SEJURUS mematikan talian, dada
Safia diamuk debaran. Lain macam! Dia terduduk bersandar di sofa. Sudah hampir
setahun dia berjauhan dengan Ayu. Perasaan risau tak pernah padam dalam hati.
Walaupun dia yang mahu Ayu tinggal di rumah Darus, sepatutnya dia tak perlu
risau. Tapi, kerap kali hatinya terdetik keraguan.
Dia dengan Darus bukannya rapat sangat walaupun mereka adik-beradik tiri.
Namun, hanya Darus saudara yang dia ada untuk menjaga Ayu. Bukan dia tak
percayakan anaknya itu tinggal sendirian, tetapi dia risau kalau sesuatu yang
buruk berlaku pada anaknya dan tiada sesiapa yang memantau.
Sekurang-kurangnya jika Ayu sakit, Darus boleh tolong hantarkan ke klinik.
Makan minum pun terjaga. Takkanlah Maziah nak menganiaya Ayu. Yang membuatkan
dia berkali-kali risau, Ayu tu bukannya seperti orang lain. Ayu tu... hisy! Dia
tergeleng-geleng.
Safia melepaskan nafas panjang. Dan sekarang kenapa hatinya berdebar?
Kalau apa-apa yang terjadi pada Ayu, mesti anak daranya itu akan memberitahu.
Tapi tadi Ayu tak mengadu apa-apa pun.Cuma
beritahu yang dia demam. Dia menggaru-garu kepala yang terasa rimas. Debaran itu begitu menggusarkan.
“Sayang... kenapa ni? Tak sihat ke?”
Safia yang sedang memicit-micit kepala melepaskan nafas panjang. Mesti
sejak tadi suaminya memerhatikan tingkahnya. Memang dia gelisah. Perasaan itu
tak boleh disorok-sorok.
“Ayu ke yang telefon tadi?” Kadir duduk di sebelah Safia. Hari ini
kelasnya pada waktu pagi saja. Jadi petang-petang begini, dia berehat di rumah
saja.
Safia mengangguk seraya memaut lengan Kadir dan melentokkan kepala di bahu
suaminya itu. “Dia tak sihat. Saya risaulah, bang.”
Kadir menepuk-nepuk tangan Safia. “Janganlah risau. Darus kan ada. Kita
kat sini doakan saja dia sihat. Kalau awak resah gelisah macam ni, nanti awak
sendiri yang sakit,” pujuknya.
“Tapi saya peliklah, bang. Sekarang ni, dia jarang nak berkongsi cerita
dengan saya. Bila saya tanya, semuanya dia kata okey. Tak ada yang tak okey.
Tanya ada masalah ke tak, dia mesti kata tak ada masalah,” adu Safia pula.
“Kalau dah dia kata semua okey, semua tak ada masalah... betullah tu.
Takkan dia nak membohong. Patutnya awak bersyukur. Dia okey kat sana. Darus
dengan Maziah pun jaga dia dengan elok. Dahlah... janganlah risau. Awak
berat-beratkan fikiran, lama-lama awak yang stress nanti.”
Kata-kata Kadir membuatkan Safia berasa sedikit lega. Mungkin apabila tahu
Ayu tak sihat, dia jadi tak keruan. Bila sudah tak keruan, mulalah dada
berdebar-debar. Padahal bukan jadi apa-apa pun pada Ayu. Fikirannya saja yang
asyik negatif.
“WEH... awak rupa-rupanya! Saya dah agak
dah. Tengok baju awak pun saya dah tahu. Tudung biru, baju oren. Awak ni tak
reti match warna ek? Macam kat sarkis. Warna-warni!” Jeffry yang baru
saja mematikan enjin skuternya menegur Ayu sambil tersengih-sengih.
Atang sudah ketawa terbahak-bahak.
Ayu yang terkejut cepat-cepat menyeka pipinya agar tiada kesan yang dia
baru lepas menangis. Dengan jiwa yang tak tenang dan fikiran kusut, tak mungkin
dia mahu terus naik ke rumah Darus. Dia masih lagi mahu duduk di bangku batu di
situ. Kehadiran Jeffry dan Atang tidak dipedulikan langsung.
“Eh, kita ni invisible ke? Dia tak nampak kitalah, Jeff,” gurau
Atang. “Tak nampak ke... buat-buat tak nampak?” Dia ketawa. Seperti biasa,
sikap nak menyakat tu tak pernah habis.
Ayu pura-pura tak dengar, malah pura-pura tak kenal. Sibuk aje Geng Mat
Ngek ni! Orang tak ada moodlah! Mukanya yang tak berseri sengaja
dimonyokkan lagi. Biar dua orang Mat Ngek ni sedar yang dia tak suka. Dia
menyampah!
Jeffry terkesan dengan reaksi Ayu yang semacam. Dia dapat menangkap aksi
Ayu menyeka air mata. Niat asal nak menyakat gadis itu terus tumpul. Dia serba
salah pula. Tadi mula-mula dia menegur Ayu memang agak sinis.
“Sejak tahu awak duduk kat sini, kita asyik jumpa aje. Eh, kita kan kawan?
Boleh dapat pisang goreng free tak?” sakat Atang seperti biasa. Dia
ketawa lagi. Dia mengerling Jeffry yang hanya senyum sebaris. Berkerut dahinya.
Biar betul Jeff ni. Biasanya dia yang paling kuat menyakat dan membahan. Ni
senyap pulak.
Seketika keadaan terasa janggal apabila semua diam. Atang memandang Ayu
yang melemparkan pandangan jauh ke langit pekat. Dan kemudian dia memandang
Jeffry yang merenung Ayu. Berasakan ada yang tak kena, dia menghampiri Jeffry
dan menyenggol lengan sahabatnya itu.
Tersentak Jeffry disenggol Atang. Muka Atang berkerut memandangnya. Err...
dia perasan ke yang aku merenung Ayu tadi? Cepat-cepat dia menjadi dirinya yang
selalu, yang suka mengusik.
“Haa... awak ni suka makan kerepek ek?” Sesi mengusik nampaknya sudah
bermula.
Atang sudah menahan ketawa. Selepas ni mesti dia tergelak sampai pecah
perut punya. Lawak Jeffry memang terbaik. Mahaguru menyakatlah katakan.
Ayu yang masih mendongak ke arah langit tertanya-tanya dalam hati. Apa ke
hal pulak dia kata aku suka makan kerepek ni? Namun nak memandang muka Jeffry,
dia rasa tak kuasa.
“Memang sah awak suka makan kerepek. Memang sah! Sah!” Jeffry
menekan-nekan apa yang dia cakap. Seolah-olah perkara itu tiada waswas.
“Yalah, Jeff. Pandailah kau teka. Aku tak sangka kau ni jenis jejaka bukan
setakat menawan hati, malah yang pandai menilai orang. Husy! Kagum aku.” Atang
ketawa tanpa suara sambil menunjukkan ibu jari kepada Jeffry. Bukan main geli
hati dia kerana Jeffry mahu menyakat Ayu. Entah keturunan apa mereka berdua
itu. Galak sungguh kalau bab mengusik dan membahan orang.
“Kalau kau nak tahu, Tang... orang yang suka makan kerepek ni dia jenis
pendiam. Lepas tu dia suka tengok langit. Telinga dia pulak ada masalah sikit.
Pekak!”
Berdekah-dekah Atang ketawa. Ayat-ayat Jeffry lawak gila.
Jeffry pun ketawa sama. Seronok betul dapat mengusik orang. Langsung tak
peduli reaksi sedih Ayu yang dia nampak tadi. Tapi rasa seronok mengusik tak
sepenuhnya dirasakan. Dilihat Ayu seperti tak mendengar apa-apa. Bahkan bermuka
selamba.
Sebenarnya Ayu tak faham apa yang Jeffry cakap. Dah sikapnya mudah ‘blur’.
Kalau dia tak faham, muka ‘blur’lah yang dia tunjuk. Walaupun sedang bersedih,
takkan sesekali dia tunjuk pada orang lain. Biarlah dia saja yang rasa.
Fikirannya menerawang teringatkan Maziah, teringatkan Mastura dan Adila.
Tergamaknya mereka. Perbuatan mereka seperti menganggap dia musuh.
Apa yang patut aku buat supaya Mak Cik Maziah tak marah aku? Aku dah cuba
ikut semua apa yang dia suruh. Tapi ada saja yang tak kena di mata orang tua
itu. Aku dah tak tahu macam mana lagi nak ambil hati Mak Cik Maziah tu. Kalau
ada duit yang hilang, ada barang yang rosak... mesti aku, aku, aku. Balik-balik
aku jugak yang dia tuduh. Ya ALLAH...
Naik geram Jeffry melihat muka toya Ayu. Dia boleh buat muka 20 sen? Hampeh
betul! Tadi aku tengok beria-ia dia lap air mata sorok-sorok. Sekarang buat
muka ‘blur’ pulak. Minah ‘blur’! Nak kena dia ni.
“Kalau kau nak tahu lagi, Tang... orang yang suka makan kerepek ni makin
nampak ‘kekerepekkan’ dia bila dia buat muka blur. Nampak tak? Nampak
tak?”
Atang terangguk-angguk. “Nampak, nampak. Yalah, Jeff. Kerepeknya dia!” Dia
ketawa bagai nak gila. Ketawa sampai besar mulut ternganga.
Jeffry bangga dapat membuatkan Atang ketawa. Dia turut ketawa. Ketawanya
sengaja dikuatkan apabila Ayu memandangnya. Seronok dapat menyakat gadis itu.
Ayu berdiri sambil menghembus nafas panjang yang berat. Apa pun yang
terjadi, inilah yang harus diterima. Apa jua yang berlaku di dalam rumah Darus,
dia terpaksa menghadapinya dengan hati yang tabah.
Kala berpaling, dia baru perasan Jeffry dan Atang masih berada berdekatan
dengannya. Ingatnya, Geng Mat Ngek tu tadi dah berlalu pergi. Nampak sangat dia
langsung tak menghiraukan lelaki berdua tu. Fikirannya terlalu kusut memikirkan
Maziah. Lalu, dia menghampiri Geng Mat Ngek itu.
Jeffry dan Atang yang ketawa tak ingat dunia itu terus terdiam apabila Ayu
menghampiri mereka.
Ah, sudah! Apa minah ‘blur’ ni nak buat? Jeffry tertelan liur. Makin lama
makin dekat. Rasa ngeri pula melihat Ayu walau dengan muka ‘blur’.
Atang mula gabra. Ayu nak mengamuk ke? Nak ganyang kita orang ke? Dia mula
berjaga-jaga. Jika Ayu buat perangai gila mahu menyerang, dia akan lari lintang-pukang.
Setelah berada dekat dengan Jeffry dan Atang yang bagaikan kena paku, Ayu
memandang kedua-dua Mat Ngek itu seketika.
Jeffry menelan liur. Perempuan kalau mengganas boleh gempa bumi!
Atang berasa seram sampai terlopong mulutnya.
“Sekarang pukul berapa?” soal Ayu polos.
Jeffry terkebil-kebil seketika. Ayu
tanya pukul berapa? Dia menoleh ke arah Atang. Atang menunjukkan riak ‘tak tahu
nak cakap apa’. Jeffry memandang Ayu semula. Minah ‘blur’!