SEBULANtelah berlalu. Sejak dari hari dia pengsan di kedai itu,
Zafri langsung tidak menjejaki kakinya di kedai Zamir. Malu untuk bersua dengan
pekerja-pekerja di situ. Kenapalah dia pengsan setelah melihat darahnya
sendiri. Memang betul, sejak dia kenal dengan Dina, kejadian yang pelik-pelik
berlaku. Pertama, motornya dicalar. Kemudian, dahinya dijahit dan kini tuan
rumah pula datang membawa berita. Dia terpaksa keluar dari rumah yang disewanya
kerana anak tuan rumah mahu tinggal di situ. Dia diberi notis dua minggu. Gila!
Mana nak cari rumah sesingkat itu.
Puas dia bertanya
pada kawan-kawannya, akhirnya dengan bantuan Zamir, dia berjaya juga mendapat
rumah sewa yang baru di Taman Pantai. Walaupun agak jauh dari tempat kerjanya,
tapi buat sementara waktu dia terpaksa bersetuju.
Hari ini dia akan
mengangkut barang-barangnya. Nama sahaja dia bujang, tapi hampir satu lori juga
barang-barangnya. Memang dia suka membeli barang-barang kelengkapan rumah.
Setelah memberikan alamat kepada pemandu lori itu, Zafri bergerak sendiri
dengan menunggang motosikalnya. Keretanya dipandu Zamir.
“PENAT gila aku. Nasib baik ada mat-mat bangla ni. Kalau tidak,
jenuhlah nak angkat dengan susun barang-barang ni,” rungut Zafri. Badannya
direbahkan ke atas sofa.
Zamir begitu juga.
Demi sahabatnya, dia langsung tidak menjenguk ke kedai.
“Tak kisah ke kau
nak duduk sorang-sorang ni?” tanya Zamir.
“Lagi mahu tanya
ke? Pernah ke kau kenal dengan housemate
aku? Tak pernah kan? Aku ni memang jenis tak boleh nak duduk dengan oranglah. Lagipun,
kau kan tahu mak bapak aku kadang-kadang nak datang. Kalau aku sewa dengan
kawan-kawan, susahlah sikit.”
“Untunglah kau. Kiri
kanan rumah anak dara. Jemu belah sini, boleh jenguk belah sana. Aku pun boleh
tumpang sekaki.”
“Sekaki aje,
sebelah lagi kaki kau macam mana?”
“Sebelah lagi aku
kena tinggal kat rumah, jadi peneman bini aku.”
Zafri ketawa besar
mendengarnya.
“Itulah kau, cepat
sangat nak kahwin. Tengok macam aku ni, enjoy
aje. Ini tidak, awal-awal dah galak nak bernikah. Nak ke mana pun payah, kaki
kena tinggal sebelah.”
“Kau tak tahu
nikmatnya berumah tangga, Zaf. Balik rumah, sejuk hati tengok anak dengan bini.
Cuti-cuti, bawak anak bini pergi jalan. Bukan macam kau. Kau ni bila nak kahwin
Zaf? Tak puas lagi ke kau nak enjoy.”
“Kahwin tak ada
dalam kamus hidup aku. Buat sakit kepala aje. Macam ni senang. Kalau jemu, cari
lain. Kalau kahwin, dah jemu bukan boleh nak cari lain, cari bala bolehlah.”
“Sampai bilalah
kau nak guna prinsip macam ni? Kesian kat mak ayah kau, Zaf. Kempunanlah dia
orang nak timang cucu.”
“Itulah kau, nama
aje kawan aku. Apa kau ingat, kalau aku nak kahwin pun, mak ayah aku nak terima
ke dia orang ni? Susah tau nak jadi menantu Puan Suhaila. Silap hari bulan,
perang menantu mertua pula. Biarkanlah, bagi mak aku carilah senang. Perempuan
sekarang susah tau nak cari yang boleh buat bini,” terang Zafri.
“Jadi, kau nak
kahwin jugaklah. Tadi kau cakap tak ada dalam kamus hidup. Cakap berbelitlah
kau ni. Rasanya kalau jumpa ular dengan kau, baik aku ketuk kau dulu.”
“Iya ke? Aku ada
cakap macam tu ke tadi?” Zafri pura-pura bertanya.
“Buat-buat lupa
pula. Apa kau ada bela hantu raya ke? Kaulah yang cakap, siapa lagi,” marah
Zamir. Geram bila dipermain-mainkan Zafri.
“Jangan marah,
Mir. Siapa yang tak nak kahwin? Kucing tepi jalan pun, kalau boleh nak kahwin.
Inikan pula aku. Insan yang sempurna akal dan fizikal, tampan lagi bergaya.
Apalah kau tanya soalan macam tu.”
“Malas aku nak
layan kau. Ni, apa hal piza tak sampai-sampai lagi ni. Dah tahap kebulur aku
kat rumah kau ni,” rungut Zamir lagi. Perutnya yang tidak diisi dari pagi, mula
memainkan lagu keroncong.
“Sabar. Sabarlah,
Mir. Kejap lagi sampailah tu. First delivery piza kat Malaysia. Mana boleh
sampai lambat. Lagipun, tak sampai setengah jam. Kalau lebih setengah jam, kita
dapatlah piza percuma nanti. Jimat duit aku,” ujar Zafri sambil menjeling.
SELESAI makan, Zamir terus pulang ke rumah. Tinggallah Zafri
sendirian. Waktu semakin meningkat senja. Zafri masih lagi di pekarangan rumah,
meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Di melihat di sebelah kanan rumahnya.
“Hantu punya
Zamir. Dia cakap rumah anak dara sebelah ni. Anak dara apa, pondan rupanya,”
bisik Zafri sendiri.
Kebetulan penghuni
rumah sebelah itu keluar mengangkat pakaian di ampaian. Sekali tengok memang
tergoncang juga imannya melihat lenggok manja yang diperlihatkan. Sekali dia
berpaling, ambik kau. Halkum jelas kelihatan di leher. Tergesa-gesa Zafri masuk
ke dalam rumah. Pintu di kunci.
“Helo. Helo.” Ada
suara yang terjerit-jerit di luar rumahnya.
Zafri menjenguk ke
luar. Alahai, lelaki yang tak berapa nak menjadi itu tadi sedang memanggilnya.
Zafri mendiamkan diri, tetapi dia naik rimas bila yang memanggil tidak
henti-henti memanggil. Akhirnya dia keluar juga.
“Hai, baru pindah
ke?” tanya lelaki yang memakai legging
berwarna merah jambu. Bajunya agak sendat. Bauan harum menusuk hidungnya.
“Err, dah setahun
dah saya duduk sini,” jawab Zafri.
Apa punya soalan.
Dah sah-sahlah dia baru berpindah kat sini, lagi mahu tanya. Sambungnya dalam
hati. Yang bertanya tadi hanya ketawa, menampakkan barisan gigi yang putih.
“Lawaklah awak ni.
Nama saya Shasha. Awak?”
“Shasha? Ni nama
dalam kad pengenalan ke ni?” soal Zafri. Dia memang agak berbulu dengan spesies
yang dah macam jellyfish.
Shasha hanya
menjeling. Nampak sangat muka menyesal kerana cuba beramah mesra dengan jiran
barunya itu.
“Kenapa pula awak
nak tanya nama saya dalam kad pengenalan, nak buat bini ke?” tanya Shasha
selamba.
Zafri ketawa
mengekek. “Isy, awak ni, tahulah kita kat akhir zaman, janganlah sampai nak
kahwin sejenis pula, betul tak?”
Shasha sudah
menarik muka. Hajat hati yang ingin berkenalan, terbantut di situ.
“Okeylah, saya
banyak kerja. Bye.”
“Bye. Kalau senang kita sembang lagi,”
balas Zafri.
Selepas Shasha
masuk ke dalam rumah, Zafri masih lagi ketawa. Lucu rasanya bila melihat Shasha
yang baru dikenalinya merajuk.
“Shasha konon. Entah-entah
nama dia Suparjo. Dunia, dunia... Yang lelaki gila nak jadi perempuan, yang
perempuan gila nak jadi lelaki. Nasib baiklah aku ni normal. Kalau tak,
haruslah nama aku jadi Zafrina.” Zafri ketawa sendiri.
“ADA orang baru kat sebelah rumah kita ni, Maya.” Irdina
bersuara. Kepala dijengukkan ke luar tingkap.
“Haahlah. Siapa erk?
Kita suruh Anum siasat nak? Anum kan wartawan. Dia bab siasat-menyiasat ni
memang suka.”
“Agak-agaklah Maya.
Anum kalau siasat kes pembunuhan ke, kes pecah rumah ke, dia naklah, tapi takat
kes macam ni, nak ke dia?” ujar Maya sambil ketawa.
“Mungkin orang
baru kahwin kot. Biar aje. Esok kita tanya Kak Sha, dia mesti tahu punyalah,
dia kan reporter tak bertauliah,” sambung
Maya kemudiannya.
“Jadi ke awak nak
ke Sabah esok, Maya?”
“Apa pula tak jadi.
Terpaksalah awak. Saya ni junior, kenalah pergi. Awak pakailah kereta saya
sepanjang saya kat sana. Seminggu tu.”
“Emm... awak ni Maya, awak nak suruh saya kena saman ke?
Lesen pun tak ada. Nanti tak pasal-pasal makin kaya PDRM.”
“Itulah, dulu masa saya suruh awak ambil lesen, awak tak
nak? Kalau tak, bolehlah awak guna anak badak saya tu.”
“Tak apa, bulan
depan saya nak ambil lesen. Jangan susah hati, bukan takat anak badak awak,
anak pelanduk Anum pun saya boleh bawak nanti. Yang Anum ni kenapa tak
balik-balik lagi ni? Lambatnya hari ini dia balik.” Irdina merungut-rungut.
“Anum tu banyak kerjalah
tu. Malam ni awak nak masak apa Dina?
Malam ni giliran awak kan? Buat lupa ke?”
“Mana ada lupa. Malam
ni kita makan western food. chicken chop ala Dina.”
“Pandai ke?”
“Awak ni, Maya,
saya kan kerja kat kedai makan, hampir penuh dah ilmu masakan di dada ni. He...
He... He... Tapi kalau tak sedap, jangan marah erk.”
“Tak kira, nak
marah juga. Apa lagi, jomlah kita masak. Dah nak masuk pukul 8.00 malam dah ni.
Nanti Anum balik lapar pula.”
Irdina
menyinsingkan lengan bajunya. Semangat untuk masak malam ini berkobar-kobar.
Memang dia minat memasak. Ada sahaja resipi baru yang dicubanya.
Tugasan memasak
hanya dilaksanakannya dan Maya. Tugas Anum sebagai wartawan membataskannya daripada
memasak. Tetapi, jika ada kelapangan, Anum turut akan turun ke dapur.