Home Novel Komedi/Romantik Komedi Panggil Aku Kiah
Panggil Aku Kiah
liza nur
1/3/2014 20:57:42
25,916
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 3a

Bab 3


“Eh, mabuk ke perempuan ni?” soal Hud terkejut sewaktu melihat Ruqiyyah melangkah senget-senget, menghampiri kereta yang dipakirnya di depan pintu gerbang hotel. “Apa pulak aku nak jawab kat papa dia nanti? Sejak bila dia belajar minum? Campak dalam laut baru tau,” bebelnya sendirian.

Setelah diperhatikan betul-betul barulah dia beroleh jawapannya. Ruqiyyah bukan mabuk arak. Sebaliknya mabuk asmara. Padanlah badannya menyenget, hendak bersandar pada Reza. Macam dah tak ada tulang belakang lagaknya. Si Reza pun satu, miang! Semua perempuan dikejarnya.

Hud cepat-cepat melangkah turun, membukakan pintu kereta belakang luas-luas buat anak majikannya.

“Dah nak balik, Cik Kiah?” soal Hud sambil tersengih lebar.

Bola mata Ruqiyyah terjegil lagi, memprotes nama yang Hud gunakan untuk memanggilnya. Nak dimarah, takut pula Reza akan terkejut dengan lagak garangnya. Dia menahan saja geram di dalam dada. Semakin lama dia bersama Hud, semakin dalam benci yang menjalar ke dalam hatinya. Mendengar suara Hud saja sudah boleh membuatkan dia marah.

“Reza, you hantar I sampai sini sajalah. I balik dulu ya,” ucap Ruqiyyah dalam nada yang manja.

Loya tekak Hud mendengarnya. Apatah lagi sewaktu melihat lenggok manja Ruqiyyah yang jelas kelihatan dari fabrik sendat di tubuhnya. Hud melontarkan pandangannya ke lain. Dia teringat bicaranya dengan teman sekolahnya dulu, sewaktu mereka sedang menjejak usia muda yang penuh kenakalan. Sewaktu mereka cuba mentafsir di mana letaknya keindahan seorang wanita.

Kata mereka, seksi seorang gadis timur bukan dengan pakaian sendat dan pendek yang cuba mencuri tumpuan mata. Seksi itu lebih jelas dilihat apabila gadis itu berbaju kurung, lembut melangkah. Seksi itu sewaktu angin lembut membelai tubuhnya, menampakkan gaya langkahnya yang penuh tertib, sopan. Seksi itu pada lunak suaranya ketika lembut berbahasa sambil senyuman manis menguntum di bibir. Itulah seksi di mata lelaki-lelaki seperti mereka. Seksi yang pasti jauh bedanya dengan definasi sekarang.

Mungkin mereka yang ketinggalan zaman ataupun budak-budak sekarang yang sudah terlalu moden. Ah, terserah pada pendapat masing-masing! Malas hendak Hud fikirkan sekarang. Memprotes apatah lagi. Nanti tak pasal-pasal kasut tumit Ruqiyyah melayang ke kepalanya.

“Tak nak I hantarkan?” soal Reza.

Hati Ruqiyyah melonjak gembira. Tetapi belum sempat dia menjawab, Hud berdehem dulu, cuba meraih perhatian.

“Cik Kiah, malam ni datuk balik ke rumah. Agaknya dah sampai dah sekarang. Abah saya pergi ambik datuk kat airport tadi. Kalau dia tahu Cik Kiah keluar selewat ni dan pulang pula dengan lelaki…” ucapnya, seakan cuba mengugut.

Ruqiyyah menjeling geram.

“Tak apalah, sayang. I balik dengan driver I aje. Nanti dia makan gaji buta pulak,” ucap Ruqiyyah menyindir. Dia melangkah masuk ke dalam kereta, melepaskan genggaman erat tangan Reza.

Daun pintu dikatup Hud.

“Hud,” panggil Reza perlahan.

Hud mencangak sekejap, memandang Reza yang tinggi sedikit darinya. Anak mata mereka saling bertikam. Hud mengalihkan perhatiannya dari Raza dulu. Pandangannya dilontar kepada Ruqiyyah di dalam kereta yang kebetulan turut sama memandang kepadanya. Barangkali gadis itu tertanya mengapa mereka belum lagi bertolak pulang. Mujurlah Ruqiyyah tidak menurunkan cermin tingkap. Dia hanya bersandar sambil menjeling.

“Ingat tempat kau,” luah Reza.

“Saya sentiasa ingat di mana tempat saya, Encik Reza. Usah bimbang. Saya tak berminat ambil hak sesiapa macam sesetengah orang,” lontar Hud sinis.

“Hud!”

Suara Reza meninggi. Tangannya dijatuhkan atas bahu Hud yang memandang dengan pandangan kosong.

“Maaf, Encik Reza. Saya kena bawa Ruqiyyah pulang. Nanti datuk marah pulak,” luah Hud sopan.

Tangan Reza diturunkan dari bahunya. Dia tahu dirinya tampak kerdil di mata Reza, tampak hina. Tetapi dia tidak merasa dirinya rendah biarpun secara fizikal dia memang rendah sedikit dari Reza. Semua makhluk sama di sisi Tuhan. Pandangan sinis Reza takkan mampu mencemar rasa cintanya pada jasad yang dipinjamkan Tuhan kepadanya, pada keturunannya yang suci.

“Kau tau ni bukan tentang Chanelle,” balas Reza.

“Habis?” soal Hud sambil mengangkat sebelah kening meskipun dia sudah dapat menduga apa yang Reza maksudkan.

“Victory,” jawab Reza sepatah.

“Ambiklah. Tak nak pun,” balas Hud acuh tak acuh.

“Hud, kau jangan angkuh sangat. Aku tau lelaki macam kau. Berpura-pura baik tapi sebenarnya gila harta,” tuduh Reza.

Hud menguntum senyum sinis sambil menggelengkan kepalanya sekali. Siapa sebenarnya yang gila harta? Hud ataupun Reza sendiri. Hud tak pernah mengimpikan harta dunia yang berjuta-juta. Dia hanya mahu wang yang halal untuk menyara diri sendiri dan keluarganya.

“Ingat, kau takkan dapat Victory,” ucap Reza angkuh. Ditujahnya hujung jari ke dada Hud.

Hud tidak membalas kemarahannya.

“Jumpa lagi, Encik Reza. Terima kasih sebab temankan Cik Kiah,” ucap Hud, berpura-pura tidak mendengar kata-kata angkuh Reza tadi.

Hud melangkah masuk ke ruangan memandu. Handbrek yang diangkat tadi diturunkan semula. Kereta yang baru sekejap tersadai dibelok keluar menuju ke jalan raya semula.

“Kau cakap apa dengan Reza tadi? Kau jangan masuk campur hal aku, boleh tak? Kau sedar tak diri kau tu siapa?! Kau tu hanya driver, pecacai aku!” tempelek Ruqiyyah dengan tidak semena-menanya. Sangkanya kedua-dua lelaki itu berdebat di luar dek kerana berebut untuk menghantarnya pulang.

“Saya tak cakap apa pun pasal Cik Kiah. Jangan kata cakap, fikir pun jauh sekali,” jelas Hud.

“Jangan nak menipu. Kalau kau cari pasal dengan Reza lagi, siaplah kau nanti,” ugut Ruqiyyah.

“Yelah, Cik Kiah,” balas Hud, acuh tak acuh. Mampukah syarikat gergasi seperti Victory dibandingkan dengan gadis kecil seperti Ruqiyyah? Hud malas hendak berhujah. Dia tak suka bertekak. Apatah lagi dengan Ruqiyyah yang hanya pandai bercakap kosong, tidak mempunyai isi padu yang boleh menjadi jamuan akal fikiran.

Suasana sepi tanpa bicara. Ruqiyyah tidak menyuarakan kemaafan. Hud pula tidak berniat untuk merayu kemaafan bagi kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Ah, persetankan saja. Dia lebih tenang tanpa suara jerkahan Ruqiyyah. Biarlah malam yang mengulit terus sunyi, sepi. Lebih indah fikirannya melayang mengenangkan Nur Mahani dari bertegang leher dengan anak kesayangan majikannya.

Previous: Bab 2b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.