Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,085
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 4

FANTASI

Ilya berlari keseorangan di sebuah ruang yang gelap-gelita. Dia berlari di sebuah jalan yang tiada penghujungnya. Dia mendengar pelbagai suara bermacam ragam menengking dan mengherdiknya. Setiap suara itu adalah unik, tidak sama setiap satunya. Namun begitu, pemilik suara itu tidak kelihatan di mata Ilya.

"Gila!"

"Sakit mental!"

"Betina meroyan!"

"Kau dah makan ubat?" Sinis.

"Orang macam kau ni tak payah datang hospital lagi bagus!"

"Entah, buat menyemak je!"

"Orang macam ni pun wujud juga ke?!"

"Tak tahu nak bersyukur!"

"Bodoh!"

"Patutlah sakit mental, rupanya tok nenek dia pun dulu sakit mental!"

"Sebab orang macam kau nilah, bangsa kita ni tak mampu maju ke hadapan!"

Setiap butir bicara yang menyinggah ke cuping telinga Ilya dirasakan bagai tusukan daripada besi tajam yang panas ke dadanya. Rasanya begitu menyeksakan. Ilya terus melarikan diri daripada terus mendengar suara-suara itu semua.

Ilya terus berlari dan berlari. Dia ingin berlari daripada segala penderitaan yang mencengkam kehidupannya ini. Walaubagaimanapun jalan yang dilalui Ilya seperti tiada penghujungnya. Tiada juga sebarang lampu untuk menerangi jalan yang dilaluinya. Dia mendapati dirinya terkapai-kapai di dalam kegelapan.

Tiba-tiba, Ilya ternampak satu cahaya yang amat terang di penghujung jalan. Ilya terus mengejar cahaya itu. Dia pasti, itu adalah jalan keluar kepada masalahnya sekarang. Dia pasti, cahaya itu akan membawa dia keluar dari ruang gelap-gelita tidak berpenghujung itu. Kakinya mula terasa lenguh, namun ianya tidak memutuskan semangat Ilya daripada terus mengejar cahaya tersebut.

Apabila dia merasakan dia sudah cukup hampir dengan cahaya itu, hatinya tergerak untuk menghulurkan tangannya ke arahnya. Matanya agak pedih melihat cahaya tersebut dek terlalu lama terperangkap dalam kegelapan. Dia menutup sedikit matanya dengan sebelah lagi tangannya.

Sejurus sahaja dia menghulurkan tangannya, ada tangan lain yang menyambut dari dalam cahaya itu. Ilya terkejut namun dia membiarkan sahaja. Tangan tersebut menarik Ilya untuk terus masuk ke dalam cahaya tersebut. Ilya terus mengikut kehendak si pemilik tangan. Dia masuk ke dalam cahaya yang menyilaukan matanya tadi.

Selepas dia masuk ke dalamnya, Ilya mendapati persekitarannya berubah daripada ruang yang gelap-gelita kepada sebuah ruang kosong berkeluasan infiniti berwarna putih keseluruhannya. Di hadapan Ilya berdiri seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengannya. Rambutnya berwarna kelabu manakala iris matanya berwarna merah. Riak wajah lelaki itu tiada ekspresi, hanya merenung kosong Ilya. Ilya diam tidak terkata. Mulut lelaki itu juga tidak mengeluarkan sebarang bicara.

Lama mereka berdua senyap, tanpa sebarang bunyi. Ruang itu juga senyap, tiada sedikit pun bunyi yang keluar. Kemudian, secara tiba-tiba ada satu daya yang menolak mereka berdua untuk berjauhan sesama mereka. Ilya nampak lelaki itu berada semakin jauh daripadanya. Ilya cuba mengejar. Entah kenapa pertemuannya dengan lelaki itu menyebabkan dia berasa berat untuk melepaskan lelaki itu pergi. Ilya cuba menghulurkan tangannya semula untuk menarik lelaki tersebut.

Tangan yang dihulurkannya tidak dapat menggenggam apa-apa, cuma angin sahaja. Genggaman tangannya itu menyedarkan Ilya daripada lenanya. Baru dia sedar selama ini dia cuma bermimpi. Dia tersedar di dalam bilik tidurnya sendiri. Mata Ilya terkebil-kebil mengenangkan mimpi yang baru dialaminya tadi. Dia bingkas bangun dari pembaringannya. Ilya menggeliat sebentar untuk menghilangkan lenguh di badannya.

Ilya berjalan ke bilik tidur ibunya. Dia melihat ibunya sedang tidur dengan aman sekali di atas katil seolah-olah tiada masalah yang berlaku.

"Ilya? Kamu tak tidur lagi ke?" Pertanyaan Airis mengejutkan Ilya. Sedar-sedar sahaja Airis sudah tercegat di hadapan pintu bilik ibunya.

"Dah tidur, tapi saya terjaga," jawab Ilya ringkas.

"Oh, ya ke? Kenapa?" Airis bertanya prihatin.

"Mimpi buruk," balas Ilya ringkas.

"Mimpi buruk? Kenapa? Ilya susah hati ke? Takpa, Ilya pergi tidur dulu, biar Kak Airis yang tengokkan mak. Esok Ilya sekolah, kan?" nasihat Airis pula.

Kadangkala Airis memang prihatin akan keadaan adik-adiknya cuma dia agak tiada masa untuk meluangkan masa bersama mereka. Bagi Airis, kedua-dua orang adik perempuannya keras kepala menyebabkan dia terpaksa berkasar dengan mereka. Airis cuma mahukan yang terbaik untuk adik-adiknya.

Ilya berjalan meninggalkan bilik ibunya tanpa perasaan. Semasa dia berjalan di sebelah kakaknya, sedikit pun dia tidak mahu memandang wajah kakaknya apatah lagi bercakap kepadanya. Ilya memang bersikap dingin dengan adik-beradiknya yang lain.

Sampai sahaja di bilik, Ilya terus pergi ke katilnya untuk berbaring semula. Dia cuba melelapkan matanya tetapi gagal. Mimpi buruk itu mengganggu fikiran Ilya. Dia teringatkan budak lelaki yang dilihatnya dalam mimpi tadi. Dia berasa seperti pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik yang gelap kerana lampunya ditutup.

'Tak boleh jadi,' kata Ilya kepada dirinya. Dia membuka lampu biliknya.

Klik! Terang-benderang bilik itu selepas lampu dibuka.

"Hai!" Kelihatan lembaga bersaiz kanak-kanak dan berupa seperti manusia tetapi mempunyai satu sahaja mata di tengah-tengah. Kepalanya botak, cuma ada sedikit rambut yang diikat di atas kepalanya. Lembaga itu menjelirkan lidahnya kepada Ilya, mengejek.

Ilya merenung lembaga itu dengan pandangan kosong.

"Zaf, kamu tak payahlah nak takutkan kakak lagi," kata Ilya tiada perasaan. Lembaga yang dipanggil Zaf itu menukar rupanya menjadi rupa kanak-kanak lelaki seperti yang selalu dilihat Ilya.

"Kakak ni bosanlah, nak main-main sikit pun tak boleh," kata Zaf sebelum memuncungkan mulutnya.

"Kenapa ya spesies kamu ni suka menakutkan manusia? Kakak hairanlah." Ilya cuba mencari jawapan di sebalik persoalan yang selalu bermain di mindanya.

"Kenapa ya kakak tanya. Sebenarnya kami nikan spirit tidak boleh dilihat pada pandangan kasar manusia. Kami tak mahu manusia melupakan kewujudan kami. Jadi, kami takut-takutkanlah manusia supaya manusia mengiktiraf semula kewujudan kami. Hihi." Zaf mengakhiri penerangannya dengan senyuman yang menakutkan.

