3
HANIM duduk termenung di
bangku batu taman di bawah wakaf putih. Matanya memerhatikan jajaran air pancut
yang rancak memancut turun naik di hadapannya. Sesekali dia menjeling
telefon. Berharap ada panggilan atau
mesej masuk. Sia-sia.
Dia bangun dari bangku batu putih itu dan
berjalan malas-malas menyusuri halaman taman yang memanjang sehingga ke sebuah
pergola. Pergola itu dilitupi oleh bunga menjalar warna merah. Sampai di hujung
dia berpatah semula. Matanya hanyut pula
melihat pancutan air yang deras dan jernih putih di kiri kanan.
“Kenapalah kau langsung tak mahu balas
mesej aku?” bisiknya dalam nada kecewa.
Dia berjalan gontai ke arah jambatan batu.
Jambatan itu menghubungkan dengan tanah sebelah. Di bawahnya tasik. Banyak ikan di situ. Besar-besar menangkap
cebisan roti yang diberi oleh seorang budak yang berada di lereng sebelah kanan
jambatan.
Hanim perhatikan dengan separuh minat. Hati
yang kecewa tentulah memandang intan berlian pun belum tentu melompat riang.
Kenapa sampai hati Aldir buat dia begini? Dulu tidak begitu. Sering telefon,
sering mesej. Cepat balas mesej.
Sekarang?
Apa kesalahan yang dia telah lakukan buat
Aldir menjauhkan diri daripadanya?
Sepanjang mereka jumpa minggu sudah tiada perkataannya yang buat Aldir
sakit hati atau marah. Cuma yang pelik kenapa Aldir begitu cepat untuk pergi?
Sedangkan
Aldirlah
yang beria-ia ingin jumpa dirinya.
Hanim berlalu pula dari situ. Dia menyusuri
sekali lagi halaman yang punya air pancutan. Lantas terus mengikuti lorong
belok untuk naik ke pergola berhadapan taman permainan. Dilangkahkan kaki terus sehingga ke tepi
tasik. Di situ tersedia pelantar lengkap kerusi dan meja. Hanim duduk di situ melepaskan lelah.
Matanya dilepaskan ke arah restoran tasik
yang agak sibuk pagi itu. Dia tiada selera untuk menjamu selera di situ. Kalau
Aldir ada sekali barulah seronok untuk makan-makan pagi itu. Dia sangat
berharap agar Aldir datang tadi. Dia
telah mesej Aldir agar datang ke situ tetapi sehingga kini Aldir tidak hadir
lagi.
Kenapa Aldir tidak datang? Sakitkah atau
ada hal penting yang lain di pagi minggu ini? Jika ada sebarang alasan kenapa
tidak beritahu dirinya? Tidaklah dia
ternanti-nanti bagai menanti buah tak jatuh.
Lama dia menanti. Pagi-pagi lagi dia telah
keluar rumah. Harap dapat bersarapan bersama Aldir. Kini matahari telah
meninggi. Dekat pukul 10.00. Langsung tiada bayang Aldir. Kenapa Aldir sampai
hati buat dia begini? Ternanti-nanti sekian lama.
Sekali lagi dia telefon Aldir. Percuma sahaja.
Cuma dijawab oleh kotak mesej. Dia malas
untuk menyampaikan mesej. Dia cuma mahu bercakap dengan Aldir macam selalu.
Bercakap dengan orang, bukan dengan kotak. Gerutu hati Hanim lantas meletakkan
semula telefon ke dalam beg tangan.
Dia ambil keputusan menanti lagi. Manalah
tahu Aldir terlambat bangun. Kemudian semasa Aldir ke mari, ada lori kemalangan
lalu terjadi jam jalanan sampai
berkilo- meter. Atau Aldir terlibat sama
dalam kemalangan? Oh tidak. Yang itu memang Hanim tidak mahu. Dia tidak mahu
Aldir terlibat dalam apa pun juga kemalangan.
Accidentdengan
nyamuk sampai berdarah sekalipun Hanim tidak rela.
Sesekali matanya merenung ke tasik yang
menghijau. Di situ air agak cetek. Nampak beberapa ekor anak kura-kura
menjengukan muka. Pohon rendang di sekeliling tasik tambah meredupkan suasana.
Di tepi tasik kelihatan bunga rumput liar warna biru. Nampak sepi di situ
walaupun tetap ada cantik yang tersendiri. Air banyak di hadapan tetapi tidak
tercapai oleh bunga rumput untuk menyiram dirinya yang kelihatan kaku dan
kering.
Hati Hanim jadi rawan, lantas menyanyikan
lagu yang tercetus di hatinya dalam iramanya tersendiri.
Izinkan
embunan pagi…
Menitis
di jantungmu…
Apa
lagi yang kaunanti…
Takdirmu
itu telah pun pasti…
Tidak sedar air matanya mengalir ke pipi.
Terasa begitu rendahnya harga diri. Menanti dengan penuh harap pada orang yang mungkin tidak akan datang. Bukan sahaja
tidak akan datang, malahan pasti tidak akan dapat ditemui lagi. Bukan sahaja
tidak dapat ditermui bahkan untuk mendengar suara di telefon atau membaca mesej
di telefon atau Facebook juga seakan
tidak mungkin lagi.
Hanim ambil keputusan untuk pulang sahaja.
Sekian lama menanti tetapi tetap tiada. Telah diberi mesej dia menanti di sini,
di arena taman ini tetapi masih juga Aldir tidak hadir. Telefon pun tidak
berjawab. Mesej juga tidak berjawab. Atau barangkali dia telah mati… berdebar
kencang jantung Hanim.
“Biarlah kau benci aku, tapi janganlah
sampai kau mati pula…” rintih Hanim sedih.
Ketika itu terasa bahunya ditepuk lembut.
Berderau darah Hanim. Rasa bahagia sangat, ingin melonjak. Akhirnya dia datang
juga. Aldir. Ketika dia menolah, kehampaan
merejam hatinya tiba-tiba. Bukan Aldir. Bukan!
“Nani…” tegurnya lemah. Teman sekerjanya.
“Buat apa sorang-sorang kat sini?” tanya
Nani dengan ramah tetapi bernada pelik.
“Saja aku rehat-rehat kat sini,” Hanim
beri alasan bersama senyum secuit menampakkan lesung pipit cantik di kedua
belah pipi gebunya.
Dia dan Nani bekerja di sebuah tadika.
Mereka kategori guru. Guru yang telah biasa berkawan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak umur 4-6 tahun
seakan menjadi teman rapat mereka pula. Malah sangat mesra.
“Kut
ya pun rehat ajaklah aku. Aku baru habis
jogging ni hah, kau tu bawak-bawaklah jogging…”
berleter pula Nani.
“Hem…” muncung Hanim terjuih.
Nani seakan mengerti gelodak jiwa
Hanim. Walaupun tidak tahu satu persatu
tetapi gerak tubuh Hanim menunjukkan ada
dilema yang mengacau sahabatnya itu.
“Kau dah sarapan?” tanya Nani berkaleh
topik.
Hanim menggeleng. Kemudian tunduk. Pilu
pula menerjah bila impiannya untuk bersarapan bersama Aldir tidak kesampaian.
“Kau tunggu siapa?” tanya Nani sebaik
menghirup teh O di sebuah restoran.
Hanim tidak menjawab tetapi hanya melihat
kesesakan restoran mamak yang penuh
pelanggan
pagi itu. Mereka duduk di sudut tepi. Sekali-sekala angin pagi menyapa mereka
akibat dihalau oleh kenderaan. Terasa
suam-suam panas. Sejuk sudah hilang.
“Aku tanya, kau tunggu siapa Hanim?” ulang
Nani.
“Tak tunggu sesiapa…” jawab Hanim malas.
“Kau biar betul… sebelum ini tak pernah aku
nampak kau lepak kat taman tu kalau hari cuti.
Tadi aku lihat kau macam menanti seseorang,” duga Nani lagi.
“Ya, aku tunggu seseorang,” akhirnya Hanim
mengalah kemudian tunduk bersama wajah dan gerak tubuh kecewa dan sedih.
Nani tarik kerusi ke depan. Isu hangat
pagi ini. Biasa Hanim tidak pernah begitu. Riang selalu. Mulut Hanim sering kecoh
dengan anak-anak muridnya. Hari ini Hanim begitu mendung pula. Bercakap pun malas.
“Tunggu siapa?” korek Nani lagi.
“Entahlah, malas aku nak fikir lagi, aku
minta dirilah,” Hanim terus bangun.
“Eh, takkan begitu pulak. Air asam boi kau
ni siapa nak minum, tosay kau ni siapa nak bedal?” laung Nani tanpa sedar kecoh
mulutnya sedang diperhati.
Sebaik habis Nani geleng pelik ke arah
Hanim, Nani angkat tangan pada beberapa
lelaki yang tunjuk respons baik terhadapnya.
“Kalau tak malu marilah makan…” pelawa
Nani dengan selamba pada beberapa orang mamat yang tersengih kepadanya.
Hanim pula terus memandu membawa hati yang
bermacam ragam di pagi itu.