Home Cerpen Seram/Misteri SALAH NOMBOR
SALAH NOMBOR
Illya Abdullah
7/8/2016 22:31:40
9,583
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

TELEFON hilang. Telefon sudah tentulah kena beli yang baharu. Esoknya Esha terpaksa pergi ke Celcom Centre untuk mengambil nombornya semula. Esha mengeluh panjang sebaik diberitahu nombor telefonnya itu didaftarkan atas nama orang lain. Gadis kaunter meminta Esha cuba ke tempat dia membeli nombor tersebut. Sayangnya kedai tersebut telah tutup. Esha memaki hamun di dalam hati. Sednagkan ketika dia membeli nombor itu, lelaki cina yang menjaga kedai terbabit telah fotostat kad pengenalannya. Bagaimana nombor itu boleh didaftarkan atas nama orang lain.

Esha tiada pilihan lain. Dia membeli nombor yang baharu lagi. Selepas seminggu dia memakai nombor tersebut mula ada panggilan yang tidak dikenali masuk. Esha tidak menjawab panggilan dari nombor-nombor yang tiada dalam simpanan. Esha hanya memberikan nombor telefonnya kepada mereka yang tertentu sahaja. Agak pelik juga bila nombor yang tidak dikenali naik pada skrin telefonnya. Malah ada yang menghantar pesanan ringkas. Esha padam mesej-mesej romantic terbabit. Masakan lelaki itu tidak mengetahui teman wanitanya bertukar nombor. Atau sengaja dengan taktik salah nombor, salah hantar mesej jadi dalam pada masa mengambil peluang untuk berkenalan.

Mimpi ngeri mula menghantui Esha. Suatu malam ketika Esha nyenyak telefon bimbit bergegar di tepi bantal. Terpisat-pisat Esha bangun dari tidur. Tidurnya terganggu dengan bunyi telefon bimbitnya yang berulang kali. Nombor yang tertera nombor yang tidak dikenali lagi. Tidak silap Esha, nombor itu sering-kali naik pada skrin telefonnya kebelakangan ini. Selalunya waktu tengah malam begini.

Esha merengus kecil. Kali ini, dia mengangkat panggilan tersebut.

“Helo…”

“Helo… Rizal ada? Makcik ni mak dia.” Suara seorang perempuan tua.

“Maaf makcik, makcik salah nombor.” Esha membalas lembut.

“Tapi ni nombor Rizal kan?”

“Bukan makcik. Ni bukan nombor anak makcik.”

“Oh, maafkan makcik.”

Talian diputuskan. Apa punya anaklah zaman sekarang ini. Tukar nombor tidak memaklumkan kepada orang tua. Jenis anak derhaka ni. Esha merungut sendirian.

**********

ESHA memicit-micit dari menghadap kerja yang bertimbun. Nak termuntah dia dibuatnya. Jarang dia membawa balik kerja di rumah. Klien cerewet sangat. Bagi rekaan macam ini tak mahu. Rekaan macam itu pun tak mahu. Warna ini tak kena. Warna itu tak kena. Kalau tidak fikirkan bayaran yang diterima malas dia mahu mengambil projek hiasan dalaman banglo datin kepoh itu.

Sedar tak sedar Esha terlelap di ruang tamu atas sofa. Komputer riba masih terpasang di dada meja. Fail-fail dan kertas rekaan bertaburan di lantai. Telefon bimbit yang berada di atas meja bergegar tanpa henti. Esha terjaga. Dia menguap kecil seraya mengaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Helo. Assalamualaikum…” Esha menjawab tanpa melihat nombor di skrin telefon. Sempat dia mengerling jam dinding. Pukul 3.00 pagi.

“Helo… Rizal ke tu?”

Rizal? Suara makcik itu lagi. Suara lelaki dengan suara perempuan masakan makcik itu tidak dapat bezakan.

“Maaf makcik. Makcik salah nombor.”

Tidak sampai hati dia mahu menengking bila bercakap. Lagipun makcik itu orang tua-tua.

“Boleh makcik tahu, siapa yang cakap di sana tu?”

“Nama saya Esha, makcik. Saya rasa anak lelaki makcik sudah tukar nombor.”

“Makcik salah nombor ye? Hehehehe… maafkan makcik ye.”

Seram pula dia dengar suara makcik itu ketawa. Tapi Esha tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Barangkali makcik itu ada penyakit lupa. Menghubungi nombornya lagi. Lupa nombor telefon anak lelaki itu.

“Tak apa makcik. Makcik cubalah telefon anak-anak makcik yang lain. Mana tahu ada yang simpan nombor Rizal.” Mulutya ringan untuk bertanya lebih lanjut.

“Anak makcik ada seorang je. Anak tunggal.”

“Oh, maaflah saya tak dapat bantu makcik.”

“Tak apalah, ye. Hehehehe….”

Talian diputuskan. Makcik itu bila ketawa meremang bulu roma saja. Bila sudah terjaga begini sukar untuk Esha melelapkan mata semula. Dia menuju ke bilik air. Membasuh muka dan kemudian menjerang air.

**********

“TAK cukup tidur ke, Sha?” Sapa rakan sekerjanya.

Esha tersengih. Nasi lemak daun pisang sudah tinggal separuh dimakan. Dalam keadaan penat dan lesu begini selera makan masih ada.

“Malam-malam aku dapat gangguan telefon.” Esha membuka cerita. Makcik itu kerap juga menelefonnya dua-tiga malam ini.

“Amboi, kemain kau! Gayut dengan kekasih ke?”

“Aku mana ada masa nak bermain cinta ni. Bukanlah. Bergayut dengan makcik tua.”

Teman sekerjanya itu ketawa.

“Makcik tua mana ni?”

“Entah. Dia salah nombor. Dia call tengah-tengah malam. Tanya anak dia.” Kadang-kadang Esha berasa pelik. Anak lelakinya itu masih tidak memaklumkan pada ibunya yang nombornya sudah bertukar.

Maybe nombor kau tu anak dia yang pakai sebelum ni. Sekarang ni nombor recycleje lepas tiga bulan dah jual balik di kedai telefon.”

“Agaknya.”

“Dia selalu call pukul berapa?” Teman sekerjanya itu bertanya lagi.

“Dalam pukul 12.00 ke atas.”

Dahi teman sekerjanya itu berkerut-kerut.

“Pelik.”

“Kenapa nak pelik pula? Pada aku makcik tu mungkin ada penyakit nyanyuk. Dia lupa kut anakya salah nombor.” Esha berfikiran positif.

“Aku tetap rasa peliklah. Dia call kau tengah-tengah malam tu yang aku pelik. Jangan-jangan makcik tu…”

“Esh, kau ni. Jangan menakutkan aku!” Esha memintas kata-kata teman sekerjanya itu. Lengan teman sekerjanya itu dicubit.

Teman sekerjanya itu terjerit kecil. Wajahnya kian berkerut.

“Aku rasa baik lepas ni kau jangan lagi angkat bila makcik tu call.” Teman sekerjanya mengingatkan dia.

Esha angguk. Dia bukan endah sangat kata-kata teman sekerjanya itu. Suapan terakhir nasi lemak masuk ke mulut. Dia menghirup segera teh O yang sudah suam-suam panas.

**********

TENGAH malam baharu Esha sampai di rumah. Letih. Lepas jumpa klien dia melepak bersama teman sekerjanya. Makan-makan sambil berbual kosong. Esha bersandar pada sofa dengan keluhan kecil.

Kesabaran Esha teruji lagi pada malam itu. Telefon bimbitnya berbunyi ketika dia hampir memenjam mata. Tidak berpeluang langsung untuk dia berehat seketika. Haruman badan pun sudah bau masam.

Nombor makcik itu lagi? Hati Esha berbisik. Moodnya pula kurang baik. Siang tadi dia banyak bertekak dengan klien.

“Helo…”

“Makcik nak bercakap dengan anak makcik. Rizal ada?”

“Maaf, makcik. Salah nombor! Salah nombor!” Esha membalas keras. Panggilan dari ‘makcik’ itu dimatikan.

Beberapa saat kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.

“Makcik… dah berulang kali saya cakap, makcik salah nombor?”

“Hehehehe… yeke makcik salah nombor nak? Maaflah ye. Hehehehehee…” Ketawa makcik itu semakin panjang dan nyaring.

Tawa ‘makcik’ itu buat bulu tengkuk Esha merinding. Dia terus menutup telefon bimbitnya itu.

Namun, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Puas dia cuba menutup telefonnya tetapi tidak berhasil. Esha membiarkan sahaja telefonnya berbunyi hingga telefonnya itu berhenti. Manik-manik peluh sudah kelihatan pada dahi Esha. Tiba-tiba sahaja lampu rumahnya malap dan terpadam sendiri. Esha duduk di ruang tamu dalam keadaan gelap.

Tidak sampai seminit telefon bimbitnya berbunyi semula. Esha mengetap bibir. Dia mencapai telefonnya semula. Dia menekapkan telefon pada telinga.

“Kenapa tak jawab?” Suara makcik itu kasar.

Esha membisu.

“Makcik dah sampai depan pintu rumah Esha ni. Hehehehe… bukalah pintu. Hehehehe…” Hampir terlepas telefon dari pegangan Esha.

Esha bingkas bangun dari sofa. Terketar-ketar tangannya menyelak kain langsir dari tingkap yang berdekatan. Matanya jelas melihat seorang wanita tua yang terbongkok-bongkok berselendang putih di depan pintu rumahnya itu. Wanita tua itu terbatuk-batuk kecil.

Esha menutup semula kain langsir. Dia mundar mandir di ruang tamu. Perasaan takut dan cemas bercampur baur. Kebetulan jiran sebelah-menyebelah tiada orang di rumah. Pada siapa dia mahu meminta bantuan. Menjerit? Waktu ini suaranya bagaikan tersekat dikerongkong.

Ketukan pintu bertalu-talu kedengaran. Makcik itu memanggil-manggil namanya.

“Bukalah pintu ni, Esha. Bagilah makcik masuk. Makcik tahu Esha intai tadi dekat tingkap. Makcik nampak!”

Makcik itu thau dia mengintai. Sah-sah makcik itu bukannya manusia. Telefon bimbit Esha berbunyi lagi. Esha memeluk tubuhnya. Dia cuba bertenang. Situasi begini kalau ikutka rasa takut gangguan dari makcik itu akan berterusan. Ya, ALLAH… lindungilah hambaMU ini. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

“Tak nak bagi makcik masuk tak apalah. Jangan buat makcik panas macam ni! Tak baik!” Suara makcik itu merintih-rintih diluar. Pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Macam mahu bergegar rumahnya itu.

Esha abaikan rintihan dari makcik itu. Makhluk bernama jin ini pandai bermuka-muka. Dia tidak boleh lembut hati. Dia terus-terusan membaca ayat-ayat suci.

“Panas! Makcik panas!”

Lama-kelamaan suara rintihan makcik itu tidak lagi kedengaran. Telefonnya juga sudah berhenti dari berbunyi.

Esha meraup muka berkali-kali. Suasana rumahnya kembali terang-benderang. Syukur…

**********

ESHA ke Celcom Centre untuk mengetahui nama pemilik nombor tersebut. Malah dia bertegas mahukan alamat lelaki bernama Yusrizal itu. Setelah memperolehi apa yang dicari, Esha menuju ke rumah lelaki tersebut.

Lelaki bernama Yusrizal menerima kejutan dengan kehadiran Esha. Begitu juga dengan isterinya. Mereka menjemput Esha masuk. Lantas Esha menceritakan apa yang berlaku. Yusrizal memaklumkan yang dia memang sudah menggunakan nombor tersebut 5 bulan yang lalu. Dia tidak tahan dengan gangguan telefon wanita tua yang suaranya sama seperti suara arwah ibunya itu. Esha tersentak mendengar cerita dari Yusrizal.

Tambah Yusrizal lagi, ibunya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke rumahnya. Ibunya sedang menelefonnya ketika itu dan memaklumkan kedatangannya ke rumah. Tidak tahu apa yang terjadi, ibunya tidak sampai-sampai ke rumah. Puas dihubungi panggilannya masuk ke peti suara lalu dia membuat laporan polis.

Keesokkan hari polis datang ke rumahnya memaklumkan berita sedih. Mayat ibunya ditemui di dalam longkang besar tepi jalan. Kecederaan di kepala punca kematian ibunya. Ibunya dipercayai telah diragut. Selepas sebulan ibunya meninggal, dia mula menerima gangguan telefon dari nombor arwah ibunya itu. Aneh. Tapi itu yang berlaku.

“Terima kasih,” Ucap Esha. Dia meminta diri.

Orang yang sudah mati tidak akan hidup semula hingga hari kebangkitan itu tiba. Semua itu permainan pengikut-pengikut iblis. Esha mengambil keputusan untuk menukar ganti nombor yang baharu. Langkah yang terbaik bagi Esha. Moga orang yang memilih nombor tersebut tidak mengalami gangguan dari makcik yang salah nombor itu.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.