2
HANIM
payah lelap bila mengenangkan dirinya rasa terhina sebegitu keji. Apalah kesalahan
dirinya sangat sehingga dia begitu dibenci oleh Aldir? Salahkah mereka bertemu?
Lagipun Aldir yang mahu sangat mereka bertemu. Dulu nombor telefon pun dia
kedekut beritahu Aldir. Kini semua Aldir sudah tahu. Malah sebelum bertemu
mereka sering berhubung melalui telefon. Kini?
“Saya tak pernah tinggalkan awak, tak pernah
juga ikut awak, cuma lihat dari jauh… sebab rindu… salahkah itu?” bisik Hanim.
“Kenapa awak benci sangat kat saya…
sedangkan sebelum ini kita kawan baik… kini awak tak sudi lagi menyapa atau
menyahut sapaan,” rintih Hanim pula.
Teringat waktu pertemuan pagi semalam. Hari minggu yang indah di Taman Tasik Shah
Alam. Dia menunggu dengan sabar dalam
wakaf di tepi tasik. Sambil menanti dia
campakkan cebisan roti ke dalam tasik. Banyak ikan berkerumun di situ. Riang
hatinya, walau lama menanti tidak terasa kerana leka melihat ikan. Selebihnya acara memberi ikan makan bertujuan
menutup rasa debar untuk pertemuan pertama dengan lelaki yang dikenali di Facebook.
Sedang dia leka memberi ikan makan, sebuah
sapaan menyapa telinganya. Ketika menoleh terlihat seorang lelaki bertubuh
segak, berkulit agak cerah dan manis berdiri di hadapannya. Dalam rasa debar dan malu dia sahut salam
dengan perlahan. Kalau
mengikut
gambar di profil lelaki itu, sah lelaki di hadapannya itulah Aldir.
“You Hanim?” tanya lelaki itu dengan
serius.
“Ya, saya… awak Aldir?” tanya Hanim dengan
sopan.
Lelaki itu cuma angguk sambil perhatikan
Hanim ke atas ke bawah. Hanim rasa
tidak selesa. Sampai hati Aldir
perlakukannya begitu. Macamlah dia
pesalah buruan polis pula.
“Hem…” terdengar Aldir mengeluh ketika
menghela nafas.
“Kenapa?” tanya Hanim.
“Oh tak ada apa-apa,” cepat dibalas
Aldir. Matanya liar memandang ke lain.
“Awak datang sorang?” tanya Hanim
memberanikan diri.
“Yalah, nampak sorang aje kan?” jawab
Aldir cepat. Matanya tajam merenung
Hanim.
Hanim jadi gelisah. Pelik betul dengan
lelaki ini. Macam keras wataknya. Tidak melihatkan sifat romantik langsung.
Sedangkan semasa chatting bukan main
baik lagi ayat dia. Kini? Betulkah
dengan lelaki ini dia selalu chatting?
Macam garang sahaja.
“You datang dengan siapa?” tanya Aldir
sambil jalurkan sedikit senyuman.
“Soranglah,” kata Hanim tidak senang,
Aldir masih memerhatikannya ke seluruh tubuh.
“Kenapa pandang saya begitu?” Hanim
beranikan diri bertanya bercampur geram pula.
Aldir tidak membalas, cuma menarik nafas
sambil membuangkan pandangannya ke
arah
tasik yang nampak tenang dan indah.
Kelihatan kawanan angsa putih berenang di tepian pulau buatan di tengah
tasik.
“Saya suka datang sini,” ujar Hanim cuba
menghidupkan suasana dingin itu.
“Cantik tempat ini…” tambah Hanim lagi.
Aldir duduk pula di kerusi panjang dalam
wakaf itu. Wajahnya masih serius.
Sungguh Hanim tidak menduga begitu watak sebenar Aldir. Serius bukan
main. Sedangkan yang dikenalinya lelaki itu di Facebook begitu cool dan
peramah. Hem… gatal pula lidahnya
bertanya.
“Betulkah awak ini Aldir?”
Spontan Aldir menoleh dan berkerut.
“Kenapa tanya begitu?”
“Di FB awak lain… peramah… kini…”
Kelihatan Aldir senyum pula tetapi sedikit
sahaja.
“Beginilah I yang sebenar,” jawab Aldir
sambil bangun.
“Hem, awak nak pergi mana?” tanya Hanim
nada ala manja pula.
Seperti biasalah, dia tidak pandai tukar
watak, bagaimana di Facebook begitulah
di sini. Manja pada Aldir macam di Facebook
juga. Sebab sudah terbiasa.
“I tak boleh lama ni, kena pergi dulu,”
jawab Aldir ringkas.
“Berya-ya awak nak jumpa saya… begini aje?
Jumpa kejap dah nak pergi,” nada suara Hanim merajuk. Dia juga sudah terbiasa
atur ayat merajuk pada Aldir di
Facebook.
Jadi, di sini bukan sengaja dibuat-buat.
“I banyak kerja,” Aldir beri alasan.
“Kerja awak berperang ke? Sampai tak
sempat nak belanja saya…” Hanim tuntut janji Aldir yang mahu belanja dirinya.
Aldir renung wajah Hanim agak lama. Dia rasa
mahu ketawa campur geli. Begini rupanya
gadis yang selama ini buat ayat manja dengannya di Facebook.
“Janji tau…” tuntut Hanim lagi dengan
manja.
Aldir cebikkan bibir seakan berfikir
seketika. Dia pun belum sarapan lagi. Tidak mengapalah makan sekali dengan
‘gadis idamannya ini’. Buat pertama kali dan pastinya untuk terakhir kali juga.
Soalnya Hanim gadis atau… bisik hati Aldir.
Aldir angguk dan cebikkan bibir sambil
renung Hanim.
“Okey, jom…” Aldir hulurkan senyuman
pula. Lawa kalau senyum tetapi kenapa
kedekut sangat untuk senyum tadi. Tanya
Hanim dalam hati.
“Begitulah…” sahut Hanim bahagia.
Hanim puas hati dan ikut Aldir dari
belakang. Aldir jalan laju. Penat Hanim
mengikutnya. Bukan senang untuknya
berjalan laju macam Aldir.
“Awak! Awak kembar LRT ke?” panggil Hanim
buat Aldir berhenti dan tertanya-tanya pula apa Hanim kata.
“Lajunya awak jalan, awak kembar LRT ke?”
tanya Hanim lagi.
Aldir senyum sedikit dan melangkah semula
sambil cebikkan bibir. Kenapalah malang nasibnya hari ini? Jumpa si kiut tembam
begitu. Bukan Hanim tidak cantik cuma badan besar bukan cita rasanya. Itu sahaja.
Aldir tetap yakin dia tidak salah untuk memilih. Itu hak asasi setiap
manusia.
Mereka makan di restoran makanan segera.
Hanim yang telah mesra dengan Aldir di Facebook
tentulah makan ikut cara dia. Makan tanpa malu-malu. Lagipun dia memang lama
tidak makan ayam goreng segera. Sedap bukan main lagi rasanya. Lebih-lebih lagi
Aldir pula yang belanja.
“I tak berapa suka ayam goreng, I satu aje,
you nak ambillah I punya ni,” pelawa
Aldir.
Hanim tersenyum kembang. Bahagianya dapat
makan lagi. Aldir bagi lagi. Rugi tolak rezeki. Baiknya Aldir. Tidak sangka.
Tadi macam askar perang terlepas sempadan sahaja. Serius dan nampak macam cemas. Kini, bab belanja Aldir tidak kedekut. Bahagianya Hanim.
Dalam hati Aldir pula, ada gelak sinis. Lahapnya
perempuan ini. Pantang dipelawa. Logik ke
dia percaya tak suka ayam. Kuat makan perempuan ini. Patutlah badan ala-ala hipo. Kembar hipo barangkali. Aldir ingin soal begitu
tetapi tidak sampai hati. Dibuatnya Hanim melalak di situ, dia juga yang malu nanti,
jadi sabar sahajalah. Kejap lagi mereka
beredar dan selamat tinggallah Hanim.
“Kalau you tak kenyang jom I belanja you
nasi beriani gam pula,” duga Aldir.
Mata Hanim yang jernih, bulat merenung
Aldir. Ayam masih belum habis kunyah, Aldir pelawa makan nasi pula. Baiknya
Aldir. Hanim betul-betul lurus bendul. Langsung tidak terfikir dia sedang diuji
oleh seorang lelaki yang mencari miss
perfeck.
Hanim memang tidak mahu berburuk sangka.
Lagipun di Facebook Aldir memang
baik, peramah dan cool. Dia suka
sangat berkawan dengan Aldir yang pandai tulis ayat. Tadi, mungkin kerana baru
jumpa, buat Aldir tidak selesa
dengannya. Kini Aldir baik sekali dan ikhlas belanja makan buatnya.
“Nak makan nasi?” tanya Aldir lagi.
“Hem… makan ayam tanpa nasi memanglah tak
puas,” jawab Hanim.
Aldir menoleh ke lain. Sah-sah perempuan
ini spesis kuat melantak. Ejek hati Aldir dengan sinis.
“Makanlah semua itu dulu, lepas ini kita
pergi restoran mamak pula… okey,” kata Aldir.
Kalau ikut hatinya dia mahu ketawa kuat-kuat kerana lucu pula melihat
Hanim makan agak tergesa-gesa.
“Hem, baiknya awak…” kata Hanim sebaik
habis minum bagi melenyapkan makanan di mulutnya.
“Sebenarnya saya biasa makan ayam dengan
nasi. Jika awak nak belanja nasi pulak saya tak kisah… saya syukur aje… buat spare sampai malam.” Kata Hanim lalu
gelak.
Aldir renung wajah Hanim yang gelak.
Memang comel. Kalaulah perempuan ini berbadan separuh dari yang ada sekarang
tentulah jadi perempuan ayu. Sayangnya kenapalah Hanim indah nama daripada
rupa. Tidak semena-mena Aldir geleng
kepala.
“Kenapa geleng? Sakit kepala ke?” tegur
Hanim.
“Tak ada apa.”
“Macam ada yang tak kena,” Hanim
terperasan pula.
Tiba-tiba dia teringat nasihat kakaknya,
Hana. Mesti jaga sopan santun dan adab di hadapan orang, di hadapan kawan. Buat
Hanim rasa malu dan tunduk. Tadi dia lupa segala kerana lapar. Lagipun Aldir
nampak ikhlas dan dia teruja sangat dapat bertemu Aldir sampai lupa menjadi
perempuan melayu tercomel.
“Okey, jom I belanja nasi beriani gam
kambing pulak,” putus Aldir.
“Tak apalah… saya dah kenyang, saja usik
awak tadi,” sahut Hanim dengan muka ikhlas.
Aldir menarik nafas lega. Selamat duitnya.
Ingatkan betul-betul Hanim perut buaya tadi. Rupanya sekadar menguji dia. Namun
begitu, Hanim tetap bukan cita rasanya. Fizikal Hanim yang montel dan cara
Hanim makan gelojoh buat dia hilang minat pada gadis yang selalu ditabur ayat romantik
di Facebook. Jadinya, cukup sampai di
sini, di pertemuan pertama dan terakhir.
Selamat tinggal Hanim.
“Oh, kata ada anak, mana anak you?” tanya
Aldir pula sebelum dia lupa bertanya.
“Hem, tak adalah, saya gurau aje… saya
belum kahwin pun, sorry ya…” jelas
Hanim sambil senyum malu-malu. Rasa bersalah pula mengusik Aldir semalam.
Aldir menarik nafas sambil toleh ke lain.
Hatinya berkata-kata. ‘Sama ada dia ada anak atau tiada, rasanya tak payahlah…’
putus Aldir muktamad.
Tidak lama kemudian Aldir minta diri atas
alasan ada hal penting. Aldir laju ke keretanya. Hanim hanya perhatikan Aldir
dengan pandangan hilang dan hilang. Terasa hatinya juga hilang tiba-tiba. Entah
kenapa.
Hanim tercebik terkenang kisah semalam.
Hatinya diburu sayu. Air matanya jatuh satu persatu. Dia dapat merasakan bahawa
Aldir tidak sukakan dirinya. Dapat dikesan kerana setiap kali dia telefon,
Aldir cepat-cepat mengelak kata sibuk. Facebook
pula langsung Aldir tidak balas. Hem, sedihnya…