Home Cerpen Islamik Hey, Ladies! - sebuah karya tarbiah islamiah
Hey, Ladies! - sebuah karya tarbiah islamiah
A. Darwisy
15/5/2013 12:06:07
4,413
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Jari-jemarinya terketar-ketar mahu menekan aksara demi aksara di papan kekunci yang sudah lama dia tinggalkan. Bahkan sudah hampir enam bulan, komputer peribadinya itu terbiar sepi tidak terusik. Airmatanya menitik perlahan-lahan kerana baru sekarang dia memahami akan makna sebenar sebuah keinsafan. Dia benar-benar menyesal kerana selama ini, kesepuluh-sepuluh jari tangannya itulah yang terlalu bangga menceritakan segala-galanya. Dia bermegah dengan dosa dan mungkar yang dia lazimi buat. Bahkan dalam tidak sedar, dia juga mempengaruhi orang lain untuk terus larut dalam keasyikan dunia.

Ya ALLAH, menggunung tingginya dosa aku ya ALLAH. Ampunkan aku, ya ALLAH. Ampunkan aku. Rintihnya berkali-kali di dalam hati, mengharap taubatnya di bulan Ramadhan ini diterima TUHAN. Dia reda dengan keadaan dirinya sekarang. Dia tahu ALLAH tidak sekali-kali menzalimi hamba-hambaNYA tetapi manusia itu yang acapkali menzalimi dirinya sendiri. Dan dia antara salah seorangnya. Leka dengan kenikmatan sementara hidup sehinggakan kehidupan yang lebih kekal abadi, tidak langsung singgah di kepala. Fikirnya dulu, masa muda beginilah mahu seronok-seronok. Hendak bertaubat, tunggu saja masa tua.

Tetapi hakikatnya, dia lupa. Melihat daun-daun luruh dari sebatang pohon, seakan-akan memberinya satu peringatan dan pedoman. Dan bila daun-daun berguguran, bukan daun tua yang sudah kering dan kekuning-kuningan saja yang akan luruh ke lantai tanah. Tidak terkecuali daun-daun muda yang masih cantik dan kehijau-hijauan. Begitulah analoginya. Siapa-siapa pun tidak mampu untuk menjamin kelangsungan hidup mereka akan berakhir sekian-sekian tarikhnya. Ajal maut bukankah di tangan TUHAN? Ah, syukur. Ya, dulu dia lupa tetapi tidak lagi sekarang. Lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang menagih pengampunan Rabbul Izzati tatkala ini.

“Isabella, tak tidur lagi?” tegur satu suara lembut dari belakang membuatkan dirinya semakin mahu berteriak menangisi akan nasib diri. Empunya suara itulah yang selalu dilawan katanya. Empunya suara itulah yang selalu dijerkah, diherdik dan dimaki lantaran terlalu mengikut kata hati. ALLAH, buruknya akhlak aku ya ALLAH.

“Isabella mahu beritahu satu dunia cerita Isabella, mama. Biar semua orang tahu. Biar semua orang tak berakhir hidup mereka serupa Isabella.”

Isabella tidak dapat menahan tangis lalu tersedu-sedan di hadapan wanita tabah yang sentiasa ada untuknya. Tiap saat, tiap ketika. Mariam menyeka lembut airmata yang mengalir di pipi mulus anak perempuannya. Hatinya turut tersentuh. Sekejap saja, airmatanya juga sudah bergenang.

“Sabarlah ya sayang. Jangan paksa diri. InsyaAllah, bila Isabella pulih nanti... Isabella boleh buat apa saja untuk mencari reda ALLAH, nak...” pujuk Mariam lalu mencapai kedua-dua tangan anaknya itu yang menggeletar akibat sakit saraf yang dihidapi akibat kemalangan yang menimpanya enam bulan lepas. Kereta yang dinaiki Isabella bertembung dengan sebuah kereta yang lain dan keadaan Isabella pada waktu itu agak parah tetapi tidaklah mengancam nyawanya. Bangkit dari koma selama seminggu, tidak semena-mena jari-jemarinya tidak henti-henti menggigil dan menggeletar. Awalnya, doktor mempercayai Isabella menghidapi Essential Tremor, sejenis penyakit saraf yang biasa-biasa tetapi lama-kelamaan keadaannya semakin teruk. Bukan saja tangannya cukup payah hendak melakukan sebarang gerakan bahkan kedua-dua belah kakinya juga sudah tidak mampu berjalan.

Isabella terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Saban minggu, Mariam menghantar anak perempuannya itu ke hospital untuk sesi rawatan dan terapi tetapi keadaan Isabella tetap begitu. Membuatkan hati Mariam bertambah sebak dan sayu, Isabella dua tiga hari ini tidak mampu mengawal urinnya. Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat zuriat yang ditatang dari kecil, ditarik nikmatnya satu demi satu. Mariam hanya mampu berteriak dalam doanya.

“Ampunkan Isabella, mama. Isabella dah terlalu banyak buat mama susah. Buat mama terasa hati. Ampunkan Isabella...” sungguh-sungguh Isabella merayu. Tidak sanggup dia hendak mengingatkan kembali segala perbuatan yang telah dia lakukan sebelum ini. Dia sudah menghancurkan hati seorang ibu. Ibu yang di bawah telapak kaki mereka, syurga abadi. ALLAH, kotornya diri aku ini, ya ALLAH.

“Mama dah lama maafkan kamu, nak. Ambil apa yang berlaku pada Isabella sebagai ibrah, ya nak. Pergilah tidur... esok mahu bangun sahur lagi...” lembut Mariam memujuk. Hakikatnya, dia tidak mampu lagi menahan sebak. Dia mahu meraung.

“Ma... andai kata Isabella tak sempat sambut lebaran sama-sama dengan mama, Isabella mohon ampun maaf zahir dan batin, halalkan segala makan minum Isabella, tolong doakan Isabella supaya ALLAH terima taubat Isabella.”

Bagai ditikam dada Mariam mendengar permohonan si anak, wanita itu menangis teresak-esak. Batang tubuh lesu puteri kesayangannya itu dirangkul erat-erat. Isabella memejamkan matanya rapat-rapat dalam kehangatan dakapan si ibu. Dan terlayar semula di benaknya, kejahilan demi kejahilan yang telah dia lakukan. Masa seakan berundur ke belakang.

Isabella tidak sabar-sabar hendak mengadap komputer peribadinya. Jari-jemarinya lincah menekan-nekan di papan kekunci. Sehari tidak melungsuri blognya, bagai tidak sempurna hidupnya. Di dalam blog itulah, dia meluahkan segala-galanya. Apa saja aktiviti yang dibuatnya, diceritakan begitu terperinci sekali. Lengkap dengan gambar dan pautan video dari laman Keeknya. Laman sosial video berdurasi 36 saat itu penuh dengan klip-klip video pendeknya. Bahkan diikuti oleh ribuan pengunjung yang tidak sabar-sabar akan menurunkan komen setiap kali dia memuat naik video terbaru.

Itu belum lagi laman Facebooknya yang terpaksa dibuka akaun pendua lantaran sudah beribu-ribu orang menjadi teman sosialnya. Pantang saja dia meletakkan gambar baru, mencecah ribuan orang yang mengklik ‘like’ pada gambar tersebut. Kecantikannya dipuja-puja, keseksiannya dijaja-jaja, aksi manjanya diigau-igau bawa ke mimpi oleh para jejaka. Isabella suka begitu. Bahkan, dia tidak segan silu untuk beraksi panas di hadapan kamera yang dibidik sendiri atas alasan bereksperimentasi dengan seni. Baginya, apalah sangat menayang badan untuk tatapan umum kerana belum tentu yang melihat gambarnya itu, dapat memiliki batang tubuhnya yang menggiurkan itu. Sekali dia menulis status mahukan teman berbicara di kala kesunyian, berduyun-duyun orang membalasnya menawarkan kesudian.

Hey, ladies! Sorrylah, Bella lambat upload cerita baru dalam blog. Bella baru bangun tidur pun ni. Semalam, Bella hang out dengan my girlfriends di Zouk Club. Ada nasty party Zouk organize. Best gila! Kami minum tak ingat dunia sampai pukul 2 pagi kut. Thanks God, Bella jenis yang tak cepat mabuk. Minum banyak mana pun masih steady lagi. Hiks! Ada berani nak challenge Bella? Hehehe. Okay ladies, seperti biasa... bawah ni Bella letakkan my Keek link. Check it out! Psst... yang muntah kayak dalam video tu bukan Bella tau. She’s Nina. Nina baru nak kenal dunia tu. Baru minum sikit, dah serupa orang pregnant mabuk laut. Opps, mengutuk BFF sendiri!

See you next entry! Muah! XOXO!

Isabella ketawa sendiri. Lucu mengenangkan peristiwa semalam. Nina dikenalinya dari laman blog juga. Nina yang asalnya dari kampung dan baru tiga bulan bekerja di Kuala Lumpur. Nina selalu memberi komen pada setiap entri di blognya. Gadis berusia 19 tahun itu mengagumi Isabella kerana baginya, Isabella seorang perempuan yang punya daya penarik luar biasa. Aura yang boleh menundukkan mana-mana lelaki di bawah telunjuknya.

Nina beria-ia hendak bertemu dengan Isabella hinggalah pada malam semalam, mereka berjanji untuk berjumpa. Gadis itu yang tidak pernah-pernah meneguk minuman beralkohol, didorong Isabella untuk mencubanya. Dan hujungnya, baru berbaki separuh gelas di tangan, sudah muntah kayak dibuatnya. Isabella tergelak-gelak apabila Nina menikmati malam itu dengan penuh gembira, menari sakan dengan semua orang hingga tidak sedar, ramai yang mengambil kesempatan. Ah, biarlah. Orang kampung baru hendak merasa hidup bandar. Desis nakal Isabella dalam hati.

Sebaik saja entri yang ditaip sudah siap, Isabella mengklik butang publish. Dalam pada menunggu teman-teman atas talian menghantar komen, Isabella membelek-belek entrinya yang lepas-lepas. Ada satu komen dari pembaca blog yang tidak dijawabnya lagi.

Sophea said...

Hi, darling! How are you? Hey, I dah lama tak dengar cerita you dengan boyfriend mat saleh you tu. Michael, if I’m not mistaken? How’s he doing? Lucky you Bella to have gorgeous guy like him! Made in Britain! Gosh, I’m jealous, okay! Hahaha.

Isabella tersengih membaca komen dari Sophea. Sophea juga seperti Nina, pembaca tegar blognya itu. Dia selalu berjumpa Sophea di pusat gimnasium dan dari situlah dia mengenali lelaki bernama Michael. Michael yang sudah dia tinggalkan selepas dia dapat apa yang dia hendak. Ah, siapa kata habis madu sepah dibuang itu digunakan untuk kaum lelaki terhadap kaum perempuan saja? Dia pun boleh! Sudah terlanjur menyebut tentang Michael, Isabella teringat pada satu entri akan saat-saat pertemuannya dengan lelaki Britain itu hampir sebulan yang lalu. Isabella tercari-cari pada arkib entri blognya.

Hey, ladies! I have a story to tell you all. Tadi kan... Bella jumpa sorang mamat handsome. I’m not sure whether he’s American or not but for sure, dia mat salih. Hahaha. Mamat ni agaknya baru masuk gim kut, badan pun tak sedap lagi. Opss! Jangan over, Bella! Nak tahu cerita selanjutnya, merasalah tunggu! Yes, I know I’m mean! Hahaha.

See you next entry! Muah! XOXO!

Isabella menggerakkan skrol laman blognya sedikit ke bawah, mencari sambungan entri yang dibacanya tadi. Seronok pula membaca cerita-cerita yang lepas. Tersenyum-senyum Isabella seorang diri.

Hey, ladies! Bella tahu ramai yang tertunggu-tunggu cerita baru Bella ni kan? Eleh, jangan tipulah korang tak tunggu! Hehehe. Well, mamat handsome yang Bella jumpa di pusat gim tu namanya Michael. Umur 35 tahun. Saiz pinggang 36. Eh! Michael belanja Bella makan malam di Italiannies, kemudian kami tengok wayang midnight, kemudian dia ajak Bella stay overnight kat hotel yang dia duduk. The Gardens Hotel & Residences aje pun. Hehehe. Jangan jealous! Bella tak mahulah cerita panjang-panjang but then, this the best kiss I ever had from a men! Gosh! Rasa bibir ni macam kena sengat tebuan tau! Hiks!

Layan video Keek dari kami okey! Muah! XOXO!

Hani berulang-ulang beristighfar di hujung lidah. Manakan tidak, satu kolej swasta sudah kecoh dengan video Keek Isabella yang memuatnaikkan klipnya sedang berciuman dengan seorang lelaki Inggeris. Sekejap saja klip pendek itu menjadi viral dan dikongsi di laman-laman sosial yang lain. Semua orang heboh memperkatakan tentang itu. Pun begitu, sedikitpun tidak menjadi kudis buat Isabella apabila ada mulut-mulut yang memaki-maki tindakan beraninya tersebut. Hani, biarpun tidak serapat mana dengan Isabella di kolej, tetapi dia sebenarnya kasihan dengan perempuan itu. Kasihan kerana Isabella tidak sedar yang perbuatannya itu berdosa dan dimurkai ALLAH.

“Isabella, kau sedar tak apa yang dah kau buat?” lembut Hani bertanya, mahu kawannya itu membuka matahatinya luas-luas.

“Kau dah kenapa, Hani? Sibuk-sibuk nak campur urusan hidup aku pulak!” bengkeng Isabella tiba-tiba.

“Kita saudara seagama, Isabella. Sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menyedarkan kau...”

“Sedar diri kau tu dulu! Ada hati nak menasihatkan orang. Ini hidup aku, Hani! Aku berhak tentukan cara hidup aku! Aku berhak pilih kehidupan yang menggembirakan aku.” Lantang Isabella mencantas ucap Hani yang belum pun berkesudahan ayatnya. Hani tergamam. Hatinya terus bergumam dengan zikrullah. Penuh lembut, Hani cuba memberi nasihat.

“Tapi kau kena ingat Isabella... ALLAH juga berhak ke atas batang tubuh kau. Mati kita nanti, bukan terus hancur dimakan ulat dalam tanah. Pengakhiran kita sama ada nikmat di syurga atau perit di neraka. Kau tak dambakan syurga, Isabella?”

“Kalau dah berduyun-duyun semua orang nak masuk syurga, confirmlah sesak. Lagi baik aku masuk neraka sorang-sorang, tak payah bersesak. Okey, bye!”

“Astaghfirullahalazim...”

Hani mengalirkan airmata mendengar keceloparan Isabella yang bercakap serupa tiada senipis iman pun di dada. Dia cuba menahan Isabella dari pergi tetapi pergelangan tangannya direntap kasar. Isabella melangkah laju, seboleh-bolehnya mahu mengelak dari terus berada bersama-sama dengan Hani. Dia tidak terniat hendak berlaku kurang ajar dengan kawan sekolejnya itu kerana dia tahu Hani bukan seperti kawan-kawannya yang lain. Kawan-kawan yang mudah menghukum dan meminggirkan dirinya. Hani lain. Hani tidak jemu-jemu mendekatinya dengan baik.

“Tunggu aku, Isabella...”

“Kau nak apa lagi, Hani?”

“Aku tahu nun di sudut hati kau, masih ada nur Islam. Tolonglah dengar apa yang aku nak cakap ni dengan mata hati kau, Isabella...” rayu Hani sungguh-sungguh. Airmatanya sudah meluruh ke pipi. Sebaliknya, Isabela terus-terusan berdegil. “Kau pandang pokok itu, Isabella. Biarpun cuma sehelai daun yang berguguran, semuanya berlaku dengan izin ALLAH. Apatah lagi kita sebagai hambaNya. Kehidupan yang kita lalui hari demi hari, bukan atas kuasa kita. Walaupun kau kata kau berhak untuk memilih kehidupan kau sendiri tapi jalan yang kau pilih tu, apakah ALLAH mengizinkannya? Sebaliknya, kau mudaratkan diri kau sendiri. Kau jatuhkan martabat kau sebagai seorang muslimah yang letaknya mulia di sisi ALLAH. Takkah kau berasa malu dengan Dia, sahabatku?”

Lembut lontaran pertanyaan Hani menusuk ke sukma Isabella. Isabella terasa getarnya tetapi dia tidak mahu mengendahkannya. Isabella terus beredar dari situ. Walaupun di gegendang telinganya, terngiang-ngiang nasihat yang disampaikan Hani sekejap tadi.

“Biarpun cuma sehelai daun yang berguguran, semuanya berlaku dengan izin ALLAH.”

Isabella menjerit geram. Dia tidak suka! Sudahlah hari ini, hari lahirnya. Dia mahu meraikannya sama-sama dengan Nina dan Sophea. Mereka akan ke Singapura pada malam ini.

Hey, ladies! Today was a rough day for me. But do I care? Biasalah sebahagian besar masyarakat Malaysia yang serupa jakun bila tengok pasangan meluahkan kasih dan sayang mereka dengan ciuman. Itu pun nak kecoh ke? Whatever! Ah, Bella malas nak fikir lagi. Malam ni, Bella nak enjoy! Handsome Singaporean out there, let’s meet! Hiks!

Isabella sudah siap mengemas pakaian yang mahu dibawa ke dalam bagasinya. Dia akan bercuti di Singapura selama seminggu dan dirinya cukup teruja untuk ke sana. Paling tidak, di Singapura dia bebas dan tidak terikat. Mariam yang sudah dimaklumkan akan rancangan percutian si anak, hanya mampu melepaskannya pergi. Dia tidak mahu bertengkar dengan Isabella pada hari lahir anak perempuannya itu. Isabella pantang ditegur.

“Jaga adab di sana, ya nak...” pesan Mariam sambil mengukir senyuman. Isabella buat dengar dengan tidak saja lagaknya.

“Bella dah besar pun, ma. Mama tak ingat ke hari ini Bella dah 21 tahun. Ingat Bella budak-budak lagi?” tukas Isabella yang ada saja modal air liurnya untuk berlawan cakap. Mariam tidak mahu memanjangkan sengketa. Lagi pula, sebelum Isabella berangkat ke Singapura, dia mahu meraikan anak daranya itu. Kek coklat kesukaan Isabella sudah dibuatnya. Isabella tentu suka.

“Isabella, mama ada buat kek coklat kegemaran Isabella... Selamat hari lahir, sayang...” tulus ucap hari lahir daripada seorang ibu kepada anaknya. Isabella bersinar-sinar matanya. Melihat si ibu menatang sebiji kek yang cantik dihias dengan potongan buah-buahan strawberi, menggembirakan hatinya. Apatah lagi dilihatnya di tangan Mariam, ada hadiah berbalut kain baldu ungu berikat riben merah jambu. Hati Isabella berbunga-bunga.

“Terima kasih, ma! Hadiah tu untuk Bella kan?” Mariam mengangguk bahagia. Lapang jiwanya apabila Isabella gembira dengan kejutan yang dibuatnya itu.

“Makanlah dulu kek tu, Isabella. Penat mama memasak tau. Hadiah pula dikejarnya dulu. Hehehe.” Mariam bersenda. Tetapi Isabella lebih teruja hendak mengetahui isi kandungan hadiah yang sudah berada di hadapannya itu. Rakus Isabella membuka balutannya.

“Ha!!! Apa ni, ma? Mama bergurau ke apa ni???”

“Mama tahu Bella suka dengan warna merah jambu. Sebab tu mama hadiahkan Quran Waqaf Ibtida’ kulitnya warna merah jambu untuk Bella. Bella suka?” Tidak sabar Mariam menanti penerimaan si anak. Mudah-mudahan Isabella menyukai pemberiannya itu.

“Mama dah nyanyuk apa hadiahkan Bella benda alah ni?” Suara Isabella sudah melengking-lengking. Quran di tangan, ditunjal-tunjalnya dengan jari telunjuk. Mariam terdiam menelan kemarahan Isabella yang tiba-tiba datang menggila.

“Ini hadiah yang lebih bermakna dari hadiah mahal yang lain, nak...”

“Bermakna mama cakap? Nah, ambil balik hadiah mama ni!!!”

Isabella mencampak Quran itu ke arah batang tubuh mamanya sendiri. Melayang Quran itu mengena dahi Mariam hinggakan tersiat kulit wanita itu dibuatnya. Setitik demi setitik darah merah keluar dari dahi yang terluka itu.

“Allahu akbar... Ini Quran, nak...” lirih Mariam menegur perbuatan Isabella yang sudah melampaui batas.

“Peduli apa aku? Bakar pun aku mampu buat!!!”

“ALLAH...” Mariam menangis tersesak-esak sambil menyebut-nyebut kalimah agung Ya Rabb dek mendengar kebiadapan Isabella yang seperti langsung tidak diberi didikan agama. Ya ALLAH, mana silapku mendidik anakku ini ya ALLAH. Meraung-raung Mariam menengadah ke langit. Sementara Isabella sudah pun menarik bagasinya keluar dari rumah, menaiki kereta yang dipandu Nina, menuju ke lapangan terbang.

Belum surut tangisan yang menyiat-nyiat rasa di jiwa, Mariam mendapat satu panggilan telefon yang menyentak perasaannya. Dia seperti tidak mahu mempercayai akan perkhabaran yang didengarinya sekejap tadi kerana baru sejam yang lepas, Isabella meninggalkan rumah itu. Ya ALLAH, tabahkanlah hatiku ini ya ALLAH.

“Baiklah, saya datang sekarang...”

Mariam bergegas memandu ke hospital apabila pihak yang merawat memaklumkan bahawa Isabella kini berada di Unit Rawatan Rapi. Perempuan itu bersama-sama kawan-kawannya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Berderau darah Mariam hinggakan seluruh anggota badan terasa menggeletar. Hanya doa tidak henti-henti yang mampu Mariam bawa sebagai bekalan semangat di kala ini.

Sebaik saja dibenarkan oleh pihak doktor untuk melihat Isabella, Mariam menggagahkan langkahnya yang longlai memasuki bilik wad dimana anaknya ditempatkan. Bercucuran airmata Mariam apabila sekujur tubuh yang terlantar lemah di atas katil itu adalah Isabella. Isabella yang selalu meninggikan suara kepadanya. Isabella yang selalu bertingkah bicara keras dengannya. Isabella yang asyik menconteng arang ke mukanya. Tetapi rasa kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Mariam mengusap ubun-ubun Isabella yang masih tidak sedarkan diri.

“Bangunlah, nak. Mama terlalu menyayangimu...” bisik Mariam di cuping telinga Isabella sebelum hujung lidahnya menzalimi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Karim.

Ramadan terakhir...

Puas Mariam memanggil nama Isabella tetapi anak perempuannya itu tidak pula menyahut. Tidak semena-mena, gusar melanda di dalam dada. Mariam akhirnya membuka perlahan-lahan pintu bilik si anak dan kelihatan Isabella tertidur di atas hamparan sejadah dalam sepersalinan telekung putihnya. Barangkali Isabella berjaga sepertiga malam mendirikan ibadah sunat hinggakan tidak sedar, diri sudah terlelap. Perlahan-lahan Mariam menggerakkan tubuh si anak dan Isabella terkejap-kejap kelopak matanya mencerunkan pandangan.

“Isabella bertahajjud ya, nak?” tanya Mariam mengambil berat. Isabella terangguk-angguk payah.

“Mama... ini sahur yang terakhir... subuh hari ini dan subuh esok hari pasti berlainan suasananya, ya ma?” Bella bertutur lembut. Tidak seperti sewaktu diri masih menongkat langit, wanita itulah yang asyik ditengking-tengkingnya. Giliran Mariam pula mengangguk sayu.

Batang tubuh Isabella didudukkan menyandar di kepala katil dan telekungnya dibuka. Kemudian, dengan kudrat yang ada, Mariam mencempung badan anaknya itu menuju ke ruang makan. Penuh kasih sayang Mariam menyuap sesuap demi sesuap nasi putih dan sup ayam yang sempat direnehnya awal pagi tadi. Isabella terbuka mulutnya setiap kali disuap dan setiap kali itulah airmatanya tidak berhenti mengalir. Ya ALLAH, wanita yang menyuap aku inilah yang selalu aku sakiti hatinya dulu ya ALLAH.

Seusai bersahur, kedua-dua beranak itu mengisi awal pagi yang hening itu dengan membaca kalam-kalam ALLAH dan terjemahan maksudnya. Hinggalah sampai pada surah al-Jathiah, ayat 23, Isabella terasa bagaikan dirinya disindir secara langsung oleh TUHAN. Hatinya dihentam sebak. Dia malu dengan ALLAH. Dia malu dengan dosa-dosanya.

“Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”

Isabella menangis dan terus menangis. Bersenandung awal pagi itu dengan tangisan sayu mahu meraih taubat dan pengampunan dariNya. Mariam menarik tubuh anak perempuannya itu ke dalam dakapan. Belakang badan Isabella diusap-usap. Tiupkanlah ketenangan dalam diri anakku, ya ALLAH. Rayu Mariam dalam rawan.

“ALLAH itu Maha Penyayang, Isabella. Dia akan menerima taubat seseorang hambaNya selagi nyawa tidak di halkum. Percayalah dengan janji Dia.”

Barangkali hanya itu yang mampu terucap keluar dari mulut Mariam bagi memujuk Isabella yang terus larut dalam tangisan keinsafan. Kedua-dua mata Isabella memerah lantaran kerap menangis dan menangis.

“Mama... tolong Isabella ma...” lirih suara Isabella penuh mengharap.

“Tolong apa, sayang?”

“Tolong buangkan semua video-video Isabella, semua entri-entri dalam blog Isabella... Isabella bukan saja sudah berdosa dengan ALLAH tetapi kepada semua yang mengikuti Isabella di laman maya. Isabella ajak mereka melakukan perkara mungkar. Isabella tanamkan dalam fikiran mereka yang membuat dosa itu satu perkara paling terindah. Ya ALLAH, apa nak jadi dengan Isabella, ma? Bukan seorang dua yang telah Bella pengaruhi tapi ribuan ma... ribuan di luar sana mengagung-agungkan kejahilan yang telah Bella buat, ma...”

Ya, itu yang paling Isabella takutkan. Dia diibaratkan sebagai pencetus fenomena. Gaya hidup hedonismenya menjadi ikutan, fesyen seksinya menjadi inspirasi kepada gadis-gadis yang baru hendak mengenal dunia, prinsipnya yang suka bertukar-tukar pasangan, bebas berpeluk cium dengan lelaki bukan mahram dipandang sebagai satu perlambangan cinta yang ditiru oleh ramai orang. ALLAH... ALLAH... ALLAH... aku berdosa ya ALLAH...

Syawal membuka satu lembaran baru bagi keping-keping hati yang tertarbiah dengan iman. Di pusara itu, dia mengalirkan airmata. Setiap bait-bait maksud di dalam surah Yassin yang dibacanya seakan menjadi satu peringatan kepadanya untuk tidak sekali-kali berpatah balik dari jalan lurus yang telah dipilihnya.

“Moga kalian tenang-tenang di sana bersama-sama orang-orang yang beriman, sahabat-sahabatku.”

Bisik Isabella di dalam hati. Hanya doa yang mampu dikirim untuk Nina dan Sophea yang telah pergi menemuiNya. Barangkali inilah kesempatan kedua yang ALLAH berikan untuk dirinya. Sedangkan pada hari berlakunya kemalangan tidak lama dulu, dia yang memandu kereta Nina tetapi ternyata ALLAH lebih menyayangi kawan-kawannya dengan mengambil mereka pergi terlebih dulu. Hani memahami gelodak perasaan Isabella. Dia menolak kerusi roda sahabatnya itu menuju ke tempar parkir dimana Mariam sedang menunggu.

“Terima kasih, Hani. Kau sejak dari dulu lagi tak jemu-jemu nasihati aku dan sehingga sekarang kau masih dengan aku, jaga aku. Indahnya bersahabat dengan kau Hani.” Isabella tersenyum manis. Ya, Hani yang selalu dianggap suka menyibuk dan mencampuri urusan peribadinya dulu. Sedangkan pada hakikatnya, selain Mariam mamanya, Hanilah yang membantunya mengenal ajaran Islam lebih dekat lagi.

“Terima kasih kembali, Isabella. Syukur alhamdulilah, kau dah banyak berubah. Dan alhamdulilah, sekarang kau dah boleh gerak-gerakkan jari-jemari kau. Benarlah, ALLAH itu Maha Penyayang.”

“Selamat hari raya Idulfitri, Hani sahabatku...”

“Selamat hari raya Idulfitri juga untukmu, Isabella. Mudah-mudahan kita kembali fitrah dan dipadamkan segala dosa-dosa yang lalu.”

Hani mendakap penuh kasih sayang Isabella yang duduk di kerusi roda. Hatinya menghiba tetapi dalam masa yang sama, dia melafazkan syukur tidak terhingga. Lebaran ini dia sudah boleh menaip di blog kesayangannya semula. Dia mahu membawa dimensi yang berbeza untuk para pembacanya. InsyaAllah.

Hey, ladies! Assalammualaikum. Bella baru habis baca sebuah buku berjudul Seeking Truth Finding Islam tulisan Anwar Holid. Dan Bella amat tertarik dengan satu ungkapan di dalam buku ini. Simple yet meaningful! “Tuhan memberi kesempatan kedua kepada saya.” Dan begitu jugalah yang Bella harapkan dalam fasa baru hidup Bella sekarang ini. InsyaAllah, dengan ruang dan peluang yang ALLAH bagi pada Bella, Bella akan menggunakan sebaiknya untuk mengajak semua sahabat dan teman di laman maya ini untuk mengejar pahala semampu kita dan menjauhi apa saja yang mendekatkan diri kita pada dosa dan murka Dia.

“Dan Dialah (Allah) yang menerima taubat daripada hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang telah mereka lakukan). Dan Dia mengetahui apa yang kamu semua kerjakan.” Surah as-Syura : ayat 25

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.