Karim berasa takjub dengan apa
yang dilihatnya pada malam itu. Dia memasang angan-angan untuk memiliki ilmu
batin sekurang-kurangnya setara Salim. Dia segera berjumpa Salim dan berjaya
memujuk pemuda itu untuk membawanya ke Lombok. Dia akan berguru dengan guru Salim.
Karim teringatkan perbualannya dengan Salim beberapa minggu yang lalu.
“Ustaz Yahya kan ada, bang. Abang
boleh berguru dengan dia. Dia lebih hebat daripada saya. Saya juga percaya dia
lebih hebat daripada guru saya,” kata Salim.
“Aku malu dengan dia. Aku berguru
dengan guru hang sahajalah,” balas Karim.
“Mana boleh malu kalau hendak
menuntut ilmu. Rugi,” kata Salim.
“Tetapi guru hang juga guru yang
murshid bukan?” tanya Karim.
Salim mengangguk.
“Alhamdulillah.”
“Jadi tak salah juga aku nak
belajar dari guru yang murshid selain Ustaz Yahya tu kan?” tanya Karim.
“Betul. Tetapi kenapa perlu
membawa diri jauh sedangkan yang dekat ada,” kata Salim.
“Biarlah aku belajar dengan guru
hang dulu. Nanti bila dah habis berguru dengan guru hang tu, aku menuntut pula
dari Ustaz Yahya,” kata Karim.
Salim mengangguk. Akhirnya dia
bersetuju dengan rancangan Karim itu.
“Jika begitu kita berangkat awal
bulan depan. Aku belikan tiket kapal terbang untuk kita berdua. Boleh?” tanya
Karim.
Salim mengangguk. “Tetapi saya
tak ikut abang pulang nanti. Saya mahu tinggal di sana terus. Sudah lama merantau.
Ingin berjasa pada desa pula.”
“Ya, ya. Agak-agak berapa lama
aku akan di sana?” tanya Karim.
“Bergantung kepada abang. Jika
abang cepat belajar dan memahami, insyallah akan segera. Selalulah berdoa
kepada Allah supaya dipermudahkan segala hajat. Mungkin setahun, mungkin dua
tahun dan mungkin lebih,” jawab Salim. “Bagaimana dengan keluarga abang?”
tanyanya yang terlintaskan perihal keluarga Karim jika ditinggalkan ketua
keluarga itu dalam tempoh masa yang panjang.
“Aku rasa perbelanjaan mereka
mencukupi untuk setahun dua ini,” jawab Karim.
Salim mengangguk.
Hari yang ditunggu Karim itu tiba.
Dia enggan dihantar ke KLIA dari rumah Fauziah, kakak sulung Mazlan dan Kalsum.
Rumah Fauziah di Shah Alam. Dia berkeras hendak menaiki teksi untuk ke sana.
Kemahuannya dituruti walaupun Kalsum mempersoalkannya. Alasannya dia tidak
sampai hati hendak meninggalkan Kalsum dan anak-anak jika di lapangan terbang.
Jadi eloklah dia meninggalkan mereka dari rumah Fauziah. Mahu tidak mahu Kalsum
terpaksa menurut juga.
“Kak Halimah dan Abang Mazlan
tolong tengokkan depa ya? Maafkan saya jika permintaan saya ini menyusahkan
kakak dan abang,” kata Karim sebaik melihat sebuah teksi menghampiri
perkarangan rumah Fauziah.
“Isteri hang tu adik ipar kak.
Anak-anak hang tu anak-anak menakan kak. Sudah tentulah kak akan tengok depa,”
jawab Halimah.
“Insyallah, Karim. Abang akan
tengokkan keluarga hang ni. Abang dan Kak Limah akan tolong apa yang termampu.
Hang ke sana bukan kerana suka-suka. Nak menuntut ilmu. Ilmu agama pula. Hal
keluarga hang di sini, insyallah, akan baik sahaja. Tuntutlah ilmu dengan
bersungguh-sungguh,” kata Mazlan pula lalu memegang bahu Karim dan meramasnya
lembut.
Teksi itu berhenti di hadapan
perkarangan rumah Fauziah. Karim melihat Kalsum dan anak-anaknya. “Sum, jaga
diri baik-baik selama ketiadaan abang ya? Abang akan hubungi Sum dan anak-anak
selalu. Janganlah bersedih. Abang pergi untuk sesuatu yang baik.”
Kalsum menitiskan air mata. Entah
untuk kali ke berapa dia menangis bila mengenangkan hasrat suaminya untuk
berkelana ke Lombok bagi menuntut ilmu.
Karim mendekati anak-anaknya dan
mencium pipi mereka.
“Abang,” kata Kalsum dalam
sendunya, “Tuntut ilmu agama betul-betul abang. Niat abang tu mestilah lurus.
Jangan lari walau sedikit pun.”
Karim tersenyum manis dengan
susah payah. “Insyallah.”
Pemandu teksi mengambil bagasi
Karim dan memasukkannya ke dalam bonet kereta. Kemudian dia duduk menunggu di
dalam teksi.
“Abang Mazlan, Kak Halimah, Kak
Fauziah, Abang Khalid, Sum…” Mazlan terhenti bersuara sebaik menyebut nama
isterinya itu. Sebak menyerang hendapnya. Dia menahan sebak itu supaya tidak
memuntahkan tangis. Selepas beberapa ketika dia mampu juga menahan
kesedihannya. “Maafkan segala silap saya zahir dan batin, ya?”
Mazlan, Halimah, Fauziah, Khalid
dan Kalsum mengangguk.
Karim memeluk anak-anaknya dan
berkali-kali memberitahu pemergiannya itu tidak lama dan betapa sayangnya dia
terhadap mereka.
Pemandu teksi membunyikan hon.
Memberitahu bahawa masa untuk berangkat ke KLIA tiba. Dia ada pelanggan lain
yang memerlukan khidmatnya selepas ini.
Karim yang faham terus bersalam
dengan Mazlan dan Khalid. Kalsum mencium tangannya semahu-mahunya dan kemudian
mereka berpelukan. Kalsum terus melinangkan air mata. Sementara Karim masih
mampu mengawal sebak.
Mereka semua
mendekati teksi. Karim masuk ke dalamnya. Teksi bergerak meninggalkan
perkarangan rumah besar itu. Karim melambai ke arah mereka. Kalsum dan
anak-anak yang masih keberatan untuk membiarkan Karim pergi hampir mengejar
teksi dan kelihatan Halimah, Fauziah, Mazlan dan Khalid menahan mereka dari
terus mengejar teksi yang semakin menjauh. Teksi membelok masuk simpang dan
imej keluarganya, ipar-iparnya dan biras-birasnya itu pun hilang.
Karim mengeluh dalam dan
menghenyakkan badannya pada tempat duduk belakang teksi itu. Pemandu teksi
meneliti tingkah laku penumpangnya itu sejak tadi.
“Encik, boleh saya bertanya?”
tanya pemandu teksi itu.
Karim terus mengeluh tetapi dia
menjawab juga, “Hang nak tahu kenapa aku jadi begini? Serba salah begini?”
“Ya, ya. Apa masalahnya encik? Encik
nak ke mana? Keluarga encik tak bagi encik pergi?” balas pemandu teksi itu
dengan sederet pertanyaan.
“Aku nak pergi menuntut ilmu,”
jawab Karim.
“Ilmu apa encik?” tanya pemandu
teksi itu.
“Ilmu agama dan kemudian ilmu
batin. Nak belajar dengan kiyai di Indonesia. Bila balik sini boleh mengubat
orang,” jawab Karim, terus terang.
“Oh, begitu. Dekat sini pun boleh
belajar ilmu nak mengubat orang tu. Saya dengar kalau guna saluran agama ni
payah sikit. Maaflah kalau cakap saya ni menyinggung hati. Tetapi itu
kebenarannya,” kata pemandu teksi itu.
“Maksud hang?” tanya Karim, terus
tertarik untuk berbual dengan pemandu teksi itu.
“Nak belajar agama tu makan
bertahun. Nak kena kukuhkan akidah dulu. Wajib tegapkan syariah dulu. Nak
sebatikan tasawuf. Semua ini perlu betul-betul kukuh. Dengan tarekat yang betul
baru sampai kepada hakikat dan kemudian makrifat. Tok-tok guru agama pula bukan
pilih sembarangan murid. Murid yang sudah sampai tahap tertentu sahaja yang
akan dipilih untuk dibimbing dan diberi panduan bagi mendapatkan ilmu rahsia.
Selalunya dalam ramai-ramai itu hanya seorang dua sahaja yang akan dipilih.
Kalau dipilih, baguslah. Jika tidak, meloponglah,” terang pemandu teksi itu
dengan panjang lebar.
Karim termenung memikirkan
kata-kata pembantu teksi itu. “Dia tak bagi pada semua?” tanya Karim.
“Ya, encik. Murid yang biasa
dapat ilmu-ilmu batin yang biasa sahajalah. Kalau nak lawan dengan Tok Ali, Tok
Pian, Mak Siti, tok batin, tok Cha, sami Siam, memang tak mungkin lepaslah…”
jawab pemandu teksi.
“Begitu…” jawab Karim lalu
teringatkan bagaimana Salim berjaya ditewaskan oleh bomoh Mak Siti. Mujurlah
Ustaz Yahya tiba-tiba muncul. Jika tidak nyawa Habshah pasti sudah melayang
awal. Begitu juga Salim yang sudah tentu jadi mayat.
“Nak mengaji syariat, akidah dan
tasawuf tu pun bukannya cepat. Ambil masa bertahun…” kata pemandu teksi itu
sambil sekali sekala menjeling ke arah Karim yang melontarkan pandangannya ke
luar tingkap. “Encik sanggup?”
Karim diam lama sebelum menjawab
dengan keluhan yang dalam. “Itulah dilema aku sekarang ni. Soal masa itulah
yang aku hiraukan. Kalau boleh aku nak segera dapatkan ilmu batin tu. Segera
aku dapat mengubat orang,” jawab Karim, menyembunyikan beberapa tujuan sebenar
dia hendak menuntut ilmu batin itu. “Segera pula aku dapat bersama keluarga
semula. Jalankan tugas sebagai seorang suami dan bapa yang baik. Supaya dapat
berikan kebahagiaan kepada mereka.”
Pemandu teksi itu mengangguk
seolah mengerti apa yang cuba diluahkan oleh Karim itu.
“Encik boleh miliki ilmu batin
itu secara cepat tetapi…”
“Tetapi apa?” Karim gelojoh
memotong kata-kata pemandu teksi itu.
“Bukan dengan cara mengaji di
pondok-pondok agama,” jawab pemandu teksi itu.
“Habis tu?” tanya Karim pantas.
“Ambil ilmu batin tu dari
bomoh-bomoh. Cepat. Tak payah tunggu lama-lama,” jawab pemandu teksi itu.
“Ambil hantu? Jin? Jembalang?”
balas Karim.
“Itu sajalah jalannya kalau nak
cepat. Menuntut ilmu hitam ni cepat dapat. Cepat dapat mengubat orang. Cepat
dapat tolong orang. Dan yang paling penting cepat dapat duit. Boleh jadi kaya
dalam sekelip mata kalau rawatan kita sudah dikenali mujarab,” kata pemandu
teksi itu.
Karim tersentak. Dia melihat
pemandu teksi itu melalui cermin pandang belakang. Matanya tertembung dengan
mata pemandu teksi itu.
“Tapi hati kena kering sikitlah
kalau nak ambik benda tu semua. Lagi kering hati, lagi encik boleh dapat benda
yang berkuasa,” sambung pemandu teksi itu.
Karim diam sahaja. Segera
membuang pandangannya ke luar tingkap. Bangunan KLIA sudah kelihatan. Dia
melayan perasaannya yang mula terbahagi dua : Pergi atau tidak? Teksi berhenti
di perkarangan lapangan terbang itu. Pemandu teksi membuka bonet dan keluar
untuk mengeluarkan bagasi Karim. Karim keluar dari teksi itu dengan perasaan
malas dan tidak bersemangat kerana perasaannya yang terbahagi dua itu.
Karim menyerahkan tambang teksi
setelah diberitahu harganya.
“Encik, ingat kata-kata saya tadi.Timbang-timbangkanlah.
Saya harus lekas pergi. Ada pelanggan lain sedang menunggu,” kata pemandu teksi
itu.
“Ya, ya,” jawab Karim.
Pemandu teksi itu bersalaman
dengan Karim. Tidak dengan Salim. Lalu tergesa-gesa masuk ke dalam teksi dan
pergi dari situ.
Salim memandang pelik teksi yang
baru berlalu pergi itu. Perasaanya berasa tidak sedap. Tetapi dia tidak
bersangka buruk.
Mereka berdua masuk ke dalam
bangunan lapangan terbang itu. Mendaftar masuk dan kemudian sudah berenak-enak
di dewan berlepas sebelum menunggu penerbangan.
Hati Karim masih berbelah bahagi.
Pergi atau tidak? Masa terus berdetik. Masa untuk terbang ke Indonesia semakin
menghampiri.
“Abang tak apa-apa?” tanya Salim
yang mengesan kegelisahan Karim.
“Okey saja. Cuma berdebar
sedikit. Maklumlah hendak pergi merantau ke tempat orang,” beritahu Karim.
Salim tersenyum. “Saya pun begitu
dulu ketika mahu datang ke Malaysia. Tetapi Insyallah, kita serumpun. Cara hidup
tidak jauh berbeza. Agama pula sama. Insyallah, abang akan diterima baik oleh
orang-orang desa terutamanya anak-anak pesantren. Lama-lama abang akan biasa.”
Karim mengangguk-angguk. Entah
setuju entah mahu mengambil hati Salim.
Jam terus berdetik. Lagi lima
belas minit pintu perlepasan hendak dibuka, Salim meminta diri ke bilik air.
Dia membasuh mukanya berkali-kali dan kini memandang cermin.
‘Perlukah?’ kata hatinya.
‘Perlu.’ Bisik hati putihnya.
‘Tak perlu!’ tegas hati hitamnya.
Kata-kata pemandu teksi
terngiang-ngiang di telinganya. Kemudian kata-kata Salim pula terngiang-ngiang
di telinganya. Kata-kata pemandu teksi dan Salim itu saling tolak menolak,
bertarung hebat. Kepala Karim panas dengan semua itu. Lebih panas bila keadaan
Habshah yang terseksa dan Salim yang muntah darah terpampang macam wayang
gambar dalam fikirannya itu.
Karim membasuh mukanya
berkali-kali ini. Kali ini sehingga kepala, leher dan sebahagian kolar bajunya lencun.
Dia menarik muka dari sinki lalu melihat mukanya di dalam cermin. Merenung
tajam matanya sendiri. Cuba mengusir kata-kata pemandu teksi dan Salim. Juga
imej Habshah yang terseksa dan Salim yang muntah darah. Dia menguatkan semangat
untuk membuat keputusan. Dia nampak Kalsum dan anak-anaknya. Dia teringat
bagaimana bersungguhnya mereka mengejar teksi tadi. Tetapi alangkah malunya
jika dia menarik balik keputusan untuk menuntut ilmu agama di Indonesia. Di mana
dia hendak letak muka kepada Abang Mazlan, Kak Halimah, Abang Khalid, Kak
Fauziah dan Salim. Maruahnya tercalar kerana penipuan skim pelaburan Pak Lang,
terobek pula kerana kegagalan bertahan di London dan kini akan musnah berkecai
jika dia tidak jadi menuntut ilmu agama di Indonesia. Dia tahu dengan cara
menuntut ilmu agama di Indonesia ini sahajalah maruahnya akan meraih semula
penghormatan daripada keluarga isterinya dan orang ramai.
“Abang!”
Karim tersentak. Dia segera
melihat ke pintu bilik air lapangan terbang itu.
Salim yang tercegat menyambung
kata, “Panggilan penerbangan sudah dibuat. Ayuh berangkat.”
“Ya, ya,” balas Karim lantas
mengekori Salim.
Selepas beberapa minit mereka
berdua sudah pun berada di dalam perut kapal terbang. Tidak lama selepas itu
kapal terbang pun berlepas dari landasan. Kepala Karim masih panas memikirkan
apa betul atau tidaknya keputusan pemergiannya ke Indonesia itu. Enggan melayan
fikiran dan perasaan, dia mengambil keputusan untuk tidur, jaga, tidur dan
jaga. Sedar-sedar dia sudah tiba di Lapangan Terbang Selaparang di Ampenan.
Dari lapangan terbang mereka ke
stesen bas. Menaiki bas berjam-jam lamanya untuk ke rumah Salim yang terletak
di Selong Kota dalam Wilayah Selong. Besok mereka akan berangkat ke Sandubaya
yang terletak di dalam Wilayah Selong juga untuk bertemua tuan guru Salim.