Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
232,300
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 14
BAB 14
“Lesen pun takde, ada hati nak Cik Vios kita pula. Saya pun macam awak juga. Saja nak jalan-jalan, luaskan pandangan. Boleh gak release tension kan.”

Mel mati kata. Sudahnya dia diam seribu bahasa. Nak berkata, takut tersilap bicara. Nak diam semata, di takuti syak wasangka meligas pula dalam hati mamat cengcong ni. Arghh!! Mel buntu. Matanya terpejam. Mulut mula terkumat-kamit, membebel tak tentu hala. Dalam fikirannya hanya dua perkataan yang tertera, cepatlah sampai...cepatlah sampai...

“Awak ni menurun ke apa? Terkumat-kamit tak henti-henti dari tadi. Kalau comel takpe juga. Ini dah macam tok bomoh naik syeh aje rupanya!”

Mel kerut dahi. Aishh!! Sedap mulut aje kutuk orang. Macamlah dia tu comel sangat. “Bukan menurun, tuan. Saya tengah baca doa tolak bala. Manalah tahu kot-kot kejap lagi ada malapetaka nak melanda ke, sempatlah nak elak sebelum bala tu sampai. Sebab tak sempat bacalah tadi yang terserempak dengan bala ni.”

Opps!! Mel pekup mulut. Macam manalah boleh tersasul pula ni?

Buntang biji mata Arish mendengarnya. “Bala? Siapa yang jadi bala bagi awak ni? Saya ke?”

“STESEN TERMINAL BANDAR SELATAN. PERTUKARAN KE ERL DAN KTM KOMUTER.”

Fuh!! Selamat! Soalan Arish di biarkan tergantung. Pantas Mel bangkit dan menyerbu ke pintu. Sebaik pintu tren terbuka Mel terus meloloskan diri. Dalam sekelip mata kelibatnya hilang dari pandangan Arish.

“Kurang asam keping betul minah ni! Siaplah kau kalau aku jumpa kau nanti,” sungut Arish.

Setelah puas bersesak-sesak tangga eskalator berjaya juga di jejakinya. Sempat lagi Mel tertinjau-tinjau ke belakang. Takut-takut kalau kelibat Arish tiba-tiba menjelma di belakangnya. Mahu terhenti degupan jantungnya yang kian rancak menari. Lega menerpa di jiwa apabila sesusuk tubuh yang di geruni tidak muncul-muncul. Barulah langkahnya di perlahankan menuju ke lorong keluar stesen STAR LRT ini. Setelah kad Touch ‘n’ Go di imbas ke mesin pengimbas, teragak-agak Mel melangkah keluar. Matanya segera meliar ke arah papan tanda yang tergantung beberapa jengkal dari aras kepalanya.

Terminal Bersepadu Selatan a.k.a TBS. Senyuman tersendeng di bibir tatkala perkataan ini tertera di papan tanda tersebut. Maknanya dia berada di haluan yang betul. Kakinya terus melangkah ke atas jejantas yang menghubungkan antara stesen STAR LRT dan TBS. Ratusan malah mungkin ribuan manusia kian membanjiri stesen bas kelas pertama yang paling canggih di Malaysia ini.

Menganga mulut Mel tatkala melihat kaunter-kaunter jualan tiket bas yang saling tidak ubah macam kaunter check in di lapangan terbang KLIA 2. Wow! Bolehlah berangan sekejap ala-ala nak terbang ke Jamaica walaupun destinasi hakikinya hanyalah Johor Bharu. Terus sahaja Mel melangkah ke arah kaunter Transnasional. Seorang gadis manis berkerudung jingga tersenyum manis ke arahnya.

“Ya cik. Nak beli tiket bas ke? Destinasi cik?”

Kala ini fikirannya tiba-tiba blur. Ragu-ragu mula bertingkah masuk ke minda. Benarkah apa yang sedang di buatnya ini? Ah, redah sajalah.

“Saya nak satu tiket ke Johor Bharu, boleh? Berapa ringgit? Pukul berapa basnya? Selalunya bas tu cepat ke lambat sampainya? Agak-agak dalam berapa jam perjalanannya ya?”

Bertubi-tubi tebakan Mel. Dah macam peluru berpandu sesat yang menerobos tanpa henti. Namun gadis itu tenang-tenang sahaja. Barangkali sudah terbiasa dengan situasi seperti ini. Pengalaman bertemu dan berjumpa dengan orang ramai setiap hari ternyata di manfaatkan dengan baik.

“Boleh, cik. Tunggu kejap, ya. Biar saya tengok dulu,” ujar gadis itu. Jemarinya mula rancak menari atas papan kekunci.

“Hari ni ada trip ke Terminal Larkin pukul 11.00 malam ni. Perjalanan biasanya memakan masa lima ke enam jam. Harga tiket termasuk surcaj RM 34.30 aje. Macam mana? Cik nak ke tak nak?”

Mel menggaru-garu kepalanya. Mak aih! Mahalnya! Celahan dompet yang kempis di selak. Hmm…ada empat keping aje not sepuluh ringgit. Lepas bayar tambang, ada baki lebih kurang RM 5.70 aje. Perutnya dah mula mengalunkan irama keroncong. Barulah dia teringat, sejak dari pagi tadi dia belum menjamah apa-apa lagi. Macam mana ni?

Dengan tangan yang terketar-ketar, empat keping not sepuluh ringgit di keluarkan dari dompet seraya di hulurkan pada gadis itu. “Bolehlah. Tapi bagi saya tempat duduk kat sebelah tingkap, ya.”

Gadis tersebut sekadar menggangguk sambil tersenyum. Tidak berapa lama selepas itu sekeping tiket berserta wang baki sudah berada dalam genggaman Mel. Mel berlalu pergi sambil akalnya mula mencongak-congak. Nak solat, kebetulan dia dalam zon bendera merah. Perut yang kian menggila mengheret kakinya ke arah food court yang terletak di aras dua.

Gulp! Terkebil-kebil biji matanya tatkala melihat harga makanan yang terpampang di papan tanda. Teratai Food Court. Nama sikit punya kampung tapi harga makanan ala-ala food court kat KLCC tu. Yang paling tak menahan, harga sepinggan nasi ayam pun dah cecah RM 5.50. Belum masuk harga air lagi. Nampaknya tak ada rezekilah dia nak menjamah makanan kat situ.

Ilai tawa halus yang menyerkup ke telinga terus sahaja membuatkan Mel berpaling ke arah kaunter kupon yang terletak betul-betul bersebelahan dengannya. “Cik adik, kalau setakat renung aje papan tanda tu, bukannya boleh keluar makanan dari situ. Beli kad kupon ni dulu hah, barulah boleh beli makanan tu.”

Dua orang jejaka sedang tersengih-sengih ke arahnya bagaikan kerang busuk. Sakit pula hati Mel melihatnya. Sengal!

“Yelah! Nak beli kuponlah ni. Ingat takde duit ke?” sungut Mel. Duit yang tergenggam kemas dalam tangan terus sahaja di suakan pada salah seorang dari jejaka tersebut. Kupon dalam bentuk sekeping kad di leretkan pada mesin juruwang sebelum di serahkan pada Mel. Belum sempat kad kupon itu berada dalam tangan Mel ianya sudah di regut dengan kasar dari belakang. Seraut wajah yang tidak di ingini kehadirannya sudah tercegat di hadapan mata.

“Bala, kan? Ini bala awak sudah sampai. Bestnya ada orang nak belanja kita makan!”

Sempat lagi Arish menayang-nayang kad kupon itu di hadapan mata Mel sebelum kakinya terus sahaja di tala ke arah gerai ‘Sizzling & Claypot.’ Mel mengetap bibirnya kuat-kuat. Argh!!! Mamat cengcong ni lagi!

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.