10
BALIK
dari mengajar, Hanim rasa pelik. Di ruang tamu duduk seorang lelaki bersama
seorang anak kecil. Dia lihat ke sana sini untuk mencari emaknya. Tiada. Hanim merenung kembali lelaki yang leka
melayan anak kecil sekitar 5 tahun di situ.
Hanim cuba ingat-ingati lelaki itu.
Rasanya pernah jumpa. Ya dia ingat,
melihat jambul lelaki yang tegak dan tajam, pendek kata jika jatuh segala belon
iklan alat telekumunikasi pasti pecah mengerutup, ya dia ingat, lelaki yang
dilanggar atau terserempak langgar ketika di eskulator PWTC dulu. Cuma belum sempat tahu siapa namanya.
“Awak siapa?” tegur Hanim tanpa memberi salam.
“Saya orang,” jawab lelaki itu buat Hanim
bulatkan mata.
“Ya, saya lihat pun macam orang, pasal itu
saya tegur. Kalau kucing liar mahu saya pelangkung dengan penyapu,” kata Hanim
serius. Mahu main-main pula mamat seorang ini.
“Saya tetamu rumah ni,” kata lelaki itu
masih sibuk membantu mencantum lego untuk anak kecil yang tidak menghiraukan
keadaan sekeliling.
“Itu kalau ada tuan rumah, ini saya lihat
awak dengan budak tu aje kan?” Hanim mula geram. Main-main lagi.
“Mak long baru pergi dapur, nak buat air
katanya.”
“Ooo begitu, buat pengetahuan awak, mak
saya tu single tau, mana boleh awak
jadi tetamu bila tanpa mahram lain, tau?” Hanim berceramah pula.
“Saya dengan budak ni kan, lagi pun mak long
itu mak saudara saya.”
“Budak itu siapa?”
“Anak adik saya.”
“Mak!” tiba-tiba Hanim laung emaknya
dengan kuat sambil berjalan laju ke dapur.
“Apa hal terpekik-pekik ni Hanim?” sahut
Puan Maimun yang sedang menyediakan hidangan dalam dulang.
“Berani-berani mak ajak orang tak kenal
masuk rumah kita, dah tu mengaku jadi anak saudara maklah, apalah mak ni,”
leter Hanim pula.
“Betullah kata dia, kau dah kenal dia ya?
Memang itu anak saudara mak, anak mak ngah
kau yang sulung. Khairil namanya.”
“Macam Nim tak kenal mak ngah. Nim
kenallah semua sepupu Nim. Semua perempuan.”
“Begini, dia tinggal dengan mak angkatnya.
Pasal itu kau tak pernah kenal. Mak pun baru hari ini jumpa, dia mencari mak ke
mari,” jelas emaknya lagi sambil sibuk mengisi gelas ke dulang.
“Yalah sangat tu mak, percaya sangat,” bebel Hanim tidak
puas hati.
“Ya Nim, memang mak ngah kau ada bagi
sorang anaknya pada jirannya masa kecil dulu.”
“Hem… macam cokodok pulak, senang-senang
nak bagi orang,” rungut Hanim terjuih lantas tarik karipaf dari dalam piring di
dulang.
“Ambil sanalah, ini mak nak hidang, nah
pergi hantar.”
“Malaslah mak, kut yalah seperti
temberangnya tu, entah-entah cari peluang nak merompak,” juih Hanim.
“Tak baik kata gitu Nim,” nasihat emaknya
sambil geleng kepala.
“Ada ke logik, anak sulung bagi kat orang, dah tak betul ke mak ngah tu
mak?” juih Hanim.
“Entahlah, kalau tak betul takkan dia
boleh beranak ramai lagi…” layan emaknya sambil perelokkan lagi hidangan yang
diusik Hanim tadi.
“Itulah pasal, kemudian dapat anak
perempuan aje lepas tu,” komen Hanim.
“Sudahlah tu, perkara dah lepas, nah pergi
hantar ke depan cepat,” tingkah Puan Maimun.
“Malaslah mak, tak sukalah dia tu… dahlah
rambut ala-ala trogen…” tolak Hanim.
“Mak suruh hantar, bukan suruh kau belek
rambut dia, rambut tu boleh diubah, kalau tak suka cuba kau suruh dia landaikan
ala-ala papan lantai,” tingkah emaknya pula.
“Hantar cepat, mak nak cari buah rambutan
pulak ni, nak hidang sekali,” leter emaknya lalu pergi ke dapur menuju ke luar.
“Aduhai, tak pasal-pasal dapat sepupu
begitu gaya. Tak selera akulah,” Hanim terpaksa patuh menghantar dulang.
“Jemputlah minum kalau awak tu sepupu
saya. Kalau bukan tu agak-agaklah apa patut buat,” kata Hanim sinis.
“Pelik betul budi bicara awak inilah,”
komen Khairil sudah meriba si anak kecil.
“Seingat sayalah, saya tak ada sepupu
rambut trogen begitu, ngerilah…” balas Hanim sambil tercebik.
“Jangan pandang pada rupa, pandanglah pada
budi bicara,” tingkah Khairil pula.
“Lihat rupa sahaja buat orang boleh cop
awak tu stem jenis apa,” tingkah Hanim pula.
Khairil gelak tanpa meningkah lagi. Dia
terus angkat gelas sirap di hadapannya. Teguk sikit dan beri pada anak buahnya
pula.
“Saya ni lelaki, buat fesyen rambut tak
berdosalah kan…” selar Khairil sambil jeling kepala Hanim yang sudah hilang
tudung.
“Ada saya suruh awak lihat kepala saya?
Kalau bercakap tu tak payah mata melilaulah, dah ni rumah saya, suka hatilah
saya nak pakai tudung ke nak berkemban ke,” marah Hanim pula.
“Hem, hukum tak membolehkan buat begitu
kan?” selar Khairil lagi.
“Sudahlah, awak minumlah sorang-sorang,
lepas tu balik, tak baik menyusahkan tuan rumah. Terpaksa berbungkus di rumah
sendiri,” sindir Hanim pula.
“Kenapa kongsi satu gelas aje tu?” bising
suara Puan Maimun yang mara dari dapur melihat anak kecil berkongsi gelas
dengan Khairil.
“Jimat kos air mak,” sahut Hanim selamba.
Sambil meletakkan mangkuk berisi rambutan
dan mempelawa Khairil, lantas mengisi gelas kosong dengan air sirap pula.
“Kau ni Hanim, tak baik begitulah…” tegur
Puan Maimun.
“Tak apalah mak long, saya baru tadi minum
kat kedai, bertandang rumah orang tak elok tunjuk lapar… nanti orang kata buruk
makan pulak,” sahut Khairil sambil menjeling Hanim penuh bererti.
“Sudah, sudah, baru jumpa dah bertingkah
pulak, Hanim… ini abang sepupu kaulah, jangan bergaduh pulak,” nasihat emaknya.
“Mak percaya sangatlah tu, entah-entah
sebentar lagi dia keluarkan senjata api ke, pisau ke, berani sangat mak, tengok
rambutnya tu, macam hippies aje,” ejek Hanim.
“Hanim…” peringat Puan Maimun sambil
menjeling Hanim.
“Yalah mak, mak ni mudah percaya oranglah,
esok-esok ada siapa-siapa datang mengaku jadi
anak sulung mak, mak pun percayalah,” tingkah Hanim.
“Mak ingat lagi anak-anak yang mak pernah
lahirkan Nim,” tingkah emaknya bererti.
Kharil sudah melayan anak buahnya yang
mahukan buah rambutan. Hanim minta diri ke kamar. Malas melayan kerenah tetamu
tanpa diundang itu. Cuma berdoa cepatlah balik.
Sakit matanya bila mengingat rambut terpacak lelaki itu.
“Aldir tak gitu pulak, semua nampak okey
bagi aku tapi kenapa sikapnya tak begitu baik untuk aku?” soal Hanim pada dirinya sambil
mengeluh.
Di luar sana terdengar suara kakaknya Hana
baru pulang dari sekolah. Emaknya sibuk pula memperkenalkan Khairil pada Hana.
Hana macam percaya terus.