MENUNGGU bas bagaikan menunggu
bintang jatuh ke bumi. Ayu melihat jam tangannya. Nasib baik dia keluar awal.
Kelas bermula jam 9.00 pagi. Dan kini baru menjelang 8.15. Tapi kalau sampai
kelas ngam-ngam pukul 9.00, tak sempatlah dia nak sarapan.
Pagi tadi selepas subuh dia kelam-kabut menolong Maziah menyediakan nasi
goreng dan air kopi. Selepas menyediakan sarapan, dia bersiap-siap pula nak ke
kelas.
Keluar dari bilik, dilihat nasi goreng sudah habis. Yang tinggal hanya
bekasnya. Rupa-rupanya nasi goreng itu Maziah buat bekalsekolah Mastura, Adila dan Raffi.
Selebihnya sudah dimakan Maziah dan Darus. Langsung tak tinggalkan sedikit
untuknya. Kala dia menuang air kopi dari teko, hanya beberapa titis yang ada
dalam cawannya. Terlepas nafas panjangnya.
Itulah alas perutnya pagi tadi. Harap-harap dia sampai awal di fakulti dan
sempat bersarapan di kafeteria sebelum masuk kelas.
Bas yang ditunggu tiba akhirnya. Cepat-cepat dia bangun dan mendaki tangga
bas setelah kenderaan itu berhenti. Tak begitu ramai. Masih ada tempat duduk
kosong. Dia duduk di kerusi yang masih kosong. Bas meneruskan perjalanan ke
perhentian Seksyen 2 dan kemudian dia akan menaiki bas UiTM untuk masuk ke
dalam kampus.
Tidak semena-mena ada seseorang duduk di sebelahnya. Dia yang ralit
memerhati ke luar tingkap, menoleh.
“Maaf... tak apa ke saya duduk sini?”
Ayu terlopong. Betul ke ni? Aku tak bermimpi ke?
“Rasanya... saya macam mengganggu. Tak apalah, saya duduk kat belakang
semula.”
“Eh, tak! Tak!” Cepat-cepat Ayu menahan. “Err... tak apa. Err... ambillah.
Eh!” Dia menepuk dahi. Apa yang aku cakap ni?
Shahrul ketawa. “Maksud awak, ambil kerusi ni bawa balik rumah? Letak
depan TV?”
Ayu ketawa. Shahrul ni pandai berlawak rupa-rupanya. “Awak buat apa kat
sini?”
“Buat apa?” soal Shahrul kembali, kurang mengerti. “Berbual dengan
awaklah. Awak ni tanya soalan senang sangatlah. Tanyalah soalan lain, yang
mencabar minda.”
Senyuman Ayu meleret. Shahrul ni pandai buat orang berasa selesa berbual
dengannya. Walaupun dia berasa relaks berada di sisi lelaki itu, hatinya tetap
ada getaran yang sukar untuk dimengertikan.
“Kelas awak pukul berapa?”
“Pukul 9.00.” Ayu mengerling wajah Shahrul sekilas. Tak boleh tengok
lama-lama. Hatinya boleh cair. Debaran di dada jangan cakaplah... rasa macam
nak pecah dadanya ketika ini.
“Samalah. Kelas saya pun pukul 9.00. Tapi awak tahu sajalah kan, student
foto ni macam mana. Kalau kelas satu jam, 30 minit aje dah boleh balik. Lepas
tu lecturer suruh keluar buat assignment, shooting. Kamera ni tak
pernah lekang.” Shahrul menepuk beg kamera warna hitam yang sedang dipegang.
“Mesti mahal, kan?”
Shahrul mempamerkan senyuman. “Kalau ada makwe, makwe jatuh nombor dua.
Kamera ni nombor satu. Nasib baik saya tak ada makwe. Kalau tak, mesti kesian
makwe saya tu. Tapi... kalaulah saya ada makwe...” Dia merenung wajah Ayu
sekilas.
Ayu perasan Shahrul sedang memandangnya. Serta-merta dia gugup. Terasa
tangannya sejuk. Kenapa aku jadi begini bila berdepan dengan Shahrul? Kenapa?
Ya ALLAH... Relaks, Ayu. Bertenang. Bertenanglah. Dia cuba mengawal emosi diri.
Shahrul ketawa. “Siapalah nak dengan saya ni? Tak apalah. Saya bercinta
aje dengan kamera ni.” Suaranya mendatar.
Shahrul cakap macam ni sebab nak beritahu yang dia single ke? Atau
sekadar nak bercerita? Ayu tertanya-tanya. Hati di dalam mulai kembang
berbunga-bunga. Shahrul belum berpunya! Syukurlah. Ya ALLAH... aku berpeluang
ke jadi milik dia, ya ALLAH?
Suasana tiba-tiba sepi antara mereka. Malu masih terasa menebal dalam
diri.
“Susah jugak tak ada motor. Terpaksa naik bas. Kena datang awal. Kalau tak
nanti tak dapatlah masuk kelas.” Shahrul bercerita.
Itulah soalan yang aku nak tanya dari awal-awal tadi. Ayu berkerut dahi.
“Mana motor awak?”
“Rosak. Masuk workshop.”
“Kenapa awak tak tumpang kawan-kawan awak? Dia orang semua kan ada motor.
Boleh boncengkan awak.”
Shahrul melepaskan nafas panjang. “Saya ni...” Nadanya agak berat.
Ayu merenung dalam-dalam wajah Shahrul, menanti cerita selanjutnya.
Seperti ada sesuatu.
“Saya bukan nak memburukkan sesiapa... sebab dia orang pun kawan saya
jugak. Tapi... entahlah. Awak pun tahu kan macam mana perangai dia orang tu.
Saya rasa cukup-cukuplah saya rapat dengan dia orang. Sekarang ni saya cuba nak
jarakkan diri saya. Biarlah saya bawa haluan saya sendiri,” sambung Shahrul
bagaikan mengadu.
Ayu terangguk-angguk faham. Patutlah hari tu ketika jumpa Geng Mat Ngek di
dalam perpustakaan Shahrul tak ada bersama. Yalah, perangai Geng Mat Ngek tu
memang entah apa-apa. Macam monyet! Macam anak setan! Mengusik dan mengacau
orang macam tak ada kerja lain. Memang patut pun Shahrul tak kawan dengan Geng
Mat Ngek tu lagi.
“Baguslah. Semua orang cakap yang dia orang meluat tengok Geng Mat Ngek.”
Ayu perasan mata Shahrul membulat memandangnya. “Eh, tak... maksud saya Jeff
dengan kawan-kawan dia tu. Bukan awak.”
Shahrul nak tertawa, tapi hanya tersenyum sinis. “Kita orang tahu yang kau
orang semua panggil kita orang Geng Mat Ngek. Kita orang tak kisah pun. Tapi,
sekarang saya bukan Geng Mat Ngek lagi tau. Saya akan keluar dari kumpulan dia
orang tu.”
“Tapi awak dah lama kawan dengan dia orang, kan? Tak rasa lain macam ke
kalau awak tak kawan dengan dia orang lagi?”
“Saya tetap kawan dengan dia orang. Cuma tak serapat dulu. Lagipun, Ayu...
orang kata, kita adalah siapa kawan-kawan kita. Bila saya fikir masa depan,
saya rasa saya mesti jauhkan diri daripada dia orang. Awak faham kan maksud
saya?”
Ayu terangguk-angguk.
“Hai... sekarang saya dah tak ada kawanlah nampaknya. Tak ada siapa sudi
nak kawan dengan saya. Yalah... bekas ahli Geng Mat Ngeklah katakan.” Suara
Shahrul berubah layu.
