9. JIWA KACAU.

9

“TERMENUNG kenapa?” tanya Hana sambil duduk di sebelah Hanim.

Ketika itu mereka duduk di atas pangkin bawah pokok rambutan gading di hujung kanan halaman.

“Hai, hai,” Hana layang-layangkan tangan di depan muka Hanim.

“Tekejutlah!” tepis Hanim.

“He akak dah tegur dah tadi, itulah, berangan jauh sangat, orang tu datang buat tak layan,” selar Hana pula membebel-bebel.

Hanim rentap rambutan kuning ranum yang terjulai di depan mukanya. Dia makan dulu sebelum bercadang untuk membalas leteran kakaknya. Sambil makan sambil memikirkan, apakah patut dia beritahu hal Aldir tertarik hati kepada kakaknya?

“Hai, kenapa parah sangat ni?” tanya kakaknya lagi.

“Petang minggu yang indah permai, redup dan nyaman, musim buah-buahan pulak tu. Tak terasa macam di syurga ke?” usik Hana pula.

“Syurga apa? Mana ada kat dunia ni syurga… merapek ajelah,” juih Hanim.

“Akak kata macam aje, tak kata syurga pun…” Hana mengalah sambil tepuk bahu Hanim pula.

“Sikit-sikit pukul orang, nanti patahlah tulang dia kena lepuk, dia bukan gemuk pun, tulangnya tak banyak cover…” omel Hanim. Ayat itu ditujukan pada diri Aldir yang bertubuh sesedap mata memandang sahaja.

“Cakap pasal apa?” Hana rasa pelik.

“Tak ada apa,” elak Hanim sambil menyentap lagi buah di depan muka dan mengoyak dengan gigi sebelum dimuatkan ke mulut.

“Baik cakap, baik cakap,” terus Hana geletek Hanim. Hanim mula terjerit-jerit kegelian.

“Badan aje besar, geli peringkat maut, orang kata kuat penggeli sangat cemburu orangnya.” ejek Hana.

Hanim terjuih. Dia herutkan bibir, pipi terlukis lesung pipit. Mungkin betul kata kakaknya. Dia memang cemburu. Bila dapat tahu Aldir minat pada kakaknya dia sudah rasa cemburu. Belum lagi dia lihat Aldir dating dengan kakaknya.

“Heh kenapa ni? Termenung sana, termenung sini macam orang mati laki je,” sakat Hana lagi.

“Kak Hana macam pernah rasa mati laki pulak,” juring muncung Hanim. Kesal.

“Taklah, dah kau termenung sana sini.”

“Nim sedang buat terapi minda,” sahut Hanim pula sambil cebikkan bibir. Konon untuk menjelaskan kenapa dia termenung sendiri di bawah pokok rambutan.

“Yalah tu, cuba cerita kat akak segala masalah, kut boleh ditolong agar minda kau boleh baik pulih,” pinta Hana dengan ikhlas walaupun tercipta ayat lasak menyakitkan telinga Hanim.

“Tak adalah.”

“Akak tahulah, kita ni adik-beradik, tahulah masa kau susah dan senang,” tingkah Hana tidak puas hati.

Patutkah diceritakan perihal Aldir yang suka kepada kakaknya? Lagipun semalam dia belum bertanya lebih lanjut hal itu kepada Aldir. Kerana cemburu dia terus tutup laptop. Hari ini dia belum lagi menghubungi Aldir. Harapkan Aldir menghubunginya memang lambatlah. Mungkin sibuk sangat di sana. Atau memang tidak ingat pun akan dirinya.

“Cakaplah Nim, akak tak makan kau kalau kau tercuri baca novel akak,” usik Hana pula.

Hanim gelak sikit. Hatinya rasa serba salah untuk menceritakan apa yang bermain dalam dirinya. Antara rasa serba salah dan rasa cemburu pula. Kenapa dia tidak secantik kakaknya?

“Kak Hana, agaknya Nim ni anak angkat mak tak?” dia alih topik perbualan.

“Kenapa cakap begitu?”

