4
MALAM itu
Hanim tidak berselera untuk makan. Telah beberapa kali kakaknya Hana
memanggil dari dapur. Dia tidak mahu keluar dari bilik. Perasaannya begitu
rusuh- sedih, kecewa, malu dan tiba-tiba diserang rasa rendah diri pula.
Kenapalah
sampainya hati Aldir memperlakukan dia begitu? Kenapa terus lari jauh
dan jauh daripada hidupnya? Sedangkan sebelum ini mereka begitu baik walaupun
sekadar bersembang baik di telefon dan Facebook. Apa pun alasan Aldir, Hanim tetap fikir, ‘Sampai
hati Aldir…’
“Kenapa tak makan?” suara Hana menerjah
masuk ke bilik.
“Kenyang.”
“Akak mimpi ke?” tanya Hana seakan perli.
“Selalunya makan termasuk dalam hobi kau,”
tambah Hana.
“Malam ni macam bermusuh dengan makanan
pulak,” tambah Hana lagi.
“Ada-ada ajelah akak ni,” juih Hanim.
“Yalah, pelik benar… ada masalah ke?”
korek Hana pula.
“Kak Hana…”
Hanim terpanggil untuk melepaskan tekanan
rasa dalam dadanya. Mungkin
kakaknya
boleh membantu.
“Kenapa?”
Hana duduk di kerusi berhampiran almari solek.
“Kenapa cinta lelaki mudah hilang?”
“Hilang ke mana?” soal Hana belum faham.
“Mudah kata suka, tertarik jatuh hati,
cepat kata cinta tapi bila jumpa terus tukar karektor. Sifat baik dan ambil
berat terus hilang entah ke mana
bersama-sama tuannya sekali…” ngongoi Hanim.
Kali ini Hana diam berfikir. Baru dia
sedar adiknya telah dipermainkan orang. Orang bergelar lelaki. Lebih dekat dan
sama erti adiknya sedang frust
bercinta. Hana bangun perlahan. Dia jadi lebih lembut dan tidak bercakap nada
gurau dan usik lagi.
“Lelaki yang kau kata tu, yang sering
telefon, chatting FB tu?” tanya Hana lembut.
Hanim mengangguk.
“Kau dah jumpa dia?”
Hanim angguk lagi.
“Bagaimana orangnya?”
“Agak serius tapi baik, tapi… pelik pun
ada…” jelas Hanim nada malas campur kecewa.
“Apa masalah kau dengan dia sekarang?”
tanya Hana penuh minat.
“Masalah tak taulah tapi sampai kini tak
ada respons apa-apa daripada dia sejak kami jumpa…” luah Hanim sedih.
“Dah telefon dia?”
“Semua dah, telefon, FB semua dah… tapi dia tak balas.”
“Sejak kau jumpa? Bila?”
“Minggu sudah.”
“Mungkin ada tak kena kat dia,” duga Hana
sambil ketuk-ketuk hidung mancungnya.
Hanim geleng kepala. Keliru. Mungkin betul
telahan kakaknya. Siapa tahu nasib seseorang. Hari itu Aldir pergi
tergesa-gesa. Dia memandu kereta. Segalanya mungkin. Buat hati Hanim tambah
bimbang dan rusuh pula. Janganlah sampai terjadi apa-apa pada Aldir. Doa Hanim.
“Macam ini, kau tahu tempat kerja dia? Cuba
cari di sana.”
Hanim geleng kepala. Masalahnya dia tidak
tahu Aldir kerja di mana. Dia tidak tahu Aldir tinggal di mana. Hal itu memang
Aldir tidak mahu beritahu walaupun pernah ditanya oleh Hanim berulang kali
dahulu.
“Dia orang mana?” tanya Hana.
Hanim geleng lagi.
“Masalah betul kalau bercinta dalam
telefon dan FB aje…” gumam kakaknya
kesal.
“Dia tak mahu cakap, dah tanya…” gumam
Hanim.
“Habis tu, macam mana kau boleh kata
bercinta dengan dia? Kalau tak kenal rupa dan tak tahu tentang dia?”
“Entahlah, mungkin ayat dia power. Walaupun dia berahsia tapi ayat
dia memang baik, romantik… buat Nim rasa bahagia sangat,” luah Hanim sayu.
“Payah juga… payah-payah kau lupakan ajelah,”
Hana beri idea tiba-tiba pula.
Hanim terjuih. Mana boleh lupa dengan
mudah seseorang yang telah disayangi. Memang mustahil untuk lupa begitu sahaja.
Lagipun belum ada bukti yang buruk tentang lelaki itu. Mungkinkah terjadi
apa-apa pada Aldir semasa pulang dari bertemunya minggu sudah? Buat hati Hanim
tambah gundah dan gelabah.
“Facebook
dia ada apa-apa petunjuk yang dia masih okey?” tanya Hana pula.
“Dia tak suka postapa-apa kat FBnya. Balas
komen orang pun dia malas, dia cuma chat
aje…” jelas Hanim dengan sedih.
“Bagi nombor phone dia, biar akak call.”
Hana dapat idea.
Hanim tersenyum. Kenapalah tidak terfikir
idea begitu? Bersyukur dia ada seorang kakak yang ambil berat. Seorang kakak
yang lebih lemah lembut berbanding dirinya. Cuma bila kakaknya marah atau bergurau sifat lemah lembutnya macam hilang pula.
Hana terus telefon Aldir sebaik nombor
diberi. Tidak lama kemudian Hana dapat bercakap dengan seseorang. Pelik Hanim,
kenapa panggilan dia sering sahaja bercakap dengan perempuan dalam kotak mesej
sahaja? Sedangkan Hana terus dapat bercakap dengan hero di telefon.
“Dr. Aldir ya?” tanya Hana. Sebenarnya sekadar menutup helah.
“Bukanlah,” jawab di sana serius.
“Ingat tadi Dr. Aldir… doktor kat klinik…”
Hana masih pura-pura silap nombor.
“Awak siapa?” tanya di sana serius.
“Kalau klinik tentulah pesakit…” kata Hana
dengan nada ala-ala sakit terkejut.
Hanim ternanti-nanti, cepatlah kakaknya
beri pada dia telefon itu. Rindunya
untuk dengar suara Aldir. Kenapa Aldir tidak rindukan dirinya? Sampai hati. Malang betul, berkali
dia minta, kakaknya cuma tahan tangan sahaja. Akhirnya tutup telefon pula, buat
Hanim sangat kecewa.
“Takkan nak bagi kau pulak, nanti tahulah
dia helah kita,” kata Hana menjelaskan kenapa dia berbuat begitu.
Hanim faham dan angguk walaupun kecewa
tidak dapat bercakap dengan Aldir. Tidak apalah. Kalau sekarang Aldir buka
telefon bermakna dia pun boleh telefonlah juga.
Cepat-cepat dia tekan nama Aldir.
Hana tarik telefon Hanim.
“Sabarlah.
Nanti dia tahulah,” nasihat Hana. Mata hitamnya jernih melihat Hanim.
Hanim angguk setuju. Betul juga. Kenapalah
dia gelojoh sangat? Nantilah, sekarang dia lega dan baru rasa lapar. Aldir
selamat. Jadi, dia tidak lagi risau pasal Aldir. Cuma kecewa tidak dapat dengar
suara. Tidak apalah, lepas makan nanti dia akan telefon Aldir. Harap Aldir sudi
menjawab panggilannya. Doa Hanim.
“Bukan nak ajar hipokrit tapi ada masanya
perlu Nim… walau serapat mana pun kita dengan seseorang, bila baru jumpa
kenalah sopan santun… lembut ayu… walaupun kita sebenarnya sekeras kayu bin batu…”
nasihat Hana sebelum Hanim keluar.
Wajah Hanim berkerut. Baru teringat,
betapa dia tidak kisah semasa datepertama
dengan Aldir dulu. Atas tiket, mereka telah kenal mesra dan tentu Aldir tidak
kisah. Apa-apalah, perkara sudah pun berlalu. Mungkin lain kali dia boleh lebih
berhati-hati. Masalahnya bila boleh jumpa Aldir lagi?
Selera makan Hanim berkurang kembali.
Kenapalah bodohnya dia ketika itu? Mungkin benar kata kakaknya, pasti Aldir tidak
suka cara dia yang tidak lembut ayu dan tidak sopan pemalu.
Nasi masih terjemput di jari menghala ke
mulut. Lalu Hanim berkata dengan rawan.
Dia bayangkan itu Aldir.
“Awak… berilah saya peluang kali kedua…
saya janji akan berlembut ayu di depan
awak…
mungkin awak malu dengan sikap saya tempoh hari…”
“Apa
yang kamu merapek pada nasi tu, Hanim?”
kejut emaknya.
“Tak adalah… nasi ni macam tak suka Hanim
mak,” nasi di jari diletak semula ke dalam pinggan.
Hanim melihat emaknya menggeleng kepala.
Matanya mengekor pergerakan emak ke arah tikar yang terbentang. Di situ
tersedia segala barang jualan nasi lemak untuk esok. Puan Maimun bersila semula
menghadap mangkuk cili. Laju jarinya menggunting cili kering.
“Tolong mak ni, cepat juga siap,” pinta
Puan Maimun tanpa merenung Hanim.
“Bersembang dengan nasi pulak.” Tambah Puan Maimun lagi.
Emaknya seorang yang kuat bekerja. Ada
sahaja kerja yang dibuat asal dapat wang. Buat kerepek segala kerepek.
Peket-peket dan hantar ke kedai. Jual kuih-muih dan nasi lemak. Ambil tempah
jahit baju jika ada yang menempah. Buat bunga telur jika ada yang suka telur
berbunga-bunga.
“Pelik pulak kau ni Hanim. Apa penyakit
yang dah serang kau?” leter Puan Maimun.
“Mak… mak dulu kenal ayah, bercinta ke atau nenek yang
cari?” soal Hanim tiba-tiba buat emaknya angkat muka.
“Kenapa baru hari ini nak buat kaji selidik?”
tanya Puan Maimun lalu mencebik dan terus menyambung kerjanya.
“Mak mengurat ayah atau ayah mengurat mak?”
tambah Hanim dengan berani.
“Budak ini kata kan… ada aku nak mengorat ayah kau… mahu aku
kena sebat dengan nenek kau…” agak kecoh emaknya menyahut.
“Itu dulu. Kalau sekarang pulak macam tak
pelik aje kalau perempuan mengurat lelaki…” gumam Hanim. Terasa memang dia
berada pada kedudukan itu pula.
Betulkah?Kalau betul, adakah berdosa untuk mencari calon teman hidup?
“Kau buat begitu ke? Biarlah badan kau tu
bulat Nim… janganlah hati pun bulat buat kerja ala-ala maksiat. Agak-agaklah
kalau nak mengurat pun… biar betul cara.
Jangan sampai memalukan diri,” leter emaknya berjela-jela pula. Terhenti
kerjanya.
Hanim termenung mendengar ayat emaknya.
Salahkah cara dia? Dulu, saat awal memang dia add Aldir dalam Facebook
tetapi Aldir yang mula soal selidik dia dan beri ayat-ayat yang meyakinkan
untuk dia berkawan dengan lelaki itu.
Cuma, masalahnya kini, Aldir seakan
mengelak daripadanya. Kalau dia asyik ingat dan ingin hubungi lelaki itu adakah
sudah terlebih ‘agak-agak’ seperti yang dimaksud oleh emaknya tadi? Jiwa Hanim
jadi kacau. Tanpa basuh tangan dia bergegas ke bilik semula. Bising emaknya
berleter kerana tidak basuh tangan dan tidak mengemas meja.