“Laa... saya kan ada.” Spontan Ayu bersuara. Apabila sedar sudah terlepas
cakap, dia menekup mulut. Ya ALLAH... tak malu punya perempuan! Dikutuk diri
sendiri.
“Betul ni?” Shahrul senyum gembira. Berubah wajahnya lebih ceria.
“Alhamdulillah... ada jugak orang nak kawan dengan saya.”
Ayu tertawa. Luculah Shahrul ni.
“Tapi kan, awak... saya minta sangat-sangat kat awak satu perkara. Boleh?”
“Apa dia?” Berlapis dahi Ayu memandang Shahrul. Nak minta apa?
“Saya harap, kita rahsiakan tentang kita. Maksud saya, pasal yang kita ni
berkawan. Saya tak nak Jeff atau Geng Mat Ngek yang lain tahu saya kawan dengan
awak. Awak tahu kan dia tu macam mana? Suka mengacau perempuan. Bila dia tahu
saya kawan dengan awak, nanti dia kacau hidup awak. Saya tak suka.” Wajah
Shahrul benar-benar mengharap.
“Oh...”
“Kalau boleh, kawan-kawan awak yang lain pun tak tahu jugak. Saya
risaulah, awak. Saya risau, takut-takut kalau nanti benda ni Jeff tahu jugak
akhirnya. Saya risaukan awak.”
Ayu terangguk-angguk. Dia faham maksud kata-kata Shahrul. “Insya-ALLAH...
awak jangan risaulah. Saya faham.” Dia tersenyum. Betul jugak apa yang Shahrul
cakap tu. Sebelum ni aku tak kawan dengan Shahrul pun si Jeff tu sibuk nak
mengacau aku. Kalau dah kawan entah macam mana pulak perangai si anak setan tu.
“Dahlah, tak payahlah fikir pasal Geng Mat Ngek lagi.
Hmm... macam mana awak boleh ambilcourse bisnes? Saya yang ambil subjekBusiness Ethics aje ni pun dah rasa nak potong kepala. Susahnya!” Shahrul mengalih topik
perbualan.
Ayu tertawa. “Sebab dah minat kot. Saya suka sangat subjek
perdagangan atau apa saja yang berkaitan dengan dunia perniagaan. So
bila dah minat, semuanya rasa tak susah.”
Shahrul terangguk-angguk. “Tapi saya rasa saya bukan dilahirkan untuk
belajar pasal benda-benda tu semua. Susahlah, awak. Pedih menggelegak otak saya
bila masuk kelas subjekBusiness Ethics tu.”
Terhambur ketawa Ayu. Kelakar mendengar perkataan ‘pedih menggelegak otak
saya’. Ada-ada saja Shahrul ni. Lucu betul.
“Nasib baiklah belajar untuk satu semester aje. Hai...” Bagaikan mengeluh
pula Shahrul.
“Saya kan ada. Tak apa, nanti saya bagi awak nota-nota saya. Siap sekali
dengan soalan-soalan kuiz. Dulu, saya belajar subjek tu pun dengan Prof.
Mazlan.”
“Really?” Buntang mata Shahrul bagaikan tak percaya. Dia berasa
sangat bertuah mengenali Ayu.
Ayu mengangguk bersama senyuman.
“Alhamdulillah... syukurlah otak saya masih boleh panjang umur.”
Sekali lagi Ayu ketawa. Shahrul memang kelakar. Selesa dia berada di sisi
lelaki itu. Ya ALLAH... tak sangkanya hari ini aku boleh duduk sebelah Shahrul
dan berbual-bual sambil ketawa. Dengan Shahrul, dia langsung tak berasa
janggal. Jodoh aku kot? Dia ketawa dalam hati.
Yang penting, mungkin selepas ini mereka akan kerap bertemu. Mereka sudah
saling bertukar nombor telefon! Yeahh... rasa macam nak berlari-lari lompat
bintang dalam bas masa ni jugak!