Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
50,435
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

“ASSALAMUALAIKUM.” Irdina member salam

“Waalaikumussalam. Boleh saya bantu,” jawab perempuan yang berwajah hitam manis.

“Saya sebenarnya nak cari orang.”

“Nak cari siapa tu cik?” tanya perempuan itu kembali.

Irdina serba salah dibuatnya. Mesti perempuan itu anggap dia gila. Yalah, patut ke cari orang di Jabatan Pendidikan.

“Err... saya nak cari cikgu lama saya.”

“Kenapa tak cari di sekolah lama saja.”

“Err... dia orang cakap cikgu tu dah pindah.”

“Emm... susah sikitlah cik. Sebab benda-benda macam ni privaci sikit.”

“Tapi kak, saya nak jumpa sangat dengan dia, kak,” rayu Irdina. Berharap sangat agar perempuan itu dapat membantunya.

“Minta maaf, cik. Rasanya baik cik ke sekolah lama dan bertanya di mana dia ditukarkan. Kalau boleh cek kat sini pun, belum tentu lagi ada. Sebab ni untuk Wilayah Persekutuan aje. Mungkin cikgu yang adik cari tu bertugas di negeri lain. Jadi, akak boleh syorkan agar adik cari dulu dia di sekolah lama kalau dah bertukar cari kat sekolah baru.”

Irdina mengangguk. Hatinya hampa. Dia sudah tidak tahu di mana hendah mencari emaknya. Mungkin benar kata sahabatnya, emaknya sudah bertukar ke Negeri Sembilan selepas bercerai dengan arwah ayahnya.

IRDINA tersenyum ketika menerima sekeping cek yang bernilai RM950. Hasil sebulan dia bekerja. Kadang-kadang sampai malam kerana kerja lebih masa. Gaji bersih setelah ditolak KWSP dan sebagainya.

Bulan pertama ini, dia dibayar menggunakan cek. Bulan kedua dan seterusnya, barulah gajinya akan terus masuk ke akaun simpanannya. Rasanya, dia sesuai bekerja di Kopitiam ini. Tidak bosan. Hari-hari ada sahaja kerenah pelanggan yang mencuit hatinya.

Kalau dulu, dia cepat melatah bila ada pelanggan yang sikapnya mengalahkan orang tua. Cerewetnya entah apa-apa. Tapi sekarang, semua kerenah pelanggan dihadapi dengan tenang. Kalau geram, dia hanya menyumpah dalam hati sambil mengukir senyuman yang manis.

Irdina melihat kalender di bilik rehat. Esok ialah hari cutinya. Cuti mingguan. Dia bercadang untuk keluar pergi membeli-belah. Membeli barang keperluannya.

“Kau belek apa tu?” tanya Mimi. Pintu bilik rehat itu ditutup perlahan. Badannya direnggangkan.

“Tak ada apalah. Tengok kalendar ni. Emm... esok cuti, ingat nak pergi membeli lepas tu blah. Nama pun membeli-belah kan?”

“Yalah tu. Dapat gaji dah ke?”

“Dah, itu yang nak pergi habiskan duit. Nak bagi tauke-tauke kedai bertambah kaya. Aku rela tak makan, janji dapat menjana pendapatan dia orang.”

“Banyaklah kau punya menjana pendapatan. Cek kau dah boleh tunaikan ke?”

“Ya jugak kan. Cuba kau tengok, agak-agak berapa hari boleh tunai cek ni? Kalau lepas tiga hari baru boleh tunai, tak ada maknanyalah aku bercuti esok,” kata Irdina sambil menghulurkan cek yang diterimanya tadi kepada Mimi.

Bukan dia tidak tahu ceknya adalah cek tunai. Tetapi sengaja dia bertanya. Alahai, tipu sunat. Buat-buat bodoh sahaja. Kadang-kadang tak boleh nak tunjuk pandai juga.

“Ini cek tunai. Kalau cek berpalang memang kena bank in dulu. Cek ni, kau pergi aje kat kaunter, bagi kad pengenalan, lepas tu dapatlah duit. Kalau kau tengok ada palang kat sini, maknanya ni cek palang. Kau kena bank in, kemudian tunggulah tiga hari. Baru boleh clear kau punya cek,” terang Mimi sambil membelek cek itu. Senyuman di bibir semakin melebar.

“Terima kasih ya Mimi. Aku ni kalau bab-bab cek, memang butalah. Tapi, kalau bab pergi shooping, memang cekap.”

Mimi ketawa mendengarnya. Rasanya kalau bab membeli-belah tu, bukan hanya Irdina, hampir kebanyakan perempuan kat dunia ni memang arif.

IRDINA menunggang motosikalnya dengan perlahan. Makan hati juga bila motornya dipotong laju. Meninggalkan dia terkemut-kemut di belakang.

“Tak apa, Dina, tak apa. Ini hari dia orang. Tengoklah aku dapat tangkap LC sebiji, makan asaplah orang KL ni.” Irdina memujuk hatinya.

Bila difikirkan balik, memang tak layak pun dia membeli motor idamannya itu. Simpanannya baru menjengah tiga ribu ringgit. Harga motor pujaan hatinya itu, mencecah tujuh ribu ringgit.

Irdina sampai juga di Sogo. Dia mahu membeli sehelai baju. Selalunya, di Sogo terdapat jualan murah. Disamping itu, bolehlah juga dia melihat-lihat barangan keperluannya. Manalah tahu kalau-kalau ada potongan harga. Biasalah, duit ada, boleh dia merasa membeli-belah di tempat ini. Kalau tidak, jangan haraplah. Balik-balik kedai runcit Pak Dollah yang menjadi pilihan hatinya.

Setelah meletakkan ‘tenuknya’, gelaran yang diberikan kepada motor cabuknya, di kawasan yang dikhaskan. Dia masuk dan mula menjalankan operasi mencari barang-barang keperluannya.

Hampir setengah jam jugalah dia mencanak-canak, berpusing-pusing mencari barang keperluan. Sudahnya dia hanya membeli sebungkus makanan ringan. Apa pun tidak dibelinya. Nampaknya nasibnya kurang baik, tiada jualan murah di Sogo kali ini. Bila dia membuat perbandingan harga, ternyata di sini agak mahal. Walaupun mahalnya hanya seposen dua, tapi itu duit juga. Bukan kedekut, tapi berjimat.

“Nampaknya ke kedai Pak Dolah ajelah,” kata Irdina dalam hati.

Irdina melihat motor besar yang ada di sebelahnya. Rasanya macam dia kenal motor itu. Dia tersenyum sumbing. Dia tahu itu motor siapa. Dia yakin itu motor Zaf. Entah apa ke nama betul jejaka berlagak itu pun dia tidak tahu. Yang dia tahu, namanya Zaf. Mungkin Razaf, Kazaf atau mungkin sahaja Zafar.

Nak berlagak, panggillah Zaf. Nampak moden sikit. Kalau betul nama dia Zafar, patut-patut di panggil Por sahaja kalau di kampungnya.

Kalau motor orang lain, macam mana? Fikir Irdina sendiri.

Irdina membelek-belek motor itu. Entah kenapa, hatinya begitu yakin yang itu motor jejaka berlagak hanDdsome itu.

“Nasiblah,” katanya dalam hati. Dia menulis nombor plat motor itu di dalam buku catatannya. Mana tahu itu bukan motor Zaf, bolehlah dia minta maaf andai terjumpa lagi dengan motor itu.

Irdina mengeluarkan pengepit kukunya. Pengikir kuku yang ada bersama-sama dengan pengepit itu dikeluarkan sambil matanya liar memandang sekeliling.

“Mengada sangat, mengadu kat bos aku. Ambik kau,” kata Irdina sambil tangannya dengan pantas mencalarkan sisi tangki minyak motor itu. Berdesir-desir bunyinya.

Hampir lima minit dia membuat ukiran kreatif di situ. Bila sudah puas hati, dia meneruskan perjalanannya seperti biasa. Dan berharap agar motor itu benar-benar milik Zaf.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.