HARI KEDUA, 12.55 TENGAH HARI,
CASTLEBURY, SCOTLAND
TERSEDAR dari lena, hari sudah pun
cerah. Adila menoleh ke kanan. Kyla elok berbaring bersebelahan dengannya dan
masih diulit mimpi. Adila duduk dan memandang pendiangan. Api telah terpadam.
Adila menolak selimut ke tepi dan bingkas berdiri. Dia mengeliat sehingga
berbunyi tulang temulangnya. Adila menguap. Dia masih mengantuk. Perubahan
waktu mendadak mengejutkan tubuh badan. Mana tidaknya, jarak waktu dengan
Malaysia ialah lapan jam. Jika 12.03 tengah hari di Scotland, sekarang warga
Malaysia sedang makan malam.
Adila menghampiri Emily. Dia mengalihkan kain di dahi
sahabatnya. Lalu kain direndam ke dalam besen kecil
yang mengandungi air dan diperah. Didaratkan kain itu di atas dahi Emily
semula. Adila menoleh ke kiri dan ke kanan. Nampak terserlah kebesaran istana
itu apabila disimbahi cahaya mentari.
Perut Adila berbunyi dan terasa sakit. Lapar... Mana dapur?
Adila memandang arah Timur. Malam tadi Kyla keluar dari arah sana dan membawa
sekali sebuah besen. Mungkin di sana dapur.
Adila berjalan perlahan. Mujurlah jalan ke dapur tidak
bersimpang siur. Selepas melalui King
Paradise, terjumpalah Queen Kitchen.
Pertama kali melihat dapur itu, Adila menggaru kepala. Peralatan memasak nampak
uzur. Terpaksalah Adila membeli peralatan baru seperti kuali, sudu, pisau dan
sebagainya.
Adila berpatah balik ke
ruang tamu utama.
Kyla mengangkat kepala. Dia memisat-misat pelupuk mata dan
bingkas duduk. Seperti Adila tadi, Kyla juga menggeliat. Terasa kejang tubuh
badannya.
“Cik Emily dah sedar ke
belum?” soal Kyla.
Adila memeriksa kesihatan Emily semula. “Belum. Masa di
Malaysia, dia memang dah sakit. Sampai di sini, dia terkena mabuk kapal.
Sekarang, masalah cuaca
pula. Mungkin sebab tu badannya lambat baik. Saya pun dah rasa tak sedap
badan.”
“Biasalah tu, Cik Adila. Dua tahun lalu pun saya macam tu
juga.” Kyla melipat selimut. “Kita bawa naik Cik Emily ke tingkat atas sekarang.
Di dalam bilik lebih panas dan selesa.”
Adila dan Kyla membawa Emily ke tingkat atas. Berhati-hati
mereka melangkah. Mujurlah Emily ringan orangnya. Sepanjang perjalanan melalui
lorong Ocean ke bilik Emily, Adila
tertoleh ke kanan dan ke kiri. Ternyata sangkaannya
benar sekali. Serius seram!
“Bila dah ramai orang nanti, tak
adalah rasa sunyi.” Kyla memahami perubahan riak wajah tetamu. Adila tersengih.
Sekarang mereka berdua berdiri di depan kamar Lady Kiara. Adila
menampung keberatan Emily sementara Kyla menolak pintu. Adila segera masuk.
Emily dibaringkan di atas katilnya.
“Adila...” Emily bersuara namun kelopak matanya masih tertutup.
“Syyy... Tidur. Rehatkan diri.” Adila menepuk perlahan bahu
Emily. Lagaknya seperti mendodoikan anak kecil. Emily mengiring ke kanan dan
tidur semula. Kyla dan Adila meninggalkan Emily.
“Cik Adila, saya minta diri dulu. Saya nak balik asrama, mandi
dan bersiap ke Dundee. Kalau Cik Adila perlukan apa-apa, minta saja dari Pak Cik
Robert.”
“Kita keluar sama-sama, boleh? Kyla tunjukkanlah di mana saya
boleh dapatkan bekalan internet, telefon dan peralatan memasak.”
Kyla mengangguk setuju. “Pergilah mandi dulu.”
Adila bergegas untuk
bersiap. Mujurlah Kyla tidak keberatan membawa Adila ke beberapa lokasi sebelum
dia bertolak ke Dundee.