“Cuba lihat kita ni, beza kan, akak slim, cantik, tinggi dan seksi… Nim hem…”

“Itu salah kau, tak mahu jaga pemakanan, makan 24 jam, jajan tak sudah,” komen Hana.

“Nim kena kuruskan badan ke?” tanya Hanim musykil.

“Cubalah, kau bukan tak cantik, cuma montel aje…” kemudian Hana gelak pula.

Hanim terjuih. Kemudian termenung lagi. Patutkah dia beritahu pasal Aldir yang

seakan menaruh hati kepada Hana? Panggilan emak mereka menyuruh berbuat sesuatu mematikan niat Hanim pula.

“Lagipun menguruskan badan tu bagi menjaga kesihatan, tak gitu Cik Hanim?” tambah Hana lantas bangun bagi memenuhi permintaan Puan Maimun. Tanpa ingat persoalan Hanim tadi.

“Aldir… tahukah kau, bahawa aku tak boleh kehilangan kau…” ratap Hanim pilu.

Hanim lihat persekitaran rumahnya. Rumah mereka sederhana besar. Dicat kuning cair. Berhalaman luas. Banyak ditanam bermacam pokok bunga raya. Berselang-seli sepanjang sebelah kanan dan kiri halaman. Semua bunga itu ramah berbunga. Meriah.

Hanim mengeluh. Mengapa hatinya tidak meriah indah seperti bunga-bunga raya yang berkembang mekar di sana? Dulu dia tidak begitu. Sentiasa riang. Terlebih lagi sejak kenal Aldir di Facebook. Kini keriangan itu menghilang.

Setelah Aldir kenal dirinya lelaki itu berubah watak. Malah sering mengelak jika disapa di Facebookdan di telefon. Malah selagi boleh Aldir cuba hilangkan jejak. Situasi itu benar-benar buat hati Hanim mendung kelana.

Jika benar Aldir jatuh hati pada kakaknya bolehkah Hanim terima situasi itu? Dia terlebih dahulu kenal lelaki itu. Bukan sekadar kenal tetapi mereka telah sampai tahap bercinta di Facebook. Sering bertukar kata sayang dan rindu. Sayang sekali bila telah jumpa ke mana terbangnya kata rindu, sayang dan cinta Aldir itu?

Kesempatan untuk memberitahu kakaknya belum ada. Baru cuba menerangkan kakaknya sudah pergi menurut suruhan emak mereka. Pasti kakaknya sudah membantu dalam urusan membuat kuih-muih jualan emak mereka.

“Bawak-bawak masuklah, jom tolong goreng kerepek!” laung Hana dari tingkap agak nyaring.

“Kerepek tak sudah-sudah. Aku ada masalah, kena jengah kerepek jugak?” omel Hanim sendirian. Bosan.

“Cepatlah, minyak dah panas tu!” laung Hana lagi.

Cikgu seorang itu. Kuat menjerit bukan main. Kutuk Hanim. Begitukah cara dia mengajar anak muridnya. Jerit dan jerit kalau murid-muridnya terhegeh-hegeh. Kutuk Hanim lagi. Kurang lebih sama macam dia juga. Walaupun dia mengajar tadika, ada masa dia menjerit juga memanggil nama murid yang hiperaktif dan kedegilan tahap tepu.

Kini dia berlatih mengeluarkan jeritan batin. Akibat terdera rasa bagai digantung tak bertali oleh Aldir. Sesuaikah digelar begitu pada tahap cinta tergantung-gantung begini? Soal Hanim pada dirinya yang merawan hiba.

“Cepat!” laung Hana lagi.

“Yalah!” jerit Hanim pula sambil bangun agak payah kerana telah lama tersepuk di pangkin tadi.

Petang itu redup. Hati Hanim juga redup berkelana. Namun begitu, masalah peribadi tidak boleh dicantumkan dengan pekerjaan seharian. Mahu atau malas dia wajib membantu emaknya di pangkin belakang dapur mereka. Itulah hasil rezeki mereka sejak dulu lagi. Berjualan makanan dan kuih-muih termasuk kerepek.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh