PROLOG 1
400
tahun yang lalu…
Sewaktu Kampung
Silak Tua belum diwujudkan.
“DI SINI ke
Abang Waki?” tanya Alang.
Setelah merentas
hutan tebal separuh hari perjalanan, rombongan mereka yang terdiri daripada
tujuh buah keluarga seramai hampir dua puluh orang, tiba di sebuah tanah yang
agak rata.
Waki
terangguk-angguk. Jauh renungan matanya, sejauh akalnya menilik dan memikir
antara alam nyata dan tidak. Berat hati dan akalnya mengatakan bahawa itu tanah
yang bertuah.
“Inilah
tempatnya.” Akhirnya dia memberikan kata putus sebagai orang yang paling tua
dalam kumpulan itu. Juga dianggap orang yang paling banyak ilmu dan tahunya
antara sekalian yang ada di situ.
“Kalau begitu,
bolehlah kita bersihkan tempat ni.” Alang yang paling rapat dengan Waki
bersuara.
Hatinya
benar-benar lega kerana sekarang mereka semua sudah ada tempat tinggal yang
baharu. Jika tidak ada aral melintang, suatu hari kelak, akan dicari juga jalan
kembali ke Pagar Ruyong. Akan dibawanya isteri serta anak-anak yang masih
tinggal di sana ke situ, fikirnya.
Mendengarkan
kata-kata Waki dan Alang, maka yang lain-lainnya mula menebas dan menebang.
Yang pandai menukang, menukang. Yang pandai menjalin, menjalin. Mana yang tidak
pandai apa-apa sekadar mengalih kayu dan dahan. Tidak lama kemudian, kawasan
itu pun teranglah sedikit rupanya.
“Elok juga
tempat ini, Abang Waki. Di hadapan kita sungai, senang untuk mencari ikan dan
udang. Di belakang pula paya, boleh kita bertanam padi.” Alang semakin gembira
apabila menyedari betapa eloknya tapak yang dipilih oleh Waki. Dalam hati, dia
makin mengkagumi kebolehan dan ketinggian ilmu lelaki itu.
Pujian Alang
disambut oleh Waki dengan senyum tenang.
“Kita ada tujuh
keluarga, pakat-pakatlah nak pilih kawasan yang mana. Yang pandai membuat
rumah, besarlah rumahnya. Yang pandai menebas, besarlah tanahnya,” katanya.
Alang bersetuju.
Begitu juga dengan yang lain-lainnya, Sia, Abi, Hitam, Garang, dan Ubi.
“Alang-alang
sudah merantau biarlah berhasil. Alang-alang sudah jauh biarlah bersungguh,”
tambah Alang sambil menarik nafas dalam-dalam.
Lelah mula
terasa. Rasa rindu pada kampung halaman mengungkap hiba bagai malam berselimut
embun, bagai siang bertudung awan. Manakan sama teduh kampung di pinggiran
Danau Singkarak dengan teduh air sungai yang berarus deras. Namun sekali
melangkah, tidaklah betah berpatah arah.
“Lagipun
masing-masing ada kepandaian. Sia dengan pandai menanamnya, Garang dengan
pandai melukahnya. Sama-samalah kita tolong-menolong. Sama-samalah kita
muafakat. Benang yang berlembar tidak suang-suang putus, biarpun kita sama-sama
tahu hidup kita kini bagai ayam tidak berinduk,” katanya lagi. Menyedari sudah
begitu adat perantau.
Maka
terangguk-angguklah mereka bertujuh merenung tempat mereka duduk melepas lelah.
Masing-masing memacak keazaman dalam hati. Kalau terjun, sama basahnya, kalau melompat
sama patahnya, kalau cicir sama ruginya dan kalau dapat sama labanya. Cuma mereka
tidak menyangka sama sekali kedatangan mereka ke situ, ada yang tidak suka.
******
“ABANG!” jerit
Alang.
Sejak senja tiba
lagi, tempat itu dilanda ribut dan taufan yang kencang. Segala yang dibina
runtuh. Segala yang dipegang, tumbang. Pokok-pokok besar bergoyang, pokok-pokok
kecil runduk menyapu bumi. Api terpadam. Yang kering terus basah. Yang sedikit
terus hilang.
Lantas mereka
semua terpinga-pinga. Tidak ada siapa yang tahu dari mana puncanya kepala angin
yang datang bagaikan ingin berseteru dengan mereka.
“Apa kita hendak
buat ni, abang? Ribut ini seperti tak akan berhenti,” kata Alang. Risau hatinya
bukan kepalang. Kalau begitu keadaan di situ, bagaimana mereka dapat membina
kehidupan, fikirnya diam-diam.
“Semua
berlindung di sana,” kata Waki seraya menunjukkan sebatang pokok tualang
sebesar tiga pemeluk lelaki dewasa.
Tanpa berlengah,
mereka mula berkumpul dan duduk rapat-rapat dalam keadaan basah kuyup di
belakang pokok tualang. Hendak lari ke mana pun tidak boleh dalam keadaan
seperti itu. Masing-masing termangu-mangu dan hanya menunggu keputusan Waki dan
Alang.
Waki terus berdiam
diri. Sugul wajahnya bagaikan baru sahaja kematian isteri.
“Abang,” tegur
Alang. Dia ingin berbuat sesuatu tetapi tidak mahu mendahului Waki sebagai
ketua mereka. Lagipun diam Waki, selalunya diam bagaikan ubi.
“Tunggu di sini,
Biar abang pergi tengok.” Sehabis berkata-kata Waki pun meninggalkan mereka.
Langkahnya hala ke paya. Yang tinggal tertanya-tanya.
Namun Alang
terasa tidak senang hati. Selepas meninggalkan pesan, dia pun ikut melangkah ke
mana hala dituju Waki. Setibanya di suatu tempat, dia berhenti. Tidak jauh di
hadapannya Waki berdiri menghadap sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum
ini. Dengan bantuan cahaya dari petir yang sambung-menyambung di dada langit,
dia dapat melihat sebuah bongkahan batu tiba-tiba berdiri.
Mulut Alang
lantas ternganga.
Waki yang
perasan kehadiran Alang di sisi terus terkejut. “Kenapa ke sini? Bukankah abang
sudah menyuruh Alang menunggu di sana?”
Alang ingin
menjawab tetapi sudah kehilangan suara.
Melihatkan Alang
begitu, Waki terdiam. Sudah terlambat untuk dia menyembunyikan hal itu.
“Abang nak pergi tengok,” katanya. Hal itu
perlu diselesaikan juga.
“Jangan, bang!”
Alang pegang tangan Waki. Kuat hatinya merasa apa yang di hadapan mereka itu
bukan sebarang batu. Selain mereka berdua ada sesuatu di situ.
“Selagi abang tak
pergi, selagi itu hal ini tidak selesai,” balas Waki sambil mengharapkan Alang
faham. “Kalaulah kita tersalah masuk, tersalah adab, minta diizinkan.”
Kali ini Alang
tidak bersuara lagi. Dia serba-salah untuk melepaskan Waki pergi. Namun apabila
Waki bergerak, Alang ikut bergerak.
Makin lama
mereka makin dekat dengan bongkahan batu yang dikelilingi beberapa perdu buluh
dan dilingkari beberapa batang pokok besar. Sejujurnya, dia tidak pernah
perasan tempat itu wujud sebelum ini. Namun apabila Waki mula mengelilingi
bongkahan batu itu secara mengundur, Alang tidak mengikut. Dia lihat sahaja
dengan kerutan di dahi.
“Kalau cucu
termasuk tempat, maafkan cucu,” kata Waki di hadapan bongkahan batu tersebut.
Di kaki bongkahan itu ada sebuah lubang yang tidak berapa besar. Agak-agak muat
untuk seorang melaluinya.
Alang toleh ke
kiri dan ke kanan, dia tidak nampak dengan siapa Waki bercakap. Tetapi sejak
tadi, dia mendengar Waki berbincang dengan seseorang atau dengan lebih tepatnya
dengan ‘sesuatu’.
“Baik, tok.” Setelah
habis berbincang, Waki meninggalkan tempat itu. Semasa berselisih dengan Alang,
Waki tidak berkata apa-apa.
Sebaik sahaja
mereka berdua sampai semula ke pokok tualang, ribut pun berhenti. Malam itu
keadaan kembali aman namun tidak ada siapa yang berani bertanya. Alang sahaja
yang tidak dapat melelapkan mata.
*****
SEHARI telah
berlalu, mereka sedaya upaya meneruskan kehidupan di tempat baharu dengan
sesabar yang mungkin. Paya sudah mula diterangkan, sungai sudah direntang jala
dan kail. Rumah-rumah pula sudah mula dipacakkan tiang. Masih tidak ada siapa
yang berani bertanya kepada Waki apa yang telah berlaku pada malam semalam.
“Ke mana Abang
Waki? Tak nampak pun batang hidungnya,” tanya Hitam yang baru balik dari
menebang pokok bersama Sia.
“Denai
pun tak tahu,” balas Alang.
Sesungguhnya dia
sendiri berasa risau kerana sejak pagi tadi, Waki belum pulang-pulang setelah
keluar memburu ayam hutan. Dia sungguh bimbang jika Waki terus tidak pulang,
dia tidak sanggup menjadi ketua di situ. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang
penuh tanda tanya itu.
Mujurlah
menjelang senja, Waki pulang dengan sepuluh ekor ayam hutan. Kepulangan Waki
disambut dengan rasa gembira oleh mereka semua. Ayam hutan yang dibawa balik
segera disimpan di dalam sangkar buluh.
“Sembelih tiga
ekor sahaja untuk kita. Yang lain biarkan hidup,” pesan Waki, sebelum meminta
diri untuk mandi di paya.
Arahan Waki
segera dituruti. Tiga ekor ayam menjadi hidangan mereka malam itu. Namun
menjelang tengah malam, Waki kembali ke bongkahan batu itu sekali lagi. Kali
ini dia datang dengan membawa tiga ekor ayam hutan yang ditangkapnya siang
tadi.
“Nah! Ayam hutan
dulu, tok,” katanya.
Ayam hutan itu
dipatahkan leher seekor demi seekor lalu dicampak ke dalam bongkahan batu hitam
itu menerusi lubang yang ada di situ. Selepas semua selesai, Waki balik semula
ke tempat mereka. Semua perbuatan Waki, dilihat oleh Alang.
*****
KEESOKAN
harinya, Alang tidak dapat menghalang lagi rasa ingin tahunya, maka dia
mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Waki di pinggiran sungai.
“Berterus-teranglah
abang kepada denai. Apa yang abang
buat? Dengan siapa abang bercakap malam semalam? Apakah benda yang hidup di
dalam batu hitam itu?”
Pada mulanya
Waki buat tidak peduli. Direnungnya sungai yang luas tidak terperi.
“Cakaplah, abang.”
Alang terus mendesak. Pada dia, dia harus tahu apa yang Waki tahu.
“Kita telah
menceroboh tempat dia.” Akhirnya Waki bercerita juga. “Salah abang yang tak
habis baca.”
Alang terdiam.
Laju otaknya berfikir dan mentafsir apa yang cuba disampaikan oleh Waki kepada
dia. “Tempat siapa?”
“Penjaga tempat
ini,” jawab Waki dengan tenang. “Panggil Sia, Hitam, Ubi. Garang dan Abi ke
mari dulu. Abang ceritakan segalanya.”
Mendengarkan
permintaan Waki, Alang tidak bertangguh lagi. Dengan segala daya, dia mencari
kelima-lima nama yang disebut oleh Waki. Dia benar-benar ingin tahu apa yang
sebenarnya telah berlaku sejak dua malam yang lalu. Setelah kesemuanya
berkumpul di hadapan Waki, Waki mula bercerita.
“Abang minta
maaf, abang dah buat salah,” kata Waki. “Abang salah duga, tempat ini rupanya
bertuan.”
Kesemuanya yang
ada di situ terpandang-pandang.
“Sebab itulah
kita dilanda ribut. Rumah kita diruntuhkan, pokok-pokok ditumbangkan,” tambah
Waki.
“Jadi? Kita kena
berpindah lagi?” tanya Abi. Terpancar kerisauan di wajahnya.
“Tak perlu,”
bantah Waki. “Kalau kita nak juga tinggal di sini, ada syaratnya.”
“Syarat?” tanya
Garang pula. “Kalau setakat mahukan ayam hutan tiga ekor, boleh denai usahakan. Tak jadi masalah.”
Alang mendengar
dengan rasa bimbang di hati. Dia sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yang
lain pula terangguk-angguk bersetuju sahaja. Namun, Waki menggeleng pula.
“Benda itu mahu
dijaga. Kalau kita sanggup menjaganya.”
“Jaga?
Bagaimana?” tanya Garang. Yang lain hanya menunggu.
Sayangnya Waki
tidak bercerita dengan lebih lanjut. Dia sekadar menjawab sambil lewa. “Ada
upahnya nanti.”
Waki kembali
termenung. Dia terlihat sesuatu yang amat menarik di dalam batu itu cuma tidak
diceritakan kepada sesiapa. Dia tidak mahu mereka terlalu terkejut. Biarlah
perlahan-lahan diceritakan.
“Asal kita tidak
diganggu sudahlah, abang,” kata Alang pula. Itu yang penting bagi dia. Setelah
menjadi orang buruan di Pagar Ruyong, dia hanya mahu hidup aman di situ.
Waki tersenyum.
Kalau Alang sudah menyokong, dia yakin yang lain juga tidak akan membantah.
“Jadi kita semua
bersepakat untuk menjaga tempat ini. Begitu juga kesemua waris-waris kita
nanti,” katanya sambil memandang wajah mereka seorang demi seorang. Mereka
harus tahu, sekali mengambil, selamanya bertuan.
Kesemuanya
mengangguk. Alang diam sahaja.
Waki tersenyum
nipis. Dia yakin kehidupan mereka di tempat baru itu akan bertambah baik,
begitu juga waris-waris mereka selepas itu.
Genap tiga hari
selepas itu, Garang dan dua orang anak lelakinya hilang.
PROLOG
2
Sembilan belas tahun selepas kejadian itu..
GUA itu hanya diterangi oleh tiga batang jamung. Di
sesetengah sudut, gua itu masih ditelan kegelapan yang mencengkam. Hanya di
hujung gua sahaja yang terang Seorang lelaki berdiri berdekatan sebuah batu
yang mendatar. Di atas batu itu terlentang sekujur jasad yang sudah tidak
sedarkan diri. Manakala di atas lantai pula, dua tubuh yang tidak berkepala
terbujur kaku. Di mana-mana, tempat itu dibasahi dengan darah.
Guruh menumpukan sepenuh perhatian. Ruduih piarit di
tangan terasa semakin berat namun digagah juga menetak leher manusia di
hadapannya sehingga putus. Sebaik terkena urat mari dan urat darah di leher,
menyemburlah darah ke mukanya. Lalu dijilat bagai menjilat air susu lagaknya.
Tergesa-gesa juga dia mengambil mangkuk ketiga lalu
menadah darah yang masih mencucur keluar dari leher yang sudah terpelahang.
Setelah hampir penuh diletak mangkuk itu di atas lantai gua bersama dua mangkuk
lain yang sudah berisi darah dari dua orang yang sudah dibunuh sebelum itu.
Tanpa menunggu, ditetak tulang leher berkali-kali
sehingga putus. Kepala manusia itu pun bercerailah daripada badan lalu diangkat
ke tepi dinding. Disula di hujung mata lembing, ditekan sekuat hati sehingga
masuk lebih ke dalam, membuakkan cebisan daging hingga keluar ke lubang mata.
Setelah selesai, duduklah dia bersila di atas batu
tadi semula. Merenung tiga batang lembing yang kini sudah berganti kepala.
Dibacakan mentera demi mentera. Dipuja puaka gua itu untuk mengambil apa yang
dipersembahkan mengikut apa yang telah diajar ayahnya dahulu.
Setelah selesai membaca sekalian mentera dan
menyeru, dia meneguk tiga mangkuk darah yang ditadah tadi sehingga habis. Maka
selesailah tugasnya di situ.
Dia pun beredar menuju ke sebuah lubang di belakang
gua itu. Dia ada satu tugas lagi.
******
WAKTU itu bulan sedang mengambang penuh. Malam mula
tua. Tanah yang dipijak dilihat remang-remang sahaja tetapi Guruh sudah biasa.
Sehingga sampai di kaki sebatang pokok cengal di belakang gua itu, dia
berhenti.
Dia alihkan pelepah daun nipah ke tepi. Terlihatlah
sebuah lubang berbentuk empat segi yang sudah digalinya sejak seminggu yang
lalu. Kata ayahnya dahulu, di situlah tempat sebuah kubur lama yang tidak
bernisan. Mesti digali sebelum upacara pemujaan itu dilakukan. Sekarang,
semuanya sudah tersedia. Dia lega.
Tanpa berlengah, dia berpatah balik ke dalam gua.
Dia angkat mayat yang tidak berkepala yang pertama. Diheret ke lubang tadi.
Setibanya di situ, dia tolak mayat itu ke dalam. Dia berpatah semula ke arah
gua untuk mengambil mayat yang kedua. Belum sempat jauh, dia terdengar bunyi
seperti orang sedang melahap sesuatu.
Bunyinya kuat. Sesekali menderam. Sesekali seperti
berebut-rebut. Kaki Guruh terpaku. Lama dia mendiamkan diri. Berfikir apa yang
hendak dibuat. Namun rasa ingin tahunya membuak-buak. Dia menyapu peluh.
Akhirnya dia memberanikan diri pergi semula ke
lubang tadi. Dan apabila dia menjenguk ke dalam, dia terus berundur dua langkah
ke belakang. Tanpa dapat ditahan, dia terjatuh ke tanah apabila kakinya
tersampuk akar pokok. Kini dia terduduk dengan mulutnya yang ternganga.
Di hadapannya berdiri seorang lelaki tua. Mukanya
dihurung ulat yang berjerembik. Ulat-ulat itu saling menyeronot keluar masuk
rongga mata, hidung dan kerongkong yang ternganga lebar. Kulit lelaki itu juga
koyak-koyak dan tertanggal. Sebahagiannya mula gugur. Darah dan nanah memancut
dan meleleh. Menghadirkan bau bangkai
Dan apa yang membuatkan Guruh tidak berupaya bersuara
ialah apabila melihatkan lelaki itu melahap cebisan mayat yang dibuang tadi
tidak ubah seperti harimau sedang melahap mangsa. Persis seperti orang yang
kelaparan. Cuma apa yang lebih memeritkan jiwa ialah dia mengenali lelaki itu.
“Bapak…,” rintihnya separuh sedar. Kerana separuh
akal warasnya tetap mengatakan yang ayahnya
sudah 40 hari dikebumikan.