"Oh, macam tu ke," Ilya menjawab hambar. Dia mengalihkan pandangannya, malas mahu berhadapan dengan Zaf.

"Zaf, berbalik kepada topik. Kenapa kamu datang sini?" Ilya kembali kepada pokok persoalan.

"Nak main dengan kakaklah, kakak tak boleh tidur kan? Kakak rindu Zaf kan?"

"Perasan."

Ilya yang malas melayan kerenah Zaf terus berjalan ke mejanya. Dia mengambil tablet yang berada di atas meja untuk melayari Internet. Dia menaip perkataan 'Dark Arts' di enjin carian Googel. Pencariannya menemukan dengan beberapa artikel yang menerangkan tentang Dark Arts. Ilya membuka salah satu pautan yang tertera di skrin tablet itu.

'Dark Arts ialah suatu ilmu menguasai alam fizikal dan spiritual melalui bantuan spirit.'

"Ah, spirit? Aku ingatkan mereka dah tak percaya dengan kewujudan spirit?" Ilya meneruskan pembacaannya.

"Ahli magis akan membuat perjanjian dengan spirit untuk membolehkan mereka menguasai alam fizikal dan membuat perkara luar biasa yang diinginkan. Ahli magis dan Dark Arts kebanyakannya muncul dalam filem, buku atau novel genre fantasi...." Apabila sampai di ayat itu Ilya menghentikan bacaannya.

"Fantasi? Genre yang melibatkan dunia imaginasi khayalan manusia semata-mata. Dengan kata lain, apa yang ada dalam genre fantasi ni semuanya khayalan belaka dan bukannya wujud di alam nyata." Ilya menyepetkan matanya.

"I see, manusia dah anggap kewujudan golongan spirit sebagai mitos semata-mata sehigga kewujudan mereka hanya layak wujud dalam genre fantasi. Samalah juga dengan Dark Arts? Apa pula yang mereka maksudkan sebagai ahli magis?" Pelbagai persoalan timbul di benak fikiran Ilya.

Tidak puas hati, Ilya meneruskan pencariannya dengan membuka pula laman sesawang yang lain. Rata-ratanya menunjukkan hasil yang lebih kurang sama. Ilya tidak berpuas hati. Dia terbaring di atas lantai biliknya sambil memandang siling. Dia buntu.

"Ha, kan dah kata. Kakak perlukan pertolongan Zaf," sergah Zaf secara tiba-tiba.

Ilya bangun semula dari pembaringannya. Dia memandang Zaf yang masih tersengih. Zaf terus menunggu Ilya menyatakan keinginannya untuk meminta bantuan Zaf.

"Yalah, yalah. Kakak mengalah. Kakak nak kamu terangkan serba sedikit apa yang kamu tahu tentang Dark Arts." Akhirnya Ilya mengalah.

"Zaman dulu, manusia teringin sangat untuk mendapat lebih daripada apa yang mereka ada sekarang ni dan meminta bantuan dengan golongan spirit seperti kami. Masa tu, manusia tak macam ni. Mereka semua amat menghormati dan takut dengan kami. Kami memang hidup co-exist bersama manusia. Kami hidup harmoni dan saling membantu antara satu sama lain," terang Zaf dengan nada teruja.

"Kenapa kakak rasa macam baca buku cerita kanak-kanak je dengar cerita kamu ni. Lagi satu, mana kamu tahu cerita ni, kamu mana pernah hidup masa zaman tu?" Ilya tidak mempercayai kata-kata Zaf.

"Betul apa yang saya cakap ni kakak, lagipun walaupun fizikal saya ni masih seperti kanak-kanak, umur saya dah 1000 tahun tau," ujar Zaf sambil berpeluk tubuh. Dia dengan bangganya menceritakan tentang umurnya yang sebenar.

Ilya merenung Zaf dari atas hingga ke bawah sambil menyepetkan matanya.

