“Eh, Garpu! Bangunlah! Abang ketuk kepala tu baru tau! Menghabiskan
minyak aje!” marah Hud sebaik saja daun pintu dikuaknya.
Ghafur menyenget ke sebelah kiri sekejap, cuba lari dari jeritan Hud
yang kuat menyucuk telinga.
“Garpu!”. Hud menengking.
“Abang ni bisinglah,” rungut Ghafur.
“Hah, menjawab! Menjawab!” cetus Hud.
“Ala, bukan selalu saya dapat tidur pasang air-cond. Saya ni kan
kena duduki SPM tahun ni. Cubalah bagi galakan sikit. Ini tidak,
asyik nak marah aje,” balas Ghafur sambil menggosok matanya.
“Ah, galakan? Tak ada maknanya galakan sampai tidur dalam kereta
orang lain. Ni dah kira salah guna kuasa! Nasib baik abang tak kena
tangkap dengan BPR. Keluar! Keluar! Abang nak kena ambik si Kiah tu,”
cetus Hud dalam nada yang kasar meski hatinya berulit rasa kasihan
melihat Ghafur terkocoh-kocoh keluar bersama nota Kimia yang belum
habis ditelaahnya.
“Apa kena mengena dengan BPR pulak? Merepek betul abang ni,”
ngomel Ghafur perlahan.
“Garpu!” panggil Hud sewaktu melihat adiknya yang masih mamai
melangkah lambat-lambat ke bawah flat.
“Ada apa lagi, bang?” soal Ghafur, berpatah balik.
“Nah, ambik duit belanja esok. Jangan mintak kat mak. Mak kena
hantarkan duit untuk Kak Dila kau. Kau guna ajelah duit abang ni,”
luah Hud sambil menghulurkan beberapa not ringgit Malaysia kepada
adik bongsunya.
“Saya ada duit lagilah,” bohong Ghafur.
“Tak apa, ambiklah. Simpan buat belanja,” suruh Hud.
“Abang ada duit lebih ke? Nanti abang nak berbelanja macam mana?”
soal Ghafur.
“Ada. Pandai-pandailah abang nanti. Kau tu belajar rajin-rajin.
Score dalam semua subjek SPM Abang nak tengok kau berjaya. Soal duit
nanti abang usahakan,” luah Hud sambil menepuk bahu adiknya.
“Terima kasih, bang,” ucap Ghafur lemah.
Ghafur menggenggam duit di tangannya sambil menahan sebak. Dia tahu
senipis mana duit yang ada dalam wallet abangnya. Hud tak pernah
merungut walaupun sekali. Hud tak pernah menyalahkan takdir. Sejak
kecil, Hud rela berkorban demi adik-adiknya. Dibiarkan perutnya
merintih lapar, asalkan perut Ghafur dan Dila berisi. Dia rela
memakai baju berlubang asalkan adik-adiknya dibelikan baju baru. Tak
ada abang yang mampu dibandingkan dengan Hud di mata Ghafur.
“Mestilah. Ghafur kan best student!” ucap Ghafur angkuh sambil
cepat-cepat melangkah meninggalkan Hud, tak mahu abangnya mengesan
air mata yang bertakung dalam kolam matanya.
“Macam itulah adik abang! Belajar rajin-rajin!” laung Hud sambil
tersengih.
“Bisinglah, abang! Dah malam ni!” pekik Ghafur semula dalam nada
suara yang sedikit bergetar. Dia melarikan langkah laju, menaiki anak
tangga untuk ke atas. Air matanya yang tertumpah ke pipi disapu
dengan tapak tangan.
Hud tersenyum puas sambil melangkah masuk ke ruangan pemandu. Not
sepuluh ringgit dalam walletnya yang hanya bersisa sekeping
diperhatikan dengan senyuman. Tidak terbelit rasa kecewa di hatinya
biarpun terpaksa menempuh titian miskin hidup yang seakan tidak
berpenghujung. Selagi baktinya dirasakan berbaloi, selagi itulah ia
akan terus-menerus dilimpahkan. Harapnya, Dila dan Ghafur berjaya.
Kalau boleh, pencapaian mereka biarlah sampai melebihi pencapaiannya
sendiri.
“Ya Rabbi, Kau lindungilah adik-adikku. Limpahkanlah kurniaMu pada
mereka. Amin,” doa Hud sendiri. Dia menghidupkan enjin sebelum
membelokkan kereta ke jalan utama.