Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
209,778
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5
HABIS saja kelas, Ayu, Mala dan Eja ke pasar raya Giant. Ada keperluan yang mesti dibeli. Ayu melihat jam tangannya. Masih awal lagi dia nak pulang. Baru pukul 3.00 petang. Dia kena menolong Maziah berniaga jam 4.00. Ada masa lagi dia nak berbuat sesuatu untuk keperluan diri sendiri. Yang penting dia mesti beli beberapa bungkus roti dan sebotol air mineral.

“Eh, assignment kau dah siap?” Mala bertanya kepada Eja yang sedang membelek mi segera yang bakal menjadi bekalannya di asrama.

Assignment? Mana ada assignment. Kan kita dah buat.”

“Entah. Mana ada assignment lagi. Lagi dua minggu kita dah nak exam. Dah startstudy week pun,” sampuk Ayu pula. Semua tugasan mereka buat sama-sama sampai siap.

“Aku tanya aje. Takut aku lupa.” Mala tersengih.

“Ayu, semester depan jomlah duduk kolej. Tak bestlah kau tak duduk sekali dengan kita orang macam kat Seri Iskandar dulu.” Eja cuba memujuk Ayu.

Ayu melepaskan nafas panjang. “Aku memang nak sangat duduk kolej macam dulu dengan kau orang. Tapi... pak cik aku tu. Dia tak bagi aku duduk kolej. Dia nak aku duduk kat rumah dia jugak.”

“Kau tak nampak ke sebab apa pak cik kau tu suruh duduk rumah dia?”ungkit Eja.

Mala memandang Eja dan kemudian menggeleng, tak mahuEjamemanjangkan cerita.

Namun, Eja buat tidak peduli. “Takkanlah Ayu tak sedar langsung yang mak cik dia tu ‘gunakan’ dia. Kan? Dia cuma nak Ayu ni tolong dia meniaga. Bukan apa pun.”

“Hisy... kau ni, Eja. Ayu ni cuma tolong mak cik dia aje kalau tak ada kelas.” Mala cuba menjernihkan keadaan. Dia tak mahu Ayu tersinggung.

“Memang aku yang nak tolong mak cik aku meniaga. Lagipun... aku dah bosan duduk kolej. Kat Seri Iskandar dulu, tiga tahun duduk kolej. Gila bosan!” Terpaksa Ayu berhelah.

“Tolong apanya? Setiap kali kita orang datang nak jumpa kau, tu... tercongok kau kat gerai mak cik kau. Bila masanya kau studi?” Eja memang pedas kalau bercakap.

“Aku studi malam-malam. Rasa senang sikit ilmu nak masuk otak. Kau pun tahu kan, ibu aku lagi percaya aku duduk kat rumah Pak Cik Darus daripada duduk kolej.”

Eja yang memuncung mengekori Ayu dan Mala sambil menyorong troli. Geram! Alasan Ayu balik-balik pasal ibunya mahu dia tinggal dengan Darus.

“Hah! Aku dah jumpa.” Mala berlari dan mencapai sebuah alat yang seakan-akan semburan pewangi bersaiz kecil. Dia menayang-nayang alat tersebut di hadapan Ayu dan Eja.

Mulut Ayu terlopong. “Pepper spray?

Mala terangguk-angguk sambil tersengih.

“Cik Normala oii... kau nak buat apa dengan benda ni?” tanya Eja.

“Nak buat apa lagi? Ni senjata mempertahankan diri. Lepas ni kalau Geng Mat Ngek datang mengacau kita lagi, aku spray muka dia orang satu demi satu. Biar menggelupur macam kena sawan.”

Mata Ayu terbeliak. “Kenapa pulak sampai nak spray dia orang bagai? Bukannya dia buat apa-apa kat kita. Hisy! Tak payahlah beli.” Dia mahu merampas alat itu daripada tangan Mala, tapi tangkas Mala mengelak. Ayu hampa.

“Tak buat apa-apa kau kata, Ayu?” Eja mula naik geram dengan perangai Ayu yang jenis mudah reda. “Yang dia campak ular kat kita hari tu, kau tak ingat ke? Nasib baik ular mainan. Kalau ular betul, aku kejar dia orang sampai lubang cacing, lepas tu aku timbus dia orang dengan ular-ular tu sekali.”

“Tapi takkanlah sampai nak spray dia orang dengan benda ni. Bukan dia buat sexual harassment pun.” Ayu tetap mahu menghalang. Dia takut jejaka yang mula mencuri hatinya itu turut disembur.

“Aku memang geram dengan Burn tu! Selamba dia campak ular getah kat kita.” Eja mengepal-ngepal penumbuknya.

“Ketuanya siapa lagi... si Jeff tulah! Hisy, sakit hati aku. Si Atang, Shahrul dengan Fauzi pun sama galak jugak. Kalau dah Geng Mat Ngek, perangai pun ngek jugaklah. Batak! Anak setan!” bebel Mala pula.

Ayu tercengang. Dia tak tahu pun Mala dan Eja sudah kenal dengan semua ahli Geng Mat Ngek. Atang dan Jeffry dia sudah kenal. Tapi yang mana satu Fauzi? Shahrul? Burn? Macam mana dia nak kenal? Oh! Burn yang campak ular getah pada mereka menurut kata Eja tadi. Jadi antara Fauzi dan Shahrul, yang mana satu membuatkan hatinya berdebar-debar? Malasudah membawa alat tersebut ke kaunter pembayaran. Alamak! Dia tidak sempat lagi menghalang. Terlepas keluhannya.

Ketika beratur di kaunter untuk membuat pembayaran, Mala terfikir-fikir. Akhirnya dia tidak jadi membeli pepperspray itu. Betul kata Ayu. Geng Mat Ngek bukannya buat gangguan seksual pun. Mereka cuma mengusik dan menyakat. Bukan buat kerja jenayah. Dan tak pula mengaibkan maruahnya. Kalau aku spray dia orang, tak pasal-pasal jadi kes lain. Baik tak payah beli!


TERBAHAK-BAHAK Jeffry ketawa ketika melihat Fauzi mengusik seorang gadis di kafeteria. Nak mengusik konon! Sudahnya terpaksa membayar harga makanan gadis itu. Padan muka! Tak ada teknik langsung nak mengusik. Main tibai aje.

Yang lain-lain turut mentertawakan Fauzi. Kelat muka Fauzi sekembali ke meja sambil menatang pinggan nasinya dan segelas air oren.

“Apalah kau ni? Kau usik awek tu, kau pulak yang terkena,” sindir Jeffry sambil mengunyah nasi berlauk ayam masak kari.

“Aku tanya dia pandai masak apa. Dia cakap macam-macam. Aku perli dia pulak. Aku cakap kat dia, kalau pandai masak macam-macam, kenapa makan kat kedai. Aku gelakkan dia. Masa kat cashier, aku kat belakang dia. Sekali dia cakap kat cashier tu, aku ni pakwe dia. Dia suruh aku bayar. Hampeh!” cerita Fauzi.

Apa lagi, bergema dekahan mereka dalam restoran itu.

Fauzi buat tak reti. Selamba dia makan walaupun dalam hati berkira-kira duit baki yang tinggal dalam beg duit. Awek tadi punya lauk bukan main lagi. Ketam, udang, ayam lagi.Kuat melantak, tak padan perempuan.

“Kau mengusik tak kena gaya, Fauzi. Kalau aku, silap-silap dia yang bayarkan untuk aku tau.” Shahrul mengangkat kening.

“Kalau aku, aku rasa dia ajak aku makan kat rumah mak bapak dia terus,” gurau Jeffry.

Mereka tergelak mendengar kata-kata jenaka Jeffry.

Sedang mereka rancak berborak, muncul dua orang lelaki lembut yang bersifat perempuan. Geng Mat Ngek mula nampak ‘bahan’ untuk mereka. Mulalah mereka bersiul-siul.

“Ewah... manjanya dia jalan lenggang-lenggok,” usik Atang, disambut ketawa yang lain.

Lelaki lembut tadi buat tidak dengar.

“Marilah makan kat sini. Makan dengan abang-abang yang gagah ni,” usik Shahrul pula.

“Kalau makan dengan abang, abang suapkan,” ujar Burn dengan suara mengada-ngada.

Berdekah-dekah lagi mereka ketawa.

“Woi, Mat Ngek! Aku tumbuk mulut kau tu! Tak guna punya jantan!” Salah seorang lelaki lembut itu mula naik angin.

“Weh, weh... kau dengar tak tu? Bila marah, suara dia... kalah kita.” Jeffry galak menyakat.

Berdekah-dekah mereka mentertawakan lelaki-lelaki lembut itu.

Malas nak melayan, ditambah rasa malu kerana banyak mata yang memerhati mereka, lelaki-lelaki lembut itu beredar dari situ sambil menghentak-hentak kaki tanda protes. Mulut mereka lancang memaki hamun.

“Aku geram tengok budak-budak macam tu. Lemah lembik macam tak ada tulang. Rasa nak sepak aje. Dahlah pakai baju perempuan. Eeii...” Burn betul-betul geram. Perkataan ‘geram’ ditekan beria-ia.

“Alah... relakslah. Bukan dia orang menyusahkan hidup kau pun. Buat relaks sudah...” Shahrul menyuap suapannya yang terakhir. Yang lain-lain sudah lama menghabiskan makanan masing-masing.

“Memang tak menyusahkan tapi menyakitkan mata aku.” Burn menghirup air laicinya.

Jeffry mencebik. “Ke... kau tak tahan tengok dia orang?”

Meledak lagi ketawa mereka berlima.

Seketika, masuk sekumpulan gadis ke dalam restoran tersebut. Shahrul yang leka ketawa terdiam apabila terpandang salah seorang daripada gadis itu. Memakai baju blaus merah, tudung ungu dan skirt warna-warni.

“Syuut, syuutt... aku rasa salah seorang perempuan tu jodoh aku.” Jeffry memperbetulkan rambutnya.

Terkekeh-kekeh kawan-kawannya ketawa.

Apa lagi... berlakulah episod Geng Mat Ngek mengacau orang. Tak sudah-sudah. Satu hari tak mengusik, tak mengacau... tak sah! Lebih-lebih lagi anak-anak dara.

Shahrul melepaskan nafas panjang. Dia ingatkan gadis yang dipandangnya tadi Ayu. Ayu kan suka memakai baju yang berwarna-warni. Dia perasan setiap kali mereka bertemu, gadis itu asyik memandangnya. Kadang-kadang mencuri pandang wajahnya. Adakah...

Dia tersenyum.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.