Kuala Lumpur
TANPA Jimmy di rumah, Manjoy berasa bosan. Lalu dia
membuat keputusan untuk keluar berhibur. Setelah meredah jalan raya yang tidak
pernah lengang, dia tiba juga ke tempat Suharto. Belum sempat hendak tersenyum,
rasa gembiranya terus pudar. Irama dangdut yang begitu rancak pun terasa
hambar.
Memikirkan dia sudah datang sejauh itu, dia cuba
bersabar.
“Apa hal kau boleh ada dekat sini?” Dia tarik kerusi
lalu duduk. Digamitnya seorang pelayan untuk menghantarkan minuman.
“Tempat ni kau punya ke?” sindir Tang sambil matanya
lurus memandang skrin televisyen tidak jauh darinya. Ada perlawanan Muay Thai Fit
Warriors sedang ditayangkan.
Manjoy berdengus. Dia sudah lali dengan sikap Tang
yang sombong tetapi sejujurnya dia tidak suka Tang berada di situ. Seleranya
terus hilang kerana Tang seorang yang pengotor. Bau badan Tang kadangkala
mengalahkan bau haiwan di zoo. Memikirkan soal itu, dia angkat punggung untuk
beredar tetapi ditahan oleh Tang.
“Mana Jimmy?”
“Tidur,” balas Manjoy. Dia makin mahu segera
beredar. Bahaya. Sayangnya kata-kata Tang mematikan langkahnya.
“Lokkai suruh
aku ajak kau pergi Wang Kelian.”
“Buat apa?” Manjoy renung muka Tang.
“Apa lagi?” balas Tang sambil tersenyum nipis.
Manjoy tarik nafas. Dia segera faham tetapi mengikut
Tang bukan kerja yang dia suka. Dia lebih suka berkerja dengan Jimmy. Cuma
kadang-kadang Jimmy bawa Pakkai.
“Mahal depa bayar. Dua kepala,” tambah Tang lagi
sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja.
“Yang dua minggu lepas tu, kau boleh buat sorang.”
Manjoy melepaskan geram. Memang dia marah pada Lokkai. Sepatutnya dia yang
pergi tetapi di saat akhir, Lokkai suruh Tang. Memang selama ini Tang yang
selalu dapat kerja yang bayarannya mahal-mahal. Dia rasa Lokkai tidak adil.
“Yang tu kerja senang… orang kampung naik motor
buruk,” balas Tang. “Yang ni bodyguard
keliling pinggang. Mana sama?”
“Kalau orang kampung kenapa depa bayar kau mahal
sangat?” tingkah Manjoy. Dia benci diperbodohkan.
“Lantak kaulah kalau tak percaya. Pasal apa depa
bayar mahal, tu bukan kerja aku. Kerja aku… habiskan aje.”
“Pergilah sorang…” Manjoy terus beredar.
Walaupun dia menolak peluang, dia juga ada harga
diri. Kalau Lokkai tidak percaya pada dia, tidak payahlah harapkan dia lagi
untuk kerja-kerja macam itu. Lagipun dia tidak suka berdekatan dengan Tang.
Sekejap pun boleh hilang selera. Inikan pula kalau duduk dekat berhari-hari.
Mahu dia hilang selera seumur hidup.
Di muka pintu, dia berselisih dengan Suharto yang
baru sahaja tiba.
*****
“MAHU ke mana kamu?” tegur Suharto. Bahu Manjoy
dipaut mesra.
“Ada haiwan zoo dalam tu. Mati selera aku.” Manjoy
tarik muka masam. Suharto pun tahu siapa yang dia maksudkan.
Suharto hanya mengeluh. Mustahil dia dapat menghalau
Tang dari situ. Mahu habis kedainya punah diamuk Tang. Tetapi dia juga tidak
mahu kehilangan Manjoy, sahabat yang banyak berjasa kepada dia.
“Duduk di tingkat ataslah,” pujuknya. Dia tahu apa
yang Manjoy suka. Dia yakin dia masih mampu memujuk Manjoy menghabiskan duit di
situ. Sayangnya Manjoy terus menolak.
“Aku pergi tempat lainlah.” Manjoy tolak tangan
Suharto baik-baik. Seleranya sudah mati. Dia benci betul kalau Tang ada di situ.
“Kamu dengan Tang masih seperti kucing dengan anjing
gitu,” tegur Suharto. Dia tahu Tang tidak ubah seperti duri di hati Manjoy.
Mujurlah selama ini ada Jimmy. Jimmy sahajalah yang selalu dapat memujuk
Manjoy. Jimmy tidak ubah seperti seorang abang dan pelindung kepada Manjoy.
Manjoy tersenyum sinis. Macam anjing dengan kucing?
“Dalam zaman sekarang, anjing dengan kucing juga sudah kamceng lor.”
“Jimmy mana?” Suharto tertawa mendengar jawapan
Manjoy. Ternyata hati Manjoy cukup keras membenci Tang. Dia sudah mati akal
untuk memujuk.
“Dua tiga hari ni dia tak ada.” Manjoy membalas.
“Dia…”
Manjoy menggeleng. Faham apa yang difikirkan oleh
Suharto. “Dia balik kampung.”
Mata Suharto membesar.
“Diam-diam aje,” pesan Manjoy sebelum menepuk bahu
Suharto dan berpaling pergi. Namun Suharto terus mengejar.
“Aku dengar, Lokkai marah sama Jimmy. Pasal Pakkai.”
Suharto merenung tajam wajah Manjoy. Selagi kebenaran itu tidak dicari, hatinya
tidak puas. Benarkah Jimmy balik kampung atau Jimmy sudah….
Manjoy mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa hukuman
Lokkai nanti. Tetapi dia tahu kejadian yang telah berlaku akan membuatkan semua
orang berasa risau. Mungkinkah Lokkai akan membunuh Jimmy? Nampaknya tidak. “Jangan
bimbang deh… Jimmy takkan lama di kampung. Mustahil dia akan tahan.”
Suharto senyum tawar. Apa yang berlaku kepada Pakkai
sedikit merunsingkan dia. Dia tahu Jimmy orang kanan Lokkai tetapi dalam soal
ini, dia yakin Lokkai akan lebih mementingkan hubungan darah. Bagaimanapun
daripada kesemua ahli Kumpulan Wuntai yang dia kenal, dia hanya selesa
berurusan dengan Jimmy. Tanpa Jimmy, dia yakin dia juga dalam bahaya.