Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,066
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 13

NENEK-NENEK

"Kakak, kita dah sampai!" kata kanak-kanak itu dengan riang sekali. Langkah mereka berdua dimatikan.

Tersentak lamunan Ilya tatkala mendengar kanak-kanak itu bercakap dengannya. Di hadapannya sekarang sebuah kawasan yang agak lapang. Terdapat beberapa batang pohon merimbun tumbuh di sekeliling kawasan itu. Rumput di kawasan ini lebih pendek daripada rumput yang dijumpainya sebelum ini. Rumput di kawasan itu seperti telah dipotong pendek, seolah-olah ada orang yang menjaga kawasan ini dengan rapi.

Di tengah-tengah kawasan lapang itu terdapat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain dengan riang dan gembira. Mereka semua kelihatan sebaya dengan kanak-kanak misteri yang membawa Ilya ke tempat ini. Sekumpulan kanak-kanak itu sedang membentuk sebuah bulatan. Ada seseorang yang duduk di tengahnya. Mata kanak-kanak yang duduk di tengah ditutup dengan sehelai kain berwarna hitam.

Sekumpulan kanak-kanak yang membentuk bulatan itu berpegangan tangan sesama mereka lalu mula bergerak mengelilingi kanak-kanak itu. Mereka menyanyikan sebuah lagu. Lagu itu tidak pernah didengar Ilya sebelum ini.

Nenek-nenek si bongkok tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari cucu di mana ada,
Nenekku kahwin dengan nak raja,

Selepas sekumpulan kanak-kanak itu berhenti menyanyi, mereka semua terus menghentikan pergerakan masing-masing. Kanak-kanak yang berada di tengah bulatan itu mengukirkan senyuman yang mengerikan.

"Sumpah kamu semua jadi lumpuh!" teriak kanak-kanak itu. Sebelah tangannya dihulurkan ke hadapan. Serentak itu semua kanak-kanak di sekelilingnya menjerit ketakutan. Mereka semua memegang kaki masing-masing.

Giliran kanak-kanak di tengah pula sambung menyanyi.

Cucu-cucu tak dapat lari,
Nenek ada banyak sakti,
Sekarang nenek nak cari ganti,
Siapa terkena dia yang jadi,

Dia berjalan menghampiri seorang demi seorang kanak-kanak itu sambil bernyanyi. Nadanya berbunyi lebih menyeramkan daripada sebelum ini. Tangannya dilalukan ke hadapan seperti sedang cuba mencapai tubuh rakannya namun dia tidak dapat menangkap seorang pun. Setiap kanak-kanak yang berhadapan dengannya akan menggeledingkan badan masing-masing ke belakang sedikit demi mengelakkan daripada ditangkap.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka terleka sedikit lalu tubuhnya didakap kuat oleh kanak-kanak yang menjadi nenek di tengahnya.

"Dapat tangkap!" katanya dengan begitu kuat. Kanak-kanak malang yang menjadi mangsa itu kelihatan ketakutan.

Sementara itu, kanak-kanak lain bersorak gembira kerana lega mereka terlepas daripada menjadi mangsa seterusnya.

"Ira?" tanya kanak-kanak yang sedang memeluk itu.

"Bukan." Kepala kanak-kanak yang berada dalam dakapan itu menggeleng laju.

"Maya?"

"Bukan juga." Sekali lagi kepalanya digelengkan laju.

"Eli?"

"Pun bukan." Reaksinya sama seperti tadi, digelengkan kepalanya dengan laju.

"Mereka teka nama agaknya," agak Ilya. Dia masih berdiri tercegat memerhatikan gelagat mereka bersama kanak-kanak yang membawanya ke sini tadi.

"Hana?" Dia masih lagi tidak berputus-asa untuk cuba meneka.

"Y ... bukan!" Kali ini kanak-kanak itu seperti menafikannya dengan begitu agresif.

"Ya, betullah tu Hana," balas yang lain dengan penuh teruja.

