Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
1,291
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

Imbas kembali, 2291

HUJAN turun mencurah-curah selepas lama kemarau melanda. Selepas mendirikan khemah, Putera Akzaruddin mendirikan solat penuh kesyukuran sebagai tanda keimanan seorang Muslim. Doanya dititip panjang. Salah satunya agar rakyat jelatanya sentiasa diberkati dan diampuni dosa-dosanya pada masa lalu, juga pada masa akan datang. 

Di sebelahnya, Panglima Pelenyap pula setia menemani. Duduk bersila sambil menutup mata. Tidak tidur, sekadar rehat dengan cara yang tersendiri. Namun hatinya sentiasa memantau persekitaran agar tiada ancaman yang mendekati puteranya. Lidahnya juga basah meluncurkan kalimah zikrullah. 

Begitulah amalan seharian yang sentiasa diperingatkan Putera Akzaruddin kepadanya, agar tidak lekang daripada mengingati ALLAH pada setiap masa. Siap menunaikan solat, Putera Akzaruddin bingkas bangun dan menjenguk ke luar. Langit begitu gelap sekalipun ini bukan pada waktu malam. Tempias hujan yang membasahi wajahnya dilap dengan menggunakan tangan sahaja. 

"Ke mana tuanku mahu pergi? Hujan sangat lebat. Nanti habis basah seluruh tubuh tuanku jika keluar dari khemah," kata Panglima Pelenyap. 

"Aku mahu menjenguk pemuda itu," balas Putera Akzaruddin, tidak memakai ganti diri "beta" semasa hanya berdua dengan panglima yang dianggap sahabat baiknya itu. 

"Rakan-rakan kita sedang memantaunya. Tidak perlu digusarkan sangat tentang dirinya. Beradulah dahulu, tuanku. Hujan ini, masih terlalu panjang untuk berhenti."Putera Akzaruddin hanya mengangguk. 

Dari celah khemah itu, kelihatan beberapa khemah yang berdiri sederet dengan khemahnya. Khemah-khemah itu diduduki oleh pengikutnya, dan salah satu khemah itu menempatkan pemuda misteri yang mereka temui di bawah tanah tidak lama tadi. 

Sungguh keajaiban itu berada di bawah pengetahuan TUHAN. Takdir TUHAN untuk mempertemukan pemuda itu dengannya. Di bawah salah satu khemah itu, pemuda itu hanya duduk dengan tubuh yang lemah. Wajahnya suram dan renungan matanya begitu dingin. Semenjak tadi, tiada patah perkataan yang terzahir melalui mulutnya. Juris dan Kahar yang bertugas untuk memantaunya berasa janggal sejak mula tadi. 

 "Adakah kau berasa lapar? Sebab itu kau senyap sahaja semenjak tadi?" soal Juris. Namun, pemuda itu langsung tidak memberikan tindak balas.

"Kau yakin dia ni sebenarnya masih hidup?" bisik Kahar dengan bulu roma yang meremang. 

 "Dia bernafas dan bergerak, sudah tentulah dia masih hidup! Kenapa? Kau takut jika pemuda ini ialah hantu?" Sengaja Juris bersuara tinggi di dalam khemah itu. 

"Tapi, peliklah dia masih hidup walaupun tertanam di bawah tanah entah berapa lama! Bawah sungai pula tu!" Kahar tidak berpuas hati. 

"Hei, sekurang-kurangnya beritahu kami nama kau!" Juris meninggikan suaranya. 

 Pemuda itu memandang mereka berdua dengan renungan yang kosong. Entah mengapa, jantung mereka berdegup kencang ketika itu. Walaupun banyak perkara pelik yang berlaku di dunia ini, tetapi perkara yang sedang mereka hadapi ini jauh lebih pelik berbanding perkara yang pernah mereka saksikan sebelum ini. 

"Nama? Siapa nama aku? Adakah aku pernah mempunyai nama?" 

Pemuda itu bersuara akhirnya, membuatkan Juris dan Kahar saling berpandangan. Guruh berdentum sekuatnya. Membuatkan misteri itu menyelubungi mereka dengan lebih mendalam lagi.

***

Masa kini, 2300

AHMAD RIZAKI bangun dan berdiri berhadapan dengan lelaki aneh itu. Wardah juga membuat perkara yang sama dan menjarakkan dirinya daripada Ahmad Rizaki. Wajahnya berubah merah sekalipun dia memahami tindakan Ahmad Rizaki yang begitu mengejutkan sebentar tadi hanyalah untuk menyelamatkan dirinya. 

"Aku duga kau ialah pendekar Zagi Pangkat 1? Harapnya kau tidak mengecewakan," ujar Ahmad Rizaki sambil tersenyum sinis. 

