Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
50,434
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

“PAGI.Dina dah masuk ke belum?” Zamir bertanya kepada Latha yang sibuk mengelap meja. Kedainya akan dibuka lagi setengah jam.

“Belum lagi, Encik Zamir,” jawab Latha.

“Emm, semalam Zaf ada datang sini?”

Alamak, ni mesti dia pergi mengadu kat bos. Apa punya mamatlah dia ni. Latha berbisik sendiri. Kepalanya dianggukkan.

“Habis tu? Memang betullah awak semua gelakkan dia? Lagi satu, betul Dina tahan motor dia lepas tu sound dia?”

“Err, tapi Encik Zamir, dia tu pun salah juga. Ada ke patut dia bagi upah Dina sebab ketawa. Apa dia ingat ketawa tu berbayar ke?”

“Betullah, tapi agak-agaklah kalau nak ketawa pun. Janganlah kat depan ni. Masuklah dalam pantri ke, dalam dapur ke. Gelaklah sampai malam tak apa. Ini tidak, depan pelanggan juga awak semua nak ketawa,” leter Zamir sambil menggelengkan kepala. Macam-macamlah kerenah pekerjanya ini.

“Ni lagi sorang. MCmemanjang,” leter Zamir lagi.

“Siapa yang MC, Encik Zamir?”

“Saiful. Tinggal Farok dengan Anita kat dapur tu. Awak jangan malas-malas pula Latha. Tolong-tolonglah bahagian dapur tu sekali. Jangan nak melangut aje kat depan ni kalau tak ada customer. Faham tak?”

“Err, Encik Zamir ni kenapa? Pagi-pagi lagi dah berleter. Tahulah saya,” marah Latha. Pantang sungguh dia mendengar leteran pagi-pagi ini.

“Cakap sikit, dah kata berleter. Okeylah, saya masuk bilik dulu. Nanti Dina datang, suruh dia masuk bilik saya.”

“Kalau dia tak datang?”

“Awak telefon dia, beritahu dia jangan datang terus. Suka hati aje nak datang ke tak nak datang.”

“Hisy, Encik Zamir ni, saya cakap kalau dia tak datang.”

Zamir tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh Latha. Kakinya terus melangkah masuk ke dalam pejabat. Banyak kerja yang perlu dia lakukan.

IRDINA masuk ke premis itu dengan muka yang merah padam. Geram betul dia dengan motor cabuknya itu. Dua tiga kali dia cuba menghidupkan enjinnya, masuk kali yang keempat, barulah boleh bergerak.

Tapi, tak sampai 10 minit, tiba-tiba motornya mati di pertengahan jalan. Jenuh dia cuba menghidupkan balik enjin. Tidak juga berjaya. Terpaksalah dia berpimpingan tangan dengan motornya itu. Pecah peluh dibuatnya. Sepanjang jalan, semua orang memerhati, tiada siapa pun yang sudi membantu. Mentang-mentanglah mukanya bukan iras-iras Erra Fazira.

Irdina melepaskan lelahnya, hampir 25 minit dia menapak bergandingan dengan motornya. Peluh menitis-nitis mengalir di muka. Muka yang sedia berminyak, bertambah-tambah minyaknya. Bila badannya merasa kedinginan pendingin hawa, barulah terasa sedikit kelegaan.

“Lambatnya kau, Dina. Setengah jam kau lambat tau.” Mimi selaku penyelia di situ menegur.

“Maaflah, Mimi. Aku menapak dari depan Maybank tu sampai sini, motor buat hal. Angin betullah aku.”

“Patutlah bau hangit kat sini,” kata Mimi sambil menutup hidungnya.

“Eh, ya ke?” tanya Irdina sambil mencium ketiaknya sendiri.

“Dahlah, kau mandi dulu ke, rehatlah dulu. Lepas ni masuk bilik Encik Zamir. Dia nak jumpa. Berkali-kali dia cari kau. Angin dia pun tak berapa nak baik tu, gaduh dengan bini kot.” Mimi mengingatkan teman sekerjanya.

Dina mengangguk. Dia masuk ke bilik rehat yang disediakan. Ada sofa empuk, sebuah televisyen dan juga radio di situ. Memang bosnya mementingkan keselesaan. Bukan sahaja untuk pelanggan, malah keselesaan pekerjanya juga.

Irdina menghampiri lokarnya. Dia membuka lokar, mengambil tuala dan juga baju seragam. Ada lima helai baju seragam untuknya. Dua helai sengaja dia tinggalkan di tempat kerja sebagai ganti jika bajunya terkena kekotoran. Dia menuju ke bilik air. Rasanya, dia ingin mandi untuk menghilangkan tengit badannya.

PINTUbilik diketuk perlahan. Zamir mendongakkan kepalanya. Dia membuat isyarat, membenarkan Irdina masuk. Pintu kaca itu dibuka perlahan.

“Lambat awak hari ini?” tegur Zamir sambil dia meneruskan kerjanya.

“Maaf, Encik Zamir,” jawab Irdina perlahan.

“Emm... tak sampai dua minggu, dah buat perangai ke? Awak jangan nak datang sesuka hati aje.” Kali ini Zamir meletakkan pen. Dia merenung ke arah Irdina dengan muka yang masam.

“Motor saya rosak, Encik Zamir. Saya terpaksa tolak sampai ke sini.”

“Kenapa tak naik bas aje. Memang hobi tolak motor ke?”

Dia ni gila ke apa, ada ke hobi tolak motor?bisik hati Irdina. Kepalanya digelengkan perlahan-lahan.

“Semalam apa cerita?” Zamir bertanya sebelum dia meletakkan pen di atas timbunan kertas di hadapannya.

“Cerita apa Encik Zamir?”

“Awak tanya saya? Saya dengar awak sampai tahan-tahan motor orang kenapa?”

“Oh, yang tu ke? Emm... dia tu dah tahap melampau. Apa dia ingat saya ni mata duitan ke apa? Dia ingat duit dia tu besar sangat, siap nak upah-upah orang suruh gelak pula.”

“Yang awak gelak kat depan-depan kaunter tu kenapa? Kalau nak gelak pun, agak-agaklah. Business kita bersangkutan dengan pelanggan. Hati pelanggan kena jaga. Bukan ikut suka hati kita aje. Faham. Lain kali saya tak nak dengar aduan daripada pelanggan lagi tentang awak. Awak nak kerja kan? Nak kerja buat cara nak kerja!” marah Zamir. Muka Irdina direnungnya.

Irdina menunduk. Nasib baik muka bosnya itu boleh dikategorikan hero idaman Malaya. Boleh layan kalau dia marah pun. Kalau muka macam tembok pecah, jangan harap Irdina akan membatu sebegitu. Silap-silap disemburnya balik.

“KENAPA bos panggil kau?” tanya Latha walaupun dia tahu sebab musababnya.

“Pasal mamat berlagak semalam tulah. Menyampah betul. Macam perempuan. Mengadu sana, mengadu sini. Hampeh!”

“Itulah, pagi-pagi tadi Encik Zamir dah bising-bising pasal kau. Sabarlah ya. Kau jangan simpan dalam hatilah. Encik Zamir memang macam tu. Dekat-dekat nak bayar gaji memang suka naik angin,” kata Mimi.

Irdina mengangguk. Sikit pun dia tidak marah pada Encik Zamir, tapi marahnya pada kawan Encik Zamir.

IRDINAmengelap meja yang ditinggalkan pelanggan. Latha sedang menunggunya di luar kedai. Waktu rehat selama satu jam ini digunakan olehnya untuk membaiki motornya. Mujur Latha mempunyai abang yang bekerja sebagai mekanik. Bolehlah melihat-lihat keuzuran motornya itu.

“Jom,” ajak Latha.

Irdina berjalan beriringan dengan Latha. Ada seorang lelaki India di sebelah motor Latha. Mungkin abangnya, duga Irdina dalam hati.

“Dina, ini abang aku, Raju.” Latha memperkenalkan abangnya kepada Latha.

Irdina melemparkan senyuman. Kemudian, dia menceritakan masalah motornya kepada Raju. Setelah mendengar penjelasan daripada Irdina, Raju mengeluarkan perkakasan yang diperlukan. Hampir 15 minit dia cuba memperbaiki motor buruk Irdina.

“Okey, sekarang dah okey. Tapi, lepas ni mungkin jadi lagi. Tukar motor baru ajelah Dina,” kata Raju. Kesian pula Irdina melihat wajah Raju yang berkilat.

“Memang nak tukar pun, tapi tak ada duit. Masalah apa sebenarnya motor saya ni Abang Raju?”

“Karburetor dia ada masalah. Buat sementara ni, okeylah kot,” jawab Raju.

Seperti adiknya, Raju juga fasih berbahasa Melayu. Sikit pun tiada pelatnya.

“Err, berapa semua ni?” Irdina berdoa agar upahnya janganlah mahal sangat. Duit yang ada dalam poketnya hanya RM50.

Raju melihat ke arah adiknya. Latha menggeleng.

“Tak payahlah.” Raju kemudiannya mengemaskan kembali barang-barangnya.

“Hisy, jangan macam ni Abang Raju. Seganlah saya.”

“Betul ni Dina, tak payah. Kebetulan Abang Raju lalu kat sini.”

“Betul ke ni?” tanya Irdina lagi.

Raju mengangguk.

“Tak apalah Dina. Dah abang aku kata tak payah tu, tak payahlah.” Latha menyampuk.

“Kalau macam tu, terima kasih Abang Raju, Latha.”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.