Bab
3
Pak Long Kerbau menyambut tetamu-tetamunya
itu dengan meriah walaupun kedatangan mereka ke rumahnya itu secara mengejut.
Dia mengarahkan Mak Long Piah, isterinya memasak semua lauk yang ada di dalam
peti ais. Mewahlah meja makan dengan gulai ikan bawal, ayam goreng, telur
dadar, rebung masak lemak, sambal belacan, ikan kering goreng, tembikai dan jus
oren Sunquick.
Mereka makan tengah hari sambil
berbual tentang skim pelaburan Pak Lang itu.
“Sedap ni. Pandai mak long
masak,” puji Karim.
Mak Long Piah tersipu-sipu malu
tetapi hatinya berbangga bila dipuji begitu. “Makan sampai habis kalau sedap.”
“Insyallah, ” sambut Karim.
Mak Long Piah suka hati melihat
Karim menambah nasi.
“Memang untung ke?” tanya Pak
Long Kerbau tiba-tiba.
Karim yang baru berkira-kira
hendak membuka mulut tersenyum di dalam hati. Mengikut pengalamannya keberangkalian
untuk bakal pelabur yang bertanyakan soalan seperti itu untuk melabur adalah
tinggi. Mereka sudah putuskan untuk melabur tetapi hanya mahu mendengar jaminan
daripada agen pelaburan tentang keuntungan.
“Pasti untung, Pak Long!” jawab
Karim.
Bakar dan Dahlan yang diam
mengangguk-angguk setuju selepas dilihat oleh Pak Long Kerbau.
“Macam itu jugalah yang aku
dengar daripada beberapa orang kampung ni yang sudah melabur. Ada seorang tu dah
balik modal dan sekarang makan untung saja ,” kata Pak Long Kerbau.
Karim tersenyum di dalam hati. Dia tahu misi kali ini mudah. Dia yakin
Pak Long Kerbau pasti melabur. Tetapi soalnya ialah berapa ringgit? Misi
sukarnya adalah untuk memastikan Pak Long Kerbau melabur sebanyak yang mungkin.
Tetapi adakah dia sudah menjual tanahnya?
“Sebab tu tak rugi kalau melabur
banyak,” kata Karim.
“Betul. Penghulu Shaari, yang sudah
balik modal tu, sekarang menyesal sebab tak melabur banyak dahulu. Tapi
untungnya pun sudah bolehkan dia dan bini pergi umrah bulan lepas,” sambut Pak
Long Kerbau.
“Pak Long hendak melabur berapa
ratus ribu?” tanya Karim dengan muka selamba.
“Aku mana ada duit,” jawab Pak
Long Kerbau dengan muka selamba juga.
Karim agak terpukul. Tetapi
kembali tenang bila Pak Long Kerbau ketawa.
“Seribu boleh?” tanya Pak Long
Kerbau.
“Boleh, boleh,” sambut Karim
susah payah. Suaranya tersekat-sekat. Kemudian menyumpah-nyumpah di dalam hati.
“Tapi kalau melabur banyak lagi bagus. Nanti rugi macam Penghulu Shaari,”
cubanya.
Pak Long Kerbau mengangguk sambil
mengunyah nasi lalu meneguk jus oren Sunquick. “Berapa yang paling baik?
Sepuluh, belas, puluh atau ratus ribu?”
“Sejuta lagi bagus?” balas Karim
lalu ketawa.
Mereka semua ketawa sama.
“Tapi aku tak ada duit sebanyak
tu. Kalau ada pun tak mungkin nak labur sebanyak tu,” kata Pak Long Kerbau. Dia
bersendawa. Pinggannya licin. Membasuh tangan dan mengambil sepotong tembikai merah
lalu memakannya.
“Berapa ratus ribu yang Pak Long
sanggup labur?” tanya Karim, mengumpan. Dia juga sudah menghabiskan nasi lalu
membasuh tangan, mengambil sepotong tembikai dan memakannya. Dia tahu sekarang
adalah peringkat kritikal di dalam urus niaga itu.
Pak Long Kerbau tersenyum dan kemudian melihat
Mak Long Piah yang duduk di sisinya. Mak Long Piah mengangguk semacam memberi
persetujuan tentang perkara yang sudah dibincangkan mereka sejak beberapa hari
yang lalu. “Seratus ribu boleh?” tanyanya.
Bakar tersedak. Nasinya tersembur
dan dia lekas meneguk jus oren Sunquick. “Entah siapa yang sebut nama ni,”
katanya.
Dahlan mengurut belakang Bakar sambil berkata
kepada Pak Long Kerbau. “Tak nak tambah lagi Pak Long? Tak rugi pun. Dulu
sepuluh bulan baliklah modal tapi sekarang lagi pendek. Lagi banyak melabur
lagi pendek tempoh balik modal.”
Mata Pak Long Kerbau terbeliak.
“Sekarang berapa bulan dah balik modal?”
“Dulu syarikat bagi dividen
sepuluh persen sebulan. Sekarang sudah naik dua belas persen sebulan. Maknanya
bulan ke sembilan dah balik modal dan dapat untung sedikit. Bulan ke sepuluh sudah
dapat untung penuh. Itu untuk pelaburan 100 ribu ringgit ke bawah.” terang
Dahlan.
“Benar begitu?” tanya Pak Long
Kerbau, teruja.
“Betul. Stuktur dividen sudah
diubah sejak semalam. Lagi menarik,” jawab Karim.
“Maksud hang?” tanya Pak Long
Kerbau.
“Pelaburan bawah 100 ribu akan
dapat 12 persen. Pelaburan dua ratus ribu ringgit ke atas sampai 499 ribu akan
dapat 15 persen dividen setiap bulan. Pelaburan 500 ribu ke atas sehingga 999
ribu dapat 20 persen sebulan. Sejuta ke atas dapat 25 persen sebulan,” jelas
Karim.
Bukan sahaja Pak Long Karim
ternganga mendengar struktur dividen terbaru itu tetapi juga Dahlan dan Bakar.
Mereka berdua baru dengar struktur dividen terbaru itu.
“Betul ke Karim?” tanya Dahlan.
Karim mengangguk yakin. “Maknanya
kalau pak long labur 500 ribu, dalam lima bulan sudah balik modal. Bulan-bulan
berikutnya, selama-lamanya pak long dapat untung 100 ribu sebulan!”
Pak Long Kerbau ternganga
mendengar keuntungan yang dicanang oleh Karim itu.
“Kalau sejuta ke atas, dalam
empat bulan dah balik modal. Dan sebulan pak long untung 250 ribu sebulan!
Selama-lamanya!” sambung Karim.
Mulut Pak Long Kerbau lebih
ternganga. Matanya bersinar-sinar kerana suka.
“Kalau saya ada sejuta macam Pak
Long saya labur sejuta tu,” kata Dahlan.
“Hang ni macam tahu-tahu saja aku
ada duit sebanyak tu,” balas Pak Long Kerbau tersengih.
Karim gembira mendengar kata-kata
Pak Long Kerbau itu.
“Pak long sudah jual tanah tu
ke?” tanya Bakar.
“Sudah. Beres dua hari lepas.
Sebab aku nak cepat melabur dengan syarikat hangpalah…” jawab Pak Long Kerbau.
“Jadi berapa Pak Long nak labur?”
tanya Karim.
Pak Long Kerbau berfikir lama.
Pada mulanya dia mahu melabur seratus ribu sahaja. Tetapi maklumat tentang
stuktur dividen baru yang baru dikhabarkan oleh Karim itu membuatkannya menilai
semula keputusan awal itu. Rugi jika dia tidak mengambil peluang di atas
struktur dividen baru yang amat menarik itu. Dia melihat Mak Long Piah.
“Saya ikut sahaja apa yang abang
putuskan,” kata Mak Long Piah yang memahami maksud pandangan Pak Long Kerbau
itu.
“Lagi besar pelaburan lagi cepat
pulang modal.” Karim mengingatkan.
Pak Long Kerbau mengangguk-angguk
faham. Tidak lama kemudian dia pun menetapkan fikirannya. “Aku labur lima ratus
ribu.”
Karim tersenyum puas. Bakar ikut
tersenyum mengenangkan komisen yang akan diperolehinya. Karim segera
menghulurkan tangan kepada Pak Long Kerbau dan diikuti oleh Bakar dan Dahlan.
Mereka ketawa seronok.
“Bulan keenam pendapatan pak long
seratus ribu sebulanlah. Fuh, untung-untung kalaulah saya ada duit sebanyak pak
long. Pak Long memang sudah buat keputusan yang bijak,” kata Karim.
Pak Long Kerbau berasa senang
dengan kata-kata Karim itu. “Bila nak bagi duit tu?”
“Bila Pak Long boleh bagi?” tanya
Karim.
“Hari ni pun boleh. Pakai cek
boleh?” tanya Pak Long Kerbau.
“Boleh, boleh. Tarikh ceknya kena
hari ni lah. Saya nak daftarkan pelaburan pak long tu hari ni juga. Lagi cepat
lagi bagus,” jawab Karim.
“Yang tu tak ada masalah. Memang
duit jual tanah tu aku masuk dalam akaun semasa syarikat ternak kerbau aku tu.
Aku bagi atas nama syarikat aku tu boleh?” jawab Pak Long Kerbau.
“Boleh. Tak ada masalah,” jawab
Karim yang gembira bukan kepalang.
“Akaun aku nanti siapa yang jaga?
Bakar kan?” tanya Pak Long Kerbau.
“Ya, ya,” jawab Karim pantas.
“Aku tahu agen macam hangpa ni
tentu dapat komisen. Aku nak Bakar dapat komisen tu. Aku kenal dia. Aku nak
tolong dia,” kata Pak Long Kerbau.
Bakar terharu.
“Tapi apa-apa aku cari dia
jugalah,” kata Pak Long Kerbau, ketawa.
Mereka semua ketawa.
Selepas menandatangani
borang-borang yang berkenaan akhirnya urus niaga pelaburan itu pun selesailah. Cek
sudah berada di tangan Karim.
“Alhamdulillah semuanya sudah
selesai,” kata Bakar.
“Hang kena belanja aku. Komisen
masuk banyak kali ni,” kata Dahlan.
Bakar tersenyum. “Tak jadi
masalah. Tapi kena tunggu cukup bulanlah. Eh, mana Karim?”
“Dia masuk bilik dia tadi,” kata
Dahlan.
Ketika mata mereka berdua melihat
ke arah bilik pejabat Karim, Karim pun keluar dari situ. Berjalan tersenyum
mendekati mereka berdua dengan membawa beberapa ikat duit.
“Nah ini komisen hang. Ni pulak
habuan hang tolong yakinkan pak long,” kata Karim sambil meletakkan empat ikat
not 50 ringgit di hadapan Bakar dan seikat not 50 ringgit di hadapan Dahlan.
“Empat ribu untuk hang dan seribu untuk hang,” sambungnya.
Bakar dan Dahlan terkejut besar.
Karim tersenyum selamba.
“Bukan dapat sekali dengan gaji
awal bulan depan ke?” tanya Bakar ragu-ragu. Tetapi matanya tidak lepas
memandang empat ikat not 50 ringgit di hadapannya itu. “Kenapa empat ribu
sahaja?” tanyanya lagi kehairanan.
Komisen bagi setiap kutipan pelaburan
100 ribu ringgit ialah lima ribu ringgit. Sepatutnya komisen Bakar untuk
pelaburan yang dibuat oleh Pak Lang Kerbau itu ialah dua puluh lima ribu
ringgit.
“Ini kes istimewa. Ini komisen
dari aku sendiri. Komisen daripada syarikat tetap akan dimasukkan dalam akaun
hang awal bulan nanti,” terang Karim.
Muka Bakar bercahaya. “Memang
engkau bos dan sahabat yang baik, Terima kasih, terima kasih.” Pujinya sambil mengambil
empat ikat not 50 ringgit itu dengan gopoh gapah.
“Tak nak kerja lagi?” tanya
Dahlan, memerli Bakar.
Bakar tersengih macam kerang
busuk. “Siapa yang tak nak duit, kawan,” katanya kemudian.
Mereka bertiga ketawa besar.
Karim menunaikan cek tunai
daripada Pak Long Kerbau petang itu juga. Dia terus masuk ke dalam bilik tidurnya
sebaik sampai di rumah selepas ke dapur menjenguk isterinya, Kalsum. Dia
mengira kutipan wang pelaburan kumpulannya untuk minggu itu. Semuanya 800 ribu
ringgit termasuk 500 ribu ringgit Pak Long Kerbau tadi. Dia mencongak di dalam
kepala. Sampai ke saat ini dia sudah memegang lebih dua juta ringgit sejak pertemuan
terakhirnya dengan Ramlan tiga minggu yang lalu.
Dua minggu lagi sampailah cukup
bulan. Dia berasa wang yang dimilikinya sekarang sudah mencukupi untuknya
membina kehidupan baru di tempat lain. Dia harus pergi dari situ dengan segera.
Dia akan ke luar negara mengikut jejak Ramlan. Dia dan keluarganya tidak
selamat jika terus tinggal di dalam negara ini bila kejatuhan skim pelaburan Pak
Lang diketahui umum kelak.
Dia tergelak sendirian. Apa
salahnya membuat untung daripada sesuatu yang memang sudah salah? Dia terus
tergelak sendirian lama. Kini dia seorang jutawan!
Selain ubat-ubatan yang
dibekalkan oleh pihak hospital, Habshah juga mencuba ubat-ubatan yang dibelikan
oleh suaminya dari farmasi-farmasi dan kedai ginseng cina untuk merawat penyakitnya
itu. Dia berasa beransur sihat.
Sebaik dia menelan ubat-ubatan
terdengar loceng rumahnya berbunyi. Pembantu rumahnya, Bibik Aminah, menerpa ke
luar rumah. Tidak berapa lama kemudian terjongollah Latifah di muka pintu.
Rakan baiknya itu memberi salam dan masuk ke dalam rumah lalu mendapatkannya di
ruang tamu. Sejak pulang dari hospital dia memang berkampung di tingkat bawah.
Dia tidak larat hendak turun naik tangga. Bila malam dia akan tidur di bilik
bawah bersama Bibik Aminah. Bila siang dia selesa berbaring di atas kerusi
malas atau sofa di ruang tamu.
“Apa khabar engkau hari ni Sah?”
tanya Latifah selepas meletakkan satu bungkusan di sisi sofa.
“Sihat sikit. Sudah tidak lemah
macam dulu,” jawab Habshah. Habshah memanggil Bibik Aminah dan memintanya
membawa minuman dan kuih untuk dihidangkan kepada Latifah.
“Alhamdulillah. Engkau kena tabah
ya. Ada hikmahnya,” kata Latifah.
Habshah mengangguk.
“Ini aku ada bawakan ginseng cina.
Kawan aku kata kanser emaknya semakin pulih selepas makan ubat ni,” kata
Latifah lalu mengeluarkan isi bungkusan yang dibawanya tadi. Kotak berisi
kapsul-kapsul ginseng itu diunjukkan kepada Habshah.
Habshah mengambil kotak ginseng
itu. “Betul ke Pah?”
“Kawan aku cakap begitu. Engkau
cuba makan dulu. Ginseng ni mahal. Kalau mahal tentulah elok kan? Import terus
dari China. Ada di kedai-kedai ginseng terpilih sahaja,” balas Latifah.
“Berapa?” tanya Habshah.
“Sekotak ni lima ratus ringgit. Dalam ni hanya
ada empat belas biji kapsul sahaja. Sehari kena makan dua biji kapsul. Siang
sekali dan malam sekali selepas sarapan dan makan malam. Maknanya sekotak ni
tahan seminggu sahajalah. Yang ni aku beli untuk hang cuba. Aku sedekah,” jelas
Latifah.
“Terima kasih, Latifah” ucap
Habshah.
“Ya,” balas Latifah. “Engkau kan
kawan baik aku…”
“Hah, boleh tak engkau pesankan
ginseng ni empat kotak sekali gus. Ginseng ni terhad kan? Aku takut stoknya
habis. Manalah tahu ginseng yang engkau beli ni memang bagus,” kata Habshah.
Dia mencapai beg tangannya dan menyerahkan dua ribu ringgit kepada Latifah.
“Aku baru nak cakap dengan engkau
pasal perkara ini. Sebab kawan aku beritahu permintaan banyak tapi stok kurang.
Stok baru hanya ada bulan depan,” balas Latifah.
“Terima kasihlah Latifah sebab
prihatin. Engkau baik sangat dengan aku,” balas Habshah lantas memegang tangan
Latifah.
Air mata Latifah mengalir.
“Engkau kena cepat baik. Aku tak larat hendak pangku semua kerja engkau. Aku tak
sehebat engkau. Macam mana engkau buat semua kerja tu selama ini? Aku baru pangku
tak berapa lama ni pun sudah pening dibuatnya.”
Habshah tergelak kecil tetapi
kemudian terbatuk. “Ramai orang ingat jadi pengurus ini senang. Gaji memanglah
besar tapi tugas dan tanggungjawab pun besar.”
Latifah tersenyum. Sekarang dia
yang memangku jawatan pengurus sumber manusia syarikat elektronik tempat mereka
berdua bekerja itu. “Aku sekarang kadang-kadang sampai makan pun tak sempat!”
“Eloklah tu. Bagi badan slim lagi…”
balas Habshah.
“Engkau nak bagi pinggang aku
jadi macam pinggang kerengga?” jawab Latifah.
Habshah tergelak kecil. Latifah
sama tergelak.
Seorang perempuan tua baru sahaja
menuruni tangga rumah itu. Latifah yang galak gelak tersentak sebaik melihat
perempuan tua itu. Tindakannya itu menyebabkan Habshah menoleh ke arah tangga.
Perempuan tua itu menghilang ke dapur.
“Siapa tu?” tanya Latifah.
“Mak mertua aku lah,” jawab
Habshah.
“Mak mertua engkau? ” tanya Latifah.
Baru pertama kali melihat mak mertua Habshah.
“Ya. Mak mertua tiri aku. Mak
Siti,” jawab Habshah yang memang selalu memperkenalkan mak tiri suaminya itu
sebagai mak mertuanya sahaja.
“Oh..” balas Latifah.
Mak Siti datang ke ruang tamu
itu. Dia bersalaman dengan Latifah. Kemudian terus memandang kotak ginseng yang
berada di atas sofa itu. Lama sebelum pandangannya diganggu oleh penjelasan
Habshah.
“Latifah bawakan ginseng ni untuk
saya mak. Dia kata kanser emak kawannya beransur pulih bila makan ginseng ni,” kata Habshah.
Mak Siti cuma mengangguk acuh tak
acuh. Tanda dia tidak senang dengan pemberian Latifah itu. Tetapi Latifah tidak
melihat reaksi Mak Siti itu. Dia sedang melihat jam tangannya.
“Aku minta diri dulu Sah. Ada
saudara nak datang rumah pukul enam setengah nanti.” Latifah meminta diri.
“Baiklah. Terima kasih ziarah
aku,” kata Habshah menggagahkan diri memeluk Latifah.
Latifah membalas pelukan Habshah
itu. Selepas itu bersalaman pula dengan Mak Siti sebelum berjalan ke arah
pintu. Mak Siti memerhati lenggok Latifah itu sehingga hilang di balik pintu.
“Kenapa mak?” tanya Habshah yang
menyedari pandangan luar biasa Mak Siti pada Latifah.
“Tiada apa-apa,” jawab Mak Siti
lalu tersenyum.