Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
35,579
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 10

10

Suasana ruang tamu rumah banglo agam itu menjadi agak suram. Ustaz Akram dan tiga orang rakannya membaca ayatul kursi berulang-ulang kali. Mereka juga menyuruh yang lain membacanya. Baca dengan kuat dan yakin. Makhluk yang merasuki Qasyaf bukanlah makhluk yang sama merasuki Qausar. Makhluk itu jauh lebih kuat dan degil. 

“Apa yang kau mahukan dari budak tu?” Jelas dan tegas suara ustaz Akram bertanya.

Disambut dengan suara mengilai yang amat menyeramkan. “Nyawa budak ini. Haha..”

“Jangan harap! Sekali pun aku tak akan izinkan. Siapa yang hantar kau ke mari?”

Makhluk itu hanya mengilai. Sesekali lidah Qasyaf terjelir keluar.

“Siapa yang hantar kau ke mari?!”

“Kau ingat senang macam tu je ke aku akan jawab?”

“Apa yang kau inginkan?!”

“Hahaha! Nyawa budak Ini! Memang hobi manusia ke suka bertanya soalan yang sama banyak kali?” Makhluk seperti itu pun pandai bersarkastik.

Ustaz Akram sedaya upaya menahan amarahnya. Itu memang kerja syaitan. Suka sangat mempermainkan manusia. “Aku masih berlembut dengan kau. Sebelum aku bertindak menyakiti kau, beritahu siapa tuan kau?!”

“Inderawan! Tapi atas persetujuan budak ini dan Inderawan sendiri.”

Perjanjian apa pula kali ini? Syaf masih tidak serik lagi ke atas apa yang sudah berlaku dulu? Encik Fakhri bertanya pada dirinya sendiri. “Tipu! Syaf tahu mana yang betul dan mana yang salah. Keluar dari tubuh anak aku sekarang syaitan terkutuk!”

Qasyaf tersengih mendengar amarah papanya. Kemudian dia menggilai dengan kuat. Kedudukannya yang berada di siling rumah tiba-tiba sahaja dengan pantas berada di sebelah papa. Dia yang sedang bercangkung disebelah papa, menyeringai.

“Kau tak kenal lagi siapa sebenarnya puteri kau ni, Fakhri! Dia mampu buat jauh lebih teruk dari ini, seperti mana dia hapuskan saudara kandungnya sendiri. Atau kau nak aku buktikan dengan cara dia hapuskan ayah kandung dia? Hahah!” Tangan runcing Qasyaf mencekik papa. Tenaga encik Fakhri yang sepatutnya jauh lebih kuat dari tenaga Qasyaf langsung tidak dapat melawannya. Qausar dan Qoyyim yang berada disebelah encik Fakhri berusaha melepaskan papa mereka dari cengkaman Qasyaf. 

“Jangan kacau aku!” Marah Qasyaf apabila ustaz Akram memegang umbunnya sambil membaca ayat ruqyah. Cengkaman dileher papa dilepaskan dan dia terus mencakar muka ustaz Akram sehingga meninggalkan kesan calar. Puas hatinya.

Tidak sedikit apa yang diusahakan ustaz Akram terkesan pada mahkluk yang berada dalam tubuh Qasyaf. Dia kemudiannya menyuruh tiga orang rakannya duduk mengelilingi Qasyaf. Seorang di depan, kiri dan kanan Qasyaf. Manakala ustaz Akram berada dibelakang Qasyaf. Mata Qasyaf tetap bulat umpama hampir terkeluar biji matanya. Sebelum ustaz Akram memulakan bacaan ruqyah syar'iyyah, ustaz Akram meminta izin encik Fakhri untuk memegang belakang Qasyaf. Dia angguk tanda membenarkan.

“Hahaha... aku jauh lebih berkuasa daripada kalian! Persetujuan harus ditunaikan... dia sudah berjanji. Aku hanya menuntut janjinya!” 

Ustaz Akram dan yang lain tidak membalas apa yang makhluk itu katakan. Mereka masih tetap membaca ayat ruqyah tanpa henti dan berulang-ulang kali.

Tubuh Qasyaf mulai tidak keruan. Dari duduk bercangkung sampai lah dia duduk berlunjur kaki merenung rakan ustaz Akram yang berada dihadapannya. Dia tersenyum seram kepadanya.

“Kau baca salah.. salah! Salah! Hahaha..” Makhluk dalam tubuh Qasyaf menggelakkannya dan cuba mempermainkan rakan ustaz Akram itu. Dia cuba menghilangkan fokus ustaz tersebut. “Ish! Panaslah! Pergi main jauh!” Qasyaf menolaknya dengan kuat sehingga tersandar pada dinding. “Baca salah ada hati nak kenakan aku! Aku baca lagi betul dari kaulah manusia.”

Ustaz itu langsung tidak mempedulikan lontaran kata-kata makhluk itu. Dia bingkas bangun dan duduk semula di posisinya. Hampir sebelas kali bacaan ruqyah dibacakan, Qasyaf kelihatan menggelupur kepanasan. Hilang sudah mata birunya, yang kelihatan cuma mata yang berwarna putih. Lidahnya terjelir keluar. Kepalanya disenget. 

“Keluar dari tubuh anak ini atau aku akan sembelih kau wahai makhluk terkutuk!” Kali ini ustaz Akram memulakan kembali sesi soal jawab. “Keluar!”

Kepala Qasyaf tergeleng-geleng minta simpati. “Panas pa.. tolong .. sakit sangat..” Suara makhluk itu bertukar menjadi suara Qasyaf yang sebenar. Air mata Qasyaf mengalir keluar tetapi matanya masih putih. “Panas pa.. panas sangat.”

“Syaf..” Sedikit sebanyak encik Fakhri dan yang lain termakan dengan rayuan Qasyaf.

“Jangan kau cuba menipu manusia lagi. Aku tak akan mudah percaya dengan mainan kau syaitan yang dilaknat! Encik Fakhri! Berikan saya pisau sekarang.” Ustaz Akram mengarah encik Fakhri mengambil pisau untuk tujuan menyembelih makhluk terkutuk itu. Pisau ditangan bertukar ke tangan ustaz Akram. 

“Sanggup papa suruh ustaz ni bunuh orang?” Makhluk itu mula ketakutan apabila dia melihat ustaz Akram dan yang lain tidak termakan dengan permainannya. “Tolong jangan bunuh aku. Aku cuma ikut arahan tuan aku!” Dia merayu.

“Siapa kau? Dan siapa tuan kau? Kali ini cakap terus terang kalau kau tak mahu disembelih oleh aku.”

“Aku Seera. Inderawan tuan aku. Atas persetujuan Qasyaf Ilmi dan Inderawan, aku disuruh mengacau dan memporak-perandakan keluarga ini dan mengambil nyawa Qasyaf sebagai upah. Aku hanya menjalankan tugas aku. Tolong jangan bunuh aku.” Ujar makhluk itu seolah merayu pada ustaz Akram.

Encik Fakhri, puan Aulia dan yang lain terjeda dengan apa yang baru saja mereka dengari. Tidak mereka sangka Qasyaf sendiri dalang dalam semua ini. 

“Bohong! Tak mungkin budak sementah ini mampu buat apa yang kau katakan!” Ustaz Akram tidak mudah mempercayai kata-kata makhluk yang pandai menipu itu. Masih ada banyak benda yang cuba makhluk itu sembunyikan. “Baik kau katakan yang benar atau aku betul-betul sembelih kau Seera?!”

“Tak mungkin aku berani menipu di saat aku bakal dibunuh oleh kau wahai manusia.” 

Di akhir percakapannya, Qasyaf tersenyum sinis pada ustaz Akram sebelum ustaz Akram membaca ayat suci al-quran dan menghalakan pisau ke leher Qasyaf seolah dia benar-benar menyembelihnya. Selepas dia menyembelih makhluk yang ada dalam tubuh Qasyaf, makhluk itu disimpan di dalam botol dan dikunci rapi oleh ustaz Akram. Manakala tubuh Qasyaf menggelupur hebat seperti Qasyaf benar-benar disembelih oleh ustaz Akram. Mata Qasyaf yang putih mula bertukar biru kembali. Lidah yang tadinya terjelir keluar, sudah tidak lagi. Jantung yang terhenti berdenyut, berdenyut semula. Muka yang putih tanpa darah, makin lama makin kelihatan normal seperti biasa.

Encik Fakhri mendekati Qasyaf. Dia masih terkejut dengan apa yang baru saja dia dengari tapi dia tak boleh cepat menghukum Qasyaf seperti dulu. Dia tahu makhluk itu sengaja ingin memporak-perandakan hubungan mereka sekeluarga. Makhluk itu memang sengaja buat mereka menjarakkan diri daripada Qasyaf sekali lagi.

Air bacaan ruqyah yang dihulur ustaz Akram, dituang papa ke dalam gelas dan diberi pada Qasyaf. Dengan lemah Qasyaf meneguk air tersebut. Tekaknya terasa perit untuk menelan air bacaan ayat ruqyah tersebut. Tidak semena-mena Qasyaf memuntahkan darah dan paku yang dibaluti rambut dan diikat dengan benang. Bukan satu tapi tujuh paku seperti itu dimuntahkan Qasyaf.

“Jangan tinggal solat. Lazimi Al-Fatihah, ayatul kursi, surah tiga Qul dan selawat ke atas Nabi setiap kali selepas solat. Dan kalau boleh bila ada masa terluang, baca.” Pesan ustaz Akram pada Qasyaf. “Ada yang hantar santau pada anak encik Fakhri. Dia nak hantar pada encik tapi terkena anak encik.”

“Siapa yang sanggup buat kami macam ni? Saya rasa saya tak pernah lagi kacau hidup sesiapa. Inderawan pun saya tak pernah dengar namanya. Apa yang dia tak puas hati pada saya sekeluarga?” Nada encik Fakhri agak tertekan dengan apa yang sedang berlaku. “Kesian Syaf. Lepas satu, satu yang menggangunya.” Tambahnya sambil menggosok belakang Qasyaf yang masih lemah. Lega hatinya bila Qasyaf masih hidup. “Hampir saja kami kehilangan dia tadi.”

“Sabarlah encik. Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan pada kita, baik, dan tidak meninggalkan kesan, tapi pada orang lain mungkin sebaliknya. Berdoalah pada Allah supaya Dia sentiasa melindungi encik dan keluarga encik. Saya pada mulanya pun tertipu dengan mainan sihir Inderawan tu, dia cuba mengaburi kita dengan buat seolah Qasyaf sudah tidak bernyawa.”

“Maksud ustaz?”

“Saya pun kurang pasti hal ini. Tapi ada sihir yang boleh mengaburi manusia. Qasyaf hidup tapi kita nampak dia dah tak ada. Jarang benda ni berlaku tapi pernah saja berlaku satu ketika dahulu.” Terang ustaz Akram. Dia nak terang lebih pun dia sendiri tidak pasti tentang sihir yang digunakan Inderawan tadi. Dia hanya pernah dengar kewujudan sihir seperti itu suatu masa dahulu. 

Ustaz Akram pandang jam di dinding yang menunjukkan pukul 8.05 malam. Dia berlalu meminta izin untuk mengambil wuduk dan solat maghrib di rumah itu. Selesai solat maghrib, ustaz Akram bersama tiga rakannya meminta izin encik Fakhri untuk memagar sekeliling kawasan rumah banglo mereka. 



Qasyaf dipimpin papa dan Qoyyim menaiki tangga untuk berehat dibiliknya. Badannya terlampau sakit dan penat. Dia ingat semua yang berlaku pada dirinya. Dia sedar tapi dia tidak boleh mengawal diri sendiri. Baru sahaja Qasyaf duduk di atas tilam miliknya. Pintu bilik ditolak bunda. Bunda melangkah mendekati Qasyaf. Dia meletakkan air botol yang diberi ustaz Akram di atas meja di sisi katil Qasyaf. Kemudian bunda berdiri dihadapan Qasyaf. Lama bunda berdiri tanpa sebarang kata.

“Bunda..”

‘Pap!’

Qasyaf tergamam. Terkejut dengan apa yang dia dapat dari bundanya sendiri. 

“Kenapa buat bunda macam ni, Syaf? Kenapa buat benda-benda syirik macam tu? Tahukan benda tu berdosa besar?! Apa salah kami pada Syaf sampai buat macam tu hah?! Syaf memang tak pernah berubah!” Amarah bunda akhirnya terhambur keluar. Air mata kecewa bunda mengalir deras. Qoyyim yang berada di dalam bilik itu membuka langkah menuju ke pintu ditempat Qausar, Qaseh dan Qolbi berdiri. Mereka tidak berani masuk campur dalam urusan bunda, papa dan Qasyaf.

Papa pegang bahu bunda. “Lia, bagilah Syaf rehat dulu. Penat dia tak hilang lagi.” Lemah saja pujukan papa. Fikirannya juga buntu memikirkan apa yang dikatakan si Seera tadi. Perjanjian apa yang Qasyaf lakukan dengan Inderawan? Siapa Inderawan? Dan kenapa Qasyaf nak porak-perandakan keluarganya sendiri?

Entah kenapa kata-kata papa dan bundanya itu umpama bilah pisau yang menikam hati Qasyaf. Dia betul-betul rasa sakit dengan semua ini. Bunda awal-awal lagi, bukan awal-awal tapi dari dulu tak pernah percayakan dia. Tapi sekarang, papa pun seolah sudah mula tidak mempercayai dirinya. Bukan dia. Walaupun pernah suatu ketika dulu terlintas difikiran dia nak lakukan benda terkutuk itu. Tapi itu dulu, tika hatinya sekeras batu dan sehitam vantablack. Sekarang, dia terlampau sayangkan keluarganya. Sayang sangat-sangat. Tak mungkin dia sanggup buat macam itu. 

Ya Allah. Dugaan apakah yang engkau berikan pada aku? Rintih hati Qasyaf. Hatinya sakit. Badannya terlampau penat untuk lalui semua ini. Dia cuma inginkan rehat.

“Percayalah bunda.. pa.. bukan orang. Orang sayang bunda, orang sayang papa. Orang sayang keluarga kita. Percayalah bunda... bukan orang.” Serak suara Qasyaf merayu. Dia memeluk kaki bunda yang berdiri dihadapannya sekarang.

Bunda menahan sebak. Dia pun tidak mahu benda itu benar-benar kenyataan yang betul. Rasa kehilangan Qasyaf, sama saja ketika dia kehilangan dakapan anak sulungnya. Dia memeluk Qasyaf. “Bunda nak sangat percayakan Syaf. Tapi Syaf selalu saja hilangkan kepercayaan bunda pada Syaf.” Bunda pegang kedua-dua bahu Qasyaf. “Okay sekarang terus-terang dengan bunda, kenapa Syaf nak porak-perandakan keluarga kita? Mana Syaf kenal Inderawan?”

Qasyaf gigit bibir bawahnya. Air matanya bertambah deras. Kepalanya tergeleng-geleng mendengar persoalan bundanya.

“Syaf..” Bunda merayu sambil menggocang sedikit bahu Qasyaf apabila Qasyaf hanya menggelengkan kepalanya.

Papa memegang bahu bunda. “Sudah lah Lia. Ustaz Akram sendiri cakap, syaitan tu memang sengaja menipu kita. Mereka tu banyak helah nak porak-perandakan manusia.” Papa tarik bunda dari terus memaksa Qasyaf. “Syaf rehat dulu malam ni. Esok tak payah pergi sekolah. Papa pun akan cuti esok.”



Kereta yang dipandu ustaz Faiz menuju ke satu kawasan yang gelap dan berhutan lebat. Kawasan hutan yang jauh kepedalaman. Sengaja dia dan rakannya memilih untuk menanam botol yang di dalamnya ada jin yang bernama Seera di kawasan yang jauh daripada manusia.

“Nak masuk jauh lagi ke?” Tanya ustaz Faiz yang menjadi pemandu.

“Kita masuk jauh sikit lagi. Lagi bagus jauh-jauh supaya tiada siapa yang akan terjumpa botol ni.” Jelas ustaz Akram yang berada di kerusi sebelah pemandu.

Ustaz Faiz angguk dan terus meluncur lebih jauh. “Akram, kenapa kau tetap nak pagar rumah tu? Banyak lagi makhluk yang menghuninya selain si Seera ni.” Soal Ustaz Faiz. Dia pada mulanya memang tidak bersetuju apabila rakannya itu mahu memagar rumah encik Fakhri tanpa membuat sepenuhnya pembersihan. “Itu bukan cara kau Akram.”

“Kita terpaksa Faiz. Mereka dah menghuni tanah yang tidak sepatutnya dikacau. Aku pagar rumah tu pun sebab nak halang Inderawan dari terus menghantar makhluknya yang lain. Inderawan tu bukan calang-calang orang. Mahkluk yang dia hantar pun degil dan berkuasa. Lagipun Qasyaf dah buat persetujuan yang tidak sepatutnya dengan Inderawan. Untuk langkah berjaga-jaga, kita kena pagar rumah itu dulu dari jin Inderawan, lepas tu tanam Seera dan akhir sekali baru kita datang balik rumah encik Fakhri untuk buat pembersihan sepenuhnya. Buang semua makhluk-makhluk yang menghuni rumah itu. Nak buat semua itu perlukan tenaga kerja yang ramai dan mahir.” Jelas Ustaz Akram.

“Betul juga apa yang kau cakap tu. Bila kita nak datang balik sana?”

“Aku dah bincang dengan encik Fakhri, dia setuju buat esok.”

Tiba-tiba kereta yang dipandu ustaz Faiz terasa berat dari sebelumnya. Botol ditangan ustaz Akram pun terasa panas dan berat.

“Astaghfirullah!” Mengucap mereka berdua. Lantas masing-masing membaca ayatul kursi. Ada makhluk lain pula yang sedang menumpang kenderaan mereka selain Seera yang berada di dalam botol.

“Lepas simpang depan tu, terus belok kanan.” Arah ustaz Akram. 

“Allahu Akbar!” Laung Ustaz Faiz apabila makhluk yang menumpang di atas keretanya terlekat dicermin depan kereta. “Akram? Makhluk ni nampak macam Seera je.”

Ustaz Akram tidak menjawab.

“Akram?” Mata ustaz Faiz tertumpu pada botol yang berada di tangan ustaz Akram. Penutupnya sudah terbuka.

“Haha.. ada hati nak bunuh aku! Aku Seera! Belaan terkuat Inderawan. Aku tak akan mati begitu mudah manusia.” Kata Seera yang telah merasuki tubuh ustaz Akram.

Faiz yang kelihatan terkejut, terus menekan pedal minyak dan menyebabkan kereta mereka meluncur laju ke dalam gaung yang berada di hadapan.

“Hahah! Selamat jalan... Keluarga itu milik kami!” Seera ketawa besar apabila melihat kereta yang dipandu Ustaz Faiz dan dihuni Ustaz Akram selamat terjatuh ke dalam gaung yang agak dalam.


Previous: Bab 9
Next: Blurb

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.