KETURUNAN
"We have arrived at our destination," kata satu suara robotik perempuan yang keluar daripada dron itu.
Suara itu mengejutkan lamunan Arya dan Ilya yang tenggelam dalam perasaan masing-masing. Ketika dron itu melewati ruang udara Bandar Historia, masing-masing ralit memerhatikan panorama bandar itu dari atas. Mereka dapat lihat dengan jelas struktur bangunan di bandar itu.
Nilai estetika struktur bangunan di bandar itu cukup tinggi. Seni binanya mengekalkan ciri-ciri tradisional, tetapi dalam masa yang sama turut menggabungkan ciri-ciri moden kontemporari.
Dron itu mendarat elok di perkarangan sebuah rumah dua tingkat. Pintu dron itu terbuka. Arya dan Ilya membuka tali pinggang masing-masing lalu melangkah keluar. Kaki masing-masing memijak rumput nan menghijau di perkarangan rumah tersebut. Rumah dua tingkat itulah rumah milik Farma Falindra, bapa saudara Arya.
Ilya terpegun seketika melihat rumah dua tingkat yang diperbuat daripada kayu tersebut. Rumah itu tidaklah besar sangat, tetapi seni binanya kelihatan unik sekali. Seni binanya menggabungkan ciri-ciri tradisional dan moden dengan harmoni. Perkarangan rumah itu ditanam dengan pelbagai jenis tanaman herba dan pokok bunga yang berwarna-warni.
"Ni ke rumah pakcik awak Arya? Ke kita silap rumah ni?" soal Ilya tidak percaya.
"Betul. Saya tak silap. Saya dah pergi banyak kali dah. Ini bukan kali pertama," ujar Arya memberi kepastian sambil menatap wajah Ilya.
"Dah, jom kita masuk rumah," ajak Arya lalu mula menghayun langkah.
"Pakcik awak kerja apa?" soal Ilya sambil menuruti langkah Arya.
"Historian," jawab Arya pendek tanpa memandang ke arah Ilya di sisinya.
"O ...," balas Ilya.
Arya dan Ilya terus berjalan sehingga sampai di hadapan tangga kayu di hadapan pintu rumah Farma. Memandangkan rumah bapa saudara Arya ini merupakan rumah tiang tinggi, mereka berdua perlu menaiki tangga kayu yang dibina di hadapan pintu untuk naik ke rumah.
"Dah sampai pun kamu, Arya," sapa Farma yang telah pun terjongol di muka pintu. Dia tersenyum mesra ke arah Arya dan Ilya. Berlainan benar dengan Farma yang sentiasa kontang daripada ekspresi pada wajahnya.
"Marilah naik ke rumah," pelawa Farma mesra.
Ketika Arya ingin membuka kasut yang dipakainya, dia ternampak kelibat sepasang kasut yang dikenalinya.
"Kayril pun ada di sini juga ke?" Laju sahaja Arya mengajukan soalannya. Ilya sudah pun selesai menanggalkan sandal bertali yang dipakainya.
"Hah, Kayril pun ada. Marilah naik, jumpa dia sekali," pelawa Farma sekali lagi yang masih berdiri tercegat di hadapan pintu.
Ilya dan Arya terus menapak perlahan selangkah demi selangkah ke atas untuk memasuki rumah Farma.
"Kayril tu sepupu awak ke Arya?" soal Ilya sambil menaiki tangga rumah itu.
"Taklah, dia jiran sebelah rumah pakcik saya. Dia memang selalu datang sini pun," jelas Arya.
Setelah mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah Farma, Ilya dapat lihat hiasan dalaman rumah Farma yang kelihatan begitu unik. Rumahnya walaupun berkeluasan sederhana, tetapi penuh dengan perhiasan barang-barang antik dari segenap pelosok dunia.
Mata Ilya melingas memerhatikan persekitaran. Di suatu sudut rumah itu, terdapat sebuah rak buku yang tinggi bertingkat-tingkat dan penuh dengan pelbagai jenis buku. Kelihatan seorang remaja lelaki yang sebaya dengan mereka berdua sedang sibuk menelaah sebuah buku di situ. Dia duduk di sebuah sofa yang dikhaskan di ruang bacaan itu.
Tanpa Ilya sedari, dia terus mengatur langkah ke arah rak buku tersebut. Dia tidak tahu apa yang menarik perhatiannya, sama ada buku-buku yang tersusun cantik di dalam rak ataupun budak lelaki yang sedang ralit membaca buku itu. Arya turut mengekori langkah Ilya. Farma pula hanya memerhatikan sahaja tingkah dua orang remaja itu.
'Kau memang tak berubah, Arya. Dari dulu kau memang suka datang sini dulu bila masuk rumah,' desis hati Farma sambil tersenyum sendiri.
Kayril sudah jauh tenggelam dalam dunia buku yang dibacanya, sampai tidak perasan langsung akan kehadiran Arya dan Ilya di sisinya. Dia nampaknya sedang khusyuk membaca sebuah buku yang agak tebal. Dilihat pada tajuknya, buku itu mungkin buku Sejarah. Di rumah Farma ini, memang penuh dengan buku-buku Sejarah.
"Kayril, kau dah lama ke sampai?" tegur Arya yang sudah pun duduk bersila di atas permaidani di ruangan itu. Ilya turut duduk bersimpuh di sisi Arya.
Kayril menghentikan bacaannya seketika. Penanda buku diperbuat daripada benang diletakkan di muka surat yang sedang dibacanya sebelum diletakkan di atas meja kecil di hadapan sofa tersebut. Pandangannya dikalihkan ke arah Arya di sisi.
"Eh, Arya! Bila kau sampai?" soal Kayril terkejut dengan kehadiran anak saudara kepada jirannya itu.
"Baru je," balas Arya pendek.
"Yang kat sebelah kau tu siapa? Girlfriend kau ke?" soal Kayril merujuk kepada Ilya. Sempat lagi dia menyakat.
"Ha'ahlah, pakcik pun nak berkenalan juga dengan bakal isteri Arya ni. Sibuk sangat kamu berdua ni, sampai tak sempat nak berkenalan dulu." Datang Farma tiba-tiba menyampuk perbualan. Dia juga ikut menyakat. Farma mengambil tempat di sisi Arya.
"Taklah, kawan je," nafi Arya malu-malu. Ilya membuat muka selamba di sisi Arya. Langsung tidak terkesan dengan usikan mereka berdua.
"Oh, okey. Gurau je, gurau je. Anyway, nama saya Kha Kayril Manas. Boleh panggil saya Kay atau Kayril. Saya tinggal kat rumah sebelah ni je." Kayril memperkenalkan dirinya kepada Ilya terlebih dahulu tanpa dipinta. Jarinya menuding ke arah sebuah rumah sebuah dua tingkat yang boleh dilihat melalui jendela di sisinya.
"Ni pakcik saya belah ayah. Khazar Farma Falindra." Arya turut memperkenalkan bapa saudaranya kepada Ilya.
Ilya tidak mula memperkenalkan dirinya walaupun sudah tiba giliran. Sebaliknya hanya terpegun seketika sambil memandang pelik ke arah mereka bertiga.
"Kenapa kamu semua memperkenalkan diri dengan surname kamu?" soal Ilya ingin tahu.
"Sebab di bandar ni, Bandar Historia, kami amat menitik beratkan surname kepada mana-mana family yang mewarisinya," jelas Arya.
Ilya terdiam sejenak. Kagum mendengarnya. Sistem di bandar ini kelihatan unik sekali.
"Kenapa?" soal Ilya mula menunjukkan minatnya.
"Surname yang diwarisi setiap family membawa nilai dan maksud yang tersendiri. Dari segi sejarah, keluarga-keluarga yang mewarisi surname banyak memainkan peranan yang penting suatu ketika dahulu. Mereka memberi sumbangan yang signifikan dalam membentuk pembangunan bangsa kita. Malah, sesetengah keluarga merupakan keluarga bangsawan suatu ketika dahulu," terang Farma teruja.
"Memandangkan surname mempunyai nilai yang tinggi dalam Sejarah, jadi, Datuk Bandar Historia meminta keluarga yang memiliki surname agar gunakannya dalam majlis formal dan masa perkenalkan diri macam nilah," sambung Kayril akan penerangan Farma.
Sekali lagi Ilya kagum mendengarnya. Terbit rasa cemburu di kalbunya mendengar penjelasan mereka berdua. Dia berasa teringin pula untuk tinggal di bandar ini. Manakan tidak, sudahlah bandar ini penuh dengan maklumat dan sumber Sejarah, seni bina bangunannya unik, malah, sistem di bandar ini pun lain daripada yang lain.
"Oh, ya. Ilya, awak belum memperkenalkan diri lagi, kan?" Arya mengingatkan Ilya akan sesuatu yang dia lupa. Terlampau teruja mendengar penerangan mereka berdua sehingga terlupa memperkenalkan dirinya.
"Saya Ilya ... Ilya Harissa." Ilya memperkenalkan dirinya dengan suara perlahan dan teragak-agak. Entah kenapa saat ini dirinya terasa kerdil dengan tiga orang insan di hadapannya ini.
"Oh. Surname kamu? Takkan kamu takda surname, kan? Orang macam kamu ni biasanya datang dari keluarga yang ada surname." Farma memerhatikan iris mata berwarna merah milik Ilya dengan penuh minat.
"Surname? Oh, Amary. Amary Ilya Harissa. Penting sangat ke kamu semua nak tahu surname saya tu?"
"Oh, kamu dari keluarga Amary ke? Nanti kejap saya nak semak buku saya jap. Rasa keluarga ni famous suatu ketika dahulu." Farma bingkas bangun lalu berjalan ke arah rak bukunya. Dia mencari-cari sebuah buku.
"Keluarga Amary. Keluarga ni dulu banyak menjadi sarjana, ilmuwan, ahli falak dan ahli Matematik. Kira keluarga bijak-pandailah kamu ni, Ilya." Belum sempat Farma menjumpai buku yang dicarinya, Kayril telah terlebih dahulu menceritakan apa yang dia telah hafal melalui pembacaannya.
Farma menghentikan pencariannya lalu berjalan semula ke tempat duduknya tadi.
"Pakcik baru je nak cari buku. Nampaknya kamu dah hafal isi kandungan buku susur-galur keturunan tu," ujar Farma setelah duduk semula di tempatnya.
Sekali lagi Ilya berasa kagum. Kali ini dia kagum dengan kebijaksanaan yang ditonjolkan Kayril. Dia menatap wajah pemuda itu dengan penuh kekaguman.
"Ilya, tak perlu kagum dengan saya. Ini special attribute saya je. Cara saya berfikir dan kebijaksanaan saya sama je macam manusia lain. Eh, kamu tahu ke pasal special attribute? Arya dah cerita ke?" Kayril memandang wajah Arya pula.
"Dah. Aku dah cerita sikit. Aku ingat aku nak bawa dia pergi HQ Exorcizans. Bagi dia pendedahan sikit tentang dunia spirit. Kau tak kisah kan?" Arya bertanya kepada Kayril.
"Apa pula tanya aku?" Kayril menjawab soalan dengan soalan.
"Bawa je Arya. Dia layak dan patut mengetahuinya," sampuk Farma pula.
"Exorcizans tu apa? Ada ke HQ dia kat bandar ni?" soal Ilya tidak tahu-menahu.
"Sini cawangan je. Pusat dia kat Bandar Physica," beritahu Farma.
"Kat Bandar Medici takda cawangan juga ke?" soal Ilya lagi.
"Takda. Bandar tu je takda. Mungkin sebab kat Bandar Medici tu jumlah magi paling sedikit kot," telah Arya sambil merenung jauh.
"O ... paling sikit. Padanlah susah nak jumpa. Kat bandar ni mesti ramai, kan?" Ilya mengajukan soalannya lagi.
"Ramai. Kalau tak silap bandar ni paling ramai, walaupun Organisasi Exorcizans tu berpusat di Bandar Physica," terang Kayril menjawab soalan Ilya.
"Tadi kamu ada cakap pasal special attribute, kan? Apa kaitan dengan perbincangan kita tadi?" Ilya kembali semula kepada topik persoalan.
"Special attribute? Takda apa, cuma saya punya special attribute mengingat dengan mudah apa yang saya baca," jawab Kayril.
"Macam eidetic memory ke?" soal Ilya inginkan kepastian. Dia pernah terbaca tentang kebolehan mengingat dengan sekali imbas sahaja. Eidetic memory atau photographic memory ialah kebolehan mengingat apa sahaja yang dilihatnya seperti sebuah kamera yang merakam segalanya.
"Tak. Cara dia mengingat ni pelik sikit. Mesti awak rasa pelik kalau dia ceritakan nanti," celah Arya.
"Macam mana?" soal Ilya ingin tahu.
"Buku yang saya dah baca. Lepas saya tutup buku, bila-bila masa je, apa yang saya baca ni akan timbul kat mana-mana. Teks dalam buku tu macam terapung je kat udara. Bila tulisan tu hilang, saya dah ingat semuanya automatik dan takkan lupa lagi dah. Sebiji sama macam dalam buku. Words by words," cerita Kayril.
"Okey, ni memang pelik." Reaksi spontan Ilya tatkala mendengar cerita Kayril.
"Kata dah," sambut Kayril sebelum tergelak.
"Ehm, rancak berbual nampak. Jemput minum dulu," tegur Kanon sambil meletakkan dulang berisi minuman untuk tetamu ke atas meja di ruang tamu. Mereka berempat terus memandang ke arah Kanon di ruang tamu serentak.
Kanon merupakan isteri kepada Farma. Paras rupa isteri Farma yang jelita benar-benar menarik perhatian Ilya. Kanon mempunyai rambut berwarna hitam pekat sepanjang paras punggung. Iris matanya berwarna merah, sama seperti Farma suaminya dan Arya anak saudaranya.
Ilya perhatikan sahaja pakaian yang dikenakan wanita itu yang baginya agak asing dan tidak pernah dijumpainya di mana-mana.
"Maaflah, Alezia. Rancak sangat berbual sampai lupa nak pelawa mereka minum," ucap Farma sambil berjalan ke arah isterinya di ruang tamu.
Kedua-dua pasangan suami isteri itu tersenyum mesra sambil menatap wajah masing-masing.
"Kenapa panggil saya dengan nama tu?" soal Kanon manja dan malu-malu.
"Saja, sebab awak ada dua nama, kan?" balas Farma dengan nada mengusik.
"Arya, kenapa makcik awak ada dua nama pula tu?" soal Ilya berbisik kepada Arya.
Baru sahaja Arya ingin menjawab, Farma sudah mempelawa mereka bertiga untuk menjamu hidangan yang disediakan Kanon. Mereka bertiga terus berjalan ke ruang tamu.
"Sebenarnya saya pun tak tahu. Pakcik Farma tak pernah cerita," jawab Arya turut berbisik sambil mengatur langkah ke ruang tamu.