Nama aku Hud. Hud bin Salleh, nama yang selalu aku bangga-banggakan.
Ya, namaku persis seorang nabi. Sampaikan lagu popular yang selalu
didendangkan di radio pun ada menggunakan nama aku. Sampai sekarang
rangkap lagu ‘Tanya sama itu Hud-hud’ nyanyian M.Nasir masih
melekat di ruang ingatan. Nama burung pun ada gunakan namaku tau,
burung hud-hud. Jangan main-main! Kata ibu, nama ini pemberian arwah
nenekku. Nama yang harus kupelihara kesuciannya, jangan sampai
tercemar. Nama yang suci, nama yang indah. Hanya ada tiga hurufnya,
jadi senanglah kalau aku perlu mengisi borang. Tak luak dakwat pen
kilometrico yang selalu aku gunakan.
Impianku ada enam. Yang pertama sekali, memandangkan aku anak Salleh,
aku sememangnya mahu cuba menjadi anak yang soleh dan taat untuk
kedua-dua orang tuaku. Orang tua yang aku maksudkan adalah abah dan
emak yang membesarkan aku dari kecil. Bukan mereka yang hanya
memegang gelaran ayah dan ibu tetapi tak pandai menjalankan kewajipan
sebagai orang tua. Lelaki yang paling aku hormati adalah Sulaiman.
Bagi versi perempuan pula, pastilah ibu kesayanganku, Sarimah.
Yang kedua, aku mahu menamatkan pengajian ijazahku dengan cemerlang.
Zaman sekarang kalau tak ada kelayakan yang secukupnya, susah untuk
aku mendapatkan pekerjaan yang baik. Bukan aku tamak sangat dengan
duit ringgit. Cuma sekurang-kurangnya aku mahu pekerjaan yang
membolehkan aku menyara keluarga. Aku tak mahu abah dan emak bekerja
sampai ke usia senja. Aku ini anak lelaki sulung. Aku mahu melindungi
dan menyara keluarga aku, menjalankan kewajipan aku sebagai anak
dengan sebaik-baiknya.
Yang ketiga, aku mahu jadi orang besar dan berkuasa di SMouse Sdn
Bhd, syarikat teknologi yang sedang melonjak-lonjak naik harga
sahamnya. Aku mahu abah dan emak mendabik dada di depan dunia,
berbangga dengan pencapaianku. Bagi mereka yang memandang rendah pada
kemampuanku selama ini, pastikan kamu semua tunggu dan lihat
kejayaanku nanti. Aku akan buktikan pada dunia yang Hud bin Salleh
mampu berjaya seperti anak-anak muda yang lain.
Keempat, aku mahu memiliki rumah yang mempunyai laman. Almaklumlah,
aku dilahirkan dan dibesarkan di rumah flat yang sempit, tidak
berlaman untuk berbakti pada tanah. Tiap hari, aku disuruh tidur di
ruang tamu, atas tikar mengkuang yang sudah berlubang. Perit rasa
kulitku digigit si tiruk-tiruk betina lahap. Jangan katakan tiruk,
kekadang aedes pun suka merayau-merayau dalam rumah aku. Kalau bukan
kerana lingkaran fumakila, agaknya sudah lama aku dijangkiti denggi.
Di tangga ke lima adalah aku mahu menjadi seorang penternak yang
berjaya. Memang mudah kalau setakat nak jadi seperti adik kecilku,
Ghafur yang menjadi penternak ikan gapi yang ditangkapnya dari
longkang. Tetapi, aku mahu menternak sesuatu yang boleh memberikan
hasil. Kalau boleh, aku mahu menjadi penternak lembu. Almaklumlah,
harga lembu sekarang melambung-lambung tinggi sampaikan orang-orang
yang nak buat kenduri pun pening kepala dengan kos membeli daging.
Aku suka tengok lembu melata di tanah lapang, meragut rumput-rumput
hijau sambil menikmati angin petang yang damai. Aku yakin itu akan
memberikan aku ketenangan tiap kali aku mahu lari dari hiruk-pikuk
kota.
Yang terakhir tapi tak kurang pentingnya, aku mahu nikahi anak Mak
cik Bedah yang duduk di groundfloor flat yang aku diami sekarang. Nur
Mahani namanya. Suaranya lembut, cantik tutur bahasanya. Orangnya pun
manis, bukannya garang macam si Kiah, anak majikan abah. Kalau aku
dapat Mahani, aku rasa akulah manusia yang paling beruntung dalam
dunia ini. Pasti semua lelaki di luar sana akan mencemburuiku. Ah,
bangganya! Cetus hati kecil Hud.
“Hud! Hoi, Hud! Kau berangan apa tu, hah?!” panggil Sarimah
sambil menampar belakang Hud yang sedang duduk mencangkung di atas
koridor kerdil rumahnya, tersengih-sengih seorang diri.
“MasyaAllah, mak ni! Terkejut saya. Orang nak berkhayal kejap pun
tak boleh,” keluh Hud sambil menanggalkan kopiah atas kepalanya.
Ubun-ubunnya yang gatal digaru sekejap sebelum bangun menghadap
ibunya.
“Berkhayal macam orang tak betul. Tersengih sekejap. Tergelak
kejap. Jadi gila betul-betul baru tau,” usik Sarimah.
“Janganlah cakap macam tu. Apa yang mak cakap tu satu doa. Doa
seorang ibu kan afdal,” ujar Hud, takut-takut.
“Iyalah. Anak mak ni masih waras, bijak,” bicara Sarimah, menukar
kenyataannya tadi. “Eh, Hud, tadi kau kata nak balik tukar baju,
solat Maghrib kejap aje. Ni dah lepas Isyak, tak gerak-gerak lagi.
Nanti lambat pulak. Kau kan kena ambik si Cha..Cha..” bebel Sarimah
yang tak dapat disudahkan. Lidahnya seakan terbelit tiap kali dia
cuba menyebut nama panggilan anak kesayangan majikan suaminya.
“Panggil Kiah sudahlah mak. Itu kan nama dia,” balas Hud.
Langkahnya dihayunkan ke meja depan, mencari di mana letaknya kunci
kereta mewah Datuk Fuad yang dipakir di bawah sana.
“Hud, jangan suka ambil mudah amanah yang orang bagi. Nanti kalau
kena pecat kan susah. Nak bayar yuran program jarak jauh kau tu
bukannya murah. Mak dengan abah banyak keluar duit untuk si Dila
dengan Ghafur tu. Datuk Fuad gajikan kau pun dah kira cukup baik
tau,” nasihat Sarimah yang risaukan sikap Hud.
“Yelah, saya pergi sekarang ya, mak,” luah Hud sambil menyalami
dan mengucup tangan ibunya.
Tangan Sarimah yang sudah berkerut seribu itu sudah banyak menyumbang
jasa ke dalam hidupnya. Hud bersyukur kerana tangan itu yang
membesarkannya, mencurah kasih sayang yang nilainya tak terbanding
tujuh lautan bumi. Kasih sayang yang takkan mampu Hud bayar dengan
wang ringgit, dollar mahupun yen. Hanya kesetiaannya saja yang mampu
dihulurkan buat Sarimah di saat ini.
“Sayang, mak,” ucap Hud sambil mengucup pipi Sarimah sebelum
berlari anak ke muka pintu.
“Kunci dah ambik?” soal Sarimah pelik melihat tangan anaknya yang
kosong, tidak berisi dengan gugusan kunci yang tersangkut pada key
chain gambar parlimen yang dibawa pulangnya tadi.
“Saya letak atas tu tadi,” ujar Hud.
“Habis, mana perginya? Hilang?” soal Sarimah takut-takut.
“Mak, takkanlah mak tak faham lagi. Kalau dah kunci tu tak ada kat
atas meja, mestilah budak kecik tu dah ambik. Mesti dia tengah tidur
dalam kereta sambil pasang air-cond,” cetus Hud sambil menyarungkan
kasut ke kakinya. Dia menapak turun dari flat yang didiami
keluarganya. Sampai saja di bawah, dia terus melajukan langkah ke
kereta Datuk Fuad.