Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
47,490
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

KAMPUNG SUNGAI SIPUT, PERAK

Kumpulan burung pipit berterbangan dan hinggap pada batang pokok yang sedang sarat menampung beban padi. Sebentar-sebentar melompat lompat ke sana sini. Rakus burung-burung itu mencatuk makanan. Kedengaran kicauan sekumpulan burung pipit yang sambung-menyambung.

Hati dipaut segumpal kedamaian. Ketenangan di persekitaran Kampung Sungai Siput, Perak juga menempah rasa kesunyian. Namun, rasa yang terbit itu dipujuk kenangan indah. Mazira tersenyum kecil dan membenarkan pancaindera pendengaran menangkap siuran angin yang mencium pokok padi.

Mazira mengambil segenggam padi yang siap ditumbuk ke dalam penampi. Dia duduk di pangkin kayu beralaskan tikar mengkuang dan mula menampi-nampi padi itu. Kudrat tuanya dikerah sehabis boleh. Kadangkala Mazira berhenti sebentar untuk menghilangkan rasa penat. Meskipun kerja yang dilakukan sedikit tetapi mampu membuatkan Mazira tercungap-cungap.

Dari jauh Cik Wani berlenggang-lenggok bagai cupak hanyut, mendekati Mazira. Dengan payung kertas berkepit di bawah lengan tangan kanan dan beg besar yang terisi bahan jualan, kemas digenggam tangan kiri. Janda dua kali yang suka bergaya berlebihan berhajat berborak panjang dengan Mazira.

“Mazira!” Cik Wani menyergah dari belakang.

Mazira Elaina terkejut. Terlepas dulang tampi dari genggaman sehingga bertaburan padi di atas tanah. Geram! Mazira beria-ia mengutip semula butiran padi, namun sekumpulan ayam peliharaannya pantas mencatuk makanan. Bertinggunglah Mazira Elaina sambil memerhatikan ayam belaannya menghabiskan rezeki percuma.

“Alah Mazira, tak rugi pun padi tu terbuang. Emily boleh belikan berguni beras untuk kau,” ujar Cik Wani bersila di atas pangkin kayu usang itu. Tertelan air liur sendiri apabila pangkin itu bergoyang sedikit. Takut juga kalau dibuatnya pangkin uzur itu roboh.

“Sebenarnya, aku hairan dengan kau. Punyalah banyak kesenangan Emily bagi kepada kau, cara susah jugak yang kau pilih! hai, Emily ada bagi tak duit untuk menyara hidup?”

Cik Wani mengipas-ngipas muka dengan tangannya. Panas! Hanya ada pokok jambu air yang bertindak sebagai bumbung pangkin, meredupkan sedikit persekitaran yang panas. Itupun pokok jambu air itu bakal menyembah bumi.

Mazira cuba menoleh ke belakang. Wajah Nurhazwani Nadia alias Cik Wani yang semakin berseri berbanding dirinya, dipandang. Terserlah cantik kerana sahabatnya itu mengamalkan pemakanan berkolagen sejak muda. Cik Wani suka berkebaya pendek dan ketat sehingga menampakkan bentuk badannya yang menarik. Sememangnya Cik Wani dan Mazira adalah sebaya, namun mereka sangat berbeza dalam banyak perkara.

Mazira mengambil tempat di sebelah Cik Wani.

“Aku nak buang rasa bosan,” ujar Mazira.

Mazira mengelap peluh di dahinya dengan hujung lengan baju.

“Kau ni dari mana?” soal Mazira sambil memerhati barang kemas yang berkilau-kilau di tangan Cik Wani. Mesti baru beli!

“Aku dari kedai jamu tadi. Aku beli produk-produk kecantikan dari pengedar tetap aku, si Ami tu. Dia saja yang jual produk jamu yang pelanggan aku nak.”

“Ooo... rajin kau berniaga. Mesti untung banyak.”

Cik Wani tersenyum.

“Mazira, aku ni terpaksa bekerja keras mencari duit. Aku ni janda. Tak ada anak pulak. Siapalah yang nak jaga aku di masa hadapan nanti. Lainlah kau, sejak Emily berusia lapan tahun, dia dah menyara hidup kau.”

“Kau ni Mazira... cara kau ni seakan menuduh aku tak bertanggungjawab kepada anak. Emily jadi artis pun sebab impian arwah ayahnya. Lepas empat tahun Emily jadi artis, Ahmad meninggal dunia. Aku suruh dia berhenti jadi selebriti, tapi Emily tu degil sebab rasa bertanggungjawab menjaga aku.

Aku tak mengharapkan duit anak aku. Kalau Emily beri aku duit, semuanya aku simpan dalam bank. Hasil menjual padi dah cukup untuk sara diri sendiri.” Mazira mengalihkan pandangannya ke arah sawah padi.

“Merugikan diri sendirilah kau ni. Baik kau bagi Emily tu kat aku. Biar aku jadi mak angkat dia. Anak sendiri dah beria-ia nak menyara, kau tak nak pula.”

“Kenapa? Kau nak pergunakan Emily ke?” soal Mazira.

Muka Cik Wani direnung tajam. Mahu melihat reaksinya. Cik Wani tidak menjawab soalan. Hanya senyuman menceritakan isi hatinya.

“Kalau Emily tak bekerja pun, aku mampu bela dia. Kalau dia nak bekerja sangat, aku suruh saja dia kerja di kilang berdekatan kampung kita.”

Cik Wani menggeleng sambil memuncungkan mulut kerana tidak percaya.

“Mak bapak orang lain sibuk nak jadikan anak mereka macam anak kau. Tapi kau pulak suka apa yang mak bapak orang lain tak suka.”

Mazira hanya tersenyum kecil.

“Tiap-tiap tahun dia bagi aku macam-macam. Sampai tak terkira banyaknya pemberian dia. Aku bersyukur sebab dianugerahkan anak yang bertanggungjawab tapi, semua itu tak berguna kalau Emily tak ada di samping aku setiap hari. Aku sunyi.”

Cik Wani menggeleng lagi.

“Kau tinggallah saja dengan Emily di Kuala Lumpur,” cadang Cik Wani bersungguh.

“Tak ada beza pun! Emily kan sibuk orangnya. Dia pasti tak ada masa untuk aku. Lebih baik aku duduk di kampung ni, layan ayam itik aku hari-hari. Dan di kampung lebih mendamaikan dari Kuala Lumpur yang sesak dan bising.”

“Sekurang-kurangnya kau hari-hari nampak Emily daripada langsung tak berjumpa.” Cik Wani semakin laju mengipas diri sendiri dengan kedua-dua belah tangannya. Panas!

Mazira menyeka peluh di dahinya. Walaupun benar kata-kata Cik Wani tapi Mazira tidak mahu tinggal di Kuala Lumpur kerana masih teringatkan kenangan bersama arwah suaminya, Ahmad di kampungnya ini. Mazira juga tidak mahu terlepas walau sehari untuk melawat pusara arwah suaminya itu.

Cik Wani menoleh ke kanan. Tersergam indah banglo yang dibina Emily untuk Mazira. Pasti selesa menginap di dalam mahligai yang serba lengkap itu. Rekaan dan dekorasinya sangat moden malah banglo itu merupakan kediaman yang paling cantik dan indah yang pernah dibina di kampung ini. Namun, Mazira lebih suka meluangkan masa di pangkin uzur yang pernah menjadi tempat berehat arwah suaminya selepas penat bekerja.

“Hidup kau dah serba serbi sempurna tapi, keluarga kau akan lengkap kalau Emily berkahwin. Anak kau tu tak lama lagi berusia 30 tahun, kan? Elok sangatlah mendirikan rumah tangga. Kalau Emily dan suaminya sibuk dan tak dapat menemani kau, kau boleh jaga cucu. Haa... lepas tu kau tak sunyilah,” kata Cik Wani.

Mazira pantas tersenyum. Terangkat keningnya. Benar juga! Kalau Emily berkahwin, Mazira dapat cucu. Bukan satu, tapi berdozen-dozen.

Kalau Mazira pergi ke Kuala Lumpur, dia tekad mahu bertanya pada Emily. Sudah tentu soalannya nanti melibatkan pasangan anaknya itu nanti.

“Jikalau Emily sudah ada buah hati, Mazira akan percepatkan jodoh mereka, tapi kalau Emily tiada yang punya, Mazira mahu mencarikan jodoh untuknya. Mazira sudah memasang angan-angan. Kalau tidak tahun ini, tahun hadapan Emily harus ke jinjang pelamin.” Bisik Mazira dalam hatinya.

PULAU TIDUNG, JAKARTA

EMILY ARKHISYA sedang berbaring di sebuah kerusi malas sejak pagi tadi. Gadis itu tertidur tanpa sedar dirinya sudah menjadi daging panggang dek kerana matahari yang semakin terik. Mungkin Emily terlalu keletihan sehingga tertidur mati. Pembantu peribadinya, Adila hilang entah ke mana.

Duk! Duk!

Berbiji-biji kelapa tua jatuh dari pokok kelapa. Emily segera tersedar dari tidur dan menguap sambil menggeliat. Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringan. Dia menanggalkan cermin mata dan sinaran matahari segera menyuluh tajam, menyakitkan retinanya. Panas! Gadis itu menahan sinaran suria dari terus membakar kulit muka menggunakan tapak tangan kanan.

Emily bingkas bangun dan berteduh di bawah pokok kelapa. Jam di tangan direnung lama. Jarum pendek sudah menghala ke nombor 12.00. Selepas bersarapan, dia terus berbaringan di atas kerusi panjang itu sambil menikmati pemandangan dan terlelap. Emily memakai semula cermin matanya.

Emily mengorak langkah ke arah laut. Tangan kanannya rapat di atas dahi sebagai peneduh pandangan mata. Dari jauh Emily melihat Adila sedang berseronok bersama kawan-kawan baru. Wah, bot meluncur laju membelah ombak. Adila menoleh ke arah persisiran dan Emily segera melambaikan tangan. Adila tersenyum dan mengubah haluan ke tepi pantai.

“Wah! Seronok pusing sana, pusing sini? Sempat lagi berfoya-foya dengan pemuda-pemuda tempatan.” Emily mengusik.

Adila ketawa. Pantas sepasang kaki dijulur ke dalam air dan perlahan-lahan dia turun dari bot. Dia menunduk melihat kejernihan air laut menampakkan jari jemarinya yang bergerak-gerak itu.

“Mana ada aku berfoya-foya. Dia orang tu ajak aku pusing kawasan sekeliling. Mereka pun tahu yang aku kebosanan. Nak ajak kau tapi elok aje berdengkur.”

Emily tersengih.

“Tertidur...”

Emily mendongak ke arah langit biru. Matahari tepat-tepat mencacak di ubun-ubun kepala. Peluh yang terbit di dahi dilap dengan tapak tangan kiri. Emily menanggalkan cermin matanya.

“Jom balik bilik.” Ajak Emily dengan menghulurkan tangan.

Dia mahu berpegangan tangan dengan Adila. Tiba-tiba sahabatnya itu menjerit.

“Tengok muka kau! Hanya kawasan kulit yang tertutup dengan cermin mata saja yang cerah. Bentuk macam topeng Zorro. Dan kulit kau yang terdedah sudah berubah warna gelap kemerah-merahan. Kau terkena selaran matahari!”

“Hah!”

Emily terus berlari dan mengambil tuala yang tersidai di hujung kerusi. Dia segera menutup badannya. Topi besar yang elok tergantung di bucu kepala kerusi, disambar. Segera diletakkan di atas kepala untuk melindungi muka.

“Aku balik bilik dulu.”

Emily bergegas meninggalkan Adila. Emily bimbang jika dirinya yang diselar matahari dilihat oleh orang awam.

Ketika Emily melalui lobi hotel, menghala ke lif, beberapa orang pekerja merenung tajam ke arahnya. Ingin saja Emily menggunakan tangga kecemasan, tapi tidak larat hendak mendaki. Tanpa diduga, lif terbuka. Mujur lif kosong. Emily segera melompat masuk dan menekan butang tutup bertubi-tubi. Emily tidak peduli pun kalau tombol lif tercabut.

Pintu lif terbuka sebaik saja lif berhenti di tingkat enam. Emily memboloskan diri dan lari berdesup ke arah biliknya. Dia terkocoh-kocoh membuka pintu. Emily tidak bertangguh ke kamar. Dia mahu melihat wajah sendiri di cermin meja solek. Selang beberapa minit, jeritan Emily mula kedengaran.

“Habislah! Gelap masa depan aku.” Ujar Emily menghempas dirinya di atas katil dan menangis.

Adila menyusul dengan senyuman di bibir. “Mengada-ngadalah kau ni, Emily. Seminggu lagi hilanglah kesan tu.”

“Habislah ‘saham’ aku,” Emily merungut.

Adila ketawa berdekah-dekah. Saham diri?

Zahir Emily sering menjadi sebutan dalam kalangan peminat dan media. Berlumba-lumba semua syarikat kecantikan menawarkan upah yang tinggi jika Emily mahu menjadi duta produk. Kerana itu Emily sangat menjaga diri. Selain bakat, itulah aset terpentingnya.

“Esok aku harus menghadiri program bual bicara terkenal. Dengan keadaan aku sebegini, bagaimana aku nak berhadapan dengan penonton Indonesia?”

Emily mula resah gelisah. Renungan bergenang ditala ke wajah sahabatnya.

“Cantik apa pakai ‘topeng’ Zorro?”

Jelingan Emily mengumpan kegelian hati Adila sehingga meledak rasa lucu.

Sisa ketawa Adila terbawa-bawa sampai terbatuk.

“Alah, benda senang pun kau rasa susah. Nanti bila pengacara tu tanya yang bukan-bukan mengenai kulit kau yang bertukar warna tu, pandai-pandailah putar alam.”

“Kalau aku batalkan temuramah itu, bagaimana?” ujar Emily mencadangkan penyelesaian.

“Mana boleh! Sudah berapa lama kau rancang nak ke Indonesia? Berbulan-bulan kan? Kau harus muncul secara langsung di program televisyen tu. Peminat kau akan kecewa kalau kau tak hadir.”

Emily mengeluh. Mahu atau tidak, Emily terpaksa pergi.

“Macam mana aku nak tutup belang di muka aku?”

“Kau pakailah cermin mata gelap.”

Adila bingkas bangun dan beredar keluar dari bilik selepas memberi idea. Malas dia nak melayan kerenah Emily. Lebih baik dia mandi dan selepas itu menonton television.

Emily mendengus.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA