itu. Mulut terkunci rapat dan matanya tidak berkelip. Tidak sangka Arowana akan mengajukan soalan tentang usia dan jodohnya. Soalan cepu emas yang pastinya menyakitkan hati! Dan Emily tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.

“Saya dikhabarkan tentang beberapa siri percintaan Non Emily dengan beberapa orang cowok. Tapi, enggak pernah dengar perancangan untuk berkahwin.”

‘Hei, bila masa pulak aku pernah bercinta. Semua itu gosip semata-mata!’ getus Emily.

Emily sedar bahawa kisah hidupnya sering menjadi bahan bualan dari mulut ke mulut. Lebih banyak fitnah dari cerita sebenar. Cerita yang merapu-rapu menjadi penglipur lara. Entah mana-mana lelaki dikaitkan dengan dirinya. Bertegur sekali dua sudah dianggap bercinta. Bergambar dengan lelaki, mereka dicop kekasih. Jikalau peminat berikan hadiah, Emily dituduh ada sugar daddy.

Pernah sekali fikiran Emily terganggu teruk apabila dia dilanda kontroversi hebat. Seorang lelaki menjemput Emily ke sebuah majlis di sebuah hotel. Sumber memberitahu dan wartawan menuduh Emily melakukan maksiat. Sebenarnya, Emily dijemput untuk sama-sama menyambut hari jadi anak perempuan kepada VIP itu yang merupakan peminat fanatiknya. Memandangkan datuk itu pernah membantu Emily ketika berada di Amerika, maka Emily menerima undangannya. Oleh kerana sibuk melayan kerenah gadis remaja itu, Emily pulang ke rumah sekitar jam 3.00 pagi. Datuk menghantar Emily sampai ke depan pintu keluar hotel. Orang sekeliling yang tidak tahu pangkal cerita, terus membuat kesimpulan yang tidak adil.

Kebisuan Emily mematikan pertanyaan.

“Jangan bilang bahawa anda enggak pernah bercinta. Masakan wanita cantik seperti Non Emily tidak pernah didekati oleh mana-mana cowok.”

Malangnya kata-kata itu benar belaka, Emily mengalihkan titik pandang ke arah Adila yang duduk di kerusi penonton. Bibirnya bergetar.

“Non Emily, kenapa diam?” tanya Arowana berasa pelik.

“Pak Arowana jangan khuatir. Insya-ALLAH, Emily akan berkahwin tidak lama lagi. Percayalah!” Adila bersuara.

Arowana berpaling.

“Maknanya, Non Emily akan menamatkan zaman solo?”

“Ya, saya jamin. Namun, tarikh dan masanya hanya ALLAH saja yang tentukan,” ujar Adila.

Arowana mengangguk-angguk.

“Ya, kasihan jika Non Emily tidak berkahwin. Sayang... cantik saja tak guna kalau enggak ada yang mahu.”

‘Cis, mulut tak ada insurans!’ herdik Emily dalam hati. Tapi, memang itu kenyataannya.

Emily melarikan pandangan mata ke lantai pentas. Keluhan kecil hadir menyelubungi atas nasib diri. Kata-kata masyarakat menambah rasa takutnya pada masa hadapan. Sepanjang hidup, Emily tidak pernah terfikir soal jodohnya akan menjadi isu. Emily masih muda dan masanya masih panjang.

“Aku baru 29 tahun! 29 tahun! Tapi tiga hari lagi aku berusia 30 tahun. Arghhh,” bisiknya di dalam hati kecil.

Selepas 30 minit bersoal jawab, rancangan temu bual popular itu menutup tirainya. Emily meminta diri dan segera bertolak ke lapangan terbang. Mereka berdua akan pulang ke Malaysia malam ini juga.


Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

EMILY berdiri kaku di depan pintu keluar lapangan terbang. Pandangannya tertacap pada suasana sekeliling. Pemandangan hari ini tidak sama seperti selalu. Tiada wartawan atau peminat yang menyerbu ke arahnya. Kali terakhir Emily merasai ketenangan sebegini adalah sewaktu dia berusia enam tahun atau sebelum dia terjebak dalam dunia seni. Tiba-tiba perasaan rindu mula menguasai diri. Rindu berasa bebas sebelum bergelar artis.

“Cepatlah!” teriakan Adila menyedarkan lamunan Emily.

Hud ditarik ke depan agar menyelimuti separuh wajahnya. Kedudukan cermin mata dibetulkan agar selesa bertinggek di batang hidung. Penutup mulut ditanggalkan. Patutlah tiada sesiapa menyedari kehadirannya. Emily berasa lega akan situasi itu.

Emily berjalan longlai menghala ke arah teksi. Dia masuk ke dalam teksi sambil termenung. Sepasang matanya menyoroti pemandangan malam kota raya Kuala Lumpur. Warna- warni lampu yang mengindahkan landskap tidak dapat menceriakan hati Emily. Pipi Emily sudah melekap di tingkap cermin dan kelopak matanya tidak berkelip langsung.

Adila sedar akan perubahan diri Emily. Selepas diwawancara di Indonesia, Emily mula mendiamkan diri. Apabila Adila menegur sikapnya, Emily menggeleng. Tersenyum sedikit dan akan murung kembali. Sudah berbelas tahun Adila berkawan dengan Emily dan inilah pertama kali Emily tidak berkongsi rasa hatinya.


Taman Maluri, Kuala Lumpur

EMILY menekan kata kunci di interkom dan membuka pintu kondominiumnya. Dia segera ke bilik untuk berehat. Adila menyusul di belakang. Bagasi dicampakkan saja di lantai sebelum terbaring lemah di atas katil bujangnya. Tidak sempat membersihkan diri atau membuka jaket, Emily terus menyelubungkan diri dengan selimut.

Adila menggeleng dan mencekak pinggang. Hanya helaan nafas geram dilemparkan ketika melihat perangai Emily. Kalau ditegur, bukannya Emily mahu mendengar kata.

Adila meninggalkan Emily sendirian dan lebih memilih menyiapkan tugasnya sebelum beradu, iaitu melaporkan aktiviti percutian mereka di laman web rasmi, xemilyx.com. Selama ini Adila yang rajin mengemaskini laman itu selain menguruskan aktiviti karier Emily. Memang itu tugasnya sebagai pembantu peribadi.

Adila merebahkan dirinya di atas sofa. Komputer riba dihidupkan. Adila mula menyusun kata-kata dan memuat turun semua gambar kecuali gambar Emily terkena selaran matahari. Boleh saja Adila menjadikan Emily sebagai bahan lawak, tapi cukuplah kejadian itu diketahui oleh Adila dan Emily sahaja. Kalau Emily tersentap, habislah karier Adila.

Adila tersenyum-senyum apabila terkenangkan percutian mereka yang penuh dengan kisah menarik dan melucukan. Namun, jari-jemarinya berhenti menaip apabila wajah Emily yang murung kembali berlegar-legar di fikiran. Keluhan kembali di bibir Adila.

Kalau Emily tidak mengaku pun, Adila tahu Emily cukup terasa hati apabila diajukan soalan mengenai jodoh tetapi Emily mudah melupakan semua itu selepas beberapa ketika dengan melakukan pelbagai aktiviti. Namun, kali ini Emily benar-benar tidak dapat membuang segala kenyataan bahawa dirinya tidak lama lagi akan menginjak angka 30. Jika Emily tinggal di negara barat, pasti dirinya tidak tertekan dengan label ‘andartu’ atau ‘andalusia’ kerana tidak wujud pun panggilan itu dalam masyarakat barat.

“Aku nak bantu Emily tapi, cinta mana boleh dipaksa. Mustahil bagi aku untuk paksa dia kahwin dengan mana-mana lelaki semata-mata tidak mahu dilabelkan sebagai andartu.” Adila berfikir seketika.

“Hah!”

Wujud idea bernas dalam kotak fikiran. Mahukah Emily mendengar saranannya? Ah! Belum cuba, mana nak tahu hasilnya. Adila mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja. Dia mendail sebuah nombor. Hanya cara itu saja dapat membantu Emily. Moga Mazira bersetuju dengannya.

Telefon diangkat.

“Mak cik!”

Adila menceritakan perihal yang berlaku di Jakarta dan pandangannya untuk menyelesaikan masalah Emily. Adila menekankan yang dia hanya mencadangkan saja dan tidak berniat mengambil alih tempat Mazira dalam soal jodoh anaknya.

“Baguslah, Adila. Mak cik memang berhajat nak mencarikan jodoh untuk Emily. Apabila kamu mencadangkan idea ni, mak cik makin teruja untuk mendapatkan menantu.” Mazira tersenyum.

Semangat Adila berkobar-kobar. “Kalau begitu, bila kita nak beritahu Emily?”

“Kalau minggu depan mak cik datang ke Kuala Lumpur, boleh tak?, Waktu tu nanti kita beritahu dia.”

“Mak cik boleh datang lusa. Tulat nanti hari jadi Emily,” ujar Adila memberi cadangan.

Mazira menepuk dahi. Dia terlupa.

“Ya tak ya juga... tapi mak cik nak beritahu Emily last minute. Kamu tahulah Emily tu. Banyak sangat soalannya kalau mak cik nak ke KL. Macam tak bagi mak cik ke sana. Katanya tak elok orang tua berjalan jauh. Walaupun mak cik ke sana nak sambut hari jadi dia.”

“Yalah.” Adila setuju.

Adila mematikan talian selepas berborak panjang dengan Mazira. Ternyata hasrat Adila untuk membantu Emily mendapat sokongan padu daripada Mazira. Adila melemparkan pandangannya ke arah kamar Emily yang bertentangan dengan ruang tamu. Sahabatnya asyik mengubah kedudukan baringan ke kanan dan ke kiri. Jelas Emily benar-benar resah.

Adila bingkas bangun dan berjalan ke kamar Emily. Sahabatnya sedang merenung suasana luar rumah menerusi jendela. Adila menutupkan pintu kamar dan berlalu ke biliknya sendiri. Adila tidak mahu mengganggu Emily. Biarlah Emily berehat. Sebentar lagi pasti sahabatnya itu akan tidur.


Previous: Bab 1
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA