FARIS menyental kemeja putih yang
berlumuran darah itu di sinki bilik airnya. Kesan darah itu masih tidak mahu
hilang. Dia mulai resah. Resah kerana semakin dibasuh semakin banyak darah
merah itu mengalir. Hairan dengan situasi tersebut, Faris tiada cara lain
selain membakar kemeja putihnya itu. Jalan terbaik bagi Faris. Faris bersandar
pada sofa setelah membersihkan diri dengan wajah gelisah. Dia tidak sedar bila
dia berada di lorong gelap yang sunyi dengan kemejanya yang berlumuran dengan
darah. Cukup misteri.
Aku tak boleh ingat apa
yang berlaku. Sakit kepala aku memikirkannya. Selepas aku kalah dan kes
pembicaraan Puan Salimah, aku terus pulang ke pejabat. Kemudian, macam biasa
aku pulang ke rumah. Aku tidur di sofa sebab kepenatan, tetapi macam mana aku
boleh berada di lorong gelap itu? Aku betul-betul tak boleh ingat apa yang
berlaku. Aku bunuh orangkah? Tidak mungkin? Faris bermonolog sendiri.
Kemejanya saja yang
berlumuran darah tetapi tidak kedua-dua belah tangannya. Tiada senjata
pembunuhan ditemui bersama. Apa yang dilalui sekarang adalah satu perkara yang
luar biasa. Faris jadi takut. Faris takut dirinya menjadi mangsa keadaan. Mana
tahu jika ada orang yang tidak berpuas hati mengenakan dia dengan ilmu hitam.
Sudahnya Faris tidak
dapat melelapkan mata hingga ke subuh. Dia ke pejabat guamannya juga walau
dalam keadaan mata yang sembam.
“Encik
Faris… are you okay?” Nana menegur
lembut.
“Saya
okay.” Faris membalas dengan senyuman.
“Tapi
bawah mata Encik Faris tu..” Nana membuat isyarat tangan.
“Saya
tak dapat tidur malam tadi.”
“Kenapa
Encik Faris tak ambil m.c saja?” Usul Nana.
“Kalau
saya duduk di rumah rasanya lagi saya stress.”
Nana
menggeleng perlahan. Faris kuat bekerja. Jarang mengambil cuti.
“Sesekali
apa salahnya berehat panjang. Makanlah angin dengan girlfriend ke?”
Faris
tersengih.
“Tunggu saya berkahwin dengan girlfriendsaya baharulah saya bercuti makan angin. Masa tu saya
akan ambil cuti panjang.”
Nana
ketawa kecil.
“Betul
juga kata Encik Faris tu. Dah sah tiada masalah nak angkut ke mana-mana. Isteri
sendiri kan. Cepat-cepat Encik Faris ajak girlfriend
Encik Faris kahwin.” Nana sememangnya tahu akan perhubungan Faris dengan
Nadia.
“Tahu
pun awak.”
Faris
melangkah masuk ke bilik pejabatnya. Dua hari yang lepas dia ada menerima kes
terbaru. Kes jenayah yang melibatkan
seorang model jelita. Faris membuka kot lalu diletakkan disangkutkan pada
kerusinya. Faris duduk sambil menyelak fail yang sudah tersedia.
Segelas
nesface panas sudah terhidang di dada meja. Bibir Faris melakr senyuman nipis.
Air tersebut pastinya disediakan oleh Nana.
“YOU jangan buat cerita kelakar dengan
I.” Nadia bermain dengan straw di dalam gelas minumannya. Puas didesak
baharulah Faris sudi makan tengahari bersamanya. Jika tidak Faris hanya duduk
di pejabatnya menghadap kerja. Lelaki itu lebih kerap menumpukan perhatian dalam
bidang kerjanya dari dia. Pejabat guaman itu seperti ‘isteri’ pertama pada
Faris.
“I
tak reka-reka cerita.” Kenapa Nadia langsung tidak mempercayai cerita dia?
Sukar benar untuk dia menyakinkan Nadia.
Semua ceritanya dikatakan karut dan merepek.
Bila
dia diam, Nadia akan mendesak-desak agar dia berkongsi masalah dengannya. Nadia
hanya menunjukkan sikap keprihatinannya untuk seketika.
“You
stress sangat kut. Kerja you tu berat
sangat. I suruh you kerja dengan papa I you tak mahu. You nak juga teruskan
profesion you sebagai lawyer. Jadi lawyer ni bahaya juga, if ada yang tak puas hati dengan you,
you boleh jadi mangsa mereka. I takutlah
jika perkara tak baik berlaku pada you. Berhenti sajalah.” Nadia tidak
begitu berkenan dengan kerjaya yang dipilih oleh Faris. Ada tikanya Faris
terlalu sibuk hingga tiada masa untuk mereka berdua.
“I
tak berminat dengan dunia perniagaan. I suka kerjaya yang mencabar.” Acapkali
dia mengulang ayat yang sama bila Nadia mahu dia berhenti sebagai peguam.
‘Tapi
you jarang menang kes kan?” Nadia merenung wajahnya. Senyuman di bibir Nadia
sudah tidak semekar di awal pertemuan tadi.
“Itu
bukan soalnya.” Menang atau kalah itu ikut nasib juga. Wang ringgit turut memainkan
peranan utama. Kebenaran juga boleh dijual beli. Yang miskin selalu menjadi
mangsa si kaya. Dunia ini masih penuh dengan penindasan.
Faris
melepaskan keluhan berat. Nadia langsung tidak mahu memahami dirinya. Nadia
berbeza dengan Asmida yang digelar hantu libray
itu. Asmida bila diajak berbicara gadis itu tidak lokek memberikan pendapat
tersendiri.
“Faris...
you ikutlah saranan I. You perlukan rest.
Kita pergi holiday.” Nadia memaut
jemari kasar Faris. Faris segera menarik jemarinya semula.
“Emmm…
I tak boleh. You pergilah dengan rakan-rakan you.” Kalau dia ikut Nadia bercuti
pun bukan boleh menyelesaikan masalah yang memeningkan kepala dia. Dia akan
tambah sakit kepala melayan kerenah Nadia.
Nadia
mula menarik muka masam.
“You
selalu buat I macam ini. Sibuk you tu 24 hours.
Langsung tiada masa untuk I. Apa salahnya you ambil cuti sehari-dua. Kita enjoy just untuk release tension.” Desis Nadia. Kenapalah Faris keras kepala sangat?
kalau tidak cukup dia boleh sponsortempat
penginapan.
“Nad…
I bukan tak mahu luangkan masa dengan you. Please…
I promise I akan curi masa I untuk
you.” Faris memujuk.
Tiada
garis senyuman terukir di bibir Nadia. Riak muka Nadia semakin kelat.
“I
sudah muak dengan janji you.” Kemarahan dalam hati Nadia tidak mampu dibendung
lagi. Faris asyik mengelak.
Nadia
angkat punggung dan menarik tas tangannya. Kalau lama dia menghadap Faris,
lebih lama mereka akan bertegang urat. Faris menarik nafas panjang. Dia tidak
bertindak mengejar langkah Nadia. Dibiarkan sahaja Nadia dengan rajuknya itu.
“‘Perempuan sama saja Faris.”
Faris
tersentak. Dia menoleh kiri dan kanan. Pelanggan-pelanggan lain kelihatan
berborak sesama sendiri. Dahinya berkerut. Siapa yang empunya suara.
Pendengarannya masih tidak rosak lagi. Dia yakin dia dalam keadaan sedar dan
bukan bermimpi.
“heheheee…”
Suara
tawa halus seakan berbisik pada gegendang telinga Faris. Bulu tengkuk Faris
meremang.
FARIS tidak dapat menumpukan perhatian
pada fail-fail kes di dada meja. Dia masih memikirkan empunya suara misteri
yang berbisik pada telinganya itu. Suara siapa? Hantu? Faris menggigit hujung
batang pennya. Tabiat yang sukar dipisahkan darinya sejak kecil lagi. Tak hantu
pastinya saka. Argh! mengarut saja.
“Encik
Faris…” Nana pembantunya meluru masuk tanpa sempat mengetuk pintu terlebih
dahulu.
“Kenapa
ni?”
Riak
muka Nana seperti seseorang yang sedang mendapat khabar berita yang
mengejutkan.
“Encik
Faris, tengok ni.”
Nana
menghulurkan surat khabar kepada Faris. Bola mata Faris membulat besar membaca tajuk
kecil di dada surat khabar terbabit.
‘SEORANG
AHLI PERNIAGAAN BERGELAR DATO’ MATI DIBUNUH!’
Faris
segera membuka helaian muka surat untuk membaca keseluruhan berita terbabit. Gambar
pembunuhan yang dipaparkan cukup mengerikan. Dada mangsa dirobek dan jantungnya
direbus. Faris menelan air liur. Mual anak tekaknya. Kejam!
“Ngeri.
Pembunuh tu tikam berkali-kali sampai nampak isi perut mangsa kemudian dada
mangsa dirobek. Jantung mangsa direbus.” Suara Nana. “Malang betul nasib Dato’
Kamarudin tu. Menang di court tapi
kena bunuh pula. Pasti ada orang yang tak puas hati dengan dia. Buat jahat
dibalas dengan kejahatan.”
Faris
menutup helaian berita itu. Dia bersandar pada kerusinya. Dia tidak berani
memberikan sebarang komen terhadap pembunuhan Dato’ Kamarudin. Tawa Dato’
Kamarudin masih jelas kedengaran pada gegendang telinga Faris ketika
perbicaraan tamat dan berpihak kepada lelaki itu. Dato’ Kamarudin cukup angkuh
dan bongkak. Lelaki itu turut memandang rendah pada keupayaannya.
“Dato’ tu memang patut mati!”
Dia
mendengar lagi suara itu. Faris cuba berlagak selamba di hadapan Nana. Dia
yakin Nana tidak mendengar suara misteri itu.
“Dah
ajal dia.” Itu saja kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Riak
wajah Faris terus berubah apabila melihat bayangan hitam di belakang Nana.
Bayangan hitam itu kelihatan tersengih dengan mata kemerahan-merahan.
“Orang
jahat macam ni tak perlu kita kasihan. Terbela juga nasib Puan Salimah tu.” Terjuih
bibir Nana. Nana meluat melihat reaksi Dato’ Kamarudin ketika memang kes
perbicaraan tersebut. Dato’ Kamarudin main duit. Saksi semua disuapkan dengan
duit. Kalau ikut pertuduhan Dato’ Kamarudin boleh dihukum penjara dan sebatan.
“Emmm…
ya-ya…”
“Encik
Faris okay?”
“Saya
okay. Nana… boleh awak buatkan saya Horlicks panas.” Faris tidak mahu reaksinya
mula disedari oleh Nana.
“No problem.”
Nana
melangkah keluar dari bilik Faris. Bayangan hitam di belakang Nana itu sudah
tidak kelihatan lagi. Faris membuka cermin matanya. Dia memicit-micit dahi.
Adakah matanya tersalah pandang? Atau memang benar dia berhalusinasi?
ASMIDA menerima mesej dari Faris. Dia
tidak membalas mesej-mesej tersebut. Faris hanya bertanya khabar dan mengajak
untuk bertemu. Tiada yang penting. Fikiran Asmida melayang pada perkara lain.
Hatinya masih tertanya-tanya pada mimpi aneh yang kerap mengganggu tidurnya
saban malam. Malam tadi dia bermimpi seorang lelaki mati dibunuh. Lelaki yang sama
wajahnya dengan gambar yang terpapar di helaian muka surat khabar ini.
Wajah
pembunuh yang melakukan pembunuhan itu tidak jelas dalam mimpi Asmida. Kabur.
Asmida tidak dapat memastikan pembunuh itu sama ada lelaki atau pun perempuan. Apa
yang dia nampak hanyalah darah dan tawa yang menyeramkan.
“Hi,
As. sorang je?” Johendry menarik kerusi duduk berhadapan dengan gadis itu.
Asmida
mencerlung Johendry dengan wajah masam.
“Kau
ada nampak aku berdua ke?”
“Manalah
tahu kalau kau berdua dengan ‘teman hantu’ kau itu.”
“Dia
ada kat sebelah kau.” Sinis bicara Asmida berbaur sindiran.
“Mana-mana?”
Johendry melingas kiri dan kanan kemudian melambakkan tawanya. Makin sakit hati
Asmida dengan tingkah Johendry. Johendry masih mempersendakan dia.
“Aku
simbah muka kau dengan milo panas ni nanti,” gerutu Asmida. Cawan milonya sudah
diangkat.
“Janganlah,
nanti tak hensem muka aku dah.”
“Perasan!”
Asmida
tidak lagi bercerita tentang mimpi-mimpinya kepada Johendry. Dia sudah muak
dengan sikap Johendry yang selalu memperlekehkan cerita-ceritanya. Sengaja dia
bersikap acuh tidak acuh dengan Johendry. Dia sedang memboikot lelaki itu.
“Berita apa yang
menarik perhatian kau tu?”
Johendry menarik surat
khabar milik Asmida. Tingkahnya itu membuatkan Asmida merengus kecil.
“Seorang ahli
perniagaan bergelar dato’ mati dibunuh dengan kejam.” Johendry membaca tajuk
utama pada helaian surat khabar itu. Kes pembunuhan tersebut seakan menarik
minat Johendry untuk membaca berita yang tertulis itu hingga garisan
pengakhiran.