Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,066
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 23

MUSLIHAT SANG API BIRU

"Kau memang berani, kan? Wahai manusia yang lemah."

Pantas Arya berpusing ke belakang. Sekujur susuk tubuh sedang berdiri tegak betul-betul di belakangnya sendiri. Kelihatan seorang lelaki memakai pakaian serba hitam dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dia sedang berpeluk tubuh sambil mengukirkan senyuman penuh makna.

Walaupun rupa si pemilik susuk tubuh itu persis manusia, Arya tahu bahawa makhluk itu spirit yang menyamar menjadi manusia. Penyamaran itu dibuat hanyalah untuk mengelirukan manusia. Namun tidak bagi Arya. Arya arif benar akan segala tipu muslihat makhluk bernama spirit ini. Dia sudah masak benar. Golongan spirit memang pakar dalam penyamaran dan tipu muslihat.

"Darma!" Nama itu terpacul keluar dari mulut Arya, menunjukkan dia kenal akan spirit itu.

"Kau masih ingat lagi aku rupanya, Khazar Arya Shaputra," ujar Darma dengan suara garau lagi dalam.

Ya, dia memang pernah berjumpa dengan Darma sebelum ini. Dalam satu misi yang dijalankannya. Menurut memorinya, Darma ini memang sukar sekali ditewaskan dan penuh dengan tipu muslihat.

"Aku mahu tunjukkan kau sesuatu yang menarik," ujar Darma lalu memetik sebelah jarinya.

Tik!

Muncul sebuah sfera yang memancarkan imej sebuah hutan belantara. Kelihatan beberapa api biru kecil berapungan di sekitar kawasan hutan. Kelibat si gadis kecil bernama Ilya sedang berlari-lari mengejar sesuatu di tengah hutan nan gelap-gelita itu.

"Ilya!" teriak Arya tatkala ternampak kelibat Ilya di dalam sfera itu.

Sfera itu dibiarkan terapung di udara bersebelahan dengan tempat Darma berdiri. Arya mula mengeluarkan pedang cahaya daripada tangan kanannya. Dia sudah bersedia untuk melancarkan serangan. Kuda-kuda telah dipasang. Renungan tajam persis pemangsa ingin menerkam mangsanya dilemparkan ke arah sang spirit.

"Oh, sabar dulu manusia. Kalau kau tak berhati-hati, aku risau poket dimensi ni akan musnah. Dia mungkin akan terperangkap dalam dimensi ni buat selama-lamanya," ujar Darma dengan suara menjengkelkan.

Arya yang ingin mara terus terbejat langkahnya. Giginya diketap menahan geram. Namun ketenangan harus dikumpulkan agar dia tidak tersilap langkah. Dengan makhluk penuh tipu muslihat ini dia harus berhati-hati, agar padah tidak menimpa di kemudian hari.

"Cuba kau perhatikan api biru tu? Kau kenal?" soal Darma sambil melirik ke arah sfera terapung di sisinya. Arya turut berkalih pandang ke arah yang sama.

Pandangan Arya difokuskan ke arah api biru yang muncul di segenap penjuru hutan belantara itu. Dahinya dikerutkan sebagai tanda dia tidak pernah mengenali objek itu. Sungguh, dia tidak pernah mendengar pun akan kewujudan api biru sebegitu rupa sebelum ini.

Darma mengangkat sebelah tangannya. Telapak tangannya dibuka lalu menjelmakan sebuah api biru, persis apa yang ada dalam sfera itu.

"Will O Wisp." Spontan perkataan itu terpacul keluar dari mulut Arya tatkala ternampak kelibat api biru di dalam tangan Darma.

"Oh, good! Nampaknya kau tahu. Interesting." Seringai penuh misteri muncul di bibir pucatDarma.

"Will O Wisp. Atau dikenali sebagai ignis faatus. Dikatakan sebagai selalu menghantui pengembara ketika berjalan di tengah hutan pada waktu malam. Menyesatkan dan mengelirukan para pengembara. Selalu dilihat di tempat yang lembab seperti paya. Dia menjauhi ketika kita mendekat, mengejar ketika kita menjauhi."

Sekali lagi sepotong ayat meluncur laju dari bibir Arya. Melafazkan kata-kata itu, seolah-olah dia arif benar akan pengetahuan mengenai Will O Wisp. Walhal dia langsung tidak tahu apa-apa mengenai Will O Wisp. Sungguh, itu memang pengetahuan baru buat dirinya. Nama Will O Wisp itu pula kedengaran asing benar di pendengarannya.

Bagaimana dia mengetahuinya? Dia tidak tahu. Apa yang pasti, dia harus mempercayai si dia yang memberitahu akan maklumat itu. Ya, dia harus percaya, kerana si dia tahu akan segala-galanya. Dia harus mempercayai si dia jika mahu selamat. Jika mahu Ilya selamat. Jika dia tidak mahu apa-apa padah menimpa dirinya.

"Syabas! Aku tak sangka kau ada akses pada maklumat dunia belah sana. Walaupun kau cuma Intuition-type, dan bukan Scholar-type." Darma bertepuk tangan.

"Maklumat dari dunia belah sana? A ... apa semua ni? Arrh!" Arya ingin mengorek lebih maklumat lagi daripada si dia, tetapi rasa sakit di kepalanya tiba-tiba menyerang. Membantutkan usahanya. Rasa sakit itu seperti menyekat maklumat daripada mengalir ke dalam otaknya.

"Sabar dulu, manusia. Jangan gelojoh. Nampaknya kebolehan kau ni terbatas. Tak macam kawan kamu di belah sana tu," ujar Darma sambil sekali lagi melirikkan pandangan ke arah sfera terapung di sisinya.

"Intuition-type? Scholar-type?" Dalam menahan rasa sakitnya di kepala, Arya masih cuba ingin berbalas bicara dengan Darma.

"Tak tahu. Itu satu gelaran yang golongan manusia sendiri bagi. Aku cuma follow the flow sahaja. Atau lebih tepat golongan magi." Spirit itu mengangkat bahu sambil menayangkan wajah selamba.

'Tak perlu pedulikan dia, Arya. Dia cuma ingin main psikologi dengan kau saja. Mahu lengah-lengahkan masa.' Satu suara terdetik di benak Arya. Rasa sakit yang menjalar di kepalanya kini bertambah berbisa tatkala suara itu bergema dalam mindanya.

'Macam mana aku nak kalahkan dia ni? Dan macam mana aku nak selamatkan Ilya?' Arya bertanya kepada suara di dalam benaknya, seolah-olah suara itu milik satu personaliti asing dalam dirinya.

Malah, dia sudah acapkali berbincang dengan pemilik suara di dalam kepalanya setiap kali ingin berhadapan dengan spirit selicik ini. Suara itu bertindak seperti pembantu peribadinya pula.

'Sabar dulu. Kita kena rancang betul-betul. Dia ni bahaya. Dan nampaknya dia tahu kebolehan kita. In the worst case, aku akan ambil alih tubuh kau dan habiskan dia.' Suara itu berbicara dalam mindanya.

***

Ilya masih mengejar sang api biru yang kian menjauh daripada pandangannya. Kaki dan tangannya mula terasa lenguh. Lututnya terasa lemah. Nafasnya kian tidak teratur dek terlalu lama berlari. Dia merasakan seolah-olah telah berlari marathon sejauh 10 km.

"Huh! Huh! Huh!" Ilya tercungap-cungap mencari nafas.

Ilya berhenti sejenak setelah puas bermain kejar-mengejar dengan sang api biru yang diberi nama Will O Wisp itu. Lututnya yang terasa lenguh dipegang sebentar. Menghilangkan rasa letih yang menjalar di segenap tubuh.

'Pelik. Makin aku kejar, makin jauh pula api biru tu. Makin aku datang dekat, makin jauh pula jarak dirasakan. Ini fenomena apa pula?' Ilya cuba mencari logik di sebalik keanehanan fenomena yang disaksikannya di hutan itu.

Pap! Pap!

Ilya menepuk kedua-dua pipinya yang gebu. Cuba mengusir segala kemusykilan yang datang menjengah. Dalam hutan aneh ini, segala persoalan tentang rasional dan logik akal haruslah ditolak ke tepi. Apa yang penting, dia harus mencari jalan keluar terlebih dahulu.

Ilya mengambil keputusan untuk berehat sebentar setelah puas mengerah seluruh keringatnya untuk mengejar sang api biru. Dia duduk bersila di atas lantai hutan yang diliputi dedaunan yang gugur. Dagunya ditongkat dengan kedua-dua belah tangan. Cuba memikirkan rancangan seterusnya.

'Kalau macam ni, macam mana aku nak kejar api biru tu? Makin aku datang dekat, makin jauh pula. Ke aku patut cari jalan lain?'

Ilya menancapkan semula pandangan ke arah api biru yang dikejarnya tadi. Sangkanya, api itu akan bergerak semakin jauh daripadanya memandangkan ia sedang bergerak. Api biru itu pasti tidak akan menunggunya. Akan tetapi, ada satu lagi keanehan yang disaksikannya pada api biru itu.

Ilya mengamati objek yang dikejarnya tadi dengan lebih teliti. Matanya dikerdipkan beberapa kali. Memastikan dia tidak tersilap lihat. Mana tahu kalau-kalau matanya terlalu penat sehingga mewujudkan ilusi. Walau bagaimanapun, dia tidak silap. Memang benar api itu semakin menghampirinya pula.

Kerutan seribu muncul di dahi Ilya. Berasa aneh lagi janggal dengan kelakuan sang api biru. Objek terapung itu seperti cuba bergerak menghampirinya pula. Ternyata sangkaannya tadi meleset.

Entah apa yang merasuk si gadis, Ilya terus bangkit berdiri. Kakinya diatur perlahan untuk menghampiri sang api biru yang kian menghampiri pada pandangan matanya. Ia kelihatan seperti memanggil-manggil Ilya untuk berjalan menghampirinya.

Kaki diatur setapak demi setapak untuk menghampiri sang api biru. Perlahan sahaja aturan langkahnya. Kali ini dia tidak perlu terburu-buru. Memandangkan api biru itu sendiri yang sukarela bergerak menghampirinya. Bunyi desahan dedaunan yang gugur di atas lantai mengisi keheningan malam. Sebelah tangannya diangkat ke hadapan. Cuba mencapai sang api biru.

Walau bagaimanapun, sedang tangannya cuba mencapai objek terapung itu, ignis faatus itu kelihatan menjauhi pula secara tiba-tiba. Menyedari keadaan itu, Ilya mempercepatkan langkahnya. Sekali lagi dia cuba mengejar entiti misteri itu. Akan tetapi, semakin cepat dia melangkah semakin jauh api biru itu meninggalkannya.

Jarak antara dirinya dengan api biru itu kian bertambah. Mustahil bagi Ilya untuk terus menghampiri objek terapung itu.

'Not again! Dia nak main-main dengan aku ke apa ni? Tadi datang dekat. Tapi bila cuba datang dekat, dia lari pula. Hish!' gerutu Ilya di dalam hati.

Ilya menghentikan langkahnya secara mendadak. Berasa geram pula dengan api biru itu. Sekali lagi, api biru itu bergerak menghampirinya pula tatkala Ilya menghentikan langkah. Kali ini Ilya tidak berhasrat untuk mengejar entiti itu lagi. Dia ingin membiarkan sahaja. Dia mahu melihat, apa yang akan berlaku sekiranya dia statik sahaja di tempatnya.

***

Arya mengeluarkan semula pedang cahaya yang disimpannya tadi. Kemudian dia menghilangkan dirinya secara tiba-tiba. Sebenarnya dia tidak hilang, cuma pergerakannya cukup pantas sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Dia cuba menyerang hendap Darma yang masih ralit memerhatikan Ilya dalam sfera terapung di sisinya.

Arya bergerak ke belakang tubuh Darma. Dia melompat ke arah Darma. Pedang cahayanya dihunus untuk melancarkan serangan. Setelah berbincang dengan suara misteri yang berbicara dalam mindanya sebentar tadi, Arya bersetuju untuk melancarkan serangan hendap. Spirit seperti Darma ini tidak boleh diserang secara berhadapan. Dia pasti akan kalah.

Darma secara tiba-tiba berpusing ke belakang. Menyedari Arya yang berniat ingin menyerangnya dari belakang.

Sejurus sahaja pedang itu ingin menyentuh tubuh Darma, sebelah tangan spirit itu naik lalu menahan tujahan pedang itu. Dia hanya menahan dengan tangan kosong. Tidak menjelmakan apa-apa senjata untuk menahan. Mukanya masih menayangkan riak selamba. Sedikit pun tidak terkesan dengan serangan itu.

"Kau memang berani, kan manusia."

Darma lambat-lambat menarik pinggir bibirnya, melorekkan senyuman sinis. Sebelah tangannya yang menahan pedang cahaya milik Arya digenggam kuat. Retakan halus mula keluar pada pedang cahaya itu.

