Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
210,682
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 26

“HAA... dah sampai pun!” Eja teruja apabila seorang pelayan kafe menghantar makanan yang mereka pesan tadi. “Sedapnya bau nasi goreng daging merah ni.” Dia sudah tertelan liur.

Mala juga kelihatan tak sabar. Bayangkan dari pagi sampai ke petang, baru mereka ada masa untuk makan. Masing-masing sibuk menyiapkan tugasan sebelum peperiksaan akhir semester menjelang.

Ayu pula ralit dengan telefon bimbitnya. Sekejap-sekejap berbunyi. Dia pula apabila menerima mesej, membacanya sambil tersenyum-senyum.

“Hei, dahlah tu... makan dulu.” Mala menyenggol lengan Ayu yang duduk di sebelahnya.

Eja mencebik. “Entah. Dari tadi dengan telefon tak lekang-lekang. Lepas tu tersengih-sengih. Kau ni dah ada pakwe ke?” Dia terus makan tanpa berlengah lagi. Perut yang sudah terasa pedih, tak mampu menunggu lagi.

“Memandai aje.” Cepat-cepat Ayu menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg dan mula menghadap nasi goreng kampung dengan telur dadar.

Mala dan Eja berpandangan. Mereka dah lama perasan sedikit demi sedikit perubahan Ayu. Ayu semacam menyorokkan sesuatu daripada mereka.

“Kau ni bercinta dengansiapa, Ayu? Dengan Shahrul eh? Kau jangan nak sorok-sorok dengan kita orang.” Mala memberi amaran. Macam nak mengugut pun ada.

Eja pun rasa Ayu sedang bermesej dengan Shahrul. Tapi buat masa sekarang dia nak layan perut dulu.

Ayu menyuap nasi goreng sambil menyorokkan rasa bahagia di hati. Dia tak mahu ulas apa yang Mala cakapkan tadi. Shahrul sudah berpesan, Mala atau Eja dan sesiapa pun tak boleh tahu mengenai mereka. Maaflah sahabatku sekalian. Demi kebaikan Shahrul, aku tak boleh bagi tahu kau orang yang aku kini dilaman cinta. Tunggu Geng Mat Ngek ni pupus baru aku boleh bagi tahu. Lebih-lebih lagi si Jeff tu! Nanti tak pasal-pasal Shahrul kena tumbuk lagi. Kesian Shahrulnya. Entah bilalah Jeff nak lenyap dari muka bumi ni.

“Yang selalu mesej kau tu siapa?”

Ayu mendongak memandang Mala. “Mesej?”

“Yang mesej kat WhatsApp kau selalu tu. Siapa?” Mala masih tak puas hati selagi Ayu tak cerita apa-apa padanya dan Eja.

“Oh!” Ayu terangguk-angguk sambil meneruskan suapan. “Ibu aku.”

Mala dan Eja berpandangan. Kunyahan masing-masing jadi perlahan.

“Takkanlah mesej dengan ibu sampai tersengih-sengih. Tak berhenti-henti pulak tu. Aku pun mesej ibu aku jugak. Tapi tak adalah asyik menyengih macam kerang busuk aje!”

Nah! Eja kalau bercakap, pedih menikam ke hulu hati. Dia sama saja dengan Mala. Boleh tahan laser mulut masing-masing.

“Kau orang ni kenapa? Macamlah aku tak pernah bermesej sebelum ni,” balas Ayu dengan jawapan paling selamat baginya.

Eja mencebik. Mala pun sama. Jawapan Ayu tak telus langsung.

Baru Mala nak memangkas lagi, telefon Ayuberbunyi semula. Cepat-cepat Ayu mengambil telefon bimbitnya dari dalam beg. Senyumannya menguntum.


Makan tak ajak saya. :’(


Alololoo... comelnya dia merajuk. Ayu tertawa kecil. Tadi dia ada beritahu Shahrul yang dia baru nak makan dengan Eja dan Mala. Mungkin Shahrul kecil hati sebab dia langsung tak mempelawa lelaki itu makan bersama.


Saya ajak kalau awak nak belanja. :P


Sengaja dia mengusik Shahrul. Dia tak kisah pun kalau Shahrul tak belanja. Tapi setiap kali mereka keluar makan, mesti Shahrul yang bayar walaupun berkeras dia menegah.

Baru dia nak makan semula, telefonnya berbunyi lagi.


Saya belanja kalau awak sudi jadi makmum saya. ;)


Merona merah wajah Ayu. Dia nak aku jadi makmum dia? Makmum? Maknanya dia nak jadikan aku... isteri? Ah... betul ke ni?

Dia tersenyum-senyum. Ya ALLAH... bahagianya hatiku. Indahnya perasaan ini. Seketika dia berfikir. Apa nak balas ni? Apa aku nak tulis ni? Ya ALLAH...

Baru beberapa perkataan ditaip, dipadam semula dan kemudian menaip lagi. Apabila siap, dia membacanya sekali lagi. Terasa tak sesuai, dipadam ayat-ayat yang sudah dirangkai itu. Nak balas apa ni?! Dia resah sendiri. Takkan tak balas mesej WhatsApp Shahrul tu. Nanti apa pulak dia kata. Mesti dia ingat aku ni tak ada perasaan.

Setelah berfikir seketika, dia menaip ayat yang mula terukir di fikiran. Senyumannya menguntum.

“Aku kan, Ja... meluat betul tengok orang yang dok menghadap handphone macam mabuk todi.”

Spontan Ayu memandang Mala. Dia benar-benar lupa yang dia sedang bersama Eja dan Mala. Serta-merta dia tak jadi menaip mesej untuk Shahrul. Telefon bimbit diletakkan ke tepi. Dia menyambung makan sambil dalam minda merencana ayat-ayat yang bakal dipersembahkan pada Shahrul. Kata-kata Mala tadi langsung tak berbekas di hatinya walaupun laser hingga boleh mencederakan hati.

“Makan nasi pun macam lagi dua tahun aje nak habis. Kita dah siap makan. Dia... makan tak sampai separuh pun yang luak. Pelik betul aku. Ada jugak orang yang macam ni. Dapat pegang handphone macam pegang kunci syurga,” perli Mala lagi.

Ayu buat pekak saja. Dia tahu Mala dan Eja kecil hati sebab dia tak menghiraukan mereka. Tapi nak buat macam mana? Dia memang sungguh-sungguh teruja dapat bermesej dengan Shahrul.

“Kalau kau lambat lagi makan, kita orang pergi library dululah. Jumpa kat sana,” kata Eja. Dia menghirup minumannya sehingga habis.

“Alah, alah... tunggulah.” Cepat-cepat Ayu menyuap nasi sesudu dua dan kemudian meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. “Okey, dah.” Dengan nasi masih penuh di dalam mulut dia bersuara.

“Kau tengok, Ja.” Mala tergeleng-geleng memandang Ayu. “Tulah... tadi sibuk pegang handphone.” Lalu dia berdiri, diikuti Eja.

Ayu terkocoh-kocoh menyedut minumannya sebelum bangun. Dia mengekori Mala dan Eja yang sudah membuat bayaran di kaunter. Tak berlengah, dia mengeluarkan wang secukupnya dan meletakkannya di hadapan juruwang sambil menyebut makanan dan minuman yang dipesannya tadi.

Ketika mereka baru saja keluar dari kafe, telefon bimbit Ayu berbunyi lagi. Tergesa-gesa dia mengeluarkannya.


Awak tak reply mesej saya. Saya merajuk! :(


Ayu tersenyum. Kenapalah Shahrul ni comel sangat? Merajuk pulak dia. Eeii... geramnya! Kalau Shahrul ada depan mata sekarang ni, aku cubit pipi dia.

Dia ketawa dalam hati. Berangan saja bolehlah. Seronok pula hatinya walaupun Shahrul kata dia merajuk. Merajuk kan tandanya sayang. Lalu dia membalas mesej Shahrul itu.


Awak merajuklah. Merajuk lama-lama tau. Sebab awak merajuk ni macam comel aje. Macam sweet aje. Hehehe...


“Tengok minah tu. Mabuk kepayang.” Eja mencebir apabila menoleh ke belakang. Ayu jauh ditinggalkan. Ralit betul dengan telefon bimbitnya.

“Melantak-lantak dia dengan handphone. Kena sawan agaknya.” Mala mendengus. Penyakit Ayu makin parah. Dah tak boleh buat apa dah.

“Aku syak dia dengan Shahrul,” teka Eja.

“Aku pun rasa macam tu.”

Eja dan Mala masing-masing beriak waswas. Seperti ada sesuatu yang tak beres dalam hati mereka.

Dari jauh, Jeffry merenung senyuman Ayu itu. Senyuman yang sangat ketara membuktikan bahawa pemiliknya sedang bahagia. Ayu asyik memegang telefon bimbit saja. Sampaikan tak peduli orang sekeliling. Dan dia nampak riak wajah Mala dan Eja yang bagaikan tak ceria. Macam sesuatu telah menggugat kemesraan mereka bertiga. Entah... susah dia nak tafsirkan. Yang pasti hatinya terasa sakit. Dia mengetap bibir.

“Woi, Jeff! Apa hal termenung ni?” Atang berkerut memandang Jeffry. Mereka baru saja duduk di meja paling hujung di kafe itu. Tak sampai 10 minit. Entah apalah yang Jeffry menungkan.

“Jom balik!”

Atang terlopong. Jeffry ni putus saraf otak ke apa? Baru tadi mereka memesan makanan.

Jeffry sudah berdiri sambil menyandang begnya.

“Eh, kita baru order na...”

Jeffry buat muka keras lalu melangkah pergi.

Atang tercangak-cangak. Dia memandang sekeliling. Rasa bersalah pula kerana ada yang memandang. Kalau Burn dan Fauzi ada bersama tak apalah juga. Ni... dia cuma bersama Jeffry.

Haih... cari pasallah Jeff gila ni. Matilah kena keji dengan pelayan kafe tu nanti masa hantar pesanan mereka bila tengok mereka sudah tak ada. Dalam keadaan terpaksa dia bangun sambil muka terkemut-kemut, bimbang diri diperhatikan. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan, laju dia mengekori Jeffry ke tempat letak skuter.


Previous: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.