18. BENCI DAN PILU.

18

MASA lawatan pun tiba. Kanak-kanak paling teruja pada hari itu. Mereka pergi beramai-ramai bersama kawan tadika dan guru-guru tanpa ibu bapa mereka. Malah ada kanak-kanak yang terlupa seketika ibu bapa mereka yang menghantar ke pintu bas. Sebaik masuk bas terus riang bercerita dengan kawan-kawan berkaitan lawatan.

Bas terus ke Zoo Negara. Hampir seratus pelajar cilik memenuhi dalam kawasan zoo. Mereka dibawa ke merata tempat. Melawat ke kandang haiwan dan burung-burung. Termasuk melawat akuarium. Pastilah mereka sangat teruja melihat aneka haiwan di sana.

Hanim menjaga 10 orang pelajar. Mereka patuh apa yang Hanim suruh dan peringatkan. Begitu juga 9 kumpulan lain. Patuh pada arahan cikgu masing-masing. Sampailah masa mereka berehat seketika di kawasan agak lapang di tepi tasik. Banyak burung flaminggo putih bertengkuk merah berkumpul dalam tasik dan mengujakan anak-anak cilik melihat ke sana.

Hanim duduk di kerusi batu setelah memastikan murid-muridnya duduk di atas tikar yang dibentang. Mereka minum dan makan roti yang diberi semasa di dalam bas tadi. Mereka turut dibantu oleh tiga lelaki yang suka rela membantu mengurus perjalanan lawatan. Tiga orang itu ialah Khairil, seorang guru yang dicari oleh Hana dan seorang lagi tentulah Aldir.

Persetujuan Aldir diperolehi pada malam Aldir menelefon Hanim. Namun begitu Aldir tetapkan syarat yang membuatkan hati Hanim benar-benar luluh kembali. Apa pun Hanim

terpaksa setuju memandangkan dia memang perlukan khidmat lelaki itu.

“Mana?” satu pertanyaan merangkap satu teguran membuat Hanim menoleh perlahan.

Dia intai lelaki yang berkemeja T putih dan seluar jeans di tepinya. Itulah Aldir. Tersenyum tampan tetapi Hanim tidak rasa bahagia melihat senyuman itu. Senyuman itu bukan miliknya, pasti akan menjadi milik kakaknya kelak.

“Kata hari itu boleh ajak kakak you sekali,” tambah Aldir memperingatkan janji Hanim yang dipersetujui.

“Minta maaf, saya dah ajak, mula dia boleh pergi tapi last minute dia ada kerja kat sekolah,” terang Hanim perlahan, jujur dan memang bukan tipu.

Terlukis gambaran kecewa di wajah Aldir. Hanim pandang semula ke seluruhan tasik. Burung flaminggo putih berleher merah melata di sana. Hati Hanim jadi rencam. Antara rasa ikhlas dan rasa kecewa parah. Dia menyangka Aldir sudah lupa hal Hana. Rupanya tidak.

Cuaca pula redup ala-ala mendung tetapi tidak menampakkan hari akan hujan. Cuma redup dan sepi di langit. Buat hati Hanim rasa murung. Tidak seriang anak didik tadikanya.

Tadi dia lihat Aldir mesra melayan kerenah kanak-kanak. Hanim tumpang gembira melihat Aldir kelihatan penyayang dan sukakan kanak-kanak. Tidak sangka Aldir tidak lupa pada janji awal mereka. Iaitu Hana mesti pergi kalau mahu dia membantu dalam sesi lawatan pelajar itu.

“Ada sahaja alasan, mungkin you tak beritahu dia,” telah Aldir, buat Hanim rasa tertembak jantung.

“Satu ketika dulu ada seorang perempuan telefon awak dan bertanyakan pasal Dr. Aldir, kalau awak tak percaya pada keterangan saya, cuba telefon dia,” jawab Hanim geram tanpa

menoleh.

Terdengar Aldir menggumam. Kemudian mendesis.

“Bila tu?” tanya Aldir pula setelah puas cuba mengingat.

“Barangkali koleksi makwe ramai sangat, itu pasal tak ingat,” sindir Hanim melepaskan rasa sebal yang menyumbat hati.

“You boleh tak jangan cakap yang menyakitkan hati I,” Aldir mula marah.

“Kalau tak betul kenapa nak marah?” semis Hanim lagi.

“Eh you, elok-elok I tolong you, karang senang-senang aje I balik tau, you jagalah anak-anak you yang ramai tu,” Aldir mula beri ancaman.

“Kalau awak punya fikiran dan pertimbangan macam akal anak-anak kecil itu, maka dipersilakanlah wahai Encik Aldir,” Hanim mula bosan. Bercakap dengan Aldir tidak boleh silap sikit, mulalah Aldir tunjuk baran. Bencilah!

Terdengar Aldir mendesis. Hanim tidak peduli, langsung tidak ingin melihat. Entah kenapa mereka hanya punya penyatuan jiwa dalam Facebook sahaja. Itu pun sebelum Aldir bertemu Hanim secara dua mata. Kini, setelah berjumpa? Buat Hanim rasa tawar untuk bersembang apa tah lagi konon untuk bermanja kasih dengan Aldir. Sakit hatinya bila diri dijadikan alat untuk lelaki itu mendekati kakaknya.

Kalau sebelum ini dia tidak pernah kenal Aldir, apa dia kisah pasal Aldir suka pada kakaknya. Masalahnya dia terlebih dahulu kenal Aldir. Terlebih dahulu menyayangi Aldir dan Aldir pun dulu kata begitu semasa mereka chattingdi Facebook. Apabila berjumpa dengannya Aldir buat perangai. Terlebih lagi setelah terlihat kakaknya terus Aldir berubah hati 100%.

Aldir tiada perasaankah untuk menyelami betapa sakitnya hati orang yang pernah diberi kata sayang, bila dengan mudah pula beralih suka kepada kakaknya? Hah! Sakitnya perasaan Hanim. Sakit sehingga tertusuk jauh ke dasar hati dan luka di sana sini sampai banjir berdarah dan keluar memercikkan air mata Hanim pula.

Hanim paksa matanya perhatikan tasik yang sudah nampak kabur kerana matanya dilindungi air mata yang mula penuh dan melimpah, bertambah lagi dan melimpah lagi, deras dan deras akibat sakit hati dan luluh hati kerana disakiti oleh orang yang sangat disanjung dan disayanginya. Hai Aldir! Ratap hati Hanim yang luka parah. Pedih dan berdarah.

Sedangkan Aldir yang masih berdiri di sebelahnya belum perasan Hanim sudah lemas dalam banjir air mata. Mata Aldir sibuk pula melihat ke sana ke mari. Melihat kanak-kanak yang ramai berkampung di tepi tasik. Melihat telatah mereka yang mencuit hati dia tergelak sendiri. Kemudian barulah dia lihat pula tonggokan Hanim yang sudah mengelap air mata.

“Kenapa menangis?” tanya Aldir pelik. Dia duduk senget di sebelah Hanim.

Hanim mengesot jauh sikit. Bertambah sakit hati bila Aldir langsung tidak memahami situasi dirinya yang sedih pilu gara-gara lelaki itu. Memang Aldir jenis keras hati dan langsung tidak tahu memujuk. Hamun hati Hanim. Membazir sahaja air matanya tumpah pada tempat yang bukan sepatutnya. Hanim bangun dan berkira untuk mendapatkan anak didiknya.

Mendengar kanak-kanak yang riang bercerita sesama mereka dan guru-guru mereka membuatkan hati Hanim terhibur sedikit. Tinggal Aldir melihat tingkah Hanim yang sudah tidak menghiraukan dirinya lagi.

Ketika itu Khairil datang bersama Fakrul dan duduk di sebelah Hanim. Hanim mengengsot sedikit memberi ruang kepada Khairil dan Fakrul untuk merehatkan kaki. Murid-

murid yang ramai di situ sungguh riang mendapat pengalaman baru bersama rakan-rakan dan guru-guru di Zoo Negara itu.

“Awak tak minum?” tanya Khairil sambil hulurkan minuman kotak yang dibelinya.

“Terima kasih,” Hanim ambil tanpa banyak kira.

“Kagum saya melihat awak semua jadi cikgu pada murid kecil-kecil tu,” puji Khairil membuat hati Hanim terharu tetapi tidak terkeluar ucapan terima kasih gara-gara masih berbekas perasaan dendam pilu terhadap Aldir.

“Eh, awak kenapa? Macam menangis?” tanya Khairil yang sudah menatap muka putih gebu Hanim yang kemerahan dan mata pula pastilah tidak indah bersinar.

“Taklah,” Hanim tepis tangan Khairil yang cuba mengelap sisa air matanya.

Dari sudut kerusi tadi, Aldir melihat gerak-geri Hanim dan Khairil. Dia mendesis. Tidak cemburu tetapi ada rasa seakan kehilangan pula. Lalu dia bangun dari situ dan pergi ke satu arah yang dia tidak pasti.

“Ke mana bos?” laung Khairil.

Aldir hanya putarkan tangan tanpa jawapan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh