Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
35,581
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

4

Hari ini hari pertama mereka kembali ke sekolah selepas ponteng selama dua hari atas faktor berpindah ke rumah baharu. Qoyyim dan Qaseh masuk ke sekolah yang sama seperti sebelumnya, cuma mereka sudah tidak layak untuk tinggal di asrama kerana jarak antara sekolah dengan rumah baru mereka hanya empat kilometer. Qasyaf yang sebelum ini bersekolah di Kuantan berpindah ke sekolah yang sama dengan adik-beradiknya yang lain. Manakala Qausar akan mendaftar masuk ke tingkatan enam bawah hari ini. Sepatutnya dua hari lepas lagi pendaftaran tingkatan enam bawah, tetapi dia hanya menunjukkan muka pada hari tersebut tanda dia akan mengambil tingkatan enam di sekolah yang sama.

“Siput lah abang ni, nanti kena denda.” Qaseh membebel seperti biasa. Dari sekolah rendah sampai sekarang dia, Qausar dan Qoyyim bersekolah di sekolah yang sama. Maka dia sudah terlampau lali dengan kelambatan siput abang sulungnya itu. Kalau masa zaman balik asrama dulu, pintu pagar dah terkunci baru sampai depan asrama. Itu pun dia diajar ikut laluan fly yang digunakan oleh budak-budak kaki fly. Sabar je lah. Yang hairannya, nama Qausar tetap menjadi perbualan guru-guru. Mentera apatah yang diguna abangnya sampai guru sayang sangat dengan dia.

“Rileks lah. Hidup kena selalu rileks baru cerah masa depan.” Balas Qausar sambil mengunyah mee goreng.

“Ish! Bunda tengok abang ni.. Nonsense gila pepatah dia.” Qaseh mengadu domba seperti biasa. “Kita dah lambatlah siput!”

“Yalah-yalah. Kurang kasih sayang betul budak sorang ni.”

“Abang.. bunda pun dah lambat ni.. cepat habiskan makanan tu. Mana yang lain? Bunda tak nampak pun?”

Qaseh menjelir lidah tanda kemenangan berpihak padanya. Qausar pula sekadar buat tak tahu saja.

“Ayim nak naik basikal. Syaf ikut saya sebab kena daftar sekolah.” Papa yang menjawab. 

Bunda menganggukkan kepalanya. Hari ini dia kena pergi hospital semula manakala suaminya masih berbaki sehari cuti. “Nanti bawa Qolbi sekali. Jangan biar dia sorang-sorang di rumah.”

“Hmm..”

“Dah jom gerak!” 



Papa dukung Qolbi dan membawanya ke ruang tamu sambil menunggu Qasyaf turun ke bawah. Jam sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi tetapi batang hidung Qasyaf langsung tidak kelihatan. Isteri dan anak-anaknya yang lain sudah dua puluh minit meninggalkan rumah.

“Syaf!”

‘Dush!’ Terdengar pintu bilik atas terbuka dan tertutup berselang seli dengan bunyi tapak kaki yang berlari. 

“Syaf! Buat apa tu? Dah lambat nak daftar sekolahkan?” Soal papa walau pada mulanya otaknya berfikir kejadian malam tadi. “Qasyaf!” Panggilnya lagi.

Jelas bunyi tapak kaki berlari turun ditangga. “Pa!”

“Allah!” Luluh sesaat jantung papa apabila orang yang memanggilnya bukanlah Qasyaf. “A.. Ayim tak pergi lagi?”

“Eh papa okay tak ni? Pucat je muka.”

Papa beristighfar tiga kali bagi menenangkan hatinya. “Ayim tak pergi sekolah lagi ke? Dah lambatkan sekarang.”

“Orang cari Syaf. Dari pagi tadi lagi orang tak nampak dia. Bunda cakap Syaf dalam bilik air tapi kosong je orang tengok. Bilik dia pun kosong.” 

“Ayim dah cari semua tempat ke?” Tanya papa kegelisahan dan di sambut dengan anggukkan dari Qoyyim. “Luar rumah?”

Mukanya agak terkejut. “Belum lagi.” 

Lantas kaki mereka mengorak untuk keluar rumah sambil mulut mereka menjerit memanggil nama Qasyaf. Betul sangkaan Qoyyim, Qasyaf yang keluar dari bilik papa dan bunda pagi tadi bukan Qasyaf yang sebenar. Sebab dia langsung tidak menjawab setiap orang yang menegurnya. Matanya juga sangat seram untuk dipandang.

“Syaf!”

“Qasyaf!”

Bahu papa dipukul Qolbi beberapa kali sambil tangan kanannya menunjuk ke arah batu besar dibawah teduhan pohon tua itu.

“Syaf!” Dengan cepat mereka mendapatkan Qasyaf yang sudah tidak sedarkan diri di situ. Bajunya penuh dengan lumpur dan dedaun gugur yang melekat. Di kaki dan tangannya ada kesan calar. Manakala suhu badannya panas membahang. “Pa, panas sangat!”

“Kita bawa pergi hospital.” Tambah papa. Apa yang sedang berlaku pada anaknya ini? Di kacau makhluk halus yang mengacau mereka semalam ke atau penyakitnya dulu kembali menyerang? Bermacam-macam andaian bermain difikirannya. Dia tidak tahu mana satu yang betul. 



“Bunda dah cakap jangan lupa makan ubat kamu ni ikut waktu yang ditetapkan. Tolonglah jangan degil lagi Syaf? Suka sangatlah tu buat bunda serabut dengan perangai entah apa-apa kamu tu?”

Qasyaf tak angguk mahupun geleng. Otak dia sendiri tengah serabut sekarang ni.

“Dah lah. Budak tu baru je pulih.” Papa cuba menenangkan bunda. Dia tahu bunda sangat tegas dengan Qasyaf semenjak kejadian dua tahun lepas. Tapi tidak patutlah dalam keadaan Qasyaf masih lemah sebegini dia dimarahi.

“Hmm.. makan ikut waktu.” Tegas bunda lagi dan melangkah keluar dalam hati yang masih membara bila mengingat apa yang baru sahaja berlaku. Baginya Qasyaf sangat degil dan tak pernah mendengar kata-katanya.

Sempat juga papa menggosok umbun Qasyaf sebelum melangkah mengejar bunda. “Lia..” 

Qasyaf memeluk lututnya. Badannya disandarkan ke dinding bilik. Mereka cakap dia tidak sedarkan diri selama dua hari selepas ditemui terbaring di atas batu besar sebelah biliknya itu. Dia memang tak ingat apa yang berlaku malam itu tetapi kejadian sebelum pergerakan dia dikawal makhluk busuk itu, dia masih ingat.

Menggigil seluruh tubuhnya apabila mengingati wajah hodoh yang berlubang itu. Kalau boleh dia tidak mahu kembali ke rumah ini semula. Kalau boleh dia mahu pindah keluar dari sini. Rumah banglo yang penuh dengan makhluk lain yang turut menjadi penghuni bersama mereka sekeluarga. Perlu ke dia memberitahu keluarganya yang lain tentang semua ini? Papanya mungkin percaya tapi bunda..? Seratus peratus akan anggapnya gila. Bunda, kenapa susah sangat nak percayakan orang?

Dia bukan tak perasan selama dia kembali semula dalam keluarga ini, bunda tak pernah buat eye contact dengannya. Marah benar bunda padanya.

Pintu bilik dikuak perlahan. “Syaf boleh kita orang masuk?” 

Qasyaf angkat mukanya dari tunduk menghadap tilam. Dia tarik senyum kelat. “Sejak bila pula pandai minta izin nak masuk bilik orang?”

Qaseh duduk disebelah Qasyaf manakala Qausar dan Qoyyim bersila di lantai beralaskan permaidani. 

“Macam mana Syaf boleh tertidur atas batu sebelah tu?” Qausar bertanya tanpa dakwa-dakwi. Dia sudah penat tertanya-tanya dalam fikirannya. Dua hari dia menunggu untuk melontarkan persoalan ini pada orang yang benar.

“Ish abang ni! Tak sabar langsung.” Qaseh menyampuk.

“Sibuklah.. abang tanya Syaf bukannya kau pun Qaseh!”

Qoyyim malas nak ambil bahagian dalam pergaduhan abangnya dan Qaseh. Dia bangun dan berjalan menghadap tingkap bilik Qasyaf yang betul-betul berhadapan dengan tempat Qasyaf terbaring dua hari lepas. Bilik Qasyaf di tingkat atas dan kedudukan batu besar yang diteduhi pohon tua itu, agak tinggi berbukit. Sebab itu kelihatan batu besar itu lebih dekat dengan bilik Qasyaf berbanding tingkat bawah.

“Ada apa-apa ke yang tak kena dengan batu besar tu? Kenapa malam tu Syaf tak bagi orang datang dekat dengan batu tu tapi akhirnya Syaf yang tertidur atas tu?” Soal Qoyyim dalam nada serius. Dia yakin semua ini ada kaitan dengan makhluk halus. Dan alarm.

“Ayim percaya ke kalau orang cakap perkara sebenar? Bunda akan percayakan orang?” 

Semua mata fokus ke arah Qasyaf yang bersuara. Qausar dan Qaseh kalau boleh tidak mahu dengar tentang hantu, jembalang dan sengakatan dengannya.

“Orang dah cakap yang orang akan percaya semua cakap Syaf. Ceritalah.” Qoyyim cuba menyakinkannya. Dia tidak mahu Qasyaf rasa apa yang Qasyaf rasa dulu. Perbuatan mereka terhadap Qasyaf dulu, hampir membuatkan mereka hilang Qasyaf buat selama-lamanya. Jadi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia sayangkan Qasyaf.

Qasyaf senyum dan tergelak tiba-tiba. Gelakkannya itu membuatkan matanya berair. “Main-main je lah. Rumah ni okay. Malam itu orang tak dapat tidur, tu yang ambil angin di luar. Tak sangka pula tertidur atas batu besar tu. Mungkin sebab cuaca sejuk, orang demam panas.” Dalihnya. Tidak tahu kenapa dia cuba berdalih. Mungkin dengan cara berdalih dia dapat diterima bunda. Berdalih dari kenyataan yang paling bunda benci.

Ada riak kelegaan di wajah Qausar dan Qaseh. “Kan abang dah cakap, mana ada hantu. Ayim nak juga tegakkan benang yang basah.”

“Betul. Kali ni orang sokong abang.” Qaseh pula menambah. 

“Ya ke ambil angin? Tapi kenapa tak dengar bunyi alarm rumah kalau Syaf keluar rumah malam tu?” Qoyyim tetap ingin mengorek rahsia. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku malam itu. “Dan kalau Syaf tutup balik alarm sebelum keluar rumah, macam mana pula pagi itu orang yang matikan alarm?”

Qasyaf terdiam. Qoyyim memang makin mahir memahami dirinya.

“Syaf cakap terus terang dengan kita orang.” Qoyyim tetap inginkan jawapan yang masuk akal.

“Ish Ayim ni! kan orang dah cakap hari itu, orang bangun sebelum Syaf bangun lagi. Maknanya, Syaf keluar rumah masa subuh lepas Ayim tutup alarm rumah.” Sampuk Qaseh yang mula bergelora semula hatinya. Apa yang abangnya cakap memang logik tapi dia tidak mahu semua kejadian itu ada kaitan dengan hantu. 

Qoyyim jeling. “Yang tidur sebelah Qaseh tu bukan Syaf tapi benda tu. Tak nak percaya lagi ke?”

“Ayim.. benda ni bukan main-main.” Qausar mula bersuara tegas.

“Look! Orang tahu abang dan Qaseh fikir apa yang orang fikir, tapi tetap juga nak nafikan. Tak akan nak biar benda yang lalu berulang kembali. Tak sanggup orang tengok Syaf menderita lagi.”

“Ayim tu yang tak habis-habis dengan hantu, nak sangat tidur sebelah hantu ke?!” Qaseh mula meninggikan suara. 

“Dah! Dah!” Naik pusing kepala Qasyaf mendengar pertengkaran mereka bertiga. “Penat lah tengok korang bertengkar macam ni. Orang keluar hospital nak rehat. Tak pasal-pasal demam balik jap lagi.” Dia merangkak ke hujung katil sebelum kakinya dilunjurkan ke bawah. “Dekat mana-mana pun syaitan ada. Syaitan antara makhluk teramai dimuka bumi ini, tak mustahil pun kalau dia ada dalam rumah ini. Mungkin juga dia sedang berdiri di sebelah korang sekarang. Biarlah apa yang berlaku malam tu, orang dah tak nak fikir dah. Buat sakit kepala je. Yang penting doa banyak-banyak supaya Allah lindungi kita sekeluarga.”

Qoyyim mengeluh. Kalau Qasyaf sudah berkata begitu, itu bermakna dia memang tidak mahu bercerita perkara sebenar.

“Jangan risau, pandai lah orang jaga diri. Pisang tak akan berbuah dua kali.” Qasyaf berdiri merangkul bahu Qoyyim. Nampak kesungguhan Qoyyim untuk memahaminya. 

Siang itu, perbualan mereka empat beradik berakhir begitu saja. Qoyyim tetap dengan firasatnya. Qausar dan Qaseh walaupun mereka dapat jawapan yang mereka ingini tetapi jauh disudut hati mereka, mereka juga berfirasat seperti Qoyyim. Ada makhluk lain yang menghuni rumah banglo ini. Makhluk yang hanya dapat dilihat oleh insan istimewa seperti Qasyaf.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.