"Boleh percaya ke cakap kamu ni?" tanya Ilya dengan perasaan penuh syak dan wasangka.

"Fuh, taknak percaya sudahlah," balas Zaf pula sebelum memuncungkan mulutnya. Zaf terus menghilangkan dirinya.

Ilya mula buntu. Dia sudah tidak tahu dari mana lagi harus dia mencari jawapannya.

***

Sekolah Menengah Sains GEN-01 Bandar Medici.

Sistem pendidikan di Bandar Medici terbahagi kepada tiga peringkat iaitu sekolah rendah, sekolah menengah bawah dan sekolah menengah atas. Setiap anak-anak yang dilahirkan di Bandar Medici diberi pendidikan seawal usia tujuh tahun lagi. Peringkat sekolah rendah menempatkan pelajar berusia tujuh tahun sehingga 12 tahun. Subjek yang ditawarkan pula terdiri daripada subjek-subjek asas. Kemudian mereka meneruskan pula pembelajaran mereka di sekolah menengah selama tiga tahun iaitu sampai umur 15 tahun.

Manakala, peringkat sekolah menengah atas pula menempatkan pelajar berusia 16 tahun yang akhirnya akan menamatkan pembelajaran mereka pada usia 18 tahun. Peringkat sekolah menengah atas ditawarkan beberapa aliran mengikut apa yang diminati para pelajar. Namun begitu, aliran sains tulen diberi keutamaan. Hal ini kerana, Bandar Medici banyak menempatkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang berkaitan perubatan dan yang sealiran dengannya. Justeru itu, kebanyakan pelajar di bandar itu disediakan untuk berkerja dalam bidang perubatan.

Sekolah menengah atas pula dinamakan mengikut daerah terletaknya sekolah itu dan institusi pengajian tinggi yang digandingkan bersama sekolah itu. Setiap institusi pengajian tinggi pula berkerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan masing-masing. Sekolah yang menempatkan Ilya menuntut ilmu terletak di District 01. Bandar Medici dibahagikan kepada beberapa kawasan dan dinomborkan mengikut kepentingan satu-satu kawasan itu. Setiap kawasan dipanggil dengan nama District. Sekolah menengah itu pula digandingkan bersama Universiti GEN iaitu institusi pengajian tinggi yang berkerjasama dengan Institusi Penyelidikan GEN, sebuah institusi penyelidikan yang mengkhususkan kajian berkaitan genetik.

Ilya mula menyusun langkah untuk pulang ke rumahnya setelah tamat sesi pembelajaran di sekolah. Dia berjalan dengan langkah bersahaja di koridor. Langkahnya terhenti apabila terdengar seseorang memanggilnya dari belakang.

"Ilya! Ilya!" Ilya berhenti sejenak kemudian meneruskan langkahnya.

"Ilya! Tunggu sayalah!" Suara itu memanggil lagi apabila melihat gadis itu tidak mempedulikannya.

"Ilya Harissa!" kata sang empunya suara itu sambil memeluk tubuh Ilya dari arah belakang. Langkahan kaki Ilya terhenti dek bebanan yang terlampau berat di belakangnya.

"Kenapa awak panjat badan saya, Layla? Awak ingat saya ni pokok apa?" tanya Ilya dengan nada mendatar.

Gadis berambut biru dan bermata biru itu menjawab, "Dah, awak taknak berhenti bila saya panggil tadi. Jadi saya terpaksalah buat counter measure."

Gadis berambut biru itu bernama Layla Almyra. Dia merupakan sahabat karib Ilya merangkap satu-satunya kawan di sekolahnya. Dia seorang gadis yang periang dan ramah dengan semua orang, songsang dengan sifat Ilya. Ilya pula amat dingin dengan semua orang dan amat jarang tersenyum. Mukanya langsung tidak menunjukkan sebarang ekspresi persis anak patung.

"Awak nak pergi mana lepas ni Ilya?" tanya Layla dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.

"Kedai buku," jawab Ilya ringkas.

"Kedai buku? Wah, nak ikut nak ikut!" kata Layla persis kanak-kanak riang. Ilya tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap sifat keanak-anakan yang ditunjukkan Ilya. Dia hanya mempercepatkan langkahnya untuk keluar dari sekolah itu.

***

"Ilya! Ilya! Awak nak beli buku apa ya?" tanya Layla masih lagi dalam keadaan teruja.

"Novel," jawab Ilya tiada perasaan.

"Wah! Sejak bila pula awak ni pandai baca novel? Selalunya bila saya ajak baca novel mesti awak mengelakkan? Hmmm ... ni mesti ada apa-apa ni kan?" Layla mengusap dagunya seperti orang sedang berfikir. Langkahnya dihentikan.

Ilya tidak menunggu Layla. Dia meneruskan langkahan kakinya.

"Ilya! Tunggu!" Layla yang baru perasan Ilya meninggalkannya terus mempercepatkan perjalanan untuk mengejarnya. Tercungap-cungap Layla dibuatnya kerana mengejar kawan karibnya.

"Laju betul awak ni jalan," kata Layla setelah berjaya mengatur semula nafasnya.

"Hmmm...."

"Okey, berbalik kepada topik tadi. Ilya, awak nak beli novel genre apa?" sambung Layla sambil meneruskan perjalanannya.

"Fantasi."

"Fantasi? Wah! Hmmm interesting!" Layla menjadi semakin teruja. "Tapi kenapa fantasi?" Layla ingin tahu sebab Ilya memilih untuk membeli novel genre fantasi.

"Adalah sebabnya," balas Ilya malas. Ilya terus berjalan hingga sampai ke destinasi yang dituju iaitu Kedai Buku Orbis Sensualium Pictus iaitu kedai buku terbesar dan paling terkenal di seluruh Bandar Medici. Sengaja Ilya memilih kedai buku ini supaya dia boleh membeli buku yang diingini sebanyak-banyaknya.

Kedai Buku Orbis Sensualium Pictus menawarkan pelbagai pilihan buku daripada buku akademik, buku bukan fiksyen, novel, buku komik, buku cerita kanak-kanak, majalah dan apa sahaja bahan bacaan yang ada. Kedai buku ini tingginya tujuh tingkat menunjukkan betapa banyaknya buku yang ditawarkan di situ. Sampai sahaja di kedai itu, Ilya terus menuju ke arah seksyen yang menjual novel.

Ilya pergi ke sebuah rak buku yang dipenuhi dengan novel-novel fantasi. Dia mengambil sebuah buku yang menarik perhatiannya. Layla pula sudah melekat di seksyen yang menempatkan novel-novel cinta. Dalam masa yang sama, matanya masih ralit memerhatikan gerak-geri Ilya. Dia benar-benar ingin tahu kenapa Ilya tiba-tiba sahaja berminat untuk membaca novel.

Ilya menyemak helaian demi helaian buku yang berada di tangannya sekarang. Sedang dia asyik menyemak buku itu tiba-tiba sahaja batang tubuhnya terlanggar seseorang.

Dbuk!

Dengan tiada perasaan Ilya memandang orang yang dilanggarinya tadi. Orang itu adalah seorang lelaki berambut kelabu dan mempunyai iris mata berwarna merah, sama betul seperti yang dilihatnya di dalam mimpi. Ilya terpanar seketika. Lelaki itu pula hanya memandang Ilya dengan renungan kosong.

"Maafkan saya, saya tak nampak tadi," kata lelaki itu sebelum berlalu pergi. Ilya masih lagi terpaku di tempatnya. Hatinya meronta-ronta untuk berkenalan dengan lelaki itu namun tidak kesampaian. Dia hanya mampu membiarkan lelaki itu pergi meninggalkannya. 

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.