RUANG TAMU UTAMA, CASTLEBURY
API yang marak
beberapa jam yang lalu kian malap. Adila menoleh ke arah Ismail yang duduk menyangkung
di depan pendiangan. Beberapa batang kayu kecil dimasukkan di antara celah bara
untuk dijadikan bahan bakar baru. Sedikit demi sedikit rupa batang kayu itu dimamah
api. Ismail menggosok-gosok kedua-dua belah telapak tangan beberapa kali.
Kehangatan dari unggun api diharapkan dapat memanaskan tubuhnya. Cuaca sejuk
mencucuk hingga ke tulang hitam.
Pemetik api dikeluarkan dari poket. Zulfadzhli menyalakan sebatang rokok, lalu
asapnya disedut dalam-dalam sebelum dihembus kasar dari rongga hidungnya. Dia
duduk di atas sebuah kerusi besar yang menghadap unggun api. Pandangannya ke
arah ketinggian siling istana. Ketinggian siling
itu membuatkan dia terpegun sambil jari jemarinya mengusap-usap dagu.
Rokman dan Ezariff mengambil tempat di bangku bersebelahan tangga sambil
termenung. Ezariff mengimbas masa lalu dan cuba mengingati segala memori mereka
sejak pertama kali menjejakkan kaki ke kota istana lama itu. Rokman pula asyik mengingatkan
perbualannya dengan selebriti popular itu. Dia menyedari bahawa dialah calon
yang kurang meluangkan masa bersama Emily. Terpancar kerutan di dahi dan
sedikit kegusaran di dalam dirinya.
Hentakan kaki menarik perhatian sekumpulan lelaki yang sedang menunggu
dalam keresahan. Umi Kalsom, Adila, Nash dan Shahrul menuruni anak tangga
dengan wajah serius. Nash terus berlari dari sebuah jendela ke sebuah jendela
untuk melihat keadaan sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau terlihat kelibat
seseorang yang ingin ditemui.
Umi Kalsom pula dilanda
kegelisahan. Banyak hal akan tergendala akibat dari kehilangan Emily. Musibah
bakal dihadapi sekiranya tidak diselesaikan.
Zulfadzhli menggaru-garu belakang tengkuk.
“Mungkin dia keluar dari Castlebury dan berada di merata-rata tempat. Mungkin
juga dia balik ke Malaysia,’’ teka Zulfadzhli.
“Tapi mesti dia bawa pasport
sekali jika keluar dari Castlebury,” ujar Shahrul sebelum menunding ke arah
Adila dengan penuh persoalan. Di tangan wanita itu tergenggam pasport Emily.
Mendengar kata-kata Shahrul, Nash segera menghampiri Adila. Pasport Emily
dibelek-belek. Kedengaran dia menghela nafas dengan berat. Pandangannya berlari
ke sana sini.
“Kita kena cari dia sekarang,”
pinta Nash.
“Apa kata kita libatkan pihak
berkuasa sekali,” cadang Huzairi yang menyampuk dari tadi berdiri di tepi
pendiangan.
“Jangan! Kita tak boleh libatkan
pihak berkuasa, media atau orang awam sekalipun.
Aku tak mahu sebarang spekulasi timbul dari kehilangan Emily,” larang Adila.
“Kalau begitu, kamu semua sanggup
mencari Emily? Sanggup mengejar dia sampai ke hujung dunia?’’ sampuk Wan Azdi.
Dia muncul bersama sebuah bagasi di sisi kaki kanannya. Merah mata putihnya.
Sudahlah tak cukup tidur, jiwa pula terseksa kerana menahan geram terlalu lama
terhadap Emily. Entah sampai bila dia terpaksa menahan tahap kesabarannya itu.
“Dia layan kita semua macam kita ni tak ada hati. Selama beberapa minggu
kita tinggal di sini, dia hanya tahu mempermainkan perasaan semua orang. Emily
tu hipokrit. Kalau dah ada insan istimewa, tak perlu membuang masa dan berdolak
dalih,” tuduh Wan Azdi.
Shahrul mengerutkan muka.
“Apa kau cakap ni, Wan?” tanya Shahrul.
“Ada tak Fauzan kat sini? Dia pergi mana? Dengan perempuan tulah!” ujar Wan
Azdi tersenyum sinis.
Semua penghuni Castlebury terkejut. Barulah mereka menyedari akan ketiadaan
Fauzan di ruang tamu itu.
“Eh, malam tadi Fauzan ada. Aku sempat bersembang dengan dia.” Celah Ezariff
yang sukar percaya yang dia tiada.
“Malam tadi pun Emily ada, kan?” soal Wan Azdi.
Wan Azdi menguatkan kenyataan sendiri. Mengukuhkan ideanya bahawa mereka
berdua menghilangkan diri apabila ada kesempatan.
“Mustahil Wan. Untuk apa Emily lari bersama Fauzan sedangkan dia boleh
menamatkan semua ini dengan cara yang lebih baik,” ujar Nash, menggeleng.
Wan Azdi mencemik.
“Kau nak ke mana dengan bagasi
besar tu?” soal Rokman pula.
“Aku nak balik. Aku tak sanggup menunggu macam orang bodoh,” sambil Wan
Azdi menyorong bagasinya ke muka pintu.
“Aku tak pasti apa yang terjadi. Tapi kalau Emily ghaib secara tiba-tiba,
pasti bersebab,” tekaan kata-kata Umi Kalsom menarik perhatian semua orang.
“Malam terakhir aku bersama Emily, dia ada cakap sesuatu yang membuatkan
aku terfikir. Katanya, hati bukanlah tempat terbaik untuk diuji kerana di situ
syurga segala emosi. Tempat yang melahirkan segala perasaan. Ada rasa gembira,
cinta, harapan... tapi hati juga boleh jadi sarang kejahatan,” tambah Umi
Kalsom.
Umi Kalsom segera merenung semua wajah penghuni istana.
“Sarang kejahatan!” Dia mengulangi perkataan itu. Cuba menduga perubahan
pada raut wajah setiap daripada mereka.
“Kenapa Umi?” soal Rusydan apabila melihat wajah Umi Kalsom berkerut keras.
“Maksud kau?” Nash ingin tahu.
Umi Kalsom berpeluk tubuh.
“Siapa di antara kamu yang pernah menyakiti atau mengkhianatinya?” Soalan
Umi Kalsom menyentak hati penghuni kota Istana Castlebury. Masing-masing menurunkan
pandangan. Mungkin timbul penyesalan dalam kalangan mereka.
“Siapa yang membuatkan Emily meragui segalanya?” tanya Umi Kalsom.
Pandangan mata Umi Kalsom semakin tajam. Mereka masih membisu, sepi dan
kaku. Apa yang dilihat Umi Kalsom hanyalah pandangan yang tersirat seribu satu
rahsia.