BANDAR HISTORIA
“Kak, bolehlah Kak Airis,” rayu Ilya kepada kakaknya Airis.
Airis tidak menjawab. Sebaliknya hanya berdiri bercekak pinggang sambil mencerlung tajam ke arah Ilya. Kali ini Ilya benar-benar meminta belas kasihan kakaknya untuk memberi kebenaran untuk mengikut Arya ke Bandar Historia.
Ilya melutut di hadapan Airis yang masih bercekak pinggang. Kedua-dua telapak tangannya dicantumkan dengan membuat wajah meminta belas. Airis berubah posisinya tadi daripada bercekak pinggang kepada berpeluk tubuh. Hatinya masih berbolak-balik, sama ada mahu membenarkan adiknya pergi atau tidak.
Bukan apa, dia risaukan keselamatan adiknya itu. Lagipun, dia sememangnya tidak boleh mempercayai Ilya. Sudah beberapa kali Ilya menghilangkan dirinya begitu sahaja tanpa pengetahuan dia dan Rosmaria. Kali ini, dia mahu lebih bertegas dengan adiknya itu.
“Nak buat apa kamu pergi sana, Ilya?” Airis memulakan sesi soal jawabnya persis seorang polis menyoal siasat suspeknya.
Ilya terdiam sejenak. Otaknya ligat memikirkan apa alasan yang sesuai untuk diberikan kepada Airis agar boleh meyakinkan kakaknya. Dia harus berhati-hati menyusun ayat. Jika tidak, punahlah peluangnya untuk pergi ke bandar bersejarah itu. Sesekali dia memandang ke arah anak mata Airis yang tidak lekang daripada renungan tajam itu.
“Saya nak cari maklumat kat library,” Ilya menjawab dengan penuh mengharap.
“Untuk?” Pantas sahaja Airis mengajukan soalan yang seterusnya.
“Saya nak cari maklumat untuk kerja kursus Sejarah. Bulan depan nak hantar dah.” Ilya sulami sedikit fakta dengan pembohongan yang direkanya, agar nampak realistik dan boleh dipercayai. Dalam hatinya berharap sangat agar kakaknya termakan dengan pembohongannya.
“Kerja kursus Sejarah?” Airis terdiam sejenak. Memikirkan untuk mempertimbangkan permohonan Ilya.
Ilya pula terus berharap di dalam hatinya agar dipermudahkan segala urusan. Dia cuba berlagak tenang untuk mengelakkan Airis mengesyakinya.
“Kenapa tak cari maklumat kat library sekolah je?” Ilya kecewa. Nampaknya masih ada tembok halangan yang perlu dilepasinya.
“A ... tak cukuplah kak. Kat library sekolah tu ada maklumat apa je. Lagipun, cikgu suruh cari maklumat kat tempat lain selain library sekolah.” Ilya cuba memberi alasan. Dia berharap sangat kakaknya akan berlembut hati selepas ini.
“Okey. Kat bandar ni pun ada perpustakaan awam juga, kan? Kenapa tak pergi situ je?” Sekali lagi Ilya mengeluh hampa. Susah benar baginya untuk melepasi tembok halangan berupa kakaknya ini.
“Saya dah pergi dah situ. Tapi kat situ banyak buku Medic je. Buku-buku Sejarah tak banyak sangat. Maklumlah, bandar nikan hub utama Sains Perubatan.” Ilya terus memberi alasan.
Ada benarnya juga pada kata-kata Ilya itu. Memang fokus di Bandar Medici lebih kepada Sains Perubatan. Bandar ini merupakan tempat berkumpulnya institusi pengajian tinggi yang mengkhususkan Sains Perubatan. Maka, banyaklah buku-buku rujukan yang berkaitan bidang itu di Bandar ini.
Buku-buku rujukan dalam bidang lain memang ada, tetapi tidaklah sebanyak dalam bidang Sains Perubatan. Jika mahu mencari lebih banyak maklumat di bidang Sains yang lain, mungkin ada keperluan untuk pergi ke bandar lain. Contohnya, Bandar Historia yang lebih mengkhususkan pada bidang Sejarah. Jika mahu mencari buku-buku berkaitan Sejarah, pergilah ke bandar itu.
Di negara ini, iaitu Negara Scientia, setiap bandar dibahagikan mengikut pengkhususan bidang tertentu. Contohnya, Bandar Medici ini lebih fokus kepada Sains Perubatan. Di bandar ini, terdapat banyak institusi pengajian tinggi yang memberi fokus kepada bidang tersebut. Institusi penyelidikan berkaitan perubatan turut dibina di bandar ini.
Jika Bandar Medici lebih memberi fokus kepada Sains Perubatan, Bandar Historia pula lebih bertunjangkan kepada bidang Sejarah dan Sains Sosial. Di perpustakan awam yang terdapat di bandar itu, terdapat banyak buku rujukan Sejarah yang ada di situ.
Institusi penyelidikan yang dibina di Bandar Historia pula lebih bertumpu kepada kajian berkaitan Sains Sosial. Institusi pengajian tinggi di bandar itu pula memberi pengkhususan kepada bidang yang sama.
Setelah berjeda seketika memikirkan alasan yang diberi Ilya, Airis akhirnya membalas, “Hmm ... betul juga kata kamu tu, Ilya. Mungkin buku-buku rujukan di sana lebih baik ....”
Hati Ilya sudah melonjak kegirangan mendengar tutur kata Airis itu.
“Tapi ....” Sekali lagi punah harapan Ilya. Apa lagi yang dipinta kakaknya itu?
“Kamu pergi dengan siapa, Ilya?”
“Dengan Arya, kawan Ilya,” jawab Ilya jujur dengan harapan jawapan jujurnya ini boleh melembutkan hati kakaknya.
“Arya? Siapa tu? Kawan kamu ke?” Airis tiba-tiba menimbulkan syak wasangka di hatinya.
“Ya, Arya tu kawan saya. Kami rapat kat sekolah,” cerita Ilya cuba meyakinkan.
“Kakak tak pernah dengar pun? Setahu kakak, kawan kamu Layla je, kan?” soal Airis masih berprasangka.
“Arya yang budak rambut kelabu tu. Kak Rosmaria kenal, kot. Dia ada jumpa Arya sama dengan saya lepas saya hilang kat sekolah hari tu,” cerita Ilya bersungguh-sungguh.
“Rosmaria kenal? Okey, nanti kakak akan tanya pada Rosmaria. Kalau kamu menipu, siap kamu!” Airis memberi amaran keras di hujung bicaranya. Dia baru sahaja ingin bangkit mencari kelibat sepupunya itu.
Namun Rosmaria telah pun berada di ruang tamu, tempat mereka berdua berbual sedari tadi. Dia terus mampir ke sisi Airis. Ingin turut mendengar perbincangan mereka berdua.
“Bincang apa tu? Rancak berbual nampak,” ujar Rosmaria memulakan bicaranya.
“Niha, Ilya ni. Beria nak pergi ke Bandar Historia. Nak cari maklumat katanya.” Airis menceritakan butir perbincangan mereka sedari tadi kepada Rosmaria.
Rosmaria berkalih pandang ke arah Ilya yang masih mengharap.
“Kenapa nak pergi jauh sangat? Cari maklumat kat library sekolah tak boleh?” Rosmaria mengajukan soalan yang sama seperti Airis tadi.
“Tulah, degil benar budak ni. Katanya, kat sana lebih senang nak cari maklumat.” Airis tolong menjawabkan untuk Ilya.
“Oh, macam tu ke. Kamu pergi dengan siapa?” Giliran Rosmaria pula mengajukan soalan.
“Arya. Budak rambut kelabu yang selalu dengan saya tu.” Ilya menjawab berterus-terang.
“Oh. Budak tu ke? Hmm ... boleh tu boleh, tapi ada syaratnya.” Rosmaria memberi kebenaran tetapi dengan syarat.
Ilya ingin mengeluh tetapi dia terpaksa akur jua akhirnya demi buku-buku di Bandar Historia. “Apa syaratnya?”
“Syaratnya ....” Dengan panjang lebar Rosmaria membebel. Menggariskan pelbagai syarat yang perlu dipatuhi untuk mendapat kebenaran ke Bandar Historia.
Ilya hanya mampu menadah telinganya. Keluh-kesah sudah beranak-pinak di kalbunya. Memikirkan pelbagai syarat yang perlu dipatuhi. Semua syarat itu untuk kebaikan Ilya sendiri. Airis pula sudah tersenyum simpul di sisi Rosmaria. Berasa lega kerana tugasnya telah diambil-alih Rosmaria secara sukarela.
***
Arya telah pun menempah perkhidmatan teksi dron untuk dua penumpang bagi membawa mereka berdua ke Bandar Historia. Dia berjanji untuk berjumpa dengan Ilya di Bilik Kelab Petani Muda pagi itu.
Zahara turut hadir pada pagi yang hening tetapi menenangkan itu. Dia tidak pernah melupakan tugasnya untuk menjaga pokok-pokok yang terdapat di bilik kelab itu. Lagipun, itu memang telah menjadi hobinya semenjak kecil lagi, iaitu sejak dia mula mendengar suara itu. Jadi, dia langsung tidak kisah untuk meluangkan masanya di bilik kelab tersebut.
