Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
38,552
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

3

Qaseh mencedok nasi goreng ke dalam pinggan Qolbi yang setia menunggu untuk diisi perutnya. Qolbi baru berusia dua tahun lima bulan. Dua belas tahun lebih Qaseh jadi anak bongsu, dan selama itu juga dia teringin ada adik. Jadi kehadiran Qolbi sangatlah dia nantikan. Lamunan Qaseh terhenti bila Qolbi mengetuk meja tanda sudah cukup banyak kakaknya mencedok nasi goreng.

“Dah? Sikitnya makan.”

Qolbi angguk dan tersengih.

“Sedapnya bau, bunda masak nasi goreng kampung ke?” Soal Qausar sambil mengambil sudu dan menyuap nasi goreng Qolbi ke dalam mulutnya sendiri.

Qolbi menarik pinggannya sambil mengetuk meja tanda protes dengan perilaku Qausar.

“Ish abang ni! Tu Qolbi punyalah. Pergi ambil pinggan cedok sendiri.” Marah Qaseh membela adik tercinta. “Bunda subuh-subuh dah keluar pergi hospital. Papa pulak tengah bersihkan laman belakang dengan Ayim. Abang je bangun bila matahari dah tegak atas kepala. Buat lambat masuk rezeki je.”

“Iya?” Qausar malas nak ambil pusing omelan Qaseh. Kalau dilayan memang buat sakit telinga saja. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. “Sejak bila Qaseh suka nyanyi lagu ‘Nina bobo’? Sampai pukul dua pagi pun abang dengar Qaseh nyanyi.” Seram juga bila teringatkan nyanyian Qaseh malam tadi. Mula-mula ingatkan mainan tidur je, tapi makin lama-makin jelas pula suara itu menganggu lenanya.

Suapan Qolbi terhenti. Pergerakan Qaseh yang sedang mengangkat cawan untuk meneguk air juga terhenti. Qaseh dan Qolbi berpandangan.

“Aa.. abang.. abang pun dengar ke?” Qaseh bertanya dalam getar.

“Mana tak dengarnya kalau Qaseh nyanyi kuat-kuat. Susah abang nak nyenyak semalam tau!”

Qaseh meletakkan semula cawannya. “Orang pun dengar orang nyanyi lagu tu malam tadi. Qolbi pun dengar. Yang lebih menakutkan suara dia sejibik macam suara orang!”

Liur Qausar tertelan. “Jangan nak tipulah. Kau yang nyanyikan Qaseh?”

“Serius orang tak tipu. Kita dengarkan malam tadi Qolbi?” Qaseh cuba meyakinkan abangnya itu. Memang dia suka menyakat mereka dengan cerita yang bukan-bukan tapi dia tidaklah berani mana bila berhadapan dengan ‘benda’ itu. Mungkin dia yang akan pengsan dulu.

Bersungguh Qolbi menggangguk tanda menyokong kata-kata kakaknya.

Qausar terdiam beberapa saat sebelum melepaskan tawanya. “Merepek! Macamlah abang tak kenal perangai Qaseh. Jangan memandai nak ajar Qolbi perangai bukan-bukan Qaseh tu.”

Sambil masih tergelak, Qausar berpaling ke kanan apabila bahunya terasa ada yang memegang. 

“Abang gelak dengan siapa?” Soal Qasyaf dengan riak hairan yang dia lakonkan.

Dengan pantas Qausar memandang ke hadapan tempat sepatutnya Qaseh dan Qolbi berada. Jantungnya macam kena renjatan elektrik.

“Abang?”

“Hah? Aa.. abang baca wassap kawan abang tadi.” Dalih Qausar sambil menunjuk smartphonenya. “Syaf.. Syaf dari mana?” Qausar cuba mengubah topik.

Qasyaf ke kabinet untuk mengambil gelas. Dia menuang air oren ke dalam gelas. “Tolong papa dan yang lain kemas laman belakang. Papa cakap nak buat mini taman kat situ.” Dia meneguk air. “Abang dah makan ke? Bunda masak nasi goreng kampung sarapan tadi, ada bawah sangai ni.”

“Oh.. bunda tak pergi hospital ke?”

Qasyaf mengerut dahi. “Penat semalam pun tak hilang lagi.”

“Aa.. oh.. ha’ah..kan.” Sumpah nak tercabut jantungnya sekarang ini. “Abang tak lapar, abang nak naik mandi dulu.” Qausar berlalu pergi bersama dengan seribu ketakutan dihatinya. Inilah kali pertama dia diganggu begitu.

Qasyaf pandang ke luar tingkap. Jelas kelihatan ‘makhluk’ itu memerhatikan perbualan dia dan abangnya tadi. Baru sehari mereka bermalam di sini, macam-macam sudah berlaku. ‘Makhluk’ itu sangat berani mengacau penghuni rumah ini.

Qasyaf menuju ke singki untuk membersihkan gelas yang digunanya tadi sambil diperhatikan makhluk tersebut. Hatinya berdebar tetapi dia tetap berlagak seperti biasa. “Jangan ganggu aku dan keluarga aku.” Sempat juga dia memberi peringatan pada makhluk itu sebelum melangkah pergi.

“Ouch!” Rintih Qasyaf sebaik saja seperti ada sesuatu yang menghalang langkahnya sehingga dia terjatuh. “Jangan kacau aku dan keluarga aku!”

“Ini kawasan aku! Kalian yang kacau aku!”

“Pergi!”

“Nina bobo oh Nina bobo.. hahaha..” Makhluk itu bernyanyi sebelum terbang menebusi dinding dapur. “Ingat! Ini kawasan aku! haha…”

“Allah… Allah..” Menggigil Qasyaf mengucap nama Allah beberapa kali.



Qoyyim menyusun pasu bunga berdekatan dengan longkang yang tidak berapa jauh dari mini taman yang baru disiapkan separuh oleh papanya. Mulutnya tidak lekang dengan lirik lagu kesukaannya. Selesai mengangkat pasu terakhir, dia duduk di tepi longkang sambil memerhati belakang rumah banglo mereka. 

Jauh.. kalau terjadi apa-apa dalam rumah banglo ni, tak mustahil jiran-jiran berdekatan tak dengar jeritan mereka. Nak turun naik dari bukit belakang ini pun agak menakutkan. Peliklah papa ni, kenapa dia hanya buat satu laluan masuk dan keluar? Fikir Qoyyim sendirian.

Qoyyim bangun dari duduknya dan berjalan mengelilingi kawasan rumah banglo. Kakinya dihentikan saat matanya tertarik dengan batu besar yang diteduhi pokok tua. Sebahagian dari batu besar itu tidak terkena cahaya matahari langsung. 

Best jugak kalau aku lepak kejap atas batu tu, omel Qoyyim.

Qoyyim meneruskan langkahnya untuk memenuhi keinginannya itu. Belum sempat punggungnya mendarat di atas batu, kakinya sudah tersadung ke depan dan menyebabkan dia hilang keseimbangan. Selamat kepalanya terhantuk batu besar tersebut. Qoyyim hanya mampu mengerang kesakitan. Automatik tangannya menumbuk batu tu sebagai balasan yang menyebabkan kepalanya bengkak.

“Sakit siot!” Jerit Qoyyim. Malang betul! Keinginannya untuk berteduh dibawah pokok tua hilang disebabkan kemalangan kecil yang berpunca dari kesilapannya sendiri. “Tak apa, hari ini hari kau, esok hari aku.” Bebelnya sebelum melangkah meninggalkan batu besar tersebut.

“Pa, batu besar yang bersebelahan bilik Syaf tu, papa nak biarkan je ke dekat situ? Tak nak alihkan?” Tanya Qoyyim yang baru saja tiba di tempat rehat papa dan yang lain. “Batu tu macam mencacatkan pemandangan je orang tengok.” Walhal sebelum dia terantuk batu besar tu, bagi dia batu besar yang diteduhi pokok tua itu sangat unik dan menenangkan.

Papa yang asyik bersila sambil bermain catur dengan Qausar membalas. “Biarlah, orang yang buat rumah kita cakap batu tu berat sangat, susah nak alih. Lagipun papa tengok okay saja batu tu. Unik pun unik.”

“Ya ke unik?” 

Qolbi yang sedang bermain lego bersama Qaseh memandang Qoyyim sambil menunjuk ke dahi Qoyyim. Qaseh berpaling untuk melihatnya. Dia tersenyum nakal.

“Ke sebab Ayim dah tercium batu tu, Ayim dah tak suka. Kesian-kesian, macam besar jugak benjol dekat dahi Ayim tu.” Perli Qaseh dan disambut gelakkan papa, bunda dan Qausar. Qolbi hanya tersengih.

Qoyyim tarik muka.

Bunda mendekati anak lelakinya itu. “Besar jugak bengkak kamu ni Ayim, biar bunda tuamkan.”

Qoyyim tarik senyuman. “Sakit bunda.. batu tu kejam betul buat orang macam ni.” Adunya manja. 

“Mengada. Dah besar panjang pun gedik nak manja dengan bunda. Qolbi pun tak macam Ayim. Kan Qolbi?” Qaseh memerli abangnya yang mengada terlebih itu. Qolbi hanya anggukkan kepalanya.

“Cakap je lah yang kau jealous Qaseh, kan senang.”

“Tak langsung!”

“Jealous!”

“Tak!”

“Ouch! Perlahan sikit bunda. Makin bengkak nanti muka handsome anak bunda ni.” Adu Qoyyim bila bundanya menuam agak kuat di dahinya.

“Tahu pun diam. Kalau gaduh lagi, bunda tonyoh sampai benjol besar. Esok masuk sekolah biar semua orang dah tak kenal Ayim.”

Hinggar ruang santai depan banglo besar itu dengan gelakan keluarga encik Fakhri dan puan Aulia.



“Baru orang perasan jarak antara bilik Syaf dengan batu besar tu lagi dekat jika dibandingkan dengan ruang tamu kat bawah ni.” Ujar Qoyyim yang berdiri di tingkap ruang tamu utama rumah banglo besar itu.

Qausar yang duduk dikerusi malas depan televisyen menggeleng. “Tak habis lagi marahkan batu besar tu?”

“Taklah. Orang cakap je.”

Qasyaf bangun dari duduknya dan berdiri disebelah Qoyyim. Matanya melihat apa yang Qoyyim perhatikan. Batu besar. “Ayim ada duduk atas batu besar tu ke?” Dia bertanya.

“Macam mana nak duduk, kalau dah selamat tercium batu dulu.”

“Batu tu tak salah, Ayim yang salah jalan.” Qausar menyampuk.

“Ish abang ni! orang dah tak marah batu tu lah.”

“Abang cakap je. Janganlah sentap cepat sangat.”

Mata Qasyaf bertemu dengan mata tajam pemilik batu besar tersebut. Matanya merah menyala, rambutnya kusut dan mencecah bumi, bajunya putih tetapi penuh dengan lumpur. Separuh mukanya ditutupi rambut kusut miliknya. Tanpa sedar makhluk menyeramkan itu betul-betul berdiri dihadapan dia dan Qoyyim. 

Beristighfar panjang Qasyaf dibuatnya. Jantungnya hampir luluh dengan apa yang baru saja dilihatnya tadi. Qoyyim masih tetap ditempat dia berdiri kerana dia tidak dapat melihat apa yang dilihat Qasyaf sekarang.

Qasyaf menarik Qoyyim jauh dari tingkap tersebut. “Jangan… jangan sesekali datang sana lagi. Jangan kacau tempat orang lain.”

Qoyyim dan Qausar termenggu dengan amaran Qasyaf.

“Apa Syaf merepek ni?” Qoyyim hairan.

“Abang! Ayim! Dah pasang alarm ke? Dah pukul 10 lebih ni!” Terdengar suara papa menjerit dari biliknya.

“Dah pa!” Qoyyim menyahut dalam nada yang lebih kurang sama.

“Bunda!!!”

‘tett… tett..tett’

Automatik mereka bertiga berlari mendapatkan Qaseh yang menjerit ketakutan. Suaranya datang dari dapur.

“Papa!!” Sekali lagi Qaseh menjerit ketakutan. Matanya sangat jelas melihat apa yang berlaku tadi. Qolbi disebelahnya sudah menggigil sambil merangkul tubuh kakaknya itu.

“Kenapa ni?” Bunda yang sampai dahulu bertanya kegelisahan.

‘tett… tett..’

“Abang pergi matikan alarm.” Arah papa. Dia terus mengangkat Qolbi yang sudah kuyuk dengan peluh. “Kenapa ni?”

Qaseh tercunggap-cunggap mencari oksigen. “Pintu.. pintu tu terbuka sendiri.”

Qoyyim mendekati pintu dapur yang dimaksudkan Qaseh tadi. “Takkan lah.”

“Kamu dah kunci betul-betul ke tadi?” soal bunda. Dalam fikirannya mungkin ada pencuri yang cuba menceroboh rumah mereka.

“Orang periksa kali kedua lepas abang periksa. Kan abang?”

Qausar yang baru saja sampai selepas mematikan alarm membenarkan kata-kata Qoyyim. “Ha’ah.” 

Masakan mereka tersalah pandang lagi. Tambahan pula, alarm sudah dipasang sebelum pukul 10 malam lagi. Kalau ada pintu rumah yang tidak tertutup, sudah pasti alarm tak dapat dihidupkan. 

Debaran yang Qaseh alami sangat kencang kerana matanya betul-betul menjadi saksi pintu dapur tersebut terbuka dengan sendiri. Tiada tangan mahupun sebarang alat yang digunakan.

“Betul bunda, orang nampak pintu tu terbuka sendiri depan mata orang ni. Bukan pencuri!” Suaranya ketakutan. “Kan orang dah cakap rumah ni ada penunggu.” Lama kelamaan suara Qaseh bertukar tangis.

Papa mengeluh. Dulu dia adalah orang yang paling tidak percaya dengan benda karut mengarut ini. Tapi semenjak apa yang berlaku pada Qasyaf sebelum ini, dia cuba buka mata dan hati dia untuk percaya semua ini. Ya. Memang manusia tidak bersendirian di atas muka bumi ini. Ada makhluk lain yang terlindung disebalik mata manusia hidup disekeliling manusia. Hanya yang terpilih saja mampu melihat makhluk itu dalam dunia yang sama.

“Abang tolong papa kunci pintu ni balik. Ayim pasang alarm rumah lepas pintu dah dikunci. Yang lain ikut papa naik atas. Kita baca Yassin ramai-ramai. Nanti dah siap pasang alarm, abang dan Ayim naik baca sekali.” Papa bersuara dalam bentuk arahan.

Selesai membaca suruh Yassin dan ayat kursi, papa menyuruh semua tidur dalam satu bilik. Iaitu bilik papa dan bunda. Itupun atas desakkan Qaseh. 

“Dah. Tak payah risau, kita dah usaha, insyaAllah, Allah bantu. Mungkin Qaseh salah tengok tadi.” Nasihat papa apabila ruang bilik itu sunyi tanpa suara dari anak-anaknya. Walhal kalau semua sudah berkumpul macam ni, riuh-rendah gamaknya. “Qaseh esok sekolahkan? Tidur sekarang. Takkan nak ponteng lagi.”

“Hmm.. okay.” Lemah saja jawapan Qaseh.



Puas Qasyaf berpusing ke kanan dan ke kiri, tetap juga matanya tidak mahu lelap. Telinganya pula sudah penuh dengan bunyi dengkuran papa dan Qoyyim. Yang pasti dalam bilik utama ini, hanya dia seorang saja yang belum masuk ke alam mimpi. 

Ah! Susahnya nak tidur! Ini sebab makhluk jelek tu lah yang sibuk bermain dalam kepala otak aku. Haish! Yang aku berani sangat tegur dia kenapa? Sekarang aku dah sendirian, mana ada kak Nada nak tolong aku lagi. Kak Nada, kenapa akak hanya bayangan? Siapa nak tolong orang kalau benda tu kacau orang lagi? Bisik Qasyaf dalam hati.

"Tanya sama pokok apa sebab goyang nanti jawab pokok angin yang goncang…”

Makhluk tu lagi. Pagi tadi Nina bobo sekarang ni tanya sama pokok pula, banyak jugak lagu yang dia tahu, Qasyaf keresahan.

Suaranya makin lama makin menyeramkan. Dari suara Qaseh, boleh pula bertukar lenggok yang menaikkan bulu roma.

“Tanya sama angin apa sebab goncang nanti jawab angin tanya lah awan…”

“Kau takut?”

Qasyaf dekatkan dirinya dengan Qaseh yang nyenyak disebelahnya.

“Kau takut aku?”

Gila! Kalau muka kau cun macam Nora Danish yalah aku tak takut. Ni muka macam kena lenyek lori balak, sumpah aku takut, bebel Qasyaf sendirian.

“Jom nyanyi sama-sama nak? Aku bosan nyanyi sorang-sorang.” Makhluk itu cuba mengajak Qasyaf bernyanyi dengannya.

“Awan nanti kata aku kandung air sampai tempat sejuk aku pun cairrrr haha..”

Makhluk itu menyeringai tepat di atas tubuh Qasyaf. Bau dia memang busuk, bau yang boleh menyebabkan seminggu tekak tak lalu nak masuk makanan. Dia mendekatkan mukanya ke muka Qasyaf yang sudah ditutupi kain selimut.

“Nyanyilah dengan aku… nyanyilah…” Terasa ada sesuatu yang menjalar dibawah selimut Qasyaf. Sesuatu yang sangat lekit dan menggelikan. “Aku suruh kau nyanyi.. nyanyilah!!” Suaranya mula meninggi apabila kepalanya terkeluar betul-betul dimuka Qasyaf saat Qasyaf cuba membuka matanya untuk melihat apa yang berada dibawah selimutnya.

“Allah!” Qasyaf menjerit ketakutan. Muka makhluk itu makin hodoh dari yang dia lihat sebelum ini. Biji matanya terkeluar separuh, giginya hitam legam, mukanya penyek berlubang-lubang. “Jangan dekat!” Dia cuba menolak makhluk busuk dan hodoh itu.

Makhluk itu tersengih. Of cousre sengihannya tersangatlah hodoh! Seronok dia dapat mengacau anak cucu Adam. “Kalau kau tak nak nyanyi dengan aku… aku bawa orang lain.” Dia berbisik seolah mengugut. Dia mula terbang ke bawah ditempat pembaringan Qoyyim yang nyenyak berdengkur sebelah Qolbi. “Manusia ini telah mengacau tempat aku.. kalau kau tak nak nyanyi dengan aku… aku bawa dia pergi dari sini.”

Qasyaf ketakutan. Dia tidak mahu berkawan dengan makhluk menakutkan itu tetapi dia juga tidak mahu sesiapa pun dalam keluarganya lalui apa yang dia lalui. Sekali terjebak dengan dunia mereka, hijab ini akan sukar untuk ditutup semula.

Qoyyim sudah berdiri dipembaringannya dalam keadaan mata masih terkatuk rapat.

“Dia aku punya.. haha.. tanya sama pokok..” Selangkah sudah Qoyyim mengikuti langkah makhluk hodoh itu.

“Jangan! Jangan ganggu mereka…”

“Dia milik aku!” Keras suara makhluk itu mengugut.

“Berhenti! Aku.. aku ikut kau. Jangan ganggu keluarga aku lagi.” pinta Qasyaf dalam gigilnya.

Sebaik sahaja Qasyaf mengatakan kalimah itu, Qoyyim rebah di tempatnya manakala dunia Qasyaf kelam seolah ada orang lain yang mengawal perbuatannya. Yang pasti dia tidak sedar apa yang dia lakukan sepanjang malam itu bersama makhluk hodoh dan busuk itu.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.