Home Novel Fantasi The Klang (Sudah Terbit)
The Klang (Sudah Terbit)
Meja Editor
8/5/2025 09:04:45
49
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Prolog2

Tahun 2065, sepuluh tahun selepas penubuhan The Klang

MENDUNG. Langit petang yang gelap itu menyebarkan kesuraman ke serata pelosok kota mega yang hampir dengan bentangan laut. Suasana yang kurang menyenangkan buat para penduduk yang memiliki urusan di luar. Mereka mengharapkan hari cerah sepanjang-panjangnya, namun cuaca mendung itu pula yang datang menyapa.

Suram atau tidak, ia tidak menjadi masalah kepada suatu kelompok manusia yang kini sedang berkumpul di sebuah kawasan pentadbiran di Kuala Lumpur. Lebih tepat lagi, di hadapan bangunan kerajaan yang menempatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Di situ, mereka berlawan hujah dengan seseorang berkepentingan. Sesekali mereka melaungkan kata kata protes sambil menjulang tangan ke udara penuh semangat. Tidak kira betapa gelapnya langit kota atau betapa dekatnya mereka dengan air hujan yang bakal menimpa, mereka berdiri teguh bagi menyelesaikan urusan mereka di situ.

"Tuan-tuan dan puan-puan, ada salah faham tentang tujuan sebenar kami mewartakan rang undang-undang baharu itu di parlimen tempoh hari. Saya dan pasukan saya tidak berniat untuk menutup mata pencarian tuan-tuan dan puan-puan semua," kata seorang lelaki bersut korporat itu dengan tenang.

Dia diapit rapat oleh seorang anggota polis di kiri dan pegawai bawahannya di kanan. Kedua-duanya telah beberapa kali meminta izin untuk mencelah, namun lelaki itu tidak membenarkan. Dia tidak mahu sesiapa pun bercakap bagi pihaknya. Walaupun ada garis ketakutan pada wajah, risau kalau-kalau kumpulan itu tiba-tiba membuat onar, dia tetap tegak berhadapan dengan para pendemonstrasi aman itu.

"Apa yang salah fahamnya, pak menteri oi? Insentif untuk petani-petani kecil seperti kami semakin kurang seperti yang dinyatakan dalam perancangan terdekat kerajaan. Yang dilebih-lebihkan hanyalah pengusaha-pengusaha ladang GM. Mana pula hak kami?" laung salah seorang pemberontak dengan sepanduk "Kurangkan pengaruh syarikat asing!".

"Betul tu, YB! Bukan kali ini saja kerajaan kuat kuasakan tarif baharu kepada kami. Persidangan parlimen sebelumsebelum ini juga begitu. Macam mana kami nak percaya kata-kata para menteri kalau hambatan saja yang kami peroleh?" tambah seorang lelaki tinggi lampai. Plakadnya pula bertulis "Dengar suara Orang Asal!". 

"Hak tuan-tuan dan puan-puan letaknya pada jerih payah usaha kalian. Negara kita sudah tidak seperti dahulu. Banyak perkara walaupun pahit, perlu diubah supaya kita pulih dan kembali seperti sediakala. Kami di sini sekadar membuat perancangan atas dasar apa yang terbaik buat masa hadapan negara. Untuk masa depan anak-anak kita semua."

"Untuk anak-anak kau adalah!"

"Sembang macam kau kisah sangat. Puihhh!" 

Sekali lagi kecoh kelompok pemberontak itu dibuatnya. Masing-masing masih belum puas menghamburkan rasa tidak puas hati yang terbuku dalam dada. Jawapan yang diberikan oleh lelaki bersut itu nampaknya masih tidak cukup untuk mereka bersurai dari tempat itu.

"Bagaimana pula keadilan untuk alam?" 

Suara seorang wanita memecahkan riuh-rendah para pemberontak. Semua terdiam, termasuk lelaki bersut. Ada sesuatu tentang wanita berbaju kurung itu yang membuatkan pandangannya redup daripada biasa. 

"Izzah, kau tak perlu buat semua ni," tegur seorang wanita Jepun kepada wanita tadi.

"Biarkan saya, Prof. Miyako. Ini tanggungjawab saya," balas Izzah seraya melangkah lebih hadapan. Dia mendongak ke arah si menteri.

"Sudahlah bah yang melanda negara memberi hukuman kepada kita semua. Usah kita tambah sakitnya dengan melawan susun atur sedia ada kita sebagai penghuninya."

Sedang Izzah bersuara, terbelah sedikit kerumunan orang berpiket. Seakan-akan memberi ruang kepada si menteri untuk mendengar kata-katanya. Bukan sahaja si menteri, malah semua yang menyaksikan kepetahan wanita itu juga memberikan sepenuh perhatian.

"Alam ini memiliki ilmunya tersendiri. Khazanahnya tidak boleh disentuh atau diubah. Suburnya manusia di atas muka bumi ini kerana khazanah itu masih hidup dan tidak dibuang mentah-mentah hanya kerana resam lama tidak membawa untung. Kita tidak boleh sombong dengan alam. Tidak gentarkah kita jika tanpa sedar, peraturan alam ini akan dinodai lagi?"

Kumpulan pemberontak bersorak-sorai sebaik Izzah menyudahkan ucapannya, menyokong penuh pegangan itu. Lelaki bersut di hadapan pula mengambil masa untuk menghadamkannya. Apabila suara-suara sumbang kembali melemparkan kata-kata kesat, lelaki itu melantangkan suara, meraih semula perhatian ramai yang kelihatan sudah hilang rasa hormat terhadapnya.

"Zaman bah ialah zaman yang kejam. Tiada siapa yang boleh sangkal hal itu," ujarnya hampir menjerit. Terus terdiam suara-suara yang menghangatkan telinganya tadi.

"Kerana bah, manusia dijadikan pelarian iklim oleh tangan-tangan manusia lain yang mana kesannya kekal sampai bila-bila. Darah, jasad dan roh yang telah hilang tidak akan ada galang gantinya. Masa lampau takkan mampu diputar semula. Namun, kita tidak boleh kesal dan tewas selama-lamanya. Manusia juga mampu bangkit dan berubah. Itu fitrah kita."

Pandangan lelaki bersut itu mencari semula wanita berbaju kurung tadi. Apabila ketemu, matanya melorot pada seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa bersama. Tangan mereka berdua saling berpaut erat. Cukup manis dan comel tubuh si kecil itu dalam kurung tradisional sama dengan wanita di sebelahnya.

Melihat kanak-kanak perempuan itu, segaris senyuman terukir pada wajahnya. Pada garis itu tertanam iltizam yang meringankan beban patah kata yang bakal disambungnya.

"Maka, kita perlukan lebih masa. Dan jika apa yang saudari sebut itu adalah harga yang perlu dibayar supaya kita diberikan peluang kedua untuk bergerak ke arah itu, saya rasa tuan-tuan dan puan-puan sudah pun mendapat jawapan muktamad dan terakhir daripada kami."

Tanpa menunggu apa-apa respons, lelaki bersut itu menunduk sedikit dan terus berpaling ke arah pintu berkembar di belakang. Berjalan pergi daripada kumpulan pemberontak yang kembali pada mod asal mereka, melemparkan kata-kata protes. 

Pegawai bawahan si menteri membuntuti orang atasannya itu rapat sementara anggota polis yang bertugas di hadapan dan di belakang dataran mengekang kumpulan itu daripada merusuh ganas. 

Apa jua yang menerpa cuping telinga lelaki bersut itu tidak lagi dipedulikan. Sekadar dibiarkan menjadi bunyi latar. Namun, imej dan suara wanita berbaju kurung tadi sukar untuk dilupakan. Dia masih lagi memegang sesuatu yang sama sekali tidak boleh dia lepaskan. Dan kesukaran untuk melepaskan perkara itu menyeksa jiwanya.

****

GMO atau GM ialah singkatan untuk genetically modified organism.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.