Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
47,518
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 15

HARI KEDUA, 12.55 TENGAH HARI,

CASTLEBURY, SCOTLAND


TERSEDAR dari lena, hari sudah pun cerah. Adila menoleh ke kanan. Kyla elok berbaring bersebelahan dengannya dan masih diulit mimpi. Adila duduk dan memandang pendiangan. Api telah terpadam. Adila menolak selimut ke tepi dan bingkas berdiri. Dia mengeliat sehingga berbunyi tulang temulangnya. Adila menguap. Dia masih mengantuk. Perubahan waktu mendadak mengejutkan tubuh badan. Mana tidaknya, jarak waktu dengan Malaysia ialah lapan jam. Jika 12.03 tengah hari di Scotland, sekarang warga Malaysia sedang makan malam.

Adila menghampiri Emily. Dia mengalihkan kain di dahi sahabatnya. Lalu kain direndam ke dalam besen kecil yang mengandungi air dan diperah. Didaratkan kain itu di atas dahi Emily semula. Adila menoleh ke kiri dan ke kanan. Nampak terserlah kebesaran istana itu apabila disimbahi cahaya mentari.

Perut Adila berbunyi dan terasa sakit. Lapar... Mana dapur? Adila memandang arah Timur. Malam tadi Kyla keluar dari arah sana dan membawa sekali sebuah besen. Mungkin di sana dapur.

Adila berjalan perlahan. Mujurlah jalan ke dapur tidak bersimpang siur. Selepas melalui King Paradise, terjumpalah Queen Kitchen. Pertama kali melihat dapur itu, Adila menggaru kepala. Peralatan memasak nampak uzur. Terpaksalah Adila membeli peralatan baru seperti kuali, sudu, pisau dan sebagainya.

Adila berpatah balik ke ruang tamu utama.

Kyla mengangkat kepala. Dia memisat-misat pelupuk mata dan bingkas duduk. Seperti Adila tadi, Kyla juga menggeliat. Terasa kejang tubuh badannya.

“Cik Emily dah sedar ke belum?” soal Kyla.

Adila memeriksa kesihatan Emily semula. “Belum. Masa di Malaysia, dia memang dah sakit. Sampai di sini, dia terkena mabuk kapal.

Sekarang, masalah cuaca pula. Mungkin sebab tu badannya lambat baik. Saya pun dah rasa tak sedap badan.”

“Biasalah tu, Cik Adila. Dua tahun lalu pun saya macam tu juga.” Kyla melipat selimut. “Kita bawa naik Cik Emily ke tingkat atas sekarang. Di dalam bilik lebih panas dan selesa.”

Adila dan Kyla membawa Emily ke tingkat atas. Berhati-hati mereka melangkah. Mujurlah Emily ringan orangnya. Sepanjang perjalanan melalui lorong Ocean ke bilik Emily, Adila tertoleh ke kanan dan ke kiri. Ternyata sangkaannya benar sekali. Serius seram!

“Bila dah ramai orang nanti, tak adalah rasa sunyi.” Kyla memahami perubahan riak wajah tetamu. Adila tersengih.

Sekarang mereka berdua berdiri di depan kamar Lady Kiara. Adila menampung keberatan Emily sementara Kyla menolak pintu. Adila segera masuk. Emily dibaringkan di atas katilnya.

“Adila...” Emily bersuara namun kelopak matanya masih tertutup.

“Syyy... Tidur. Rehatkan diri.” Adila menepuk perlahan bahu Emily. Lagaknya seperti mendodoikan anak kecil. Emily mengiring ke kanan dan tidur semula. Kyla dan Adila meninggalkan Emily.

“Cik Adila, saya minta diri dulu. Saya nak balik asrama, mandi dan bersiap ke Dundee. Kalau Cik Adila perlukan apa-apa, minta saja dari Pak Cik Robert.”

“Kita keluar sama-sama, boleh? Kyla tunjukkanlah di mana saya boleh dapatkan bekalan internet, telefon dan peralatan memasak.”

Kyla mengangguk setuju. “Pergilah mandi dulu.”

Adila bergegas untuk bersiap. Mujurlah Kyla tidak keberatan membawa Adila ke beberapa lokasi sebelum dia bertolak ke Dundee.

Previous: Bab 2
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA