“Chanelle!” laung Erin sambil melagakan pipinya ke pipi Ruqqiyah
yang baru menunjukkan muka di lobi hotel.
“Hai, Erin!” sapa Ruqiyyah.
“Kenapa muka you ni, babe? Macam tension aje?” soal Erin ramah
sambil mengibas-ngibas muka Ruqqiyah yang berpeluh dengan tapak
tangannya. Anginnya tak sampai ke muka. Hanya lagaknya umpama
mencerna angin. Walhal tidak menyejukkan mahupun mendinginkan.
“Anak driver papa I tu! Menyampah! Tak tau nak hormat orang
langsung. Tak sedar diri tu makan gaji.”
“Anak driver ke? Handsomelah,” luah Erin nakal.
Mata Erin membulat tatkala melihat lelaki muda berkemeja batik yang
baru masuk ke dalam Mercedez Datuk Fuad. Elok parasnya. Manis pula
senyumnya, semanis Pink Lady Australia yang rapuh dikunyah biarpun
ada sekali tersisip sinisnya. Sinis yang barangkali hendak
dihadiahkan buat Ruqiyyah yang sedang berombak marah. Erin tersenyum.
“What! Hud tu handsome? Nak berasap telinga ni. Apa barang si Hud
tu? Sebelah mata pun I tak ingin nak pandang tau!” balas Ruqiyyah
angkuh.
“Eh, barang baik tu,” cetus Erin, tergoda.
“Eee…geli! Jangan cakap lagi macam tu depan aku. Nasib baik aku
tak muntah,” cetus Ruqiyyah.
Erin tersengih.
“Eh, nak ke mana pulak dia tu?!” soal Ruqiyyah terkejut sewaktu
melihat kereta yang dipandu Hud dipecut keluar dari perkarangan
hotel. Dia menggenggam hujung skirtnya, berkejaran ke anak tangga
hotel. Hangat hati seakan sudah berasap keluar dari segenap
rongganya, tidak tertahan dalam bengkung dada.
“Hud!” laungnya geram.
“Sabar, Chanelle. Tak ke mana tu. Agaknya dia cari tempat nak
parking kereta,” pujuk Erin sambil mengusap-ngusap belakang
Chanelle.
“Parking? Arahnya bukan kat situ. Tu jalan keluar! Dia saja aje nak
tinggal I. Kurang ajar! Nahas dia nanti!” luah Ruqiyyah
terkejerit-jerit sambil menghentakkan kakinya bebal. Geram segeram
geramnya. Nasib baik tak patah si tumit yang melekat pada kasut tiga
inchinya.
“I boleh drive you balik. Don’t worry. Lagipun, dengar kata, Reza
datang hari ni,” balas Erin.
Hati Chanelle yang tadi menggelegak panas kini sedingin salju kutub
utara. Dia tersengih lebar sambil membetulkan sanggul siput di atas
kepalanya. Kain labuh dressnya dilepaskan semula. Takut nanti hilang
indah rupa dek kerana marahnya pada Hud. Takut kalau Reza mencemuh di
dalam hati, melontar kasih pada gadis selainnya. Ah, dia mahu tampak
indah, manis dan berseri-seri di mata Reza. Biar tertambat mati hati
lelaki itu padanya.
“Reza datang? Aku tak tau pun,” cetus Chanelle sambil menguntum
senyum, mengharap yang teramat.
“Iya. Jomlah masuk. Kejap lagi sampailah tu. Dia kan memang suka
dinner kat hotel ni,” cetus Erin yang melakarkan senyum di bibir
Ruqiyyah.
Mereka melenggang bersama ke dalam, sebelum melabuhkan punggung atas
sofa baldu merah. Di sana mereka duduk bergelak-tawa, bergossip itu
dan ini sampaikan mereka terlupa tentang putaran waktu yang berlari
pantas meninggalkan mereka. Di situ jua tempat mencuci mata, mencari
kabel-kabel baru yang boleh membawa kesenangan yang berlipat kali
ganda.
“You tau Tengku Malik, CEO terkenal tu? Anak dia kahwin lari ke
Thailand tau. Dengan lelaki miskin. Eee…geli I dengar. Macam
manalah agaknya dia nak hidup dengan orang miskin,” cetus Erin
sambil ketawa mengkekek.
“Iya? Bodohnya. Agaknya makan pun tak cukup nanti. Nanti dah
beranak-pinak macam manalah agaknya,” balas Ruqqiyah pula.
“Chanelle Datuk Fuad,” tegur suatu suara. Lembut, membelai
gegendang telinganya sampaikan menyeluk ke pangkal hati.
Ruqqiyah mengangkat muka. Dibiarkan saja lelaki kacak kacukan
Arab-Melayu itu mengucup dan membelai tangannya. Wajahnya ditundukkan
sekejap, tersipu malu kononnya. Walhal itu bukan kali yang pertama.
Tangannya cepat-cepat ditarik semula sebelum ditempatkan atas peha.
“Bila you sampai Reza?” soal Ruqiyyah. Jauh bedanya dengan nada
suaranya tadi. Kali ini dia bersuara lembut, manja.
“Baru. You?” soal Reza sambil menginjak lebih dekat dengan
Ruqiyyah.
“Entah. Tapi, yang I tau, I ada sebab untuk duduk di sini lebih
lama,” ucap Ruqiyyah dalam nada yang menggoda.
Reza tersenyum. Tangan Ruqiyyah dikaut semula, digenggam kemas dalam
tangannya.
“I rindu you sangat-sangat, sayang,” ucap Reza. Pujian itu
bersinggah di bibir. Hatinya hanya menyepi, membiarkan asmara itu
hangat dalam sentuhan dalam belaian, bukan rasa yang akan kekal
sehingga ke mati.
“I pun,” balas Ruqiyyah.