"Ya, benar. Aku salah seorang pendekar Zagi Pangkat 1, dan kami yang mempunyai pangkat ini jauh berbeza dari segi kekuatan jika dibandingkan dengan pendekar Zagi yang biasa. Kami bukanlah bodoh untuk terus membiarkan pendekar bawahan menguruskan ancaman seperti kau. Aku sudah cukup untuk kau. Ini juga kali pertama kau berhadapan dengan pendekar Zagi Pangkat 1 bukan?" kata lelaki itu dengan angkuh.

"Semasa menghapuskan rakan-rakan kamu di Perak, aku tidak sempat untuk bertanya banyak perkara kepada mereka. Sudi untuk berkongsi lebih banyak lagi kepada aku? Tentang hierarki kalian? Supaya aku tidak berterusan menganggap Zagi ini hanya sekumpulan penyangak yang berlagak sebagai pengganas kerajaan," aju Ahmad Rizaki dengan tenang. Wardah mengambil keputusan untuk menjadi pendengar sahaja. Dia sendiri merasakan situasi ini begitu tegang dan tidak baik untuk dirinya.

"Kau lelaki yang penuh dengan keyakinan dan keangkuhan. Aku tidak sanggup membiarkan Zagi dipandang rendah oleh orang seperti kau lagi. Maka aku akan bercerita kepada kau. 

Dalam Zagi, terdapat peringkat jawatan secara aturan yang telah disusun oleh Pemimpin Agung kami. Pangkat paling rendah ialah pendekar bawahan. Mereka memakai simbol segi tiga hitam. Di atasnya ialah pendekar Zagi Pangkat 1 dengan simbol segi tiga titik 1. 

Kemudian pendekar Zagi Pangkat 2 dengan simbol segi tiga titik dua dan pendekar Zagi Pangkat 3 dengan simbol segi tiga titik tiga. Kemudian Pemimpin Agung kami, iaitu Dawing Daw dengan simbol segi tiga bercorak bintang dan Dawing Canther dengan simbol segi tiga bercorak bulan. Paling tinggi semestinya Tuan Abadi dengan simbol segi tiga bercorak matahari. Setiap pangkat mempunyai paras kekuatan yang amat berbeza. Orang-orang yang kau bunuh di Perak hanyalah pendekar bawahan. Bukannya apa-apa jika dibandingkan dengan aku, pendekar berpangkat 1!" 

"Begitu. Maka, tunjuklah kepada aku apa yang kau ada!" 

Ahmad Rizaki terus bertindak untuk menamatkan perkelahian ini, demi menjaga keselamatan Wardah yang berada di belakangnya. Pendekar Zagi itu melibas pedangnya dengan begitu cekap. Satu serangan berhasil mengoyakkan lengan baju Ahmad Rizaki dan menumpahkan darahnya ke tanah. Wardah terkejut dan cuba untuk membantu, tetapi dihalang oleh Ahmad Rizaki. 

'Perempuan ini terlalu berani. Dia tak takut mati walaupun musuh ada pedang yang panjang?' gumam Ahmad Rizaki. 

"Benarkah kau ini merupakan ancaman? Aku lihat kau tak ubah seperti bayi yang sedang cuba belajar merangkak!" tempik pendekar Zagi itu lalu meluru untuk menyerangnya lagi. 

"Huh! Ternyata pendekar Pangkat 1 juga amat menyedihkan." 

Ahmad Rizaki berdiri dan membiarkan sahaja musuhnya mendekati.Wardah mengatup mulut dengan kedua-dua tangannya. Dia tidak sanggup untuk menyaksikan babak kejam yang bakal berlangsung itu nanti.Ahmad Rizaki mengilas badan untuk mengelak serangan pedang itu. Kakinya pantas diayun, tepat menghentak belakang tubuh musuhnya sehingga pendekar itu terjelepok ke tanah. Ahmad Rizaki menghentak pula tapak tangannya ke atas kepala pendekar Zagi itu. Kedengaran seperti bunyi sesuatu yang pecah. 

Mata Wardah terbeliak kerana terkejut lagi. Sejurus itu, lelaki bengis itu tidak lagi bergerak. Darah mengalir keluar dari hidung, mulut dan telinganya tanpa henti dan perkara itu mendatangkan perasaan ngeri kepada Wardah. 

"Maaf kerana awak terpaksa menyaksikan perkara seperti ini di sini, tetapi mereka wajar dibunuh kerana bahaya yang mereka mampu lakukan kepada Melayujiwa," ujar Ahmad Rizaki dengan nada yang tegang.

Lidah Wardah kelu. Semua yang berlaku pada hari ini terlalu tiba-tiba dan mengejutkan sehingga sulit untuk dia memberikan tindak balas. 

"Darah ... lengan awak berdarah!" 

Hanya itu yang mampu Wardah ucapkan selepas mengambil jeda untuk menghadam peristiwa menakutkan ini. 


Nota: Ini adalah bab terakhir yang disiarkan di laman ini. Bacaan lanjut, dapatkan Pemutus Nyawa di Karangkraf Mall: https://www.karangkrafmall.com/pemutus-nyawa-arifful-baqi

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.