10. TETAMU TIDAK DIUNDANG.

10

BALIK dari mengajar, Hanim rasa pelik. Di ruang tamu duduk seorang lelaki bersama seorang anak kecil. Dia lihat ke sana sini untuk mencari emaknya. Tiada. Hanim merenung kembali lelaki yang leka melayan anak kecil sekitar 5 tahun di situ.

Hanim cuba ingat-ingati lelaki itu. Rasanya pernah jumpa. Ya dia ingat, melihat jambul lelaki yang tegak dan tajam, pendek kata jika jatuh segala belon iklan alat telekumunikasi pasti pecah mengerutup, ya dia ingat, lelaki yang dilanggar atau terserempak langgar ketika di eskulator PWTC dulu. Cuma belum sempat tahu siapa namanya.

“Awak siapa?” tegur Hanim tanpa memberi salam.

“Saya orang,” jawab lelaki itu buat Hanim bulatkan mata.

“Ya, saya lihat pun macam orang, pasal itu saya tegur. Kalau kucing liar mahu saya pelangkung dengan penyapu,” kata Hanim serius. Mahu main-main pula mamat seorang ini.

“Saya tetamu rumah ni,” kata lelaki itu masih sibuk membantu mencantum lego untuk anak kecil yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

“Itu kalau ada tuan rumah, ini saya lihat awak dengan budak tu aje kan?” Hanim mula geram. Main-main lagi.

“Mak long baru pergi dapur, nak buat air katanya.”

“Ooo begitu, buat pengetahuan awak, mak saya tu single tau, mana boleh awak jadi tetamu bila tanpa mahram lain, tau?” Hanim berceramah pula.

“Saya dengan budak ni kan, lagi pun mak long itu mak saudara saya.”

“Budak itu siapa?”

“Anak adik saya.”

“Mak!” tiba-tiba Hanim laung emaknya dengan kuat sambil berjalan laju ke dapur.

“Apa hal terpekik-pekik ni Hanim?” sahut Puan Maimun yang sedang menyediakan hidangan dalam dulang.

“Berani-berani mak ajak orang tak kenal masuk rumah kita, dah tu mengaku jadi anak saudara maklah, apalah mak ni,” leter Hanim pula.

“Betullah kata dia, kau dah kenal dia ya? Memang itu anak saudara mak, anak mak ngah kau yang sulung. Khairil namanya.”

“Macam Nim tak kenal mak ngah. Nim kenallah semua sepupu Nim. Semua perempuan.”

“Begini, dia tinggal dengan mak angkatnya. Pasal itu kau tak pernah kenal. Mak pun baru hari ini jumpa, dia mencari mak ke mari,” jelas emaknya lagi sambil sibuk mengisi gelas ke dulang.

“Yalah sangat tu mak, percaya sangat,” bebel Hanim tidak puas hati.

“Ya Nim, memang mak ngah kau ada bagi sorang anaknya pada jirannya masa kecil dulu.”

“Hem… macam cokodok pulak, senang-senang nak bagi orang,” rungut Hanim terjuih lantas tarik karipaf dari dalam piring di dulang.

“Ambil sanalah, ini mak nak hidang, nah pergi hantar.”

“Malaslah mak, kut yalah seperti temberangnya tu, entah-entah cari peluang nak merompak,” juih Hanim.

“Tak baik kata gitu Nim,” nasihat emaknya sambil geleng kepala.

“Ada ke logik, anak sulung bagi kat orang, dah tak betul ke mak ngah tu mak?” juih Hanim.

“Entahlah, kalau tak betul takkan dia boleh beranak ramai lagi…” layan emaknya sambil perelokkan lagi hidangan yang diusik Hanim tadi.

“Itulah pasal, kemudian dapat anak perempuan aje lepas tu,” komen Hanim.

“Sudahlah tu, perkara dah lepas, nah pergi hantar ke depan cepat,” tingkah Puan Maimun.

“Malaslah mak, tak sukalah dia tu… dahlah rambut ala-ala trogen…” tolak Hanim.

“Mak suruh hantar, bukan suruh kau belek rambut dia, rambut tu boleh diubah, kalau tak suka cuba kau suruh dia landaikan ala-ala papan lantai,” tingkah emaknya pula.

“Hantar cepat, mak nak cari buah rambutan pulak ni, nak hidang sekali,” leter emaknya lalu pergi ke dapur menuju ke luar.

“Aduhai, tak pasal-pasal dapat sepupu begitu gaya. Tak selera akulah,” Hanim terpaksa patuh menghantar dulang.

“Jemputlah minum kalau awak tu sepupu saya. Kalau bukan tu agak-agaklah apa patut buat,” kata Hanim sinis.

“Pelik betul budi bicara awak inilah,” komen Khairil sudah meriba si anak kecil.

“Seingat sayalah, saya tak ada sepupu rambut trogen begitu, ngerilah…” balas Hanim sambil tercebik.

“Jangan pandang pada rupa, pandanglah pada budi bicara,” tingkah Khairil pula.

“Lihat rupa sahaja buat orang boleh cop awak tu stem jenis apa,” tingkah Hanim pula.

Khairil gelak tanpa meningkah lagi. Dia terus angkat gelas sirap di hadapannya. Teguk sikit dan beri pada anak buahnya pula.

“Saya ni lelaki, buat fesyen rambut tak berdosalah kan…” selar Khairil sambil jeling kepala Hanim yang sudah hilang tudung.

“Ada saya suruh awak lihat kepala saya? Kalau bercakap tu tak payah mata melilaulah, dah ni rumah saya, suka hatilah saya nak pakai tudung ke nak berkemban ke,” marah Hanim pula.

“Hem, hukum tak membolehkan buat begitu kan?” selar Khairil lagi.

“Sudahlah, awak minumlah sorang-sorang, lepas tu balik, tak baik menyusahkan tuan rumah. Terpaksa berbungkus di rumah sendiri,” sindir Hanim pula.

“Kenapa kongsi satu gelas aje tu?” bising suara Puan Maimun yang mara dari dapur melihat anak kecil berkongsi gelas dengan Khairil.

“Jimat kos air mak,” sahut Hanim selamba.

Sambil meletakkan mangkuk berisi rambutan dan mempelawa Khairil, lantas mengisi gelas kosong dengan air sirap pula.

“Kau ni Hanim, tak baik begitulah…” tegur Puan Maimun.

“Tak apalah mak long, saya baru tadi minum kat kedai, bertandang rumah orang tak elok tunjuk lapar… nanti orang kata buruk makan pulak,” sahut Khairil sambil menjeling Hanim penuh bererti.

“Sudah, sudah, baru jumpa dah bertingkah pulak, Hanim… ini abang sepupu kaulah, jangan bergaduh pulak,” nasihat emaknya.

“Mak percaya sangatlah tu, entah-entah sebentar lagi dia keluarkan senjata api ke, pisau ke, berani sangat mak, tengok rambutnya tu, macam hippies aje,” ejek Hanim.

“Hanim…” peringat Puan Maimun sambil menjeling Hanim.

“Yalah mak, mak ni mudah percaya oranglah, esok-esok ada siapa-siapa datang mengaku jadi anak sulung mak, mak pun percayalah,” tingkah Hanim.

“Mak ingat lagi anak-anak yang mak pernah lahirkan Nim,” tingkah emaknya bererti.

Kharil sudah melayan anak buahnya yang mahukan buah rambutan. Hanim minta diri ke kamar. Malas melayan kerenah tetamu tanpa diundang itu. Cuma berdoa cepatlah balik. Sakit matanya bila mengingat rambut terpacak lelaki itu.

“Aldir tak gitu pulak, semua nampak okey bagi aku tapi kenapa sikapnya tak begitu baik untuk aku?” soal Hanim pada dirinya sambil mengeluh.

Di luar sana terdengar suara kakaknya Hana baru pulang dari sekolah. Emaknya sibuk pula memperkenalkan Khairil pada Hana. Hana macam percaya terus.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh