Karim tersenyum sendirian di
beranda rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu. Dia sedang menghirup udara segar
pagi. Dia gembira kerana perancangan awalnya telah berjaya. Peristiwa di Kedai
Kopi Mail itu sudah mencuci calatkan namanya yang busuk dulu. Memang berbaloi
walaupun matanya lebam ditumbuk Dahlan. Sekarang dia sudah boleh menonjolkan
diri. Tidak perlu menyembunyikan diri lagi.
Dia ingin menjadi seperti dahulu.
Berduit dan dihormati. Mahu kembali berpakaian dan berkereta mewah. Mahu rumah
yang lebih besar.
Dia ada cara untuk mencapai semua
itu. Cara yang difikirkannya secara mendalam sepanjang berada di Indonesia. Dia
akan melaksanakan rancangan-rancangan seterusnya secepat yang mungkin supaya
boleh menjadi lebih hebat daripada dulu sesegera mungkin. Dia perlu
menyingkirkan halangan-halangan yang ada terlebih dahulu.
Kalsum menoleh ke belakang dengan
pantas. Dia berasa ada seseorang yang sedang melintas di belakangnya sebentar
tadi.
“Lutfi! Lutfi!” Dia memanggil
anaknya. Kemudian berasa bodoh sendiri kerana baru teringatkan yang anak
lelakinya itu mengikut Karim ke masjid.
“Zakiah! Soraya!” jerit Kalsum
lagi. Anak-anak perempuannya yang berada di dalam bilik tidur mendapatkannya di
ruang tengah.
“Kenapa mama?” tanya Zakiah.
“Zakiah ada lalu sini tadi?”
tanya Kalsum.
“Tak ada,” Zakiah.
“Betul Zakiah tak lalu di
belakang mama tadi?” tanya Kalsum lagi.
“Ya,” jawab Zakiah lalu melesit
pergi dari situ. Kembali ke bilik tidur.
“Soraya?” tanya Kalsum kepada
anak bongsunya itu.
Soraya menggelengkan kepala dan
terus berlalu pergi dari situ.
Kalsum mengeluh. Perasaannya
sahaja barangkali, detik hatinya. Dia menyeterika baju semula. Tiba-tiba dia
terdengar Halimah memanggilnya. Dia berpaling dan Halimah tiada di situ.
Seingatnya Halimah memang tidak pernah lagi naik ke tingkat atas itu semenjak
dia sekeluarga tinggal di situ. Paling dekat pun Halimah pernah naik sejauh
beranda sahaja. Mereka berdua selalu duduk berbual di situ.
Kalsum terdengar bunyi tangga
berkeriuk. Adakah Halimah memanggilnya dari tangga dalam rumah itu? Dia
bergegas ke situ tetapi tiada sesiapa di situ. Kemudian baru teringatkan yang
keluarga abangnya itu ke Klang untuk menghadiri kenduri arwah Habshah.
Teringatkan Habshah, bulu romanya
terus meremang. Dia segera kembali ke
ruang tengah dan menyeterika baju semula. Cuba tidak melayan perasaan takut yang
mula bercambah.
Bunyi detap kedengaran di atas
bumbung. Dia berhenti menyeterika. Memusatkan perhatian pada bunyi tersebut.
Berasa ada seseorang di belakangnya. Dia menoleh ke belakang. Beristighfar
sambil mengurut dada. Zakiah berdiri di muka pintu di antara ruang sorong dan
ruang tengah itu.
“Bunyi apa tu tadi mak?” tanya
Zakiah.
“Musang kut,” jawab Kalsum.
Zakiah mendekati Kalsum. “Kakak
takut…” katanya.
Kalsum memeluk Zakiah. Mereka ke
ruang sorong. Duduk di sofa. Soraya sedang nyenyak tidur di salah sebuah sofa. Dia
buka televisyen dengan suara kuat. Tetapi bulu roma Kalsum terus meremang.
Entah mengapa dia teringatkan kejadian yang berlaku kepada Habshah dahulu.
Pintu tingkat atas itu diketuk
orang. Kalsum terkejut besar. Dia dan Zakiah mendekati pintu.
“Siapa?” tanya Kalsum.
Tiada jawapan.
“Siapa?” tanya Kalsum lagi.
Tiada jawapan.
“Siapa?” ulang Kalsum lagi.
“Lutfi mama,” jawab suara di
balik pintu.
Kalsum segera membuka pintu.
Lutfi yang berdiri di tangga tersengih.
“Kenapa tak jawab tadi?” tanya
Kalsum.
Lutfi tersengih sahaja lantas
masuk ke dalam rumah.
“Papa hang mana?” tanya Kalsum
kepada Lutfi yang sudah pun duduk di hadapan telivisyen.
“Ada belakang Lutfi tadi,” jawab
Lutfi.
Kalsum turun ke beranda. Dia
melihat ke bawah. Dia melihat Karim yang masih berada di tanah melihat ke arah
bumbung.
“Apa yang abang tengok tu bang?”
tanya Kalsum.
Karim berpura-pura terkejut
ditegur begitu. Kemudian lekas berkata, “Eh, tak ada apa-apa. Tengok bulan tu.
Terang semacam malam ni.”
Kalsum masuk ke dalam rumah.
Sementara Karim tersengih sendirian.
Pada malam yang lain, Kalsum
tertidur awal. Itu bukan kebiasaannya. Selalunya dia akan berjaga sampai lewat
malam. Anak-anaknya jenis tidur lewat. Dia hanya akan tidur selepas
anak-anaknya tidur. Tetapi malam itu, mereka tertidur awal. Hanya Karim yang
masih berjaga. Memang ini rencananya. Memukau Kalsum dan anak-anaknya itu
supaya tertidur.
Karim di ruang tengah. Bersila
kemas di tengah-tengahnya. Memejamkan mata lalu dari mulutnya terbitlah serangkaian
mantera. Selepas itu dia pun diam. Tidak lama kemudian di hadapannya muncullah
sesusuk lembaga hitam, berbulu dan amat besar. Mata lembaga itu merah menyala.
“Jalankan tugas engkau malam
ini,” arah Karim.
Lembaga itu mendekati Kalsum yang
sedang tidur dan menindihnya sehingga sukar bernafas.
“Pergi! Tolong! Tolong!” jerit Kalsum. Tetapi
tindihan terhadapnya semakin kuat. Bergema di telinganya, ‘Aku akan balas
dendam kepada kamu semua!”
Lama Kalsum berkeadaan begitu.
Sehinggalah dia berasa badannya tidak ditindih lagi. Dia segera membuka mata. Dia
ternampak samar-samar perempuan muda di dalam bilik yang gelap itu. Perempuan
muda itu berundur dari katil dan menghilang di balik dinding.
Kalsum terbidas bangun. “Abang!”
jeritnya.
Karim yang berpura-pura tidur
berlakon terkejut. Terbidas bangun lantas melihat ke arah Kalsum. “Kenapa?”
tanyanya.
“Ada hantu!” jawab Kalsum sambil
menunjuk ke arah dinding di hujung katil.
“Apa? Hantu?” tanya Karim.
“Ya. Hantu tu tindih Sum tadi!”
jelas Habshah dalam suara yang menggeletar.
“Hantu apa?” tanya Karim.
“Saka keluarga Kak Limah,” jawab
Kalsum tanpa banyak siasat.
“Perempuan muda?” tanya Karim.
Kalsum mengangguk. “Mana abang
tahu?”
“Sum ingat tak malam tu Sum ada
tegur abang tengok apa atas bumbung?” tanya Karim.
Kalsum mengangguk. “Abang tengok
hantu tu ke bang?”
Karim mengangguk. “Benda tu duk atas
bumbung. Lepas tu terus hilang entah ke mana.”
“Malam tu memang bunyi
macam-macam. Bunyi alang, bunyi ada benda berjalan atas bumbung dan dengar
suara Kak Limah panggil Sum. Hari tu Kak Limah sekeluarga mana ada di sini.
Depa ke Klang,” beritahu Kalsum.
“Kenapa Sum tak beritahu abang
malam tu?” tanya Karim, pura-pura tidak tahu.
“Sum takut tersalah dengar. Takut
mainan perasaan saja,” jawab Kalsum.
“Benda tu lah. Apa lagi…” balas
Karim.
Kalsum terlopong. Bulu romanya
meremang. “Kan Ustaz Yahya sudah halau dulu.”
“Bukannya benda tu tak boleh
datang balik,” jawab Karim.
“Kita bukan buat apa-apa pada benda tu. Kita tak terlibat,” jawab Kalsum.
“Memanglah. Tapi benda tu mesti kacau
seluruh penghuni rumah ni. Nak balas dendam,” jawab Karim.
Kalsum menelan air liur. Takut.