Arya terus cepat-cepat menghilangkan pedangnya semula. Dia berundur ke belakang. Ingin mengatur semula rancangan. Darma turut menjelmakan sebilah pedang daripada cahaya. Dengan tenang dan bersahaja dia mengatur langkah ke arah Arya. Sfera terapung itu sengaja dibiarkannya di situ.

Arya yang baru ingin mengembalikan postur tubuhnya terus menjelmakan sebilah pedang. Dia berdiri dalam posisi kuda-kuda. Sekali lagi Arya menghilang dari pandangan. Darma turut sama menghilang.

Ting! Ting! Ting!

Bunyi dentingan pedang mereka berlaga berkumandang di udara. Arya dan Darma saling berbalas serangan. Namun satu pun serangan tidak mengena tubuh masing-masing. Akan tetapi, kekuatan dan ketangkasan mereka jauh berbeza. Darma ternyata jauh lebih kuat. Arya sudah tercungap-cungap kepenatan, tetapi Darma masih tenang menghayun pedangnya. Darma sengaja menyimpan tenaganya untuk bermain-main dengan Arya.

Setelah beberapa minit berlaga pedang, mereka berdua melompat ke belakang. Mengambil posisi masing-masing. Arya menyeka peluh yang membanjiri dahinya. Darma pula masih bersahaja. Senyuman sinis tidak lekang di bibirnya.

'Macam mana ni? Satu pun serangan aku tak kena.' Arya menanyakan kepada suara di dalam kepalanya sekali lagi.

'Kejap. Aku sedang cari kelemahan dia,' balas suara itu kepada Arya.

Darma pula secara tiba-tiba membuat satu isyarat menjemput sesuatu ke arahnya. Bukan Arya yang dipanggilnya. Sebaliknya sfera terapung itu yang terbang menghampirinya. Sebelah tangannya yang memberi isyarat itu ditolak ke hadapan pula. Dengan isyarat tangan itu, sfera itu terus bergerak ke hadapannnya, di antara Darma dan Arya.

Darma membuka telapak tangannya yang digenggam tadi. Sfera itu pun membesar sehingga berkali ganda daripada saiz Arya. Sekarang Arya dapat lihat dengan jelas apa yang berlaku di dalam sfera itu.

Kelihatan Ilya masih cuba mengejar api biru itu. Sekejap-sekejap dia berlari. Sekejap-sekejap lagi dia menghentikan langkahnya. Namun niatnya hanya satu, iaitu ingin mengejar sang api biru. Perbuatannya itu berulang-ulang sehingga menimbulkan persoalan di benak Arya.

'Apa yang dia tengah buat tu?' soal Arya di dalam hati.

Secara tiba-tiba Darma menghamburkan tawanya sekali lagi. Bergema ruang keluasan infiniti serba gelap itu dengan deraian tawanya. Arya masih mengekalkan wajah tanpa ekspresinya. Berasa tiada apa yang lawak sehingga menyebabkan makhluk itu tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.

"Kau tanyalah sendiri pada dia. Apa yang dia sedang lakukan tu? Aku manalah tahu," ujar Darma setelah menghabiskan sisa tawanya.

Darma seperti boleh membaca apa yang Arya sedang fikirkan. Akan tetapi Arya tidak terkejut. Dia tahu spirit sepertinya pasti ada kebolehan sebegitu. Tambahan pula mereka sedang berada di spiritual realm. Segala perkara luar biasa tidak mustahil untuk berlaku di dimensi ini. Kebarangkaliannya lebih tinggi jika dibandingkan dengan alam manusia.

'Betul apa dia cakap tu.' Secara tiba-tiba suara di dalam mindanya menyampuk perbualan.

'Hah?' Arya tidak dapat mencerna apa yang suara itu cakapkan. Nampaknya dia seperti menyebelahi Darma pula secara tiba-tiba.

'Maksud aku, kau cuba berkomunikasi dengan Ilya cara telepati. Kita bagitahu dia pasal Will O Wisp. Memandangkan kepercayaan Will O Wisp ni diimport dari dimensi yang berbeza, sudah pasti Ilya tak tahu apa-apa tentang atmospheric ghost lamp ni,' terang suara itu dengan panjang lebar.

'Ya tak ya. Tapi boleh ke aku berhubung dengan dia cara telepati? Kita sedang berada dalam dimensi yang berbeza.'

