Studio
A, Jakarta Universal, Jakarta
EMILY duduk di
belakang pentas. Namanya akan dipanggil bila-bila masa oleh pengacara. Pembantu
tabir telah mengarahkan Emily supaya bersiap sedia. Emily meraba-raba mukanya.
Rambut depan dirapikan agar menutupi dahi. Emily menghembus dan menarik nafas.
Entahlah. Emily berasa sangat berdebar-debar? Mungkin kerana dia terpaksa
menghadiri program bual bicara dengan kurang keyakinan. Emily amat runsing memikirkan warna kulitnya. Emily sama sekali tidak peduli jikalau
terdapat perubahan pada kulitnya sekiranya dia bukan seorang artis.
Pengacara terkenal program bual bicara memulakan rakaman. Dia berinteraksi
dengan penonton di studio dan menemu bual artis berkumpulan Indonesia yang turut
dijemput bersama selebriti itu. Emily hilang fokus dan tidak mendengar
perbualan di antara pengacara dan artis jemputannya.
Selepas 15 minit, pengacara bersedia memanggil Emily. Lagu terbarunya berkumandang
memeriahkan suasana studio. Penonton Indonesia mula bersorak ria kerana artis
terkenal Malaysia akan muncul sebentar lagi.
“Siapa artis wanita popular yang terkenal di Malaysia?” soal pengacara
kepada penonton.
“Emily!”
“Anda mahu bertemu dengan gadis cantik ini?” Suara pengacara meninggi.
“Ya!” Serentak penonton menjawab.
“Dipersilakan Non Emily Arkhisya!”
Suara penonton bergema apabila Emily muncul. Dia melambai-lambaikan pada peminatnya.
Penampilan Emily sangat sopan. Dia mengenakan jubah kontemporari dan cermin
mata gelap. Sungguh dia mendengar saranan Adila.
“Silakan duduk. Apa khabar?”
Senyuman pengacara sangat lebar.
“Baik, alhamdullilah.”
“Ya... Non Emily, kami sebenarnya
sudah lama menantikan peluang bersemuka dengan anda. Ternyata pada hari ini menjadi realiti. Saya sangat gembira kerana
anda mahu menyertai rancangan kami. Terima kasih.”
Emily
tersenyum.
“Seperti yang semua tahu, anda
adalah selebriti yang paling terkenal di Malaysia, malah di sekitar Asia dan
barat untuk sekian lama. Anda sudah menemui semua peminat anda di merata-rata
tempat. Cuma baru kali ini anda datang ke Indonesia. Adakah ada sebab tertentu?”
Tanya Arowana sambil mengerling kad yang dipegang. Ada beberapa soalan lagi
menanti untuk diajukan.
“Saya sudah lama merancang untuk
ke sini. Tapi jadual saya sentiasa padat dan tidak dapat dielak. Akhirnya,
dapat juga saya kosongkan jadual setelah semua urusan selesai di Malaysia dan
menerima undangan ke sini, sambil bercuti,” jawabnya.
“Saya fikir Non Emily enggak
sudi ke Indonesia.”
“Jangan cakap macam tu. Saya
suka Indonesia. Negara ini sangat cantik. Cuma saya belum berkesempatan ke
sini.”
“Semua tempat di Indonesia
cantik. Malaysia juga cantik. Tapi bagi saya, Non Emily adalah pemandangan
paling indah yang diciptakan TUHAN.”
Kata-kata pengacara disambut sorakan. Boleh tahan miang juga. Arowana
ketawa dan menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Kemudian, dia kembali
serius.
“Tapi, sama ada mata ini yang
menipu atau memang bukan ilusi. Non Emily nampak berbeda jika dibandingkan
dengan gambar anda di laman sosial.”
Emily terdiam sebentar. Akhirnya,
soalan itu ditanya!
“Ya, ini akibatnya setelah berjemur di bawah terik matahari. Saya mahu
memiliki kulit berwarna lebih sawo matang.”
Emily tidak menyatakan hal sebenar. Bukan niatnya berjemur di tepi pantai.
Dia tertidur tanpa sedar dirinya dibakar sang mentari.
“Oh, menarik sekali. Anda jugak suka
memakai kaca mata hitam. Agaknya cahaya di studio menyilaukan mata Non Emily?”
Pengacara mengalih pandang pada lampu sorot yang berada di atas siling.
“Saya sakit mata. Nanti
berjangkit, siapa susah?” Emily berbohong lagi.
“Ooo... kasihan. Sanggup datang
ke sini walaupun sedang sakit,” ucap Arowana mempamerkan riak sedih.
Kemudian, pengacara itu bercakap
dengan penonton. Memang kesukaan Arowana berinteraksi dengan penonton dan
perbualannya kadangkala lari dari topik.
Emily menghela nafas. Terasa
terlalu lama berada di sini.
“Non Emily, bila agaknya anda akan menamatkan zaman bujang? Umur sudah
mencecah 29 tahun. Satu angka yang sangat kritikal bagi seorang wanita.”
Sepantas kilat Emily merenung
pengacara itu. Mulut terkunci rapat dan matanya tidak berkelip. Tidak sangka Arowana
akan mengajukan soalan tentang usia dan jodohnya. Soalan cepu emas yang
pastinya menyakitkan hati! Dan Emily tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.
“Saya dikhabarkan tentang
beberapa siri percintaan Non Emily dengan beberapa orang cowok. Tapi, enggak
pernah dengar perancangan untuk berkahwin.”
‘Hei, bila masa pulak aku pernah
bercinta. Semua itu gosip semata-mata!’ getus Emily.
Emily sedar bahawa kisah hidupnya sering menjadi bahan bualan dari mulut ke
mulut. Lebih banyak fitnah dari cerita sebenar. Cerita yang merapu-rapu menjadi
penglipur lara. Entah mana-mana lelaki dikaitkan dengan dirinya. Bertegur
sekali dua sudah dianggap bercinta. Bergambar dengan lelaki, mereka dicop
kekasih. Jikalau peminat berikan hadiah, Emily dituduh ada sugar daddy.
Pernah sekali fikiran Emily
terganggu teruk apabila dia dilanda kontroversi hebat. Seorang lelaki menjemput
Emily ke sebuah majlis di sebuah hotel. Sumber memberitahu dan wartawan menuduh
Emily melakukan maksiat. Sebenarnya, Emily dijemput untuk sama-sama menyambut
hari jadi anak perempuan kepada VIP itu yang merupakan peminat fanatiknya.
Memandangkan datuk itu pernah membantu Emily ketika berada di Amerika, maka
Emily menerima undangannya. Oleh kerana sibuk melayan kerenah gadis remaja itu,
Emily pulang ke rumah sekitar jam 3.00 pagi. Datuk menghantar Emily sampai ke
depan pintu keluar hotel. Orang sekeliling yang tidak tahu pangkal cerita,
terus membuat kesimpulan yang tidak adil.
Kebisuan Emily mematikan
pertanyaan.
“Jangan bilang bahawa anda enggak pernah bercinta. Masakan wanita cantik
seperti Non Emily tidak pernah didekati oleh mana-mana cowok.”
Malangnya kata-kata itu benar
belaka, Emily mengalihkan titik pandang ke arah Adila yang duduk di kerusi
penonton. Bibirnya bergetar.
“Non Emily, kenapa diam?” tanya
Arowana berasa pelik.
“Pak Arowana jangan khuatir.
Insya-ALLAH, Emily akan berkahwin tidak lama lagi. Percayalah!” Adila bersuara.
Arowana berpaling.
“Maknanya, Non Emily akan menamatkan zaman solo?”
“Ya, saya jamin. Namun, tarikh
dan masanya hanya ALLAH saja yang tentukan,” ujar Adila.
Arowana mengangguk-angguk.
“Ya, kasihan jika Non Emily tidak berkahwin. Sayang... cantik saja tak guna
kalau enggak ada yang mahu.”
‘Cis, mulut tak ada insurans!’
herdik Emily dalam hati. Tapi, memang itu kenyataannya.
Emily melarikan pandangan mata
ke lantai pentas. Keluhan kecil hadir menyelubungi atas nasib diri. Kata-kata
masyarakat menambah rasa takutnya pada masa hadapan. Sepanjang hidup, Emily
tidak pernah terfikir soal jodohnya akan menjadi isu. Emily masih muda dan
masanya masih panjang.
“Aku baru 29 tahun! 29 tahun! Tapi
tiga hari lagi aku berusia 30 tahun. Arghhh,” bisiknya di dalam hati kecil.
Selepas 30 minit bersoal jawab,
rancangan temu bual popular itu menutup tirainya. Emily meminta diri dan segera
bertolak ke lapangan terbang. Mereka berdua akan pulang ke Malaysia malam ini
juga.
Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
EMILY berdiri kaku di depan pintu keluar lapangan
terbang. Pandangannya tertacap pada suasana sekeliling. Pemandangan hari ini
tidak sama seperti selalu. Tiada wartawan atau peminat yang menyerbu ke
arahnya. Kali terakhir Emily merasai ketenangan sebegini adalah sewaktu dia
berusia enam tahun atau sebelum dia terjebak dalam dunia seni. Tiba-tiba
perasaan rindu mula menguasai diri. Rindu berasa bebas sebelum bergelar artis.
“Cepatlah!”
teriakan Adila menyedarkan lamunan Emily.
Hud ditarik ke depan agar menyelimuti separuh
wajahnya. Kedudukan cermin mata dibetulkan agar selesa bertinggek di batang
hidung. Penutup mulut ditanggalkan. Patutlah tiada sesiapa menyedari
kehadirannya. Emily berasa lega akan situasi itu.
Emily berjalan longlai menghala ke arah teksi. Dia
masuk ke dalam teksi sambil termenung. Sepasang matanya menyoroti pemandangan
malam kota raya Kuala Lumpur. Warna- warni lampu yang mengindahkan landskap
tidak dapat menceriakan hati Emily. Pipi Emily sudah melekap di tingkap cermin
dan kelopak matanya tidak berkelip langsung.
Adila
sedar akan perubahan diri Emily. Selepas diwawancara di Indonesia, Emily mula
mendiamkan diri. Apabila Adila menegur sikapnya, Emily menggeleng. Tersenyum
sedikit dan akan murung kembali. Sudah berbelas tahun Adila berkawan dengan
Emily dan inilah pertama kali Emily tidak berkongsi rasa hatinya.
Taman Maluri, Kuala Lumpur
EMILY menekan kata kunci di interkom dan membuka pintu
kondominiumnya. Dia segera ke bilik untuk berehat. Adila menyusul di belakang.
Bagasi dicampakkan saja di lantai sebelum terbaring lemah di atas katil
bujangnya. Tidak sempat membersihkan diri atau membuka jaket, Emily terus
menyelubungkan diri dengan selimut.
Adila menggeleng dan mencekak pinggang. Hanya
helaan nafas geram dilemparkan ketika melihat perangai Emily. Kalau ditegur,
bukannya Emily mahu mendengar kata.
Adila meninggalkan Emily sendirian dan lebih
memilih menyiapkan tugasnya sebelum beradu, iaitu melaporkan aktiviti percutian
mereka di laman web rasmi, xemilyx.com.
Selama ini Adila yang rajin mengemaskini laman itu selain menguruskan aktiviti
karier Emily. Memang itu tugasnya sebagai pembantu peribadi.
Adila
merebahkan dirinya di atas sofa.
Komputer riba dihidupkan. Adila mula menyusun kata-kata dan memuat turun
semua gambar kecuali gambar Emily terkena selaran matahari. Boleh saja Adila
menjadikan Emily sebagai bahan lawak, tapi cukuplah kejadian itu diketahui oleh
Adila dan Emily sahaja. Kalau Emily tersentap, habislah karier Adila.
Adila tersenyum-senyum apabila terkenangkan
percutian mereka yang penuh dengan kisah menarik dan melucukan. Namun, jari-jemarinya
berhenti menaip apabila wajah Emily yang murung kembali berlegar-legar di
fikiran. Keluhan kembali di bibir Adila.
Kalau
Emily tidak mengaku pun, Adila tahu Emily cukup terasa hati apabila diajukan
soalan mengenai jodoh tetapi Emily mudah melupakan semua itu selepas beberapa ketika
dengan melakukan pelbagai aktiviti. Namun, kali ini Emily benar-benar tidak
dapat membuang segala kenyataan bahawa dirinya tidak lama lagi akan menginjak
angka 30. Jika Emily tinggal di negara barat, pasti dirinya tidak tertekan
dengan label ‘andartu’ atau ‘andalusia’ kerana tidak wujud pun panggilan itu
dalam masyarakat barat.
“Aku
nak bantu Emily tapi, cinta mana boleh dipaksa. Mustahil bagi aku untuk paksa dia
kahwin dengan mana-mana lelaki semata-mata tidak mahu dilabelkan sebagai
andartu.” Adila berfikir seketika.
“Hah!”
Wujud idea bernas dalam kotak fikiran. Mahukah
Emily mendengar saranannya? Ah! Belum cuba, mana nak tahu hasilnya. Adila
mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja. Dia mendail sebuah nombor.
Hanya cara itu saja dapat membantu Emily. Moga Mazira bersetuju dengannya.
Telefon
diangkat.
“Mak
cik!”
Adila
menceritakan perihal yang berlaku di Jakarta dan pandangannya untuk
menyelesaikan masalah Emily. Adila menekankan yang dia hanya mencadangkan saja
dan tidak berniat mengambil alih tempat Mazira dalam soal jodoh anaknya.
“Baguslah,
Adila. Mak cik memang berhajat nak mencarikan jodoh untuk Emily. Apabila kamu
mencadangkan idea ni, mak cik makin teruja untuk mendapatkan menantu.” Mazira tersenyum.
Semangat
Adila berkobar-kobar. “Kalau begitu, bila kita nak beritahu Emily?”
“Kalau
minggu depan mak cik datang ke Kuala Lumpur,
boleh tak?, Waktu tu nanti kita beritahu dia.”
“Mak
cik boleh datang lusa. Tulat nanti hari jadi Emily,” ujar Adila memberi
cadangan.
Mazira
menepuk dahi. Dia terlupa.
“Ya tak
ya juga... tapi mak cik nak beritahu Emily last minute. Kamu tahulah Emily tu.
Banyak sangat soalannya kalau mak cik nak ke KL. Macam tak bagi mak cik ke
sana. Katanya tak elok orang tua berjalan jauh. Walaupun mak cik ke sana nak
sambut hari jadi dia.”
“Yalah.”
Adila setuju.
Adila
mematikan talian selepas berborak panjang dengan Mazira. Ternyata hasrat Adila
untuk membantu Emily mendapat sokongan padu daripada Mazira. Adila melemparkan
pandangannya ke arah kamar Emily yang bertentangan dengan ruang tamu.
Sahabatnya asyik mengubah kedudukan baringan ke kanan dan ke kiri. Jelas Emily
benar-benar resah.
Adila
bingkas bangun dan berjalan ke kamar Emily. Sahabatnya sedang merenung suasana
luar rumah menerusi jendela. Adila menutupkan pintu kamar dan berlalu ke biliknya
sendiri. Adila tidak mahu mengganggu Emily. Biarlah Emily berehat. Sebentar
lagi pasti sahabatnya itu akan tidur.