“Nah, sarapanlah dulu,” pelawa Zahara sambil menghidangkan skon berserta jem strawberi di atas meja. Teh herba kegemarannya turut dihidang bersama.
“Janganlah malu-malu, ambillah. Saya buat banyak ni. Cukup untuk kita bertiga,” pelawa Zahara lagi setelah mendapati Arya langsung tidak mengusik hidangannya.
Mendengarkan pelawaan Zahara yang beria-ia, Arya terus mencapai sebiji skon yang berada di hadapannya untuk menjamah. Pintu bilik kelab itu terbuka secara automatik. Ilya melangkah masuk ke dalam bilik kelab itu dengan sedikit tergesa-gesa. Pantas kakinya diatur ke meja yang berada di tengah bilik itu.
“Maaf lambat. Tadi Kak Rosmaria pesan macam-macam tadi. Dia siap bagi bekalan untuk kita berdua lagi. Tu yang lambat,” ucap Ilya dalam keadaan tercungap-cungap.
Arya yang pada waktu itu sedang menyapu jem strawberi ke atas permukaan skon memandang Ilya. Dia kemudian membalas, “Takpa, saya pun baru sampai ni.”
“Ilya, jemputlah duduk. Sarapan dulu,” pelawa Zahara sambil menarik sebuah kerusi untuknya.
“Say ....” Ilya ingin menolak pelawaan Zahara tetapi telah dipintas gadis berambut hijau itu terlebih dahulu.
“Saya sediakan banyak ni. Siapa nak habiskan. Kita bertigalah, kan.” Melihatkan wajah Zahara yang beria-ia mempelawanya, Ilya terus akur lalu turut menjamah sebiji skon yang diletakkan di atas pinggan.
“Kita nak pergi naik apa ni? Takkan jalan kaki kot. Sebulan tak sampai kalau macam tu,” seloroh Ilya dengan nada bersahaja.
Zahara hanya mampu menahan gelaknya mendengar seloroh yang tidak disangka-sangka daripada Ilya itu.
“Saya dah tempah dron. Koordinat destinasi pun dah set dah. Tinggal nak naik je,” beritahu Arya.
“Oh, dron tu jemput kita kat sini ke?” soal Ilya dengan sisa jem strawberi melekat di tepi bibirnya. Zahara terus mengambil sehelai tisu lalu diberikan kepada Ilya untuk mengelap sisa jem tersebut.
“Tak.” Arya menjawab ringkas.
“Habis?” soal Ilya setelah selesai mengelap sisa jem di tepi bibirnya.
“Dron tu jemput kat rumah saya. Saya ingat nak set destinasi POI pergi balik kat sini je. Tapi, mak saya insist nak set dron tu mendarat betul-betul depan rumah. Maaflah menyusahkan. Mak saya memang macam tu. Dia overprotective sikit.”
“Perangai mak awak tu sama macam kakak saya.” Laju sahaja Ilya memberi pendapatnya. Zahara sudah tersengih-sengih mendengar pendapat selamba dari mulut Ilya.
“Dah, jom makan cepat. Kejap lagi dron sampailah ni,” ujar Arya sambil mengerling jam tangannya sekilas.
Usai menghabiskan sarapan masing-masing, Ilya dan Arya bergegas ingin pergi ke rumah Arya. Zahara ditinggalkan bersama Karina di bilik kelab itu. Sebelum pergi, Ilya sempat memberitahu, bahawa dia akan berkongsi segala maklumat yang diperolehinya sejurus dia pulang nanti.
***
Sejurus sampai di hadapan rumah sebuah dua tingkat milik keluarga Arya, Lisa, ibu Arya telah pun berdiri di muka pintu. Ketegasan jelas terpancar di wajah wanita berambut perang itu.
“Ni kawan kamu ke, Arya?” soal Lisa.
“Ya, ni kawan saya. Perkenalkan, ni Ilya. Ilya, perkenalkan, ni mak saya Lisa,” ujar Arya.
“Ilya Harissa. Panggil saya Ilya je.” Ilya memberitahu nama penuhnya sebagai salam perkenalan.
“Jemput masuk dulu sementara nak tunggu dron sampai,” pelawa Lisa berbasa-basi.
Ilya memandang Arya lama memohon kepastian. Dia berasa malu-malu untuk masuk ke rumah sebuah keluarga yang baru dikenalinya ini. Arya menjemput Ilya masuk dengan isyarat matanya. Ilya akur lalu melangkah masuk bersama Arya.
Sampai sahaja di ruang tamu, kelihatan seorang lelaki sedang beristirehat di sebuah sofa. Mungkin lelaki itu merupakan bapa kepada Arya.
“Jemputlah duduk,” pelawa lelaki itu sebelum menguntum senyum. Ilya duduk dengan terasa sedikit kekok.
“Ni ayah saya, Alizahrin.” Arya memperkenalkan pula bapanya kepada Ilya. Ilya menunduk sedikit sambil tersenyum sebagai tanda hormat kepada Alizahrin.
“Ayah tak kerja ke hari ni?” soal Arya yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas sofa di sisi Alizahrin.
“Tak. Malam tadi on-call, jadi hari ni ayah cuti,” jelas Alizahrin.
“Ayah awak kerja apa, Arya?” soal Ilya ingin tahu.
“Doktor, doktor psikiatri,” beritahu Arya.
Ilya sedikit terlopong mendengarnya. Ada dua sebab. Pertama, kerana dia kagum dengan pekerjaan bapa Arya. Kedua, dia mula terfikirkan sesuatu. Ilya tiba-tiba membuat isyarat agar Arya mampir ke arahnya.
“Arya, bapa awak tahu tak pasal awak boleh nampak spirit?” soal Ilya berbisik setelah Arya menghampirinya.
“Ya, dan saya dipaksa untuk menjalani sesi psikoterapi oleh ayah saya,” terang Arya turut berbisik.
“Kita senasiblah. Saya didiagnos dengan Skizofrenia. Mereka kata, spirit yang saya nampak tu halusinasi je. Awak sama juga ke?”
“Tak. Saya didiagnos dengan DID.”
“Ha? Apa tu?” soal Ilya ingin tahu.
“Dissociative Identity Disorder. Kecelaruan identiti. Kan saya ada soulmate, kan? Mereka kata persona tu tak wujud dan hasil halusinasi auditori saja,” terang Arya.
“Macam tu pula ....” balas Ilya.
Alizahrin hanya tersenyum memerhatikan gelagat Ilya dan Arya itu. Dari tadi mereka berdua berbisik sesama sendiri, seperti ada rahsia yang ingin disembunyikan.
“Arya!” panggil Lisa, mengejutkan mereka berdua. Ilya dan Arya menoleh serentak ke arah punca suara.
Lisa sedang memegang sejenis bungkusan di dalam tangannya. Bungkusan itu diserahkan kepada Arya.
“Tolong kirim kat Pakcik Farma. Tolong sampaikan salam sekali kat dia,” pesan Lisa dengan tegas. Bungkusan itu bertukar tangan.
“Taknak kirim sekali kat Kanon ke, Lisa?” Secara tiba-tiba Alizahrin menyampuk. Bernada mengusik.
Lisa senyap tiba-tiba. Langsung tidak menjawab. Riak wajahnya terus berubah serta-merta. Bukan kemarahan, tetapi lebih kepada kekecewaan, sebelum dihiasi pula dengan wajah kerinduan. Ilya dan Arya yang memerhati sedari sudah pelik melihat gelagat pasangan suami isteri itu.
“Maaf, abang bergurau je tadi. Abang tak sangka kamu masih marahkan Kanon,” ucap Alizahrin tanpa hujung pangkal.
“Ma ... mana ada! Abang ni sama je dengan si Lalitha tu. Hmmh!” Nada Lisa naik seoktaf tiba-tiba. Dia kemudiannya terus berlari ke ruang dapur. Tiga orang lagi di ruang tamu itu hanya memerhatikan sahaja tingkah Lisa.
Alizahrin mengeluh kesal dengan kelancangan kata-katanya tadi. Arya dan Ilya pula masih terpinga-pinga.
“Lalitha tu siapa pula?” Seperti tidak faham akan situasi, Ilya mengajukan soalan rawak.
“Makcik saya belah ayah. Dia adik bongsu dalam tiga beradik. Ayah saya yang sulung. Pakcik Farma pula tengah-tengah,” terang Arya.
“Arya, dron dah sampai tu. Baik kamu pergi cepat. Lambat nanti kamu nak pergi rumah Pakcik Farma,” pesan Alizahrin mengingatkan mereka berdua.
Sebuah teksi dron dua penumpang telah pun mendarat di perkarangan rumah keluarga itu. Arya telah menetapkan destinasi pergi balik dron itu di halaman rumah ini melalui koordinat yang dikesan dengan GPS.
“Ayah, kami pergi dulu,” ucap Arya sebelum mengajak Ilya keluar dari rumah itu. Mereka berdua terus berjalan menghampiri teksi dron yang telah pun terbuka pintunya.
Arya dan Ilya mengambil tempat masing-masing lalu mengenakan tali pinggang. Setelah kesemuanya selesai, pintu dron itu terus tertutup lalu mula berlepas ke destinasi. Arya menetapkan destinasi mereka ke rumah bapa saudaranya, Farma Falindra. Koordinat lokasi ditetapkan melalui GPS.
---
GPS - Global Positioning System
POI - Point of Interest