Bab
4
Pengumuman penerbangan ke London bergema
di ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu. Karim berasa amat
gembira sebaik mendengar pengumuman itu. Sejak tadi dia mengawasi sekeliling.
Khuatir kalau ada klien yang terserempak atau mencarinya di situ. Walaupun
cukup bulan lagi beberapa hari tetapi manalah tahu jika tembelang syarikat
pelaburan itu sudah gulung tikar dan orang-orang kanan syarikat yang kesemuanya
sudah cabut lari entah ke mana itu dapat diketahui awal oleh kliennya.
Karim dan keluarganya memasuki
balai berlepas dan tidak lama kemudian sudah pun berada di dalam perut Boeing
747 milik Malaysian Airline System atau MAS itu. Tidak lama selepas itu tayar
pesawat itu pun berpisah dari landasan. Pesawat itu meluncur laju membawa Karim
sekeluarga dan penumpang-penumpang lain ke kota London, ibu negara England.
Sementara di Kulim, Dahlan berasa
bangga kerana dilantik oleh Karim memangku tugasnya sepanjang ketiadaannya di
pejabat. Bakar mengetuk pintu ketika dia sedang berangan-angan menjadi bos di
bangku empuk milik Karim. Dahlan terkejut dan tersengih sebaik melihat Bakar yang
sudah berdiri di muka pintu.
“Wah, syok hang jadi bos! Aku
ketuk pintu pun tak dengar,” tegur Bakar.
Dahlan tersipu-sipu malu. “Duduk,
duduk,” katanya sambil tersenyum-senyum sambil menunjuk ke arah kerusi di hadapan
meja. Dia mengajuk perlakuan yang selalu dilakukan Karim. Sebaik Bakar duduk di
kerusi itu dia menyambung kata lagi, “Ada gaya macam Karim tak?”
Bakar tersenyum. “Ada. Tapi gaya
sahajalah. Yang lain-lain tak serupa langsung!”
Muka Dahlan merah padam. Dia
ambil hati dengan kata-kata Bakar walaupun tahu Bakar cuma berseloroh. “Apa
hang ingat aku tak layak jadi bos ke?” tanya Bakar, mukanya mencuka.
Bakar tersengih melihat muka
Dahlan yang merah padam itu. “Aku melawak saja. Tak ada orang lain yang layak
untuk ganti tempat Karim selain hang.”
Muka Dahlan bersinar semula
selepas mendengar pujian Bakar itu. Ambil hatinya tadi hilang begitu sahaja.
“Ha, tahu pun.”
“Untunglah kalau hang betul-betul
boleh jadi macam Karim. Boleh bawak anak bini melancong di luar negara macam
dia,” kata Bakar lagi.
“Betul. Percuma pulak tu. Semua
perbelanjaan syarikat yang tanggung. Memanglah dia ke sana untuk tolong Abang Ramlan.
Tetapi boleh bawak anak bini. Serupa melanconglah tu. Fuh, memang bagus kalau
dapat peluang begitu!” balas Dahlan.
Karim memaklumkan kepada mereka
bahawa dia sekeluarga ke New York selama dua minggu bermula hari ini. Kononnya
Abang Ramlan minta dia ke sana untuk menolong mengembangkan sayap pelaburan
mereka di sana. Katanya sudah ada lebih sepuluh orang pelabur berpotensi
berminat untuk melaburkan sejumlah wang yang banyak dalam skim pelaburan mereka
itu. Sepanjang ketiadaanya, Karim melantik Dahlan memangku jawatannya.
Sementara Bakar memangku jawatan Dahlan sebagai timbalan pengurus cawangan. Sedangkan
Karim ke London, bukan ke New York. Bukan atas trip bisnes tetapi untuk
melarikan diri. Anak-anak buahnya termasuk Bakar dan Dahlan percaya melulu
kata-katanya.
“Aku ingat nak beli kereta baru,”
beritahu Bakar tiba-tiba.
“Wah, macam itu lah! Daripada hari
tu aku suruh tukar Toyota yang dah ketinggalan zaman tu. Kereta hang tu dah
lama sangat dah. Dah boleh simpan bawah rumah,” kata Dahlan.
Bakar tersenyum. “Sebab itu lah.
Aku ingat nak pergi tengok kereta petang ni kat Butterwoth. Hang temankan aku, boleh?”
“Boleh. Hang nak ambik Mercedes
macam Karim ke?” tanya Dahlan.
“Gila. Aku mana mampu. Karim tu
bos. Komisen dia kiri kanan. Komisen aku sikit saja,” jawab Bakar.
“Tak rugi pun. Bulan depan
komisen hang masuk banyak. Komisen dari pelaburan Pak Long Kerbau saja pun dah
dua puluh lima ribu. Tak masuk komisen lain lagi,” kata Dahlan.
Bakar tersengih.
“Tak rugi. Kalau kita pakai
kereta besar, baju berjenama dan kasut kulit Itali. Lagi senang orang nak
percaya dan yakin semua cakap kita. Macam kata Karim hari tu, pekerjaan macam
kita ni penampilan diri adalah nombor satu selain manis dan ringan mulut. Sebab
tu Karim senang dapat klien,” sambung Dahlan.
Bakar mengangguk mengerti. Apa
yang dikatakan oleh Dahlan itu benar. Karim dapat meyakinkan orang sebelum dia
membuka mulut lagi.
“Sebab tu aku beli Honda tu hari
tu. Dengan pendapatan sekarang ni memang ansuran Honda tu tak jadi masalah.
Hang pun perasan sejak aku pakai Honda tu aku kutip lebih banyak pelaburan
setiap bulan. Hang pun mampu nak pakai Honda macam aku tu. Hang nak beli kereta
macam aku?” Dahlan terus bersuara. Dia teringatkan kata-kata jurujual di Pusat
Pameran Honda tempoh hari. Kata juru jual di situ dia akan dapat komisen jika
merekomen sesiapa yang beli kereta di situ.
“Aku ingat nak beli proton,”
jawab Bakar.
“Proton Wira?” tanya Dahlan.
Bakar mengangguk.
“Depa kata Proton Wira tu memang
bagus. Tetapi Honda Civic VTEC macam aku tu lagi bagus. Memang mahal sikit tapi
hang mampu. Bayar deposit lebih, kuranglah ansuran bulanannya. Nak risau apa
sebab komisen hang tiap bulan semakin banyak,” pujuk Dahlan.
“Memanglah banyak. Tapi bini aku
dah sibuk mintak buat kabinet dapur baru. Hari ni kontraktor datang ambil
ukuran dapur,” jawab Bakar.
“Koreklah simpanan yang duk ada
tu. Apa kata Karim hari tu, kita kena anggap kereta, pakaian, kasut, jam, pen,
beg bimbit dan kasut kulit mewah yang kita beli untuk kerja ini sebagai
pelaburan. Pelaburan untuk mendapatkan keyakinan orang. Bila orang yakin dengan
kita maka dia akan percaya semua kata kita. Senanglah orang nak melabur dengan
kita. Meningkatlah pendapatan kita nanti,” kata Dahlan.
Bakar mengangguk setuju. Dia
memang mampu untuk membayar ansuran kereta Honda Civic VTEC seperti Dahlan itu.
Dia juga memang mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk menambah deposit
yang diperuntukkan untuk membeli Proton Wira.
“Macam mana? Kalau hang setuju
aku nak telefon jurujual yang berurusan dengan aku hari tu. Dia boleh bagi
macam-macam aksesori percuma. Kena buat temu janji dulu,” kata Dahlan.
“Bolehlah,” jawab Bakar.
Dahlan tersenyum gembira.
Petang itu mereka ke Pusat
Pameran Honda di Butterworth. Bakar beli Honda seperti Dahlan. Minggu hadapan
dia bakal memandu kereta baru. Juru jual itu kata Honda yang dikehendakinya ada
di dalam stok mereka. Jadi dia akan dapat kereta baru itu dengan cepat jika
semuanya diluluskan oleh pihak bank.
Isnin minggu pertama bulan baru
itu, Bakar sudah pun menerima kereta barunya itu. Gembiranya bukan main.
Tambahan pula hari itu satu hari bulan. Gajinya masuk pada hari itu. Dia
memakirkan keretanya di sebelah Honda Dahlan. Sekumpulan rakan setugas yang
berkumpul di koridor pejabat seperti tidak terkesan dengan kehadirannya. Dia
berasa kehairanan dan kecewa.
Bakar keluar dari kereta baru lalu
menuju ke arah rakan-rakan sekerjanya.
Dia menegur mereka yang berbincang entah apa lalu terus hendak masuk ke dalam
pejabat sebelum ditanya oleh Salim, salah seorang daripada rakan sekerjanya.
“Bakar, hang dah periksa gaji?”
tanya Salim.
Semua mata rakan sekerjanya yang
berkumpul di situ memandangnya.
“Belum. Petang nanti baru nak
periksa. Awat?” kata Bakar.
“Shamsul dan Ghani dah periksa pagi tadi tapi
tak masuk lagi,” beritahu Salim.
“Mungkin petang nanti kut. Tak
pun esok. Bukan tak biasa jadi macam ni. Lapan bulan lepas biasa jadi sekali,”
jawab Bakar. “Petang ni hangpa periksa lagi. Tak pun esok pagi.”
Bakar masuk ke dalam pejabat
meninggalkan rakan-rakan sekerjanya yang masih tidak berpuas hati dengan
kelewatan gaji itu. Selepas meletakkan begnya di mejanya dia terus berjumpa
dengan Dahlan.
“Budak-budak tu dah kecoh gaji
bulan ni tak masuk lagi,” kata Bakar kepada Dahlan.
“Bukan gaji kita sahaja tetapi
dividen pelabur-pelabur pun tak masuk lagi ni. Dah ada tiga orang klien telefon
tadi,” jawab Dahlan.
“Dividen pun tak masuk lagi?”
tanya Bakar inginkan pengesahan.
“Ya. Lapan bulan lepas gaji kita
saja. Tapi dividen klien masuk macam biasa. Tapi kali ni dua-dua lewat,” jawab
Dahlan.
Telefon di meja Dahlan berbunyi.
Seorang lagi kliennya menelefon mengadu dividen untuk bulan itu belum
dikreditkan ke dalam akaun bank.
“Seorang lagi dah mengadu,”
beritahu Dahlan selepas meletakkan ganggang telefon. Dia meminta kliennya memeriksa
akaun bank pada esok pagi. Alasannya ialah kemungkinan sistem bank ada masalah.
“Hang dah hubungi ibu pejabat?”
tanya Bakar yang tiba-tiba berasa bimbang.
“Sudah. Tak ada siapa yang
jawab,” jawab Dahlan.
“Cuba hang telefon lagi,” pinta
Bakar.
Dahlan menelefon ibu pejabat
syarikat pelaburan mereka itu. Panggilan telefon itu dijawab. Kakitangan di ibu
pejabat meminta mereka bersabar. Mereka akan rujuk perkara itu kepada Pak Lang
sendiri.
“Kenapa ni?” tanya Bakar, makin
bimbang.
“Aku pun tak tahu. Kalau Karim
ada dia tahulah nak hubungi siapa untuk bertanyakan masalah ni,” keluh Dahlan.
“Cuba hang periksa buku telefon
dia. Dia simpan buku telefon tu dalam laci meja,” kata Bakar.
Mereka berdua ke bilik pejabat
Karim. Buku telefon yang dimaksudkan oleh Bakar itu memang ada di dalam salah
sebuah laci meja itu. Dahlan memeriksa buku telefon itu. Nombor-nombor telefon
orang-orang kanan syarikat pelaburan itu ada di dalam buku telefon itu. Dahlan
menelefon mereka. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka berjaya dihubungi.
Sebahagian nombor telefon itu sudah tidak digunakan lagi. Sebahagian yang lain dijawab
oleh operator telefon.
Dahlan dan Bakar saling
berpandangan.
“Aku tak sedap hati ni. Macam ada
masalah sahaja ni…” luah Bakar, melonggarkan tali lehernya.
“Aku pun,” balas Dahlan. “Kita
cuba nombor-nombor telefon ni,” katanya kemudian selepas menemui nombor-nombor
telefon yang difikirkannya adalah nombor telefon saudara mara Karim.
“Nombor telefon siapa?” tanya
Bakar.
“Aku rasa ni nombor telefon
saudara mara Karim. Kita tanya depa macam mana nak hubungi Karim, ” jawab
Dahlan.
Bakar meneliti senarai nombor
telefon itu. Dia kenal salah seorang nama yang tercatat di dalam senarai itu.
“Cuba hang telefon ni. Kalau tak silap Jefri ni adik dia.”
Dahlan segera menelefon Jefri.
Panggilan telefon itu dijawab.
“Assalammualaikum, Jefri,” ucap
Dahlan.
“Waalaikummussalam. Siapa ni?”
jawab Jefri.
“Abang ni Dahlan. Kawan abang hang, Karim. Abang nak tanya hang ada tak
nombor telefon Karim di New York?” tanya Dahlan.
“New York?” tanya Jefri dalam
nada hairan.
“Ya, nombor telefon di New York,”
jawab Dahlan, mengesahkan.
“Err… saya tak ada nombor telefon
dia di sana. Dia dah pergi New York ke?” jawab Jefri.
“Dia pergi sana sejak dua minggu
lepas. Hang tak tahu ke?” tanya Dahlan.
“Yang saya tahu dia ke London.
Tak tahu pulak sekarang sudah di New York,” jawab Jefri terus terang.
“Apa, London?!” Dahlan terkejut.
“Ya. Dia terbang dari KLIA ke
London,” beritahu Jefri.
“Hang ada nombor telefon dia di
London?” tanya Dahlan yang sudah memicit-micit dahinya sambil mengeluh walaupun
tidak pening.
“Ada. Abang telefon sekejap lagi.
Saya cari dalam buku telefon,” jawab Jefri.
Perbualan telefon di antara
Dahlan dan Jefri itu diputuskan. Selepas lima minit Dahlan menelefon semula
Jefri. Selepas berpuluh kali mencuba akhirnya dia putus asa. Panggilan
telefonnya itu tidak dijawab oleh Jefri. Mereka menghubungi rakan-rakan di
cawangan-cawangan lain. Rakan-rakan mereka di cawangan-cawangan lain juga
sedang mengalami masalah yang sama. Pengurus-pengurus cawangan lenyap tanpa
dapat dijejak. Kini mereka berdua tahulah sesuatu yang tidak kena memang sedang
berlaku.
Bakar dan Dahlan terduduk di
kerusi. Bimbang bertenggek pada dada masing-masing.
“Memang ada yang tak kena ni.
Entah-entah syarikat ni dah lingkup,” kata Bakar.
Dahlan mengeluh. Dia tidak mahu
sampai pada kesimpulan itu. Tetapi tanda-tanda kesimpulan itu benar adalah kuat.
“Patutlah Karim bagi empat ribu
pada aku hari tu. Kononnya komisen daripada dia. Selama ni mana pernah dia buat
begitu. Mungkin dia tahu syarikat ni dah nak lingkup. Mungkin Abang Ramlan dah
beritahu dia sebelum cabut lebih awal. Dia pulak tunggu untuk kutip duit lagi
sebelum lari,” kata Bakar.
Dahlan diam. Tidak tahu hendak
cakap apa.
“Kita memang dah kena tipu Dahlan!
Hang percayalah cakap aku. Sekarang baru aku tahu kenapa dia minta Pak Long
Kerbau tulis cek atas nama dia. Selalunya atas nama syarikat,” kata Bakar lagi.
“Aku susah nak percaya. Semua
nampak okey saja sebelum hari ni,” kata Dahlan, mengeluh keras.
Tiba-tiba telefon di meja itu
berbunyi. Salah seorang kawan Dahlan di salah sebuah cawangan memaklumkan satu
maklumat terbaru yang mengesahkan kebimbangan yang disuarakan Bakar tadi. Pak
Lang tidak dapat dihubungi. Jirannya memaklumkan yang bos besar mereka itu
sudah tidak ada di rumah itu sejak dua bulan yang lalu. Jirannya yang lain
memberitahu isteri Pak lang ada beritahu keluarganya akan menetap Indonesia.
“Celaka Karim!” marah Dahlan
setelah mendapat maklumat terbaru itu.
Mereka berdua bergegas ke rumah
Karim. Ingin mendapat maklumat tentang pemergian Karim sekeluarga ke London
daripada jirannya. Bila mereka keluar dari bilik pejabat itu, rakan-rakan
sekerja mereka sedang sibuk menjawab panggilan telefon dari klien
masing-masing. Telefon-telefon tidak berhenti berdering.
Bakar dan Dahlan menggeletar
lutut melihat keadaan itu.
Mula-mula dia berasa lebih sihat
selepas mengambil ubat ginseng yang disyorkan oleh Latifah itu. Keluarganya
juga amat gembira dengan perkembangan tersebut. Tetapi selepas hampir sebulan
mengambil ubat ginseng itu kesihatannya mula merudum. Muka, tangan dan matanya
menjadi kuning.
Dia dirujuk ke Hospital Assunta.
Para pakar tidak tahu punca yang menyebabkan kesihatannya merudum. Mereka juga
tidak dapat mengesan punca kekuningan pada muka, tangan dan matanya itu. Dia
ditahan di wad beberapa hari dan kemudian dibenarkan pulang. Kesihatannya
semakin merudum bila berada di rumah.
Badannya berasa amat lemah. Dia
berasa sendi-sendinya sakit. Dia tidak berdaya hendak bangun. Dia terlantar di
atas tilam.
“Emak rasa engkau ni bukan kena kanser, Sah,” kata Mak Siti yang
memeriksa Habshah. Selepas beberapa bulan ini baru pertama kali bomoh terkenal
di Selangor itu menawarkan diri untuk menengok keadaan Habshah.
Habshah terkejut. “Apa maksud
emak?”
Mulut Mak Siti kumat kamit
membaca mantera. Kemudian dia diam seketika dan sekali sekala memejamkan mata
dan mengangguk-angguk. Dia seperti tekun mendengar sesuatu. “Mengikut firasat
mak, engkau ni dah kena buatan orang dan bercampur dengan perbuatan saka.”
Habshah terkejut. Dia teringatkan
mimpinya dan menceritakannya kepada Mak Siti.
“Engkau bermimpi begitu?” tanya
Mak Siti.
“Ya emak,” jawab Habshah.
“Kenapa tak cakap awal-awal?”
marah Mak Siti.
“Saya macam terlupa,” kata
Habshah. Dia benar-benar terlupakan hal itu selepas didiagnosis menghidap
kanser. Fikirnya bayi perempuan di dalam mimpi itu muncul untuk memberi petanda
kepada penyakit itu. “Apa maksud mimpi tu emak?” tanyanya.
“Ular hitam tu sihir yang
dihantar orang,” kata Mak Siti.
“Dan bayi perempuan tu emak?”
tanya Habshah sebelum sempat Mak Siti menyambung kata.
“Bayi perempuan tu saka keturunan
engkau,” jawab Mak Siti.
“Betul ke emak?” tanya Habshah
yang ketakutan.
Mak Siti mengangguk. “Engkau telah
terima saka tu melalui mimpi,” terangnya lagi.
Habshah ketakutan.
“Sekarang ni kedua-dua benda tu sudah
bersarang dalam badan engkau,” beritahu Mak Siti lagi.
“Sihir tu buatan siapa emak?”
tanya Habshah.
Mulut Mak Siti kumat kamit
membaca mantera. Dia diam semula. Sekali sekala memejam mata dan
mengangguk-angguk.
“Dia orang yang baik dengan
engkau. Rapat macam adik beradik,” jawab Mak Siti.
“Siapa emak?” tanya Habshah yang
sudah pun menitiskan air mata.
“Sikit masa lagi engkau akan tahu
siapa. Badan engkau yang kuning ni dialah penyebabnya. Benda yang dia bagi tu
sudah rosakkan organ-organ dalaman engkau,” jawab Mak Siti.
“Siapa emak?” tanya Habshah yang
terus menangis.
“Betul engkau nak tahu siapa?”
tanya Mak Siti.
Habshah mengangguk. Johan turun
dari tingkat atas bersama anak-anak. Mereka mahu keluar untuk membeli
barang-barang keperluan dapur. Tetapi tidak jadi keluar sebaik melihat Habshah
menangis.
“Saya disihir orang bang,” kata
Habshah. Johan memegang tangannya lalu melihat Mak Siti.
“Betul Johan. Mak baru sahaja
menengok tadi,” jawab Mak Siti.
“Siapa punya kerja emak?” tanya Johan.
Mak Siti menggumam. “Kawan Sah.
Kawan rapat,” jawab Mak Siti tak lama selepas itu.
“Siapa emak?” tanya Habshah lagi.
Air matanya terus mengalir.
“Patutlah emak rasa lain bila
pandang dia hari tu. Bila emak ada dia cepat-cepat minta diri,” kata Mak Siti.
Serta merta nama Latifah
terlintas di fikiran Habshah. Tetapi hatinya berat hendak mempercayai lintasan
fikiran itu. Dia dan Latifah macam adik beradik. Tiada rahsia antara mereka
berdua. Setahunya Latifah anti bomoh. Pernah dia mengesyorkan kepada Latifah
supaya mandi bunga untuk meningkat seri wajah tetapi ditolak mentah-mentah
olehnya.
“Tak mungkin Latifah emak,” luah
Habshah.
Mak Siti tersenyum. Dia mengesot
sedikit dan kini betul-betul duduk bersila bersetentangan dengan pusat Habshah.
“Betul engkau nak tahu siapa?” tanya
Mak Siti.
Habshah mengangguk.
“Baik. Emak akan keluarkan benda
yang dia beri pada engkau tu. Hakikatnya tidak seperti yang engkau fikir dan
lihat selama ini. Yani, tolong ambik takung muntah di bawah sinki,” kata Mak
Siti.
Yani, anak perempuan sulung
Habshah dan Johan itu berlari ke dapur untuk mengambil takung muntah. Gadis itu
kembali dengan takung muntah di tangan.
Mulut Mak Siti kumat kamit
membaca mantera sambil matanya terpejam. Tiba-tiba badannya tersentak dua tiga
kali. Ada sesuatu yang baru meresap masuk kasar ke dalam badannya. Dia membuka
mata dan menghulurkan tangan kirinya perlahan-lahan di atas perut Habshah. Jari-jari
tangan kiri yang dikembangkannya itu digerakkan menghala ke kepala Habshah.
Habshah terbelahak beberapa kali dan seterusnya muntah selepas mengiring
ditampung rusuk kanan.
Yani yang memegang takung muntah
terkejut dengan isi muntah itu. Kapsul-kapsul ginseng yang tidak larut bergaul
bersama air dan lendir kuning bercampur darah dan rambut.
Habshah berhenti muntah selepas
beberapa lama. Dia berasa lega. Yani yang memegang takung pula yang meloya. Dia
bergegas ke dapur dan termuntah di sinki.
Johan mengambil takung muntah itu.
Terkejut besar melihat kapsul-kapsul ginseng yang disyorkan Latifah dan sesuatu
yang seperti rambut bergaul bersama air, lendir berwarna kuning dan darah.
“Apa bendanya bang?” tanya
Habshah.
Johan diam lama. Dia macam tidak
percaya. Dia amat tahu hubungan seperti adik beradik antara Habshah dan Latifah
itu.
“Apa bendanya bang?” tanya
Habshah lagi. Dia ingin bangun untuk melihat apa yang ada di dalam takung
muntah itu. Matanya berair ketika muntah tadi dan tidak dapat melihat isi
muntah itu. Tetapi dia dilarang bangun oleh Mak Siti. Dia melepaskan pandangan
lemah kepada Johan.
Johan menjawab, “Ginseng
Latifah.”
Habshah terkejut. “Apa bang?”
“Ginseng Latifah,” kata Johan,
mengeraskan sedikit suaranya.
“Ginseng yang Latifah rekomenkan
tu ke ?” tanya Habshah.
“Ya, Sah,” jawab Johan.
Mak Siti merampas takung muntah
dari tangan Johan. Dia melihat muntah tersebut sambil menggeleng-gelengkan
kepala.
“Betul ke emak?” tanya Habshah
yang terpukul dengan jawapan-jawapan Johan tadi. Dia masih tidak mahu percaya
lintasan fikirannya tadi.
Mak Siti mengesot dan duduk
bersetentangan dengan dada Habshah. Selepas itu memasukkan tangan kanannya ke
dalam muntah itu. Jari-jarinya mencari kapsul ginseng yang belum pecah. Tidak
lama kemudian dia menarik tangannya keluar dari takung muntah itu. Menunjukkan
kapsul yang berlendir diselaputi oleh lendir kuning dan rambut itu kepada
Habshah.
Habshah tersentak. Dadanya
berombak-ombak kasar kerana sebak. Johan cuba menenangkan.
Mak Siti memecahkan salah satu kapsul
ginseng yang masih eloki. Dari dalamnya keluar beberapa helai rambut yang sudah
disimpul-simpul.
Habshah tidak dapat menahan sebak
sebaik melihat isi kapsul ginseng itu. Air matanya mengalir.
“Dia sudah datang. Sudah ada di
depan rumah,” kata Mak Siti.
Loceng rumah berbunyi. Yani ke
pintu gelongsor di ruang tamu dan melihat ke arah pintu pagar. Dia berdiri lama
di situ dan ditanya siapa yang datang oleh Habshah.
“Auntie Latifah, emak,” jawab
Yani.
Habshah menangis semahu-mahunya.
Loceng rumah terus berbunyi. Johan meluru keluar rumah dan menghalau Latifah
dari situ. Latifah beredar dengan terpinga-pinga.
“Sampai hati engkau Latifah buat
aku macam ni…” Kata-kata itu diulang-ulang oleh Habshah berkali-kali sambil
menangis.