Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
210,006
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11
BUNYI deringan nyaring yang tak berhenti-henti sejak tadi mengganggu lena Shahrul. Terpisat-pisat dia membuka mata dengan muka berkerut. Seketika kemudian, barulah dia tahu bahawa bunyi itu datang daripada telefon bimbitnya.

Lalu dia melilau mencari telefon bimbitnya dalam keadaan mamai. Deringan itu kembali berbunyi setelah senyap seketika. Sambil menggonyoh-gonyoh mata, dia bangun mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja solek.

“Hmm... helo,” katanya sambil menguap.

“Hang pi mana, Shah oii? Mak call dari tadi tak berangkat. Hang sibuk ka?”

“Hmm... mak.”

“Hang ni baru bangkit tidur ka? Suara hang tak clear. Mak tak dengar apa hang cakap.” Munirah menekan rapat telefon bimbit ke telinga, supaya suara Shahrul jelas di pendengarannya.

Shahrul berdeham, membetulkan kotak suaranya. Suara bangun tidur kedengaran lebih garau. “Hmm, mak... ada apa call ceq ni?”

Barulah Munirah mendengar dengan jelas suara anaknya itu. “Hang baru bangkit tidur ka? Awatnya? Hang tak pi kerja ka? Hang kata hang kerja. Ni dah pukul 2.00 ni. Bos hang tak marah ka?”

“Ceq masuk lambat sikit hari ni,” dalih Shahrul. Pukul 6.30 pagi tadi baru dia tiba di rumah. Haruslah dia tidur terlajak hingga ke petang begini.

“Oh...” Munirah mengangguk. “Mak nak minta tolong ni. Ayah hang semput lagi. Mak nak bawa dia pi hospital. Hang masukkan duit sikit, nak.”

“Berapa?”

“Ikut suka hanglah. Bagi seratus pun tak apa. Hang masukkan dalam akaun mak na?”

“Hmm... yalah. Sat lagi ceq masukkan.” Shahrul kembali ke katil dan duduk di birai.

“Mak minta maaflah kat hang. Mak selalu menyusahkan hang. Tapi nak buat lagu mana? Ayah hang sakit. Duit simpanan tak banyak. Adik-adik hang yang lima orang tu semua sekolah. Duit belajar hang pun mak ayah tak mampu nak bagi lagi. Kesian hang kena cari duit sendiri. Kalau hang rasa tak mampu nak tanggung pelajaran, hang berhentilah. Tak apa, mak tak marah. Janji hang ada kerja.” Risau betul Munirah memikirkan keadaan anak sulungnya di rantau orang.

“Pasal ceq mak tak payah risaulah. Ceq okey. Ceq kerja elok kat sini.” Shahrul tak nak Munirah runsing.

“Anak mak long hang si Zakri pun kerja sekali dengan hang, kan? Tak apalah lagu tu. Mak tak risau sangat.”

“Ni mak nak pi hospital macam mana?”

“Mak telefon teksi. Sat lagi teksi mai ambil kami. Hang jangan lupa masukkan duit na?”

“Haa... yalah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam...”

Talian sudah diputuskan. Shahrul merenung jauh hingga tembus ke dinding. Nak buat macam mana? Inilah pilihan yang dia ada. Beginilah kalau hidup kalau tak kaya. Dunia sekarang ni duit, duit, duit! Jadi, dia kena bekerja. Dia kena dapatkan duit banyak-banyak.

Darus yang baru balik kerja terkejut apabila melihat Ayu keluar dari bilik siap bertudung. “Eh, kau nak ke mana malam-malam buta ni?”

Terkejut Ayu apabila Darus muncul di hadapannya tiba-tiba. Fikirnya, pak ciknya itu balik lambat seperti biasa. Sekarang baru pukul 8.00 malam.

“Entah... ke manalah dia nak merayap tu!” Maziah yang sedang makan dengan anak-anaknya di meja menyampuk. “Patutlah tak nak makan. Nak merayau rupa-rupanya.” Dia menjeling meluat.

Darus melepaskan lelah di kerusi kusyen. “Kau nak ke mana, Ayu?” Dia mengulang soalan tadi.

“Abah ingat kalau abah tanya, dia jawab dengan jujur ke?” Mastura turut menyampuk.

Ayu memandang sepupunya itu. Kalau ikutkan hati, memang sakit! Sampai hati Mastura dan Adila berdiam diri apabila dia dituduh merosakkan jam tangan Maziah. Sedangkan mereka berdua tahu siapa yang punya angkara. Tetapi dia pula yang difitnah.

“Kau nak keluar ke, Ayu?” Darus tetap mengharapkan Ayu menjawab soalannya. “Kau ni tak ada mulut ke nak jawab soalan aku ni?”

Maziah sempat menjeling Ayu sambil menyuap nasi.

“Ayu nak turun bawah kejap, pak cik. Nak ambil angin, nak call ibu sekali.” Ayu menatap wajah Darus. Kalau tak diberi kebenaran sekalipun, dia tetap mahu menghubungi ibunya.

Maziah mencebik. “Percayalah...” sinisnya. “Entah-entah nak jumpa pakwe. Takkan nak telefon ke Zurich? Ada duit ke dia tu?”

Hati Ayu tersenyum memikirkan betapa mak ciknya itu tak tahu apa-apa. Cuma tahu mengeji orang saja. Zaman sekarang, orang telefon guna internet. Tak payah bayar bil telefon mahal-mahalkalau nak buat panggilan ke luar negara.

Melihat Darus tak bersuara, Ayu berlalu keluar dari situ. Lebih lama dia berdiri di situ, makin banyak kejian Maziah.

Selepas Ayu hilang daripada pandangan, Maziah mendengus menyampah. “Eeii... meluat aku tengok dia!”

“Mas pun sama, mak. Dia tu semacam aje Mas tengok.” Mastura buat muka kelat, menunjukkan yang dia sangat menyampahkan Ayu.

“Abah kau tulah! Ada ke patut ajak budak tu duduk sini.” Maziah memandang suaminya pula. “Dia tu, bang... bukannya sesiapa pun. Anak kakak tiri abang aje. Lain mak, tapi satu bapak. Emak bapak abang pun dah lama meninggal. Apa yang nak dikisahkan? Pandai-pandailah dia nak duduk mana pun! Dah besar! Pelawa dia duduk dengan kita buat apa?”

Darus mula rimas. Topik ini jika dibincangkan, dia rasa tak senang duduk. Diambil alat kawalan jauh televisyen lalu ditukar siaran lain. Satu per satu dia tukar.

“Abang ni kalau kita cakap pasal Ayu tu, mulalah dia nak membela!” Makin tinggi nada suara Maziah. Bukannya dia nak mempelawa si suami makan bersama, tapi ditengking-tengking Darus sesedap rasa.

“Apa masalahnya? Biarlah dia duduk sini. Sekurang-kurangnya, dia boleh menolong awak kat gerai tu.”

“Menolong apanya? Bukan boleh diharap sangat dia tu,” cebik Maziah.

“Entah, abah ni!” sokong Mastura. “Rumah kita ni dahlah sempit. Mas dengan Dila dalam bilik tu dah macam tin sardin. Si Raffi ni... terpaksa tidur kat sofa depan TV. Rumah kita ni dua bilik aje, tapi abah macam tak sedar pulak.”

Raffi dan Adila hanya mendengar sejak tadi. Tak kuasa mereka nak menyampuk.

“Abah tengok Raffi tak kisah pun tidur kat luar. Lagi suka adalah! Dapat tengok TV sampai lebam mata,” sangkal Darus.

“Dia malas nak membantah. Kadang-kadang dia tidur kat rumah kawan. Abang tu kalau dah kata A, sampai mati pun kata A! Tak boleh dibawa berbincang langsung!” Maziah sudah selesai makan. Tangan dibasuh sambil menyambung kata. “Sudahlah panjang tangan. Jahanam barang saya dirosakkannya, bang. Pantang! Ada saja benda dalam rumah ni yang dia nak rosakkan. Jam tangan saya yang mahal tu habis pecah kaca dia.”

Darus tak tahu nak berkata apa lagi. Nak suruh Ayu keluar dan duduk rumah sewa... dia melepaskan nafas berat. Selama ini Maziah tak tahu yang setiap bulan Safia memasukkan duituntuknya sebanyak RM300 sebagai wang belanja. Banyak tu! Siapa yang tak nak kalau orang bagi?

Dia tak pasti sama ada Ayu tahu atau tak pasal wang itu. Rasa-rasanya tak tahu sebab anak saudaranya itu tak pernah memintanya wang belanja. Kalau Ayu tak tinggal sekali dengannya, sudah pasti Safia tak memberinya wang setiap bulan lagi. Masaklah aku! RM300 tu macam-macam yang boleh dia buat. Dia tergeleng-geleng.

“Abang ni orang cakap dengan dia, dia buat pekak aje!” Suara Maziah melangsing. “Saya tak kira, apa saja barang dalam rumah ni yang dia rosakkan, saya nak dia ganti! Tak kiralah dia anak saudara abang ke, siapa ke... saya tak peduli!”

“Yalah, yalah...” Buat masa sekarang Darus mengalah saja, tapi dia akan terus pekakkan telinga.

“Bapak kau tu, boleh pulak balik awal hari ni! Kalau tak, pukul 12.00 baru nampak muka. Asyik balik lambat aje. Entah apa dibuatnya,” bebel Maziah pada anak-anaknya.

“Abang kerjalah! Eeii...” keluh Darus.

“Kerja apanya sampai malam buta baru balik, abang oii? Abang tu kerja hantar orang kerja kilang aje. Kilang-kilang yang abang hantar tu syif 12 jam aje. Patutnya abang ada banyak masa kat rumah. Ni tak! Macamlah saya tak tahu, bang. Ingat saya ni bodoh?”

“Kau tahu apa, Ziah? Aku kerja, cari rezeki.” Darus mula bengang apabila Maziah mempersoalkan kerjanya.

“Abang ingat abang sorang aje ke buat kerja? Habis saya ni? Saya ni meniaga kat gerai hari-hari. Buat semua benda sendiri. Nak harapkan abang tu kadang-kadang tolong, kadang-kadang haram tak nampak batang hidung. Entah apa dibuatnya. Hantar orang kerja kilang bukannya setiap masa. Boleh aje kalau nak tolong saya kat gerai. Semua nak harapkan saya yang buat. Padahal dulu abang yang beria-ia nak meniaga kat situ. Sekarang ni, saya yang buat semua. Hai... senang betul jadi orang jantan ni. Perah kudrat bini aje pandai.”

Panas muka Darus dibebel Maziah. “Kau meniaga ajelah kat situ! Apa yang kau nak bisingkan sangat? Yang kau tu tahu membebel, membebel, membebel tak habis-habis! Memekak aje!” Suaranya kuat. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik.

Maziah mengejek apa yang dicakap Darus tanpa suara dengan riak sinis meluat. Dijeling kelibat Darus yang sudah hilang daripada pandangan.


“KENAPA ibu dengar suara Ayu lain macam ni?” Sebetulnya, sejak dari awal lagi Safia sudah terkesan nada suara Ayu yang tak seperti biasa walaupun mereka baru berbual hampir tiga minit.

“Tak ada apalah, ibu. Cuma Ayu kurang sihat. Rasa nak demam.” Ayu memejamkan matanya. Ya ALLAH... Berdosanya aku menipu! Entah kenapa pertanyaan itu membuatkan air matanya makin banyak mengalir. Hatinya tersentuh dengan naluri seorang ibu yang Safia miliki. Safia dapat meneka sesuatu yang tak kena dengannya.

“Demam? Eh, sayang... ajaklah pak cik hantarkan ke klinik.” Terus berubah risau suara Safia.

Laju air mataAyu berderai. Ajak Darus pergi klinik? Tak payah berharaplah. Pak ciknya itu tak peduli apa yang jadi padanya. Lebih-lebih lagi Maziah. Sebenarnya, dia siapa? Bukan anak saudara mereka ke? Habis tu, kenapa layan dia macam musuh? Kenapa tak pernah bersikap baik padanya? Merintih hatinya apabila memikirkan sikap keluarga Darus.

Dia sanggup turun ke bawah blok semata-mata mahu menghubungi Safia kerana tak mahu Mastura atau Adila dengar perbualannya. Kadang-kadang ketika dia sedang berbual dengan Safia, kedua-dua beradik itu masuk ke dalam bilik. Kalau Mastura atau Adila dengar perbualannya, mesti kecoh apabila mereka mengadu pada Maziah. Sebab kali ini dia tahu, dia pasti menangis apabila menelefon Safia.

“Hmm... Ayu pergilah berehat, sayang. Nanti ibu masukkan duit. Ayu pergi klinik beli ubat ya? Jangan biar aje. Nanti melarat pulak.”

Ayu menyeka air matanya walau makin basah pipinya itu. Memang tujuan dia menelefon ibunya itu kerana mahu meminta duit. Jam tangan Maziah perlu diganti. Tetapi dia tak terluah nak meminta. Rasa menyusahkan Safia saja. Sedangkan kehidupan ibunya di Zurich entah bagaimana.

Ibunya dulu pegawai pentadbiran di Universiti Malaya. Tak sangka pula terpaut hati dengan seorang pensyarah di situ yang sudah lama membujang. Mereka sepakat nak menikah apabila Kadir ditawarkan menyambung PhD di Zurich. Itupun, Safia menunggu persetujuannya sama ada boleh menerima Kadir sebagai bapa tiri atau tidak.

Sebagai anak, siapa yang tak mahu melihat ibu sendiri bahagia. Sejak 16 tahun yang lalu Safia menjaganya bersendirian apabila ayahnya meninggal dunia. Biarlah Safia mendapat kebahagiannya sekarang. Tak mengapa jika dia terpaksa berjauhan dengan Safia, asalkan ibunya bahagia bersama Kadir.

Selepas bernikah dengan Kadir, Safia terus meletak jawatan kerana mahu bersama suaminya itu ke Zurich. Jadi, pasti perbelanjaannya ditanggung Kadir yang masih menerima gajinya sebagai pensyarah walaupun menyambung pelajaran. Itulah yang merisaukan Ayu. Dia tak mahu menyusahkan Safia dengan meminta-minta wang.

“Ayu... dah, tak apalah. Esok-esok bila dah sihat, telefon ibu semula. Kalau tak pun, biar ibu yang telefon Ayu. Ya, sayang? Dah, pergilah berehat.” Safia semakin risau apabila Ayu diam membisu di hujung talian.

Ayu sedaya upaya mengawal gelora perasaan yang diasak sebak. Tak berdaya dia nak bersuara. Air mata yang luruh dibiarkan sahaja kerana tak mampu diseka lagi.

“Ayu...” Safia jadi tak tentu arah. Apa kena dengan anaknya itu? Biasanya tak pernah begini.

Ayu berdeham beberapa kali, menghalau serak sambil menabahkan diri agar boleh bersuara tanpa Safia mengesyaki yang dia sedang menangis.

Sorry, bu... Ayu rasa tak larat sangat ni. Nanti Ayu telefon ibu lagi. Bye... Assalamualaikum.” Mendengar Safia menjawab salam, terus Ayu memutuskan talian.

Di bangku itu, air matanya meluruh laju. Rindu sungguh nak mendakap tubuh insan yang paling dia kasihi itu. Kalau ikutkan perasaan, mahu saja dia memberitahu Safia apa yang Maziah anak-beranak buat padanya.

Dengan tapak tangan dia mengesat pipi basahnya. Tatkala dia berpaling mahu beredar dari situ, dia dijerkah seseorang.

“Woi!”

Tersentak tubuh Ayu kerana terkejut yang amat.
Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.