Bab 1
Namaku
Chanelle. Glamour, bukan? Tetapi itu bukan nama sebenar. Nama
sebenarku jarang aku gunakan, hanya sekadar menjadi penghias kad
pengenalan. Jengkel nak kugunakan selalu. Sebutannya bagiku kuno,
terencat dalam dunia serba moden ini. Nama yang padaku tidak laris,
tidak masyuk kata orang. Aku lebih sukakan gelaran Chanelle.
Ruqiyyah
binti Fuad. Nama yang tercatit di dalam surat beranakku dengan terang
dan jelas, menggunakan font bosan yang tidak aku gemari. Nama itu
seakan dasar sebuah kolam dalam yang sengaja aku keruhkan airnya,
biar tidak terlihat di mata yang lain. Persetankan saja orang-orang
yang menyelarku sebagai gadis yang lupa daratan. Siapa mereka untuk
mempersoal kemahuanku? Apa hak mereka?
Pada pemerhatian kasar, aku serba sempurna. Cantik. Kaya. Kata
mereka, bahagia itu milikku. Tetapi, benarkah? Jawapannya, mestilah!
Asset papa nilainya berjuta, tak habis untuk aku berbelanja. Kalau
dah bosan di Malaysia. Aku ke Paris, ke New York. Papa tak pernah
marah. Kalau habis duit belanjaku, pasti akan dilambakkan dengan duit
yang baru. Papa tak pernah bertanya untuk apa. Soalannya hanya
berapa. Transaksinya laju dan angkanya sentiasa menyenangkan.
“Dah sampai,” ucap Hud malas sambil menekankan brek mendadak
membuatkan anak menteri yang duduk di ruangan belakang kereta yang
dipandunya hampir-hampir tercampak ke depan.
“Hud!”
jerit gadis berlipstik Mac warna merah pekat itu. Lamunan singkatnya
sekejap tadi termati sendiri dek kerana tindakan Hud.
Daun
pintu Mercedez dikuak perlahan. Kain Georgette Pedreriadress hitam
jenama Zara terselak sampai ke peha sewaktu si pemakaiannya melangkah
keluar. Berketak-ketuk heel Prada yang tersarung di kakinya berbunyi
tatkala ia menghentam lantai yang dialasi marble. Di tangannya,
terselit beg Guess rekaan terbaru dengan hiasan batu-batu yang
berkilauan di bawah cahaya lampu, menyilaukan mata Hud. Dia
cepat-cepat menolak daun pintu semula.
“Hud!”
laung Ruqiyyah Datuk Fuad sekali lagi, melepaskan amarah yang
memanggang jiwanya sehingga menjadi umpama sate rentung. Mana
tidaknya, laju benar tingkah Hud sampaikan hujung dressnya boleh
tersangkut pada pintu kereta yang sudah dikatup dulu. Nasib baik
bukan pehanya yang jadi habuan pintu kereta. Kalau tidak, pastu ada
tulangnya yang retak.
“Maaf…Saya
tak sengaja, cik,” luah Hud lambat-lambat, menahan geram yang
membuak-buak di dadanya.
Kalau ikutkan rasa hati mahu diterajang belakang Ruqiyyah sampai
gadis itu mencium lantai. Itulah tempat yang selayaknya untuk orang
sombong seperti Ruqiyyah. Biar padan dengan mukanya! Meluat rasa hati
dengan perangai Ruqiyyah yang mengada. Namun, otak waras Hud
menghalang ketelanjuran hatinya. Dia menarik semula daun pintu.
Ruqiyyah cepat-cepat menarik hujung dressnya yang sudah berkedut
sedikit akibat terkepit pada pintu kereta tadi.
Tanpa ucapan terima kasih, gadis tadi terus melangkah angkuh
meninggalkan Hud. Angkuh langkahnya. Dia langsung tidak menoleh,
memandang lelaki yang ditugaskan menghantarkan dia ke sana. Lagi
cepat kelibat lelaki itu menghilang, lagi tenang jiwanya.
“Cik Kiah!” laung Hud kuat, menarik perhatian beberapa orang
pekerja yang menanti di depan hotel.
Langkah Ruqiyyah menyenget secara tiba-tiba, terkejut dengan
panggilan lantang yang menikam ke gegendang telinganya.
“Cik Kiah!” laung Hud sekali lagi. Rasa seronok pula diperhatikan
berpasang-pasang mata di depan sana. Hud tahu Ruqiyyah malu dengan
namanya sendiri. Sebab itulah dia menggunakan gelaran Chanelle.
“Kau ni memang saja nak cari pasal!” keluh Ruqiyyah.
Terkocoh-kocoh Ruqiyyah berlari mendapatkan Hud semula. Nasib baik
dia tidak terjatuh dengan heels bertumit sehalus biji asam itu.
Terjegil marah kedua-dua belah matanya, terkejut dengan nama
dipanggil Hud.
“Hey, Hud! Dah berapa kali aku cakap, jangan panggil aku Kiah kat
luar ni. Panggil aku Chanelle…Cik Chanelle,” arah Ruqiyya marah.
“Ala, Cik Kiah ni!” sebut Hud lantang. Sengaja mahu mengetuk tiap
gegendang telinga di depan sana yang sejak tadi menjadi pemerhati.
Ada yang tersengih. Ada cuba menahan tawa sambil berbisik-bisik. Hati
Hud bernyanyi-nyanyi keriangan, seronok mengusik anak majikannya yang
memang kuat melenting. Padan muka kau, cetus hatinya. Nama Ruqiyyah,
nak suruh orang panggil Chanelle.
“Hud!” panggil Ruqiyyah, menegur tindakan Hud.
Dalam beratus arahan Ruqiyyah, barangkali hanya satu atau dua yang
akan didengar Hud. Lelaki itu memang degil. Tak sedar di mana letak
statusnya kalau nak dibandingkan dengan Ruqiyyah. Dia hanyalah lelaki
miskin, anak seorang pemandu. Atau lebih tepat di mata Ruqiyyah,
gelaran yang selayaknya untuk Hud adalah seorang pecacai.
“Ya, Cik Kiah?! Ada apa?” sahut Hud sambil tersengih mengalahkan
kerang busuk.
“Ish! Kau ni kan… Kau memang sengaja nak kenakan aku kan?
Tunggulah aku balik rumah nanti! Siap kau!” ugut Ruqqiyah sambil
melangkah laju, mahu cepat-cepat meninggalkan Hud.
“Cik Kiah, nak balik pukul berapa?!” laung Hud lagi, meraih
perhatian.
“Kau tunggu aje aku kat sini, Hud. Jangan nak ke mana-mana! Kalau
tak, aku beritahu mama!” ugut Ruqiyyah yang berhenti sekejap
sebelum menyambung langkahnya semula.