'Betul juga kata kau. Cuba jelah. Lagipun dimensi tempat Ilya berada tu masih berada dalam dimensi ni. Sebab ia dibuat Darma sendiri. Dimensi tu tersembunyi dalam lipatan dimensi ni,' sambung suara itu lagi.

'Dimensi yang tersembunyi dalam lipatan dimensi?' Sekali lagi Arya tidak dapat mencerna apa yang dikatakan suara itu.

'Oh, maaflah. Ini mungkin terlalu sukar untuk kau. Kau boleh tanya Ilya lepas dia selamat nanti,' ujar suara itu sebelum menghilangkan dirinya.

Darma mara ke arah Arya dengan langkah perlahan. Sfera yang berada di hadapannya ditembusi begitu sahaja seperti hologram. Tatkala menyedari Darma sedang berjalan menghampirinya, Arya terus mengeluarkan pedangnya semula.

Beberapa bebola cahaya menjelma di sekeliling tubuh Darma. Darma menolak sebelah tangannya ke hadapan dengan telapak tangan terbuka. Bebola cahaya itu terus mara lalu menuju ke arah Arya. Pergerakan bebola itu sangat laju tetapi sempat ditangkap oleh mata Arya yang memerhati.

'Sedia, Arya!' Suara itu memberi amaran.

Pedang cahaya yang dikeluarkannya tadi dihilangkan. Lebih mudah untuk dia bergerak. Arya melompat untuk mengelakkan bebola cahaya itu daripada mengenai tubuhnya. Bebola cahaya yang berjaya dielak hanya mengenai permukaan lantai lalu menghasilkan letupan kecil.

Boom! Boom! Boom!

Tiga daripada bebola cahaya tidak sempat dielaknya. Ketiga-tiganya sedang menuju ke arahnya. Dengan pantas Arya menjelmakan pedangnya. Dia membelah ketiga-tiga bebola cahaya itu dengan cekap. Sejurus itu, dia terus melompat ke belakang menjauhi bebola cahaya itu. Bebola cahaya yang dibelah itu menghasilkan letupan yang lebih kecil daripada letupan sebelum ini.

Darma tidak berputus asa. Dia melancarkan lagi serangan. Kali ini serangan dalam bentuk lembing daripada cahaya pula. Dengan satu tolakan ke hadapan, beberapa lembing cahaya yang dihasilkannya menuju ke arah sasaran iaitu Arya.

'Arya, jaga-jaga! Serangan datang dari arah pukul tujuh!' Suara itu memberi amaran sekali lagi.

Arya terus berlari ke arah bertentangan. Lembing cahaya itu semua jatuh terpacak di atas lantai hitam dimensi itu. Dengan satu isyarat tangan daripada Darma, semua lembing itu menghilang perlahan-lahan.

'Uish! Main kasar nampaknya Darma ni!' marah suara itu di dalam hati.

Belum sempat Arya mengatur nafasnya, sebuah bebola cahaya yang lebih besar sedang menuju ke arahnya. Dia tidak sempat mengelak. Bebola itu bergerak terlalu laju. Darma mempercepatkan kelajuannya. Lembing cahaya tadi hanyalah bertindak sebagai umpan. Bebola cahaya itu mengenai tubuh Arya lantas menghasilkan letupan yang besar.

Boom!

Asap mula berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Darma tersenyum kemenangan. Dia tidak sangka semudah itu Arya dikalahkan.

Dengan langkah yang tenang lagi bersahaja dia berkata, "Aku dah kata jangan cabar aku kan, manusia."

Lambat-lambat asap yang berkepul-kepul mula menipis lalu menghilang di udara. Menampakkan satu susuk tubuh sedang berdiri tegak di tengah kepulan asap. Darma mengerutkan dahinya. Senyuman sinis di bibirnya mengendur. Ternyata sangkaannya meleset.

Kepulan asap yang mula menipis menampakkan si pemilik susuk tubuh dengan jelas. Arya sedang berdiri tegak. Wajahnya yang kontang daripada ekspresi kini menayangkan riak penuh selamba. Senyuman sinis terukir di bibirnya. Si pemilik susuk tubuh itu bukan Arya lagi, tetapi 'Arya'. Di sekelilingnya ada sebuah perisai berbentuk seperti kubah mini melindungi daripada letupan itu.

"Oh, mungkin aku patut ucapkan selamat datang kepada kau. Sebab kau bukan lagi Arya, kan?"


Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari