Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
35,580
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

2

Qasyaf terjaga apabila kereta yang dipandu papa berhenti dihadapan rumah banglo yang baru dibina. Rumah banglo dua tingkat setengah ini baru dua minggu siap dibina. Dan hari ini keluarganya secara rasmi merasmi rumah ini. Mata yang mula segar bertambah segar apabila dihujani pemandangan yang hanya dia sahaja yang boleh melihatnya. Bulu romanya bagaikan berlumba-lumba untuk merinding ketakutan. 

Rumah apakah ini? Tanah apa yang mereka jejaki? Itu yang berlegar difikiran Qasyaf saat anak matanya berlari memandang hadapan.

“Okay! Jangan lupa tolong papa angkut keluar barang-barang ya. Papa tak nak tengok ada yang lengang kangkong.” pesan Papa.

Tanpa sedar Qasyaf melepaskan keluhan berat tapi dia cuba untuk sembunyikannya. Baru kemarin dia pulang ke pangkuan keluarganya setelah hampir enam bulan tinggal bersama atok dikampung. Dia tak mahu ada lagi sengketa antara mereka dan dia. Sejak kemarin secara pandangan purata mata manusianya, mereka sekeluarga menerima baik kepulangannya. Perlu ke dia beritahu mereka apa yang terhidang di depan matanya saat ini? Banglo agam ini bukan banglo biasa. Penghuninya juga bukan untuk manusia!

“Pa..”

Qausar abang kepada Qasyaf membuka pintu kereta. Dia turun dan menggeliat. Perjalanan tiga jam setengah dari rumah lama mereka agak memenatkan sendi dan otot badan. 

“Kenapa Syaf?”

“Tak ada apa.” bunyi pintu yang dibuka Qausar membuatkan Qasyaf tidak jadi bertanya dari mana papanya beli tanah untuk buat rumah banglo ini.

“Macam mimpi je kita pindah masuk rumah besar macam ni,” Qausar bersuara sambil mengangkat beg galas ke bahunya. “Abang nak bilik depan, pa dah janjikan?” 

“Asalkan abang tolong papa angkat beg-beg dalam kereta tu.”

Qausar angkat tabik tanda dia akan menurut arahan papa. Tak susah manapun nak angkat barang-barang dalam bonet tu tapi yang susahnya bila ada orang yang senang lenang berdengkur tanpa mempedulikan kepenatan orang lain. Mata Qausar mula tidak puas hati melihat adik perempuannya enak berdengkur dikerusi hujung belah kiri kereta. Mulutnya didekatkan ke telinga Qaseh.

“Oi bangun lah!”

Terus terjaga adiknya itu. “Abang!”

“Ingat tuan puteri ke hah? Bangun tolong abang dan yang lain angkat beg kat belakang.” bebel Qausar sambil bercekak pinggang. “Qaseh sayang! Amboi sesedap je kau angkat patung kau lepas tu tinggal beg kau kat belakang macam tu je!”

Qaseh menjelir lidahnya dan berlari masuk ke dalam rumah banglo mereka tanpa mempedulikan arahan Qausar. Suka sangat tambah sayang.

“Tak patut. Abang ingat dengan cara abang jerit kat telinga Qaseh tu dia akan dengar cakap abang. Tet! Memang tak lah.” 

Lantas beg yang berat itu diletakkan ke atas tangan Qasyaf. “Korang berdua ni sama saja.”

Terkebil-kebil Qasyaf mengangkat beg tersebut. “Abang!” Kurang asam punya abang!

Qasyaf hanya mampu merungut. Selesai menghantar tubuh Qausar dengan ekor matanya, dia alihkan pula pandangan ke garaj kereta. Kepala digeleng laju bila budak lelaki tak berbaju tersengih padanya. Budak lelaki itu mungkin dalam lingkungan umur tujuh ke lapan tahun. Tubuhnya kurus tetapi perutnya agak berboncet. 

“Jangan cakap dia nak..” cepat-cepat Qasyaf membuka langkah seribu bila budak lelaki itu berlari ke arahnya. “Gila ke apa budak tu?” bebelnya sendirian bila kakinya berjaya mendarat ke dalam rumah. 

“Siapa yang gila ni Syaf?” soal papa yang muncul tiba-tiba.

“Pa… terkejut orang!”

“Ada-ada saja lah kamu ni Syaf.” Papa melangkah ke kereta semula.

Masa Qasyaf memerhati papa, dia lihat budak lelaki yang tak berbaju tu berdiri ditepi kereta sambil menjelir lidah padanya.

Haraplah hati kau sado, Syaf! Omelnya dalam hati.



“Bunda, kenapa rumah kita je atas bukit ni? orang tak nampak rumah orang lain pun.” Qaseh bertanya sambil tangannya memangku kepala adik bongsunya Qolbi yang elok menyusu botol diribanya. Dia orang yang paling manjakan Qolbi kerana jarak umurnya dengan Qolbi 12 tahun dan selama 12 tahunlah dia pernah menjadi si bongsu. “Bunda tak rasa seram ke?”

Bunda menggeleng. Qaseh selalu berfikiran yang bukan-bukan. Sejak mereka mendengar khabar gembira daripada papa mereka lagi, Qaseh sudah bertanya soalan yang diluar bayangan orang lain. Tak takut hantu ke? Ada penjaga ke? Macam-macam lagilah soalannya.

“Jangan cakap benda bukan-bukan lagi. Kita dah pun pindah sini.”

Qaseh tarik muncungnya. “Ala.. Orang tanya je. Manalah tahu rumah ni berhantu.. ke?”

“Bah!”

Hampir luluh jantung Qaseh disergah sebegitu. “Hish bencilah abang ni!”

“Nak sangat hantukan? Sergah sikit pun dah kecut perut.” 

“Orang tanya je pun. Bukannya nak jumpa sangat hantu tu. Lain lah kalau abang yang nak.” Qaseh tetap nak menang.

Qausar jeling. Malas nak melayan omelan Qaseh yang suka berfikir luar alam itu. Orang lain bahagia pindah masuk rumah baru, dia pula tak habis-habis dengan dogeng hantunya. “Bunda, Ayim tak bangun solat maghrib lagi. Penat dah abang kejut dia. Syaf pun dah tak lalu dah nak kejutkan.”

“Qaseh, hidangkan makanan kat atas meja. Bunda nak naik atas kejut Ayim.”

Qaseh hulur Qolbi pada Qausar. Qausar tanpa bantah pangku Qolbi yang sudah nyenyak tertidur. 

“Eh! Abang tak nampak pun kau solat lagi.” perli Qausar. “Cuti ke?”

Pantas Qaseh angkat penumbuknya. Mahu sahaja dia mendaratkan penumbuk ini ke pipi Qausar. Tak pernah faham-faham kalau perempuan tak solat tu, datang bulanlah jawabnya. Nak kena bagi penumbuk dulu ke baru faham?

“Tu pun nak marah ke? Abang tanya je pun.” Bibirnya tersengih nakal.

“Ah! Kenapalah orang dapat abang macam abang ni. Sehari tak menyakitkan hati memang tak sah!” Qaseh berjalan ke dapur sambil menghentakkan kakinya tanda protes. Manakala Qausar yang sedang meriba Qolbi ketawa terbahak-bahak bila dapat mengenakan adiknya itu.



“Nina bobo oh Nina bobo kalau tidak bobo digigit nyamuk…”

Qasyaf sedang sibuk memasang langsir didalam biliknya. Selesai memasang dibahagian kanan bilik, dia turun tangga tersebut dan mengambil langsir seterusnya untuk dipasang dipenjuru kiri pula. Kakinya terhenti apabila matanya ternampak batu besar yang tidak berapa jauh dari sliding door biliknya itu. Bulu romanya terangkat sendiri. Air liurnya tertelan. Seram melihat mata merah milik makhluk dibawah teduhan pokok tua yang sedang merenung biliknya.

Selesai memasang semua langsir, Qasyaf keluarkan sarung bantal dan katil untuk dipasang di tilamnya. 

“Adik sayang adikku sayang, tidurlah tidur dalam buaian…”

Si Qaseh ni bila lah nak membesar, lagu lapuk tu juga dia nak nyanyi. Umur dah lima belas tahun kot. Ingatkan lama tak jumpa perangai dah matang sikit. Qasyaf  membebel sambil tangan ligat memasang cadar.

“Syaf, tolong pasangkan langsir bilik orang. Tak berani nak naik tangga.” pinta Qaseh yang terus meluru duduk di atas katil Qasyaf. Dan tanpa serba salah Qasyaf menolak Qaseh jatuh ke lantai. “Sakitlah!”

Qasyaf sengih tiga saat. “Penat orang pasang tegang-tegang, boleh pulak Qaseh duduk. Patutnya orang yang rasmikan katil ni dulu.”

Sesuka hati saja Qasyaf menolaknya tanpa ada rasa serba salah. “Rasmi?” lantas Qaseh menarik cadar tersebut dan berlari keluar. “Nah! Rasmilah sekarang!” jerit Qaseh dari luar. Puas hatinya dapat mengerjakan Qasyaf yang tiada hati perut itu.

“Qaseh Syamina! Kurang kasih sayang betul lah kau ni.”

Qaseh terus berlari ke dalam biliknya tanpa mempedulikan jeritan Qasyaf.

“Nina bobo oh Nina bobo..”

Lagu lapuk ni lagi. “Qaseh! Boleh tak berhenti nyanyi lagu Nina bobo kau tu?! Sakit telinga!”

“..oh Nina bobo…”

“Qaseh sayang!”

“Apa! Orang tak pekak lagilah.” balas Qaseh membuka pintu bilik. “Kenapa jerit-jerit? Kena sampuk ke?”

“Dah lah tarik cadar orang lepas tu boleh pulak Qaseh nyanyi lagu lapuk tu lagi.”

Tarik? nyanyi? “Mimpi apa Syaf maghrib-maghrib ni? Baru je orang datang dari dapur, tolong bunda hidang makan malam. Dah, bunda ajak makan malam sama-sama.” Qaseh tutup semula pintu bilik Qasyaf.

Budak ni memang nak kenakan aku, fikir Qasyaf.

“Eh! Ke Syaf kena kacau dengan jiran sebelah tu?” sempat lagi Qaseh menolak pintu sedikit. “Hati-hati Syaf, orang sebelah tu tak pernah kena kacau. Jangan memandai nak tegur mereka. Sembang pun jangan. Sekali kena, susah nak dilepaskan.” sungguh seram kata-kata Qaseh yang penuh dengan ayat yang menakutkan.

Qasyaf menggeleng. “Jangan nak merepek.”

“Syaf dah ganggu mereka. Hati-hati.”

Sekali lagi Qasyaf menggeleng. Pandangannya tak akan mudah tertipu sebab dia boleh lihat apa yang orang lain tak boleh lihat. Malah lebih dari itu. Mana mungkin dia tertipu.

Qaseh memang suka menakut-nakutkan mereka adik-beradik. Kononnya rumah banglo yang dibina papa mereka ini ada penunggulah. Ada yang tak suka mereka pindah masuk sinilah. Macam-macam andaian Qaseh lontarkan. Itu semua hanya alasannya sahaja supaya keluarga mereka tak jadi pindah. Baginya dia sudah terlalu selesa tinggal dirumah lamanya.

Qasyaf mengorak langkah keluar bilik selepas siap memasang sarung tilam semula. Matanya sempat menangkap kelibat Qaseh yang baru keluar dari tandas dan masuk ke biliknya di sebelah tandas tersebut. Malas dia nak menegur Qaseh lagi. Rasanya Qaseh sendiri yang ajak dia makan malam tadi.

“Ayim nak pinggan tu.” Pinta Qasyaf yang duduk bersebelahan Qoyyim. Qoyyim merupakan adiknya dan Qausar tapi abang kepada Qaseh dan Qolbi.

“Nah.”

“Syaf pergi tambah nasi, ambil kat dapur.” suruh bunda sambil menghulurkan mangkuk yang yang hanya tinggal sedikit nasi di dalamnya. “Qaseh, lamanya ambil air tu, nak tercekik dah papa kamu ni!”

Qaseh muncul sambil memegang jug air kosong ditangannya. “Sorry, tadi air tertumpah, tu yang lama bebenar kat dapur.”

Terbeliak mata Qasyaf saat Qaseh muncul dihadapannya dengan jug ditangan. Baru je, baru sangat dia nampak Qaseh keluar dari tandas dan masuk ke biliknya tadi. Macam mana dengan secepatnya Qaseh boleh ada didapur dan membawa jug ke sini. Laluan antara bilik mereka dengan dapur adalah laluan yang bertentangan. Mustahil!

“Hah! Yang Syaf nampak orang macam nampak hantu ni dah kenapa?” Tegur Qaseh. “Syaf?”

Qasyaf masih dalam dunianya. Sah dia tertipu dengan permainan syaitan! Kenapa dia boleh tak perasan?

“Syaf?” 

Dengan pantas tangan yang mendarat dibahu Qasyaf, ditepis. Mangkuk yang ingin diisi nasi baru, terlepas dari tangannya. Terkejut dia dengan sapaan Qoyyim.

“Kenapa ni Syaf? Sakit balik ke?” resah soalan yang dilontarkan Qoyyim.

Tangan Qasyaf yang kesejukan digenggam perlahan. Jangan layan. Kau kuat. “Err.. orang okay. Orang nak tambah nasi kat dapur.” Dia terus mengambil semula mangkuk yang terjatuh tadi dan bergerak ke dapur.

Mereka yang berada diruang makan masing-masing terdiam dan berpandangan sesama sendiri. Risau dengan perubahan tingkah laku Qasyaf. Baru sahaja beberapa minggu lepas mereka dapat pengkhabaran daripada Tuan Haji Al-Amin yang Qasyaf telah sembuh sepenuhnya dari penyakitnya itu.

“Orang nak tengok Syaf jap.” Ujar Qoyyim

Jelas dipenglihatan Qoyyim, Qasyaf duduk bercangkung di hadapan kabinet dapur sambil memeluk lututnya. Mukanya pucat ketakutan. Peluh juga jelas kelihatan. Takkanlah sakit lagi? Ke Syaf ada nampak sesuatu yang menakutkan dalam rumah baru ni? Itu yang bermain difikiran Qoyyim.

“Kenapa? Sakit balik ke?”  

Perlahan sahaja Qasyaf menggeleng. 

“Ke.. ada benda kacau Syaf?”

“Tak… Mana ada.” Qasyaf angkat kepalanya. Dia tersenyum kelat. Mana mungkin dia melontarkan perkara ini lagi. Sekali dia buat salah, selamanya benda itu menghantuinya. “Orang rasa mainan syaitan je tadi tu.” Qasyaf cuba memujuk hatinya dan tidak merisaukan Qoyyim dan keluarganya yang lain. Baginya semua itu mainan syaitan. Syaitan memang tak pernah serik mengacau manusia.



“Abang! Kan papa suruh tutup semua pintu rumah tadi. Kenapa pintu ruang tamu kanan terbuka?” Papa menjerit dari pintu ruang tamu kanan.

Qausar yang baru saja mengunci pintu dapur berlari ke arah munculnya suara papa. Tak silap dia, dia dah tutup dan kunci semua pintu tadi. Pintu dapur, pintu terakhir dia kunci. Pelik?

“Eh! Abang dah kuncilah pintu ni tadi pa.”

“Abang terlepas pandang agaknya. Esok kunci betul-betul.” Ujar papa sambil menutup pintu yang terbuka. “Esok kalau papa tak pasang alarm sebelum pukul 10 malam, abang pasangkan ya. Lepas tu, gilir-gilir dengan Ayim kunci pintu rumah.”

Qausar angguk tanda akur. “Okay.”

Qausar masih memerhati pintu dihadapannya. Serius dia pasti, dia kunci pintu ini tadi. Ke dia terlepas pandang? Hmm.. terlepas pandang kot. Yalah, ini merupakan malam pertama mereka berpindah dirumah banglo sebesar ini. Yang memiliki lapan bilik dan dua ruang tamu. Setiap ruang tamu dan tujuh bilik memiliki pintu yang terus berhubung ke luar rumah. Jika nak dibandingkan dengan rumah lama mereka yang berteres dua tingkat dulu, memang sangat jauh berbeza. Betul lah tu, dia terlepas pandang tadi. Esok kena kira satu persatu pintu.

“Jauh termenung? Fikirkan apa?” Tegur Qaseh yang datang bersama Qoyyim. Mereka baru saja keluar dari bilik Qasyaf. “Papa jerit panggil abang kenapa tadi?”

“Tak ada apa. Syaf dah tidur?”

Serentak mereka berdua angguk.

“Ayim rasa penyakit Syaf datang balik ke?” Qausar bertanya minta pendapat. 

Qoyyim dan Qasyaf tidak lah rapat mana. Tapi jika nak dibandingkan antara mereka bertiga, Qoyyim lah yang agak rapat dengan Qasyaf. Selepas apa yang berlaku dua tahun lepas, tanpa mereka sedar Qasyaf berubah 180 darjah. Qasyaf jadi seorang yang agak pendiam dan suka buat hal sendiri. Dia lebih selesa pendam perasaannya sendiri. Kalau bukan disebabkan sikap Qoyyim yang suka menyiasat orang dan tidak pernah serik mencari cara untuk mengacau hidup Qasyaf, mungkin sampai bila-bila Qasyaf tak akan pernah cerita apa-apa pada mereka. Rahsia terbesar Qasyaf yang hanya diketahui oleh ahli keluarga mereka. Tapi sayang, rahsia itu disalah erti.

Qoyyim angkat bahu. “Entahlah. Rasanya tak kot. Mungkin penat sangat angkat barang siang tadi.”

“Mungkin,” Qaseh menambah. “Malam ni sebelum tidur korang jangan lupa baca al Mulk dan ayat kursi. Kita masuk kawasan baru ni.”

“Baiklah ustajah!” Qausar dan Qoyyim menjawab serentak. Faham benar dengar perangai ustazah Qaseh sayang sorang ni. “Eh jangan lupa angkat Qolbi kat bawah bawa tidur dengan Qaseh. Bunda penat pindah barang-barang dari semalam sampai hari ni. Kita orang pun penat angkat beg-beg kau yang kedabak besar tu.”

Qaseh mencebik geram. Elleh! Macamlah dia tak tolong angkat barang. Err.. memang tak pun sebenarnya.

“Nak cari alasan lah tu?” Qausar menyakat.

Qaseh menjeling. “Mana ada!” Dia bangun dari duduknya. “Dah lah nak masuk tidur, ngantuk!”

“Angkat Qolbi kat bawah!” Jerit Qoyyim menambah sakat abangnya tadi.

“Orang tahu lah!” 








Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.