Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
50,432
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

IRDINA hanya memandang dari jauh. Takut untuk bersemuka dengan Zafri walaupun dia tahu Zafri bukan tahu pun apa yang dibuatnya semalam. Tapi, bak kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah. Dan kali ini dia takut. Takut andai kata Zafri tahu apa yang dilakukannya.

Ada pelanggan membunyikan loceng di meja. Meja yang bernombor 19, bersebelahan dengan meja yang sedang diduduki Zafri dan Zamir.

Irdina terpaksa mengambil pesanan di meja itu memandangkan Mimi dan yang lain-lain sedang sibuk. Dia berjalan menuju ke meja dan hanya melihat Zafri dengan ekor matanya sahaja.

Pesanan diambil dengan perasaan yang berdebar. Agaknya orang bersalah macam nilah kot, katanya sendiri dalam hati.

Zafri seolah-olah tidak menghiraukannya. Sikap Zafri itu membuatkan Irdina sedikit kelegaan. Biarpun tidak sepenuhnya. Mungkin Zafri sudah melupakan apa yang telah berlaku antara mereka. Mungkin juga Zafri langsung tidak mengingati apa yang berlaku. Maklumlah, dia bukannya ratu kebaya untuk membuatkan semua lelaki mengingatinya.

Selesai Irdina mengambil pesanan di meja itu, dia memalingkan mukanya. Ketika ini matanya betul-betul menatap wajah Zafri.

“La, ada lagi ke minah ni?” tanya Zafri kepada Zamir.

Zamir mendiamkan diri. Berpura-pura tidak mendengar dengan apa yang dikatakan oleh Zafri.

Minah, dia panggil aku. Siot betullah. Aku ingatkan dah lupa ingatan tadi. Irdina merungut sendiri dalam hati. Sangkaannya meleset. Zafri masih ingat pada pertemuan mereka yang ‘romantis’ itu. Tetapi, dia tidak perasaan akan kehadirannya.

“Kau ni Mir, aku dah beritahu kau, lama-lama lingkup kedai kau kalau simpan dia lagi. Bawak bala ni,” sindir Zafri lagi. Entah kenapa, dia memang sakit hati betul menghadap muka Irdina. Nama sahaja perempuan, tetapi biadab.

“Apa yang kau merepek ni Zaf? Kau makan ajelah.”

“Aku bukan tak nak makan, tapi dah hilang selera aku tengok muka minah ni,” jawab Zafri. Suaranya sengaja dikuatkan supaya didengari Irdina.

Irdina menjeling. Mukanya yang putih kemerah-merahan itu bertambah-tambah merah.

Zamir memberikan isyarat kepada Irdina supaya tidak mengendahkan kata-kata Zafri.

“Kau ni kenapa Zaf, yang tak puas hati sangat dengan Dina tu? Bukan besar mana pun salah dia.” Zamir berkata sejurus selepas Irdina berlalu pergi.

“Tak besar kau cakap. Wei, dia gelak-gelak kat aku. Lepas tu bagi balik duit baki kat aku. Apa dia ingat duit aku tak laku ke? Berlagak sangat.”

“Kau ni perasan sungguh. Mana kau tahu dia gelakkan kau. Mungkin dia gelak kat orang lain kot. Pasal duit baki tu, okey apa dia pulangkan balik. Kau ni pun satu, kalau kau tak cakap baki tu untuk upahkan dia gelakkan kau, dia ambillah. Ini tak, kau cakap macam tu. Bukan hanya dia, kalau aku pun aku bagi balik.”

“Aku tahu dia gelakkan aku. Kau ni, siapa kawan kau sebenarnya ni?” marah Zafri bila dia merasakan yang Zamir tidak menyebelahinya.

“Aku tak belah siapa-siapa, tapi kau ni pun satu, agak-agaklah... kawan tu tak buat apa pun kat kau. Bukan dia ketuk kepala kau pun.”

“Entahlah. Aku menyampah tengok muka dia. Isy, tak tahu nak cerita. Aku tengok muka dia macam cipan pun ada.”

“Apalah kau Zaf. Peliklah, gasak kaulah. Kau jangan lebih-lebih dahlah. Dia kerja kat sini. Dia nak cari makan kat sini. Kau jangan buat hal pula. Yang lepas-lepas tu lepaslah.”

Zafri mendiamkan diri mendengarnya. Tetapi dia tercabar bila gadis itu memulangkan duit kepadanya, siap dengan kata nasihat lagi. Itu yang dia tidak tahan.

Irdina memuncungkan mulutnya. Nasib baik ada Zamir. Kalau tidak, pasti sudah disemburnya Zafri. Tergamak Zafri cakap hilang selera makan sebab melihat wajahnya. Dia sempat menjeling ke cermin, melihat sendiri wajahnya. Nampak cantik sahaja di matanya. Ada mata, ada hidung. Dia melihat sekali lagi. Alamak! Hidung berlubang, hatinya gundah. Kemudian bila di melihat Mimi di hadapannya, hidungnya juga berlubang. Dia melepaskan nafasnya perlahan.

Disebabkan Zafri, hampir dia tidak berfikir secara waras. Air yang dipesan oleh pelanggan sudah siap. Dia mengambilnya. Kakinya melangkah dengan perlahan, tetapi otaknya ligat memikirkan kata-kata daripada Zafri tadi. Betul-betul membuatkan hatinya sebal dan marah.

“Eh, motor kau dah siap ke?” tanya Zamir.

Sebolehnya dia mahu Zafri tidak mempedulikan perihal Irdina. Dia tahu Zafri mudah sangat terpengaruh kalau berkaitan dengan motornya.

“Dah. Ni lagi satu kalau aku tahu siapa yang buat mural kat motor aku tu. Memang aku tangan-tangan kan jugak tangan dia. Kurang ajar. Banyak tau duit aku habis sebab nak pergi airbrush motor tu. Dia ingat pakai air liur? Aku kalau dia nak calarkan tangan aku pun tak apa lagi, jangan calarkan motor aku,” leter Zafri. Suaranya sengaja dikuatkan.

Irdina yang terdengar akan perbualan antara Zafri dan Zamir itu menjadi serba tidak kena. Rupanya memang sah jangkaannya. Memang motor yang dicalarkannya milik Zafri. Dia cuba untuk kelihatan tenang. Dia membawa dulang itu dengan mata yang dipandang ke hadapan ketika menghampiri belakang Zafri. Takut dia hendak menghadap muka Zafri. Mungkin memang begini jika dihambat dengan rasa bersalah. Benar kata orang, berani kerana benar dan takut kerana salah

.Entah macam mana, kakinya tersadung di bangku. Minuman yang sedang dibawanya di atas dulang, terus sahaja menuju ke arah muka Zafri yang ketika itu betul-betul sedang berpaling ke arahnya.

Gedebuk! Macam buah nangka Irdina dibuatnya. Habis berkecai gelas kaca yang dibawanya. Satu jatuh di hadapan dan satu lagi sempat singgah di muka Zafri sebelum jatuh ke lantai. Zafri mengecilkan matanya. Geram kepada Irdina bertambah lagi.

“Kau ni buta ke apa?” tengking Zafri.

Orang ramai mula memberi perhatian kepada mereka. Kebetulan pula tika itu waktu makan tengah hari.

Latha yang ada berhampiran menuju ke arah Irdina. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Irdina bangun.

“Maafkan saya encik,” ujar Irdina perlahan. Dia tidak menduga dia akan jatuh di hadapan Zafri.

“Maaf? Aku nak pergi kerja macam mana lepas ni?”

“Kau okey ke Dina?” tanya Latha.

Irdina mengangguk. Malunya semakin terasa bila mendengar suara Zafri yang sudah macam halilintar itu.

Zamir menghampiri Irdina yang sudah pun bangun. “Awak okey ke ni?” tanya Zamir.

“Okey, Encik Zamir.”

“Lain kali hati-hatilah. Awak ni...” ujar Zamir sambil menggeleng.

“Wei, kau boleh tanya dia, Mir? Patutnya kau tanya aku. Aku ni pelanggan kau!” marah Zafri.

“Kau ke dia yang jatuh ni?” soal Zamir kepada Zafri.

“Memang dia yang jatuh, tapi aku yang kena. Kau tengok ni, habis basuh baju aku. Muka aku ni, tak pasal-pasal jadi mangsa keadaan. Sakit tahu kena gelas ni,” kata Zafri lagi.

“Encik Zaf... ke... ke... kepala Encik Zaf...” ujar Latha tergagap-gagap.

“Kenapa dengan kepala aku? Aku bukan biol lagi. Takat kena gelas macam tu, takkan biol kot,” ujar Zafri. Kali ini suaranya sedikit meninggi.

Irdina menelan liur ketika melihat dahi Zafri.

Mampus aku.Hanya itu detik hati Irdina.

“Ya ALLAH, Zaf... dahi kau berdarah,” ujar Zamir separuh menjerit.

Zafri meraba dahinya. Memang dia terasa ada cecacir di dahinya. Disangkakan hanya air yang tertumpah tadi. Zafri melihat cecair yang ada di tangannya.

“Darah?”

Itu kata-kata terakhir Zafri sebelum dia jatuh pengsan. Kali ini Zafri pula yang menjadi tumpuan. Zamir mengarahkan Mimi supaya menelefon 911. Irdina menelan air liurnya lagi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.