"Yeay, betul! Hana jadi! Hana jadi!" teriak kanak-kanak itu selepas membuka ikatan di kepalanya. Dia terlompat dengan riang sekali.

Hana membuat muka kelat. Dia berasa tidak puas hati kerana namanya berjaya diteka dengan betul. Keadaan ini menunjukkan dia bakal mengambil peranan sebagai nenek selepas ini.

"Hei, kawan-kawan! Saya ada bawa kawan baru ni. Apa kata kita main dengan dia pula?" cadang kanak-kanak yang berada di sebelah Ilya walaupun tanpa persetujuan daripadanya.

Mereka semua menoleh ke arah Ilya serentak. Masing-masing menayangkan seringai yang mengerikan. Mata masing-masing berwarna hitam keseluruhannya.

"Hei, Malique! Kenapa ambil masa lama sangat? Penat kami tunggu tau!" jerkah salah seorang daripada mereka.

"Alah, maaflah. Lagipun aku dah bawa dah seorang manusia ke sini," balas kanak-kanak yang bernama Malique.

Seraya itu, sekumpulan kanak-kanak itu menghampiri Ilya dan Malique lalu mengerumuni mereka berdua.

"Sebab kakak tetamu istimewa kami, kakak dululah jadi," ujar seorang kanak-kanak perempuan yang berada di hadapannya.

"Ya, kakak jadi. Peraturannya pun special buat kakak. Kalau kakak menggigil, kakak kalah," sambung Malique pula. Mulutnya menyeringai seraya mempamerkan sebaris gigi yang tajam. Kata-kata Malique itu disambut dengan hilai-tawa daripada kanak-kanak lain.

"Betul tu. Kalau kakak kalah, kena denda," tambah Hana pula.

Sebelum sempat Ilya berkata apa-apa, sekumpulan spirit itu sudah membentuk sebuah bulatan di sekeliling Ilya. Salah seorang daripada mereka mengikat kain untuk menutup mata Ilya yang telah pun duduk di tengah bulatan itu.

Sejurus selepas kain itu diikat di kepalanya, pandangan Ilya terus bertukar gelap keseluruhannya tanpa sebarang cahaya. Dia seperti berada di tempat yang sangat gelap. Cahaya langsung tiada walau sedikit pun, cuma kedengaran suara kanak-kanak ketawa mengilai berserta bunyi desiran tapak kaki yang berjalan di atas dedaunan kering. Bunyinya begitu mengerikan.

Sekumpulan kanak-kanak itu mula membentuk bulatan seperti tadi. Tangan mereka bergandingan. Mereka mula bergerak dalam pusingan dan menyanyikan sebuah lagu.

Nenek-nenek si bongkok tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari cucu di mana ada,
Nenekku kahwin dengan nak raja,

***

"Ilya? Awak dengar tak saya cerita ni Ilya?" Layla yang masih tidak menyedari ketiadaan Ilya terus bercakap tanpa henti.

Tiada jawapan.

"Ilya?" Layla mula berasa aneh lalu menoleh ke sebelahnya.

Ilya dilihat tiada di sisinya. Langkahan kakinya serta-merta dihentikan. Dia berpusing 360 darjah untuk mencari kelibat Ilya. Matanya meliar memerhatikan persekitaran sekolah untuk mencari di mana Ilya berada sekarang namun dia tidak menjumpai apa yang dicarinya.

"Ilya!" Layla mula panik.

"Alamak! Ilya hilang. Macam mana ni? Baik aku bagitahu Cikgu Rosmaria sekarang!" kata Layla lalu bergegas mencari gurunya merangkap sepupu Ilya.

***

Setelah lagu itu habis dinyanyikan, mereka semua terus berhenti berpusing. Sepatutnya Ilya sambung menyanyi dan menangkap salah seorang daripada kanak-kanak tersebut, tetapi mereka semua ada perancangan yang lain. Sudah namanya pun spirit, memanglah tidak boleh dipercayai.

Malique tersengih. Dia mula berjalan perlahan-lahan ke arah Ilya. Ilya masih berdiri statik di tengahnya. Matanya masih tertutup. Sementara itu, kanak-kanak lain hanya mendiamkan diri.

Baru beberapa langkah sahaja sebelum Malique menghampiri Ilya, satu tendangan dikenakan tepat di kepalanya. Kepala Malique terus jatuh tergolek di atas tanah dan berhenti betul-betul di sebelah kaki Ilya.

Ilya menyedari ada sesuatu yang bergolek di sebelahnya. Sementara itu, badan yang telah hilang kepalanya masih berdiri statik di tempatnya. Tiada darah yang menyeruak daripada tubuh itu sebaliknya ia hilang menjadi debu-debu perak yang berterbangan. Kepala yang tergolek itu turut menerima nasib yang sama.

Ilya dapat mendengar kanak-kanak lain di sekelilingnya seperti berteriak marah. Dia juga dapat mendengar derapan tapak kaki menghampirinya. Ikatan di kepalanya dibuka lelaki itu. Sebaik sahaja Ilya membuka matanya, kelihatan sekujur tubuh seorang lelaki di hadapannya. Rambutnya kelabu. Iris matanya berwarna merah.

Dia ialah Arya Shaputra! Lelaki misteri yang dijumpainya di koridor sebelum ini.

Terbeliak mata Ilya tatkala melihat kelibat Arya Shaputra berada di hadapannya. Wajahnya kelihatan tenang.

"Arya Shaputra?" ujar Ilya terkejut tetapi dengan suara lirih.

"Kan saya cakap tadi hati-hati. Waktu senja begini memang banyak spirit berkeliaran," kata Arya mendatar.

"Maca...." Kata-kata itu tidak sempat dihabiskan Ilya kerana Arya membuat isyarat senyap kepada Ilya.

"Kita tak ada banyak masa," potong Arya sambil matanya ralit memerhatikan keadaan di sekelilingnya.

Rupa kanak-kanak di sekeliling mereka berubah dalam sekelip mata. Rupa mereka yang sempurna seperti manusia asalnya berubah menjadi rupa yang menakutkan. Rupa mereka kelihatan seperti manusia baru lepas melalui pembedahan, berbalut dan bertampal di sana-sini. Wajah mereka pula begitu bengis ibarat harimau mahu menerkam mangsanya. Salah seorang daripadanya hilang sebelah tangan.

Ilya terkejut seketika, namun dia berjaya menenangkan dirinya semula. Dia sudah terbiasa melihat perkara menakutkan di hadapan matanya. Arya masih berdiri tenang di tempatnya. Sebelah tangannya digenggam perlahan. Satu cahaya berwarna putih yang memanjang keluar daripada tangannya yang digenggam. Cahaya itu membentuk sebilah pedang, pedang daripada cahaya. Ilya tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Ini ke yang dinamakan sebagai Dark Arts?" soal Ilya di dalam hatinya.

"Serang manusia itu!" arah salah seorang daripada kumpulan itu bertindak sebagai ketua.

Seraya itu, mereka semua terus meluru ke arah Ilya dan Arya serentak. Arya memasang kuda-kuda. Dia bersiap-siaga untuk menerima serangan daripada spirit.

"Ilya Harissa, jangan jauhkan diri daripada saya," pesan Arya dengan nada tenang. Ilya mengangguk laju tanda akur dengan permintaan Arya.

Arya melibas pedang cahayanya ke arah seekor spirit yang menghampiri mereka berdua. Dengan sekali libas sahaja, spirit itu menghilang menjadi debu-debu halus berterbangan. Selepas itu, satu demi satu spirit menghampiri Arya untuk berlawan dengannya. Arya dengan cekapnya melibas satu demi satu spirit yang meluru ke arahnya.

Ilya terkesima. Dia berasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya di hadapan mata. Walaupun dia selalu berhadapan dengan spirit, namun apa yang berada di hadapannya sungguh luar biasa. Dia tidak pernah melihat manusia yang mempunyai kuasa luar biasa seperti Arya sebelum ini.

Selepas itu, beberapa spirit cuba menyerang Arya serentak. Mereka semua sudah mengerumuni Arya. Arya kekal tenang. Dia tidak membuang masa. Daripada bertahan, dia bertukar kepada posisi menyerang. Dia melompat ke arah spirit yang berada di hadapannya untuk melancarkan serangan. Kepala spirit yang menjadi mangsa itu dipenggal dengan rakus sekali. Sejurus itu, Arya melibas pedang cahayanya ke arah spirit yang berada di sebelahnya. Setiap satunya tumpas di tangan Arya.

Arya memusingkan tubuhnya untuk menghayun pedang ke arah spirit yang berada di belakang. Dia menghayunkan lagi pedangnya untuk melibas beberapa ekor spirit yang berada di sekelilingnya.

Satu demi satu spirit tumpas di tangannya. Ren mencungap kepenatan. Matanya dikalih ke kiri dan kanannya untuk mencari kelibat spirit yang masih belum diuruskan. Senyap-sunyi. Semuanya sudah berjaya dibunuh Arya. Tiba-tiba Arya menyedari ada sesuatu yang dia terlupa. Ilya tiada di sisinya! Dia terlampau sibuk berlawan sehingga dia terlupa akan Licorice.

"Arrgh!" Kedengaran suara Ilya menjerit tetapi suaranya seperti tersekat.

Arya berpusing untuk melihat ke arah dari mana datangnya suara itu. Ilya dilihat sedang dicekik lehernya. Tubuhnya yang kecil tergantung di udara. Kakinya terjuntai ke bawah tidak menjejak tanah. Dia dilihat sedang meronta ingin melepaskan dirinya.

"Ilya!" teriak Arya terkejut. Ren mengetap giginya menahan geram.

"Aduh, macam manalah aku boleh cuai ni!" keluh Arya lagi.

Salah satu spirit mengambil kesempatan mencekik Ilya apabila melihat Arya sibuk menguruskan spirit lain. Tangannya mempunyai kuku yang runcing. Sebelah lagi tangannya dilalukan di hadapan muka Ilya. Sedikit lagi hujung kukunya yang tajam lagi hitam itu menembusi muka Ilya.

Ilya hanya mampu mengelakkan mukanya daripada dicakar spirit itu. Matanya dipejam rapat. Dia berasa amat takut untuk menatap wajah bengis spirit di hadapannya. Lidahnya kelu untuk berbicara.

Arya terkejut melihat perkembangan itu namun dia cuba berlagak tenang. Nafasnya yang mencungap kerana menumpaskan beberapa ekor spirit sebentar tadi diatur kembali agar boleh bernafas dengan baik. Matanya merenung tajam spirit itu.

Spirit itu mengeluarkan hilai-tawa menyeramkan yang juga menjengkelkan. Ketawanya itu kedengaran sungguh panjang. Sampai bingit telinga Ren dan Licorice dibuatnya.

Dengan pedang yang masih digenggam di sebelah tangannya, Arya mula menapak perlahan ke hadapan. Dia cuba menghampiri spirit itu untuk menyelamatkan Liquorice.

Saat Arya cuba menghampiri spirit yang mencekik Ilya, cengkaman di leher Ilya dikuatkan. Muka Ilya berkerut menahan kesakitan. Suaranya sudah tidak kedengaran lagi.

"Jangan hampir manusia! Jika kamu bergerak ke hadapan walau selangkah sekalipun, aku akan cakar muka teman wanita kau ni!" ugut spirit itu dengan membuat andaian tidak berasas.

Arya menghentikan langkahnya. Dia mengatur semula rancangannya untuk menyelamatkan Ilya. Pedang cahaya di tangannya dihilangkan. Spirit itu tersenyum puas. Dia berasa dia telah menang. Arya memejamkan matanya seraya menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia membuka matanya perlahan-lahan.

"Hahaha, manusia kamu memang bodoh! Kamu sangkakan kamu boleh tewaskan kami dengan kuasa kamu yang lemah tu ke? Huh!" hina spirit itu pula.

"Kenapa kamu ni suka sangat ganggu hidup manusia? Tak boleh ke kamu biarkan manusia hidup dengan aman?" soal Arya dingin sekali. Matanya merenung tajam spirit berwajah hodoh di hadapannya.

"Kamu yang cari nahas dengan kami! Kawan-kawan aku semua dah mati. Jadi sekarang ni aku nak balas dendam. Jadi memang patutlah aku ambil nyawa dia ni sebagai bayaran," balas spirit itu sambil melemparkan pandangan yang menjengkelkan ke arah Ilya.

Arya tidak memberi sebarang reaksi apa-apa. Dia statik di tempatnya.

"Arrgh!" Spirit itu berteriak kesakitan. Cengkaman di leher Ilya menjadi longgar dan akhirnya terlepas. Seraya itu, Ilya terjelepok ke bawah. Spirit itu dilihat sedang memegang kedua-dua lehernya sambil melutut. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

Ilya terbatuk-batuk setelah lama lehernya dicekik. Dia mencungap-cungap mencari nafas semula. Oksigen disedut sepuas-puasnya untuk memastikan dia mendapat tenaga semula. Setelah nafasnya diatur kembali, Ilya memandang spirit itu yang masih menahan kesakitan.

Sejenis tali daripada cahaya putih menjerut lehernya perlahan-lahan menjelma pada pandangan Ilya. Tali cahaya itu memanjang sehingga ke tangan Arya. Arya berjalan ke arah spirit yang dijerutnya dengan langkah bersahaja. Renungannya tajam persis pemangsa yang ingin menerkam mangsanya.

Setelah Arya berada berhampiran dengan spirit itu, dia menghasilkan pedang daripada cahaya seperti sebelum ini. Dengan muka tiada perasaan, pedang itu dilibas ke arah spirit itu. Pedang cahayanya membelah tubuh spirit itu kepada dua. Badan yang sudah terbelah itu hancur menjadi debu sebelum menghilang terus daripada pandangan mata.

Keadaan senyap seketika setelah spirit terakhir itu ditewaskan. Ilya masih tergamam setelah memerhatikan apa yang Arya lakukan sebentar tadi. Arya masih membelakanginya, lalu berpaling. Dia menghulurkan tangan ke arah Ilya untuk membantunya bangun. Ilya menyambut huluran tangan itu dengan teragak-agak.

"Kamu tak apa-apa?" tanya Ilya prihatin.

"Tak, terima kasih kerana selamatkan saya tadi." Ilya menunduk ke bawah kerana berasa malu dengan Arya.

"Maafkan saya kerana cuai tadi," balas Arya semula setelah melepaskan tangan Ilya yang dipegang sebentar tadi.

"Takpa, saya yang cuai tadi kerana membiarkan spirit memerangkap saya tadi," balas Ilya semula.

Ilya senyap seketika sebelum kepalanya diangkat semula untuk menghadap muka Arya. Dia ingin bertanya sesuatu. "Apa yang kamu buat tadi tu Dark Arts ke?" Soalan itu diajukan dengan harapan Arya dapat memberitahunya sesuatu tentang Dark Arts.

Belum sempat Arya membuka mulutnya untuk menjawab, tempat itu menghasilkan gegaran yang amat kuat. Ilya dan Arya terkejut dengan gempa bumi yang datang secara tiba-tiba. Tiba-tiba tanah di kawasan itu merekah dengan pantas sekali.

"Kita kena cari jalan keluar dari dimensi ni!" teriak Arya.

Walau bagaimanapun, mereka tidak sempat berbuat apa-apa. Rekahan tadi lebih pantas merebak lalu memecahkan tanah tempat mereka berdua berpijak kepada beberapa bahagian. Secara spontan, Ilya dan Arya mencapai tangan masing-masing untuk memastikan mereka berdua tidak terpisah. Seluruh dimensi itu runtuh dalam sekelip mata menampakkan sebuah ruang yang putih keseluruhannya. Satu cahaya putih menerangi mereka berdua lalu menenggelamkan kedua-duanya dalam lautan